Sunday, July 6, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


DARI LAMAN BLOG:

NYAWA PROLITAR TERLALU MURAH
RAWATAN IJN UNTUK GOLONGAN MEWAH


Assalamualaikum,


Sudah lama Haji Abu Bakar Ninggal tak menghubungi, tetapi pagi semalam (5 Julai 2008) beliau menelefon saya. Bagaimanapun beliau tak mahu bercakap panjang kerana kredit telefon bimbitnya tak boleh bertahan lama. Ramai juga kawan-kawan merungut menenai bil telefon macam tak munasabah, tetapi perlu juga dibayar kerana ianya perlu sebagai kemudahan awam. Dalam masa yang sama Yassinsalleh pula mengirim SMS fasal Raja Petra Kamaruddin dipanggil memberi keterangan berkaitan akuan bersumpah di balai polis Sentul jam 5.00 petang (5 Julai 2008). Bagaimanapun saya tak sempat untuk ke balai polis, mahupun jamuan makan merayakan 100 hari (mungkin PKR berjaya menubuhkan kerajaan negeri) yang diterima dari SMS menerusi Sallehuddin.


Saya lebih peka dengan SMS yang diterima dari Institut Jantung Negara (IJN) iaitu beritahu temujanji yang dibuat menerusi Hospital Teluk Intan sudah ditetapkan esok (7 Julai 2008) bagi membawa bapa mentua saya mendapatkan rawatan. Hospital Teluk Intan sebelum ini memberitahu keluarga isteri saya, apabila temujanji dengan IJN ditetapkan sekurang-kurangnya sediakan RM5 ribu bagi rawatan lanjut. Justeru keluarga isteri saya berasa serba salah untuk meneruskan rawatan lanjutan di IJN, di samping komplikasi penyakit bapa mentua saya dikatakan serius apabila dimasukkan ke Hospital Teluk Intan baru-baru ini. Aduhai! Bagaimanapun, saya akan ke IJN juga mendapatkan penjelasan mengenai rawatan seterusnya yang diperlukan. Insya Allah!


Tak lama dulu seorang rakan saya (bekas Ahli Parlimen) ketika menerima rawatan di IJN memberitahu saya, polisi di IJN sekarang kemudahan bagi rawatan diberi prioriti kepada golongan mewah, di samping mampu menyediakan kos rawatan. Justeru mereka daripada kalangan prolitar akan menerima giliran ‘bertunda-tunda’ bagi rawatan di IJN, kerana nyawa mereka bolehlah diklafikasikan terlalu murah. Maknanya, tentu golongan prolitar termasuklah bapa mentua saya sekarang sukar mendapatkan rawatan di IJN dengan kos yang tinggi. Bagi mereka yang mengalami penyakit jantung, sekadar pasrah sahaja menunggu waktu yang tak sesaat diundurkan dan tak sesaat didahulukan, dengan polisi yang diamalkan di IJN.


Tentulah sukar bagi pekebun-pekebun kecil mahu mengumpulkan RM5 ribu bagi rawatan jantung, apalagi kalau anak-anak juga sekadar ‘orang pencen’ daripada bekas tentera dan sebagainya. Ketika dimasukkan ke Hospital Teluk Intan pun kad pesara tenteranya juga tak laku dipamerkan; apatah lagi dengan IJN. Barangkali! Justeru golongan prolitar seperti bapa mentua saya memang tak harapkan apa-apa rawatan di IJN, sebaliknya kalau mengalami ‘rebah’ lagi terpulanglah kepada Hospital Teluk Intan sama ada mahu menerima atau menolaknya. Temujanji dengan IJN memang tak larat untuk diteruskan, tetapi cukuplah menunggu: Pak pung pak mustape, ada dule di rumah nye. Heh heh heh!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA:


PENAFIAN TAK SEMESTINYA BENAR
FAKTA PERLU DISIASAT DENGAN TELUS



Pengendali laman web ‘Malaysiakini’, Raja Petra Kamaruddin hadir di balai polis Sentul jam 5.00 petang semalam (5 Julai 2008) bagi memberi keterangan dalam soal siasat berhubung akuan bersumpahnya yang mengaitkan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam kes perbicaraan saga warga Mongolia, Altantuya Shaariibu. Raja Petra (Pet) masuk ke kawasan balai polis Sentul dengan diiringi oleh peguamnya, di samping 150 rakan-rakan yang turut memberi sokongan moral kepada beliau, beritahu aktivis masyarakat Yassinsalleh yang mewakili PRIMA. “Isu yang penting bukanlah akuan bersumpah Pet yang dihebohkan, tetapi siasatan yang telus bagi memelihara sistem kehakiman di Malaysia tak diperlekehkan,” beritahu Yassinsalleh selanjutnya.

Keadilan yang diperjuangkan bukan sekadar penafian daripada mulut Dato’ Seri Najib semata-mata, tetapi perlu dibuktikan secara telus, menurut Yassinsalleh lagi. Katanya lagi, sesiapa sahaja boleh menafikan sesuatu isu yang membabitkan dirinya, termasuk juga Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Kalau Dato’ Seri Anwar menafikan isu liwat, Dato’ Seri Najib menafikan terlibat dalam kes Altantuya, Tun Dr Mahathir juga turut menafikan campur tangan dalam sistem kehakiman pada 1988, malah Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi juga menafikan menantunya Khairy Jamaluddin menguasai ‘Tingkat Empat’, jadi bagaimana penafian itu harus dilihat ianya tak pernah berlaku, jelas Yassinsalleh menambah. “Siapa sahaja boleh menafikan, tetapi rakyat perlu diberitahu kebenaran penafian itu,” beliau menegaskan.

(Gambar ihsan oleh: Yassinsalleh)

INFO SASTERA & BUDAYA:


SIKAP PENULIS MAHU ‘JAGA HATI’
GAPENA KEMBALI PILIH PEDATI LAMA



Pemilihan semula Profesor Emeritus Tan Sri Ismail Hussein memegang jawatan Ketua Satu Gabungan Penulis Nasional (GAPENA) dalam mesyuarat agungnya semalam (5 Julai 2008) bukanlah memeranjatkan kata pakar kaunseling Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah. Mengulas keputusan mesyuarat agung GAPENA memilih pedati lama, Dato’ Dr Mohd Mansor yang juga penulis prolifik sekitar dekad 1970-an dan 1980-an menganggap, ianya seolah-olah komputer yang sudah diset. Bagaimanapun kata Dato’ Dr Mohd Mansor, dengan 26 undi menolak Tan Sri Ismail daripada memimpin GAPENA, ianya jelas menunjukkan sebahagian penggiat sastera mahukan pimpinan organisasi massa (ormas) itu dirombak. “Tan Sri Ismail perlu berundur secara terhormat, demi membawa perubahan dalam GAPENA,” beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor.


Persaingan dalam merebut jawatan Ketua Gapena memperlihatkan pimpinan Persatuan Penulis Johor (PPJ), Amiruddin Hanafiah menawarkan diri, tetapi sekadar memperoleh 26 undi beranding Tan Sri Ismail 46 undi. Menurut Dato’ Dr Mohd Mansor, rata-rata penulis Malaysia masih dipengaruhi ‘perhambaan minda’ apabila terpaksa untuk ‘menjaga hati’ individu, sekalipun pada dasarnya mereka sudah bosan dan meluat. Seterusnya Dato’ Dr Mohd Mansor merujuk kepada insiden persaingan merebut jawatan Ketua Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) sebelum ini, apabila beliau menawar diri melawan Tengku Alaudin Abdul Majid. Dalam persaingan tersebut Dato’ Dr Mohd Mansor tewas tiga undi sahaja melalui undi terbuka. “Mereka yang serba salah untuk mengangkat tangan, terpaksa berkecuali kerana mahu ‘jaga hati’,” jelasnya.


INFO SUARA PROLITAR:


10 PEGAWAI BUKIT AMAN
SIASAT PET DI BALAI POLIS SENTUL.


I am at Sentul police station. Pet (Raja Petra Kamaruddin) is still inside with his lawyer. They went in 5.15 (pm). The 10 is from Bukit Aman. About 150 supporters and 100 Press. Pet came out at 7.35 (pm). Pet was there as a witness for report made againts him by AG for making false declaration. But the focus of questioning was more on who is Pet’s informer – (SMS; 5 Julai 2008; 20:00:58 – Dr Seri Intan; Kuala Lumpur).


JAMUAN UNTUK SAMBUT 100 HARI
DI RUMAH BLOG BUKIT DAMANSARA


Rocky…tonight, 7.30 pm onwards at Blog House, 66 Lorong Setiabestari 2, Bukit Damansara. Join us for a 100-days Dinner & Get Together – (SMS; 5 Julai 2008; 14:16:02 – Sallehuddin, Kuala Lumpur).


ANAK SAUDARA BUAT LAPORAN
PENYIASAT PERSENDIRIAN HILANG.


Anak saudara kepada penyiasat persendirian Abdul Razak Baginda, (iaitu individu yang kontroversi) Balasubaramaniam, buat laporan polis 5.00 petang tadi berkenaan kehilangan pakciknya. (SMS; 5 Julai 2008; 21:23:36 – Yassinsalleh, Kajang, Selangor).


KOMENTAR
bersama Pak Parjo


PERKARA SIASAH MEMANG KOTOR
MASALAH KELIRU KERANA PERIBADI


Arakian gemparlah sekalian hulubalang juak-juak apabila canang sudah dititir orang banyak ke seluruh pelusuk negeri mengatakan Orangkaya Dato’ Seri Mohd Najib Razak itu bersih sebersih-bersihnya. Maka berkatalah Orangkaya Tan Sri Muhyiddin Yassin seperti disuratkan hari ini 3 Rejab 1429 (atau disebut juga 6 Julai 2008), masyarakat jadi keliru kerana masalah peribadi Orangkaya Dato’ Seri Anwar Ibrahim, tetapi diletakkan hampir seluruh rakyat jelata dalam keadaan tak tentu arah. Syahdan tersebutlah seorang pegawai tinggi agama di sebuah negeri, suatu masa dahulu pernahlah ia mengendalikan perkara khalwat Orangkaya ternama. Maka atas titah perintah Orangkaya ternama perkara khalwat itu didiamkanlah. Akan pegawai tinggi agama itu berhentilah ia lalu menjadi guru agama mengajar anak-anak muridnya.


Sebermula telah sudah berteguh-teguhan janji itu, maka Seri Nara Diraja pun berlengkap menghimpunkan segala orang besar-orang besar yang serta menghadap bendahara dan orang lain sekalian. Telah hari malam, maka Raja Kassim naik gajah yang bernama Juara Demang, Seri Nara Diraja mengepalai gajah, maulana itu pun sama di atas gajah itu. Maka orang kapal pun naik dengan segala alat senjatanya. Maka kata Raja Kassim pada Seri Nara Diraja, ‘Apa bicara tuan hamba, jikalau bendahara tiada serta kita, tiada akan hasil pekerjaan kita; dan jika kita ajak bendahara, di manakah ia mau?’. Maka kata Seri Nara Diraja, ‘Mudah juga pekerjaan itu pada hamba, Tuanku. Mari kita pergi pada bendahara kerana perkara siasah itu memanglah kotor juga,’ seperti disuratkan oleh ‘Kitab Melayu’ dariapada:


HIDUP BAHASA MELAYU!

No comments:

Post a Comment