Tuesday, July 8, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

HARGA MINYAK, HARGA MINYAK!
KEMENTERIAN JUGA KURANG PERUNTUKAN.

Assalamualaikum,

Pagi lagi bapa saudara saya aktivis tabligh dari Jelebu, Abdul Latiff Sheikh Haji Ahmad hantar SMS hari ini (7 Julai 2008) tanyakan fasal isu konsert di Kelana Jaya malam semalam (6 Julai 2008). Memang saya tak peduli sangat dengan konsert tersebut, kerana PRIMA menganggap ianya tak membawa sebarang perubahan. Tak seharusnya protes mengenai kenaikan harga minyak, diselitkan dengan konsert yang mendorong kepada kebiadapan, kelahapan dan kesunglapan. Astaga! Banyak lagi perkara yang berbangkit selain daripada kenaikan harga minyak hingga mendorong kepada rapat raksasa menggerkkan semangat rakyat. Seperti Haji Abu Bakar Ninggal yang menelefon mengeluh apabila diberitahu mengenai kerajaan berhadapan isu kurang peruntukan.

Haji Abu Bakar mengakui Biro Teknologi Pendidikan (BTP) di kementerian pelajaran sudah meluluskan skim buku-buku terbitan syarikatnya sejak tahun lalu bagi pembelian terus. Malangnya, BTP tak mempunyai peruntukan mencukupi bagi membeli terus buku-buku yang diluluskan menerusi skim galakan berkenaan. Bukan Haji Abu Bakar sahaja mengeluh panjang, malah banyak juga penerbit-penerbit terbabit berhadapan dengan dilema berterusan. Apalagi buku-buku yang diluluskan oleh BTP berkaitan juga dengan masalah karyawan dan penulis-penulis. PRIMA memang mengalu-alukan sebarang usaha menyalurkan sumber pembelian buku kepada karyawan dan penulis-penulis Melayu.

Tenghari (7 Julai 2008) saya menelefon Setiausaha Agung Persatuan Peguam Muslim, Haji Mohd Radzi Mustapha berkaitan isu ‘permohonan mencelah’ oleh pihak komuniti Sikh di mahkamah yang membabitkan kalimah ‘Allah’. Haji Mohd Radzi mendakwa PRIMA tersalah persepsi apabila mengkritik isu berkenaan, kerana isu sebenarnya bukan seperti dibangkitkan oleh PRIMA. Bagaimanapun terserahkan kepada persepsi masing-masing, disebabkan setiap isu yang dibangkitkan oleh PRIMA apabila ianya menerima ‘tindak balas’ dari masyarakat. Bagi PRIMA kementerian dalam negeri mengambil langkah yang tepat apabila melarang kalimah ‘Allah’ digunakan oleh pihak lain, kerana ianya isu sensisitf kepada umat Islam.

Justeru PRIMA menyokong langkah 700 aktivis PAS yang menarik diri daripada terbabit dengan konsert di Kelana Jaya yang tak selaras, separas dan menuras dalam usaha mendambakan perkara yang bermanfaat. Malah PRIMA mengakui ketika minum teh tarik bersama Setiausaha Agung Majlis Kerjasama Belia Asian, Sobri Ahmad hari ini (7 Julai 2008), 700 aktivis PAS itu mengambil langkah yang tepat. Pendirian konsisten PAS dalam isu yang berkaitan dengan moral perlu disokong oleh semua pihak, terutama mereka yang menyedari ‘kebenaran’ tak boleh dijual beli kerana ianya adalah asas kepada ‘menentang perhambaan minda manusia kepada manusia’.

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA

PROTES KENAIKAN HARGA MINYAK:
HAPUSKAN BENTUK SISTEM SKULAR KUFUR


Isu kenaikan harga minyak bukan disebabkan sumber petroleum dunia, tetapi ianya berkaitan agihan daripada negara yang bertugas untuk menyelia urusan pemilikan awam dan tak dijadikan sebagai milik negara, menurut kenyataan rasmi Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) yang dikeluarkan oleh Presidennya, Abdul Hakim Othman. HTM mengemukakan enam fakta menyebabkan kenaikan harga minyak di Malaysia, justeru pihaknya mahukan kaedah yang digunapakai sekarang dihapuskan. Menurut HTM, kenaikan harga minyak sekarang disebabkan kerajaan menerapkan sistem skular kapitalisme. “Sistem skular kufur ini mesti dihapuskan dan diganti dengan sistem ekonomi dan sistem pemerintahan Islam (al-Khalifah),” beritahu kenyataan HTM.

Dalam kenyataan yang boleh dilayari menerusi laman web http://www.mykhilafah.com/ HTM menegaskan, berkenaan dengan subsidi ianya merupakan pemberian negara dari milik negara kepada individu, pihak swasta, badan-badan atau pertubuhan-pertubuhan. Dalam kes bahan bakar, kerajaan tidak dapat dikatakan memberikan subsidi secara hakiki. Ini adalah kerana kerajaan telah mengambil harta awam yang merupakan hak rakyat (yang sepatutnya dinikmati rakyat secara percuma) tetapi oleh kerana untuk mendapatkan bahan bakar ini, rakyat secara perseorangan tidak akan mampu mendapatkannya, maka negara (kerajaan)lah yang menyelianya. Seterusnya HTM menambah, kenaikan harga adalah perbuatan zalim kerajaan.

“Perdana Menteri (Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi) melakukan bentuk kezaliman ke atas rakyat dan satu bentuk pelanggaran hukum dan maksiat yang nyata kepada Allah dan RasulNya,” jelas HTM selanjutnya. Serentak dengan itu HTM meminta agar harga minyak diturunkan, kerana penurunan harga minyak bukan perkara maksiat. Bahan bakar ini adalah hak rakyat, justeru pemerintah wajib mengembalikan milik rakyat ke tangan mereka secara percuma, tambah kenyataan tersebut. Malam ini (7 Julai 2008) HTM menggerakkan kempen sejuta tandatangan di pasar malam Taman Seri Gombak, bagi memberi kesedaran kepada orang ramai isu kenaikan harga minyak sengaja dieksploitasi oleh kerajaan untuk kepentingan politik dan kroni-kroninya.

KENAIKAN HARGA MINYAK DRASTIK:
KRISIS KEYAKINAN PEMBORONG BUMIPUTERA



Rungutan di kalangan pemborong-pemborong bumiputera sukar dibendung berikutan kenaikan drastik harga minyak yang mendorong kepada sikap krisis keyakinan, beritahu pakar kaunseling Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah. Berikutan banyak rungutan yang diterima olehnya, Dato’ Dr Mohd Mansor meminta kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi prihatin dengan kesukaran pemborong-pemborong bumiputera menghadapi kemelut kenaikan harga minyak sekarang. Mereka bukan sahaja tak mampu bertahan dengan kekurangan bahan binaan, malah turut juga kehilangan tenaga manusia (manpower). “Mungkin beratus-ratus pemborong bumiputera akan gulung tikar, kalau fenomena sekarang tak dapat diatasi,” kata Dato’ Dr Mohd Mansor.

Sekiranya pemborong-pemborong bumiputera berterusan mengalami masalah krisis keyakinan, negara juga turut berhadapan kehancuran ekonomi, beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor yang juga ahli akademik di samping bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM. Dalam lawatannya ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak, Dato’ Dr Mohd Mansor mengakui menerima pelbagai pandangan daripada masyarakat yang berlawanan sama sekali dalam laporan yang disalurkan menerusi media. Justeru katanya, kerajaan pimpinan Dato’ Seri Abdullah tak terpedaya dengan laporan yang ‘molok-molok’, hingga menerima kejutan seperti PRU12 apabila berlaku ‘protes senyap’. “Media yang sekadar melaporkan perkara yang ‘molok-molok’ inilah membawa kejatuhan kepada kerajaan,” menurut Dato’ Dr Mohd Mansor.

INFO SASTERA & BUDAYA

KERAJAAN PAHANG PERLU RASIONAL
CONTOHI KEPRIHATINAN KERAJAAN PERAK


Menteri Besar Pahang Dato’ Seri Adnan Yaakob diminta mencontohi kerajaan negeri Perak pimpinan Dato’ Seri Ir Muhammad Nizar Jamaluddin yang prihatin dengan isu Orang Asli yang terpinggir sekalipun negara sudah lebih 50 tahun merdeka. Gesaan itu dibuat oleh aktivis teater di Pahang, L Mankadir Shamsi ketika menghubungi sekretariat PRIMA hari ini (7 Julai 2008). Kata Mankadir, kerajaan Perak perlu diberi sokongan apabila memberikan hakmilik tanah kepada komuniti Orang Asli, yang tak pernah diwakili bagi menyuarakan kepentingan mereka di Dewan Rakyat mahupun Dewan Undangan Negeri. “Perjuangan Orang Asli sekadar mampu disalurkan melalui aktiviti budaya yang audiennya terbatas,” beritahu Mankadir.

Menurutnya lagi, kerajaan Pahang di bawah Dato’ Seri Adnan masih ketinggalan dalam usaha memberi kemudahan kepada masyarakat Orang Asli yang majoritinya membuat penempatan di negeri Pahang. Justeru katanya, kumpulan budaya Orang Asli di Jenderak akan mengerakkan manifestasi kebudayaan, 2 Ogos 2008 nanti bagi membuka mata kerajaan negeri Pahang. Seterusnya Mankadir memberitahu, manifestasi budaya yang akan digerakkan oleh masyarakat Orang Asli di Jenderak ialah sempena musim buah-buahan awal Ogos nanti. “Mereka perlu diberi peluang menyuarakan kepentingan masyarakatnya yang sudah sekian lama terpinggir,” menurut Mankadir selanjutnya.

INFO SUARA PROLITAR

SUMPAH JUNJUNG AL-QURAN
INGATLAH IKTIBAR TUNKU-ASRI


Mufti Selangor, Dato’ Mohd Tamyes Abdul Wahid mengingatkan, Islam tak mensyariatkan supaya orang terbabit dalam fitnah bersumpah menjunjung al-Quran. Kalimah untuk bersumpah cukuplah menyebut Wallahi, Wabillahi, Watallahi. Sekitar dekad 1960-an pernah juga Tunku Abdul Rahman Putra (pemimpin UMNO) dan Tan Sri Mohd Asri Muda (pemimpin PAS) bersumpah menjunjung al-Quran pada kempen pilihanraya 1969. Mereka bersumpah mempertahankan kebenaran masing-masing. Habis sahaja hari mengundi 10 Mei 1969, maka berlakulah mala petaka 13 Mei 1969. Faham-fahamlah – (SMS; 7 Julai 2008 – YS, Kajang, Selangor).

KOMENTAR:
bersama Pak Parjo

PERIHAL ULAMA YANG BERWIBAWA
SUMPAH JANGAN DIPERSENDA-SENDA!


Syahdan akan bekas Orangkaya Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim itu mahulah ia bersumpah dari segi syarak bagi menafikan tuduhan liwat ke atasnya yang menggemparkan di seluruh pelusuk negeri. Arakian katanya, hendaklah sumpahnya itu dibuat di hadapan ulama yang berwibawa. Sebermula dikatakan orang banyak perihal menghukum rejam orang yang berzina pun hendaklah dilakukan di hadapan 100 orang yang beriman. Maka disebut sekalian hamba rakyat, orang yang beriman itu bukanlah ia pernah ditangkap khalwat, kemudian dibebaskan kerana pangkat dan darjatnya. Orang yang beriman itu ialah ulama yang berwibawa. Akan perkara syarak itu, hendaknya janganlah ia diperolok-olokkan, kerana padahnya terlalu dahsyat.

Kata sahibul hikayat, maka tersebutlah perkataan seorang pendeta, Maulana Abu Ishak namanya, terlalu faham pada ilmu tasawuf. Maka tuan itu tawaf di kaabah berapa lamanya, senantiasa dengan wuduk jua, tiada hadath lagi, melainkan hanya pada sebulan dua kali ia mengambil air sembahyang. Maka dikarangnya suatu kitab dengan dua bahasa, satu bahasa zat dan kedua bahasa sifat, di namainya Daru’l-mazlum. Maka segala orang semuanya memuji dia. Telah di dengar oleh bondanya, maka kata bondanya, ‘Apa tua-tuan semua pujikan Abu Ishak kerana ia kemalasan, dengan semuda itu, sebulan dua kali mengambil air sembahyang? Aku dengan tuaku ini, pada sebulan sekali juga mengambil air sembahyang’. Syahdan terlalu sukar orang banyak mahu menafsirkan akan sifat ulama itu seperti disebut ‘Kitab Melayu’ yang disurat:











HIDUP BAHASA MELAYU!

No comments:

Post a Comment