Thursday, June 19, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

BELIA MELAYU BANGGA BERGADUH
MAHU LESTARIKAN BUDAYA ‘GANGSTERISM’

Assalamualaikum,

Semalam (18 Jun 2008), aktivis belia Sobri Ahmad beritahu mantan Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo balik dari menjengah anaknya yang menuntut di luar negeri lewat 2.00 pagi (kira-kira dah masuk 19 Jun 2008). Saya juga lewat jam 2.00 pagi itu menjengah anak saya yang menuntut di Universiti Industrial Selangor (Unisel) di Bestari Jaya (Batang Berjuntai), sebaik sahaja diberitahu dibelasah satu kumpulan 17 orang remaja ketika bercuti hujung minggu ke rumah kawannya di Taman Pelangi, Stulang Laut, Johor Bahru. Memang saya tak menyebelahi anak saya, kerana ianya sudah menjadi kes polis apabila tiga daripada suspek ditahan berikutan ditemui senjata tajam bersama mereka termasuk parang, pedang samurai dan pistol mainan.

Sebenarnya saya terkedu dengan budaya gangsterism di kalangan belia-belia Melayu ketika belia-belia di selatan Thailand dan di selatan kepulauan Filipina mengangkat senjata mempertahankan syiar Islam. Insiden malam Isnin (16 Jun 2008) di Johor Bahru itu, kebetulan saya juga sedang bertemu ‘Abang Lajak’ (dikenali Razak Kosas), apabila diberitahu beliau juga berhadapan dengan masalah belia-belia yang berbudaya gangstrism semata-mata berkaitan ‘membawa anak dara orang keluar’. Belia-belia terbabit masih mentah dalam usia sekitar 18-22 tahun, tetapi terjebak dalam budaya gangsterism dengan mengaitkan diri sebagai aktivis jemaah perkumpulan kebajikan Islam. Aduhai!

Ketika lanskap politik negara serba kalut, kelabut dan serabut sekarang (berikutan keputusan PRU12) belia-belia terbabit lebih berbangga dengan budaya gangsterism, di samping mencederakan rakan-rakan belia Melayu yang sebaya semata-mata mahu menunjukkan kepongahan. Berbeza dengan Nasrul Haq (Belia Harapan) ketika ianya digerakkan sekitar dekad 1970-an di bawah pimpinan Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Idris, belia-belia ditanamkan semangat patriotisme. Apabila saya dilantik menjadi Setiausaha Agung sekitar dekad 1980-an, kursus menanamkan semangat patriotisme diteruskan mengikut zon utara, tengah, timur dan selatan iaitu berkaitan agama (jabatan agama Islam), ekonomi (unit ekonomi di jabatan Perdana Menteri), keselamatan (jabatan polis) dan budaya (jabatan kementerian kebudayaan, belia dan sukan).

Kursus menanamkan semangat patriotisme tak mampu dilanjutkan oleh Belia Harapan (Nasrul Haq) apabila Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengambil alih Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, di samping Tengku Razaleigh Hamzah tak lagi menjadi Menteri Kewangan. Belia Harapan (Nasrul Haq) juga turut malap, gelap dan lelap berikutan senario yang berubah secara drastik itu. Tak apalah, aktiviti saya bersama Tan Sri Abdul Samad masih diteruskan sekitar dekad 1980-an memperkasa kebudayaan Melayu di peringkat Negeri Sembilan. ‘Belia Harapan’ tak menggalakkan budaya gangsterism, sebaliknya mahukan belia-belia lebih bersikap patriotisme, tetapi disalah tafsir oleh segelintir pihak dengan persepsi yang jauh tersasar daripada matlamat Belia Harapan (Nasrul Haq) itu.

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA


UNTUNG RM384 BAGI TEMPOH MAC 08
TAK MUNASABAH MINTA NAIK KADAR TOL?

(Kenyataan media, pimpinan PRIMA Pak Dharmala N.S. di Kuala Lumpur, 19 Jun 2008, mengenai kadar tol di bawah Plus Expressways Bhd (Plus) dan terma serta syarat perjanjian yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi).

Rundingan mengkaji semula perjanjian dengan Plus Expressways Bhd (Plus) dengan kerajaan mengenai unjuran trafik, peruntukan perjanjian, kadar tol, tempoh konsesi serta jumlah pembiyaan yang diperlukan sesebuah syarikat membayar balik pinjaman, menyelenggara dan menjalankan operasi sepatutnya dilaksanakan selepas bantahan yang berterusan daripada orang ramai. Bagaimanapun masih belum terlambat bagi Menteri Kerja Raya, Dato’ Mohd Zin Mohamed menghalang sebarang kenaikan kadar tol selepas kerajaan tak membenarkan Plus menaikkan kadar tol 10 peratus setiap tiga tahun sejak Januari 2001. Bukan sahaja ianya membebankan rakyat dengan kenaikan harga minyak, malah kenaikan kadar tol itu sendiri tak munasabah, tak muhasabah dan tak muhibbah.

Apalagi bagi suku akhir pertama berakhir 31 Mac 2008, Plus sudah mencapai keuntungan sebelum cukai RM384 juta, malah tahun sebelumnya syarikat berkenaan turut memperoleh keuntungan sebelum cukai RM719.4 juta. Maknanya, Plus tak pernah mengalami kerugian berdasarkan pertumbuhan trafik tahun lalu 7.7 peratus iaitu yang tertinggi sejak syarikat itu disenaraikan. PRIMA merasakan adalah tidak logik Plus terus mendesak kadar tol dinaikkan mengikut konsesi perjanjian, dengan keuntungan yang diperolehi sekalipun pada takrif sebelum cukai. Justeru adalah wajar bagi kerajaan mengkaji semula perjanjian konsesi tersebut, apalagi setelah segala maklumat yang diminta daripada Plus sudahpun diserahkan.

INFO SASTERA & BUDAYA
PERJUMPAAN DENGAN ORANG ASLI
MUSIM BUAH-BUAHAN JADI PILIHAN
Aktivis masyarakat di Pahang, Haji Suhaimi Said akan menggerakkan perjumpaan di Kuala Krau 2 Ogos 2008 ini dengan kerjasama PRIMA, bagi mengangkat kesenian dan kebudayaan masyarakat Orang Asli ke peringkat nasional. Memberitahu program yang akan digerakkan oleh oleh Haji Suhaimi yang juga peguam dan pengendali laman blog ‘lubukawah.blogspot.com’, pihak panatianya L. Mankadir Shamsi menjemput orang ramai menghadiri majlis kesenian dan kebudayaan berkenaan. Di samping diserikan dengan tarian dan muzik tradisional Orang Asli, tetamu juga akan diraikan bersama majlis menikmati buah-buahan tempatan. “Mereka memilih musim buah-buahan sebagai menghargai kehadiran tetamu-tetamu,” beritahu L Mankadir.

INFO SUARA PROLITAR

PANDAI MENABUR JANJI MANIS
TETAPI BERPERENCAH DUSTA
OLEH : Asalbayu
Lunak pelbagai janji dihulur tabur,resepinya pasti enak andai perencah dusta,juga pura-pura diadun serta. Lalu sini sanamembiak luas tersebar di media terkini,era langit terbuka dunia tanpa sempadan.Pelbagai umpan makmur dihambur,manis di wajah di kalbu bercuka duka,di hujung pengorbanan pasti raih zon selesa,mesti dikejar biar dengan apa jua cara,lantaran di hujung menanti habuan.Janji & umpan satu fenomena bermusim,wujud terselindung helah tanpa silu,pun ada tokoh bermuka-muka,jiwa konon murni menganjur kebajikan,sedang baru seketika digelumangi maksiat,tanpa sedar ada kala umpan yang terhambur,lantas berserakan pembaziran jadi pekung,timbunan hutang lapuk. Tidak mungkin dihapus kira.
Alor Setar, Kedah.
17 Februari 2008.
(mesej diedit oleh admin)

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

PENYANYI UNTUK DAYA TARIKAN
ANAK-ANAK MUDA MENONTON BOLA

Alkisah tersebutlah sekali persetua akan baginda Sultan Sharafuddin Idris Shah yang memerintah di negeri Melayu bernama Selangor itu mahu menemui pimpinan Pemuda jemaah Islam (yang disebut orang banyak ialah PAS), Ustaz Sallehin Mukhyi. Adapun Ustaz Sallehin itu tak bersetuju kerajaan negeri menjemput akan penyanyi Ella dan Mas Idayu, ketika perlawanan persahabatan bola sepak Selangor denngan Singapura pada 6 Julai 2008 (mengikut tarikh haribulan anak cucu fakir). Arakian diberitahu oleh sekalian orang banyak, Menteri Besar negeri itu Orangkaya Tan Sri Khalid Ibrahim sudahlah ia menghadap ke bawah duli Sultan Sharafuddin Idris Shah menyembahkan bantahan dari Ustaz Sallehin itu, adanya. Syahdan diberitahu oleh Orangkaya Tan Sri Khalid jemputan itu bagi menarik anak-anak muda menghadiri majlis berkenaan. Alahai!

Sebermula Hang Nadim itu apabila sampai di Pahang berkawan baik ia dengan seorang nakhoda Chempa, Saiyid Ahmad namanya, terlalu berkasih-kasihan. Maka kata Hang Nadim pada nakhoda Saiyid Ahmad, “Sungguhkah Tun Teja, anak Bendahara Pahang itu, terlalu baik parasnya? Ingin pula rasa hamba hendak melihat rupanya.” Maka kata nakhoda Saiyid Ahmad, “Sungguh, tetapi sudah bertunangan dengan Yang Dipertuan Pahang. Apa daya tuan hamba hendak melihat dia, kerana anak orang besar-besar. Jangankan manusia akan memandang, matahari dan bulan lagi tiada melihat dia”. Maka Hang Nadim pun fikir dalam hatinya, katanya, “Apa daya aku berdapat dia?”. Maka dengan demikian, maka lalu seorang perempuan tua pelulut. Maka oleh Hang Nadim dipanggilnya pelulut itu dibawanya masuk ke rumahnya. Hang Nadim pun berlulut (berurut) padanya yang disurat oleh ‘Kitab Melayu’ daripada:










HIDUP BAHASA MELAYU!

No comments:

Post a Comment