Friday, July 4, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

PERIHAL SENAPANG TAK BERPELURU
SAMA MACAM HARIMAU TAK BERTARING

Assalamualaikum,

Lama juga laman blog PRIMA menyepi, mungkin juga kerana filem ‘Sepi’ akan masuk pawagam Julai ini menyebabkan ianya terikut-ikut untuk bersepi sesepi-sepinya. Sebelum itu Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Pahang, Syed Adnan Dato’ Syed Abdullah menelefon Selasa lalu (1 Julai 2008), fasal isu ‘perihal senapang tak berpeluru’ apabila mahu membantu frasa penting dalam lanskap politik yang serba kucar-kacir, kacau-bilau dan berceridau. Justeru saya beritahu Syed Adnan (Abang Engku), samalah macam harimau tak bertaring, kuku pun tak boleh harap mampu mencakar. Tetapi penyair Yassinsalleh pula mengirim SMS hari ini (4 Julai 2008), kok tak ada peluru, kita belilah. Astaga!

Apalagi hari Isnin (30 Jun 2008), pembantu muzium di Muzium Negeri Sembilan, Ahmad Afian Abdul Kadir beritahu temujanji dengan Undang Luak Rembau, Dato’ Lela Maharaja Haji Mohd Sharip Othman sudah ditetapkan 10 Julai 2008. Dalam tempoh ‘bersepi’ itu memang saya tumpukan masa untuk manuksrip buku berkaitan Rembau, al-maklumlah! Secara historikal, penyandang pesaka Undang Luak Rembau memang pembesar Melayu yang kuat sentimen menentang penjajah Inggeris. Malah Dato’ Nganit (1819-1838) turut mengangkat senjata secara militan membantu Dato’ Dol Said di Naning. Begitu juga Dato’ Haji Sahil (1871-1883) mengangkat senjata dalam perang di Legong menentang Syed Hamid al-Qadri di Tampin yang disokong oleh Inggeris, di samping menerima risiko dipecat dan dibuang negeri ke Singapura. Begitulah!

Alhamdullillah, sekarang saya keluar dari ‘kamar menyepi’ untuk sama berblog semula dengan PRIMA. Bagaimanapun merasa terkedu juga apabila dilaporkan anak-anak yang belajar di Sekolah Taman Seri Gombak 1 mengalami keracunan makanan Selasa lalu (1 Julai 2008). Kebanyakan ibu bapa pelajar terbabit, bolehlah saya anggap anak atau adik-adik yang sama menetap dalam satu kariah masjid. Apalagi anak saya sendiri juga menjadi tenaga pengajar di sekolah berkenaan, tentulah perasaan ‘kebapaan’ saya sukar disembunyikan apabila anak-anak terbabit sakit perut, muntah-muntah bercampur darah dan tenaga menjadi lemah. Memang kita tak boleh menuding jari kepada sesiapa bagi mencari kesalahan, sebaliknya insiden berkenaan boleh dipantau kalau semua pihak prihatin dengan masalah permakanan di kantin.

Keracunan makanan yang disediakan di kantin sudah berlaku di beberapa buah sekolah sebelum ini, termasuk di Pahang dan Kelantan. Misalnya, kalau jabatan pelajaran ‘turun padang’ apabila menerima aduan ibubapa, dengan tak melayani sebagai isu remeh temeh, segalanya boleh dipantau. PRIMA pernah terbabit dalam satu isu di sebuah sekolah menengah di Selangor berikutan tindakan disiplin yang keterlaluan guru-guru ke atas murid tegar. Jabatan pelajaran sekadar menerima laporan pihak sekolah, yang membuat ‘tekanan’ kepada anak saya (sekarang anak yang dikatakan ‘tegar’ itu sudah menuntut di Universiti Industrial Selangor). Akhirnya, apabila isu berkenaan dibawa PRIMA kepada Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi (sepatutnya tak perlulah begitu), barulah tindakan segera diambil. Aduhai!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA


PIMPINAN ISLAM GEMAR BERBALAH
MUSUH AMBIL PELUANG KELEMAHAN

Pimpinan Melayu yang gemar berbalah akibat perbezaan pendapat, menyebabkan pihak musuh mengambil peluang berikutan kelemahan sendiri apabila mahu memperkasa perpaduan dalam memepertahankan bangsa, agama dan tanahair, kata aktivis belia Dato’ Suhaimi Ibrahim. Mengulas isu Majlis Gurdawara memfailkan permohonan sebagai ‘mencelah’ di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi, Jalan Duta semalam (3 Julai 2008) berikutan larangan penggunaan perkataan Allah dalam penerbitan Herald-The Chatolic Weekly, beliau menjelaskan ianya berpunca daripada kelemahan umat Islam sendiri. “Itulah masalahnya, orang Islam berbalah sama sendiri, bukan Islam ambil kesempatan atas kelemahan kita,” kata Dato’ Suhaimi yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri.

Laporan akhbar hari ini (4 Julai 2008) menyebut Majlis Gurdawara menerusi Tetuan Jagjit Singh & Co menamakan Menteri Keselamatan Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama dan kedua, dengan alasan afidavit itu bertujuan menjaga kepentingan kaum Sikh khususnya mengenai kebebasan dan hak-hak dalam perlembagaan Persekutuan. Matlamat permohonan ‘mencelah’ itu bagi mengekalkan agama Sikh, identiti, kebudayaan dan warisan kerana mereka mendakwa, perkataan Allah digunakan bagi merujuk kepada Tuhan adalah sebahagian daripada intergal kepada versi asal Kitab Suci Agama Sikh. Bagaimanapun Setiausaha Agung Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Mohd Radzi Mustapha tak dapat dihubungi bagi memberikan komen.

INFO SASTERA & BUDAYA

DILEMA SENIMAN MELAYU:
KERJAYA BUKAN PROFESION


Pembabitan aktivis seni dalam kerjaya masing-masing berhadapan dilema, kerana sukar dijadikan sebagai profesionalisme berikutan tiada penghargaan yang setimpal, menurut bekas aktivis perfileman Yassinsalleh. Katanya, bukan sahaja imbuhan yang diterima tak berbaloi, malah penghargaan yang diberikan sekadar ‘memilih bulu’. Yassinsalleh yang juga seorang penyair menyentuh isu karyawan muda tak berminat berpersatuan dalam media perdana hari ini (4 Julai 2008). Kalau berpersatuan untuk kepentingan seorang berdua individu, beritahu Yassinsalleh yang pernah dinobatkan pengarah terbaik Pesta Filem Malaysia sekitar dekad 1980-an menerusi ‘Dia Ibuku’, tak hairanlah karyawan muda ‘meluat’ untuk berpersatuan.

Seterusnya ujar Yassinsalleh, pernahkah persatuan-persatuan sedar artis-artis veteran juga tak mampu menjadikan kerjaya mereka sebagai profesionalisme?. “Misalnya, artis meminta bayaran RM100 ribu bagi watak utama sesebuah filem, tentu dianggap ianya mengada-ngada, bukan menghargai bakatnya,” kata Yassinsalleh. Menurutnya, beliau pernah diberitahu, aktor Allahyarham Mahmud June dibayar RM150 untuk watak kecil dalam sebuah drama swasta. Bagaimana mahu menghargai seorang aktor veteran, kalau bayaran hanya sesuai untuk pekerja buruh binaan sehari, beliau menambah. Yassinsalleh juga menyebut mengenai empat artis yang pernah dihantar ke Kongo pada dekad 1960-an, tetapi seorang sahaja diberi anugerah negara.

“Empat artis berkenaan bukannya melancong, tetapi menghiburkan tentera-tentera Malaysia yang berkhidmat di tengah api peperangan di Kongo, di samping turut sama menyabung nyawa,” kata Yassinsalleh lagi. (Berdasarkan rekod artis yang dimasudkan oleh Yassinsalleh ialah Tan Sri S.M. Salim, Ismail Bontak, Normadiah dan Hashimah Yon). Seterusnya Yassinsalleh memberitahu, beliau menerima laporan mengenai penulis skrip TV untuk animasi dibayar RM100 sahaja bagi satu siri, kononnya mengimbangi bayaran murah oleh Astro. “Lebih baik tak payah berpersatuan, kalau untuk kepentingan seorang berdua sahaja individu,” kata Yassinsalleh.

INFO SUARA PROLITAR

SENTIASA BERTAQWA DAN IBADAT
MOGA-MOGA JAUHKAN MALA PETAKA

Bertaqwalah kepada Allah SWT, jangan meminta bantuan kepada makhluk. Tak perlu kita meminta-minta kepada sesama makhluk, kerana Allah SWT sudah mengatur segala yang ada di bumi dan di langit dengan sempurna. Dengan keadaan negara sekarang sibuk orang-orang politik buat masalah, marilah kita semua sentiasa ingatkan Allah SWT. Moga-moga Allah SWT melindungkan negara kita dari mala petaka. – (SMS; 2 Julai 2008 – Abdul Latiff bin Sheikh Haji Ahmad, Seperi Hilir, Jelebu, N. Sembilan).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

SUDAH AZALI SEJAK DAHULUKALA:
PEMBESAR MELAYU FITNAH MEMFITNAH

Syahdan tersebutlah ceritera di negeri Melayu itu, berbalahlah pembesar-pembesarnya dengan tuduh menuduh. Arakian akan Orangkaya Dato’ Seri Anwar Ibrahim masghullah ia kerana khabarnya difitnah orang. Maka tersebutlah pula memanda Timbalan Perdana Menteri Orangkaya Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, mengaku juga ianya jadi mangsa difitnah. Sebermula diberitahu orang banyak kepada fakir, terlalu masghullah rakyat jelata kerana fitnah memfitnah semakin menjadi-jadi. Sudah azali sejak dahulukala kononnya pembesar-pembesar Melayu itu memang gemar sangat ianya fitnah memfitnah, tohmah mentohmah, jatuh menjatuh. Sekali persetua di dalam negeri Melayu itu dikata orang banyak macam tak lagi bermaruah, kerana kejadian bermukah itu sudah tak terasa meloyakan, menjijikkan dan menggeli-gelemamkan. Barangkali!

Arakian berkampunglah Pateh Karma Wijaya bersama pembesar-pembesar yang dengki akan Laksamana Hang Tuah itu kerana terlalu disayangi oleh raja. Maka kata Pateh Karma Wijaya, “Apa bicara Orangkaya sekalian, akan Hang Tuah itu sangatlah disayangi sultan, satu salahnya pun tiada!” Syahdan sekalian orang besar itu berfikirlah sesama sendiri. Sekali persetua disebut oranglah adapun akan Laksamana Hang Tuah itu bermukah dengan dayang istana. Terlalu murkalah Sultan Mansor Shah mendengar sembah Pateh Karma Wijaya, merah padam muka baginda. Maka akan Laksamana Hang Tuah disuruh buang jua pada Bendahara Paduka Raja. Maka oleh bendahara segala titah itu dikerjakanlah. Arakian medengar Laksamana Hang Tuah dibuang raja, Hang Jebat pun mengamuk dalam istana. Bergelimpanglah mayat orang banyak, tak terperi bau busuknya akibat diamuk Hang Jebat, seperti disurat dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:







HIDUP BAHASA MELAYU!

No comments:

Post a Comment