WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
S U A R A P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
DARI LAMAN BLOG:
SUDAH KENYANG DI MAJLIS KENDURI
TAK LARAT TERIMA AJAKAN TEH TARIK
Assalamualaikum,
Kenduri doa selamat di rumah adik angkat saya Ir Adnan Haji Khalid malam semalam (12 Julai 2008) sekadar perjumpaan keluarganya sahaja, tetapi saya turut dijemput sama. Sebelum dimulakan baca Yasin dan tahlil, Sobri Ahmad (Setiausaha Agung Majlis Kerjasama Belia Asian) menelefon, mengajak teh tarik. Tentulah tak boleh memenuhi ajakan Sobri, disebabkan di majlis kenduri berkenaan Ir Adnan sudah menyediakan sate, mee kari, nasi himpit, ayam percik dan nasi juga. Sobri sekadar beritahu Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Pahang, Syed Adnan Dato’ Syed Abdullah (Abang Engku) akan ke Kuala Lumpur 16 Julai 2008 nanti, dalam perjalanan ke Kelang. Bagaimanapun saya tahu Abang Engku tak akan ke Kuala Lumpur kalau tak bersama dengan L Mankadir Shamsi.
Ketika Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah menelefon pagi ini (13 Julai 2008), saya sedang membaca akhbar. Apabila Dato’ Dr Mohd Mansor ungkit fasal perpaduan Melayu yang masih berserabut, saya terbaca isu Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Mohamad Khaled Nordin menawarkan diri bertanding Naib Presiden UMNO, Disember 2008 nanti. Tak tahulah dengan masalah pusat pengajian tinggi di bawah Dato’ Seri Mohamad Khaled, sekalipun khabarnya isu PTPTN tak akan membebankan peminjam. Tetapi pentadbiran di pusat pengajian tinggi dikatakan misteri juga, apabila banyak sangat perkara yang tergantung, terlentung dan terdentung. Misalnya, di UKM bagi mengisi kekosongan Karyawan Tamu dijemput tokoh akademik dari Riau. Khabarnya!
Kekosongan ‘Kursi Tun Razak’ di UKM masih belum dipastikan calon yang bakal mengisinya. Ironinya, tak terdengar pula IPTA atau IPTS yang merancang mewujudkan ‘Kursi Tunku Abdul Rahman’ atau ‘Kursi Dato’ Onn Jaafar’. Entahlah! Memang hak Dato’ Seri Khaled menawarkan diri bagi bertanding jawatan Naib Presiden UMNO, tetapi IPTA dan IPTS biarlah melonjak setanding dengan institusi pengajian tinggi di luar negara. Isu graduan menganggur juga terlalu pahit untuk didengar, malah lebih bernilai diberi perhatian daripada jawatan ‘Naib Presiden UMNO’ yang menjadi rebutan ramai pimpinan sekarang. Tak hairanlah Dato’ Dr Mohd Mansor beritahu mengenai ‘Badan Bertindak Pemantapan Melayu’ akan digerakkan Ogos 2008 nanti.
Ketika perebutan jawatan UMNO menuju ke kemuncaknya Disember 2008 nanti, kalangan intelektual Melayu meneruskan keghairahan berseminar, bersimposium dan berforum. Resolusi yang dicetuskan menerusi seminar, simposium atau forum sekadar menjadi laporan berita di media, kemudiannya berakhir meneruskan legasi PRU12. Pimpinan UMNO berbangga dengan laporan ‘molok-molok’ bagi menyeronokkan hati dengan tak berpaling kepada ‘silent majority’ yang sudah disampaikan menerusi mesej PRU12 cukup jelas sejelas-jelasnya. Frasa keghairahan berseminar, bersimposium dan berforum di kalangan intelektual Melayu, mungkin sahaja bersifat sementara. Aduhai!
-Pak Dharma.
-Pak Dharma.
INFO HAK ASASI MANUSIA:
BPR SASAR KE JABATAN IMIGRESEN
ISU PEKERJA ASING JUGA BABITKAN JPN.
Tindakan agresif Badan Pencegah Rasuah (BPR) ke atas pegawai-pegawai kanan jabatan imigresen kerana dipercayai terbabit dalam kes mempercepatkan kelulusan visa kepada pekerja asing dianggap satu permulaan yang baik. Bagaimanapun BPR diminta tak bersikap ‘angat-angat tahi ayam’ dalam isu yang turut membabitkan keselamatan negara, beritahu aktivis masyarakat yang juga bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah. Menyentuh mengenai laporan ramai lagi pegawai kanan imigresen akan ditahan oleh BPR, Dato’ Dr Mohd Mansor berkata, rakyat di peringkat akar umbi juga berasa hairan bagaimana lebih dua juta ‘pendatang’ boleh berada di negara ini. “Kalau mahu dikatakan ekonomi kita baik, negara ini sedang melalui krisis kenaikan harga petrol dan beras yang tenat,” beliau menjelaskan.
Seterusnya beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor, sejak sebelum PRU12 pada 8 Mac 2008 lagi, PRIMA sudah menyuarakan kemasukan lebih dua juta pekerja-pekerja asing akan memberi impak kepada kestabilan ekonomi berikutan aliran wang tunai keluar secara berterusan. Menurut Dato’ Dr Mohd Mansor lagi, apabila aliran wang tunai tak disekat, pusingan tunai dalam negara juga turut terjejas yang memberi implikasi kepada kekalutan ekonomi. Justeru beliau menambah, kemasukan pekerja asing yang dibantu dengan kelemahan pentadbiran jabatan imigresen, akan memburukkan lagi keadaan apabila jabatan pendaftaran negara (JPN) tak dipantau. “BPR juga perlu menyiasat kes di JPN bukan ditumpukan kepada jabatan imigresen saja,” beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor.
Beliau turut membangkitkan isu yang pernah menjadi masalah di Sabah, apabila pekerja asing diberi kad pengenalan biru di samping boleh menjadi pengundi. Justeru kata Dato’ Dr Mohd Mansor, kalau anjakan pengundi bukan Melayu berlaku pada PRU12, pihak terbabit perlu memastikan latar belakang pengundi bagi memastikan pekerja-pekerja asing tak didaftar sebagai pengundi di negara yang berdaulat. Beliau memberitahu sekretariat PRIMA, beberapa kes membabitkan pendatang warga Indonesia menjadi warganegara Malaysia. Menerusi JPN mereka menggunakan nama sijil mati individu di Malaysia, bagi didaftar menjadi warganegara melalui ‘surat akuan bersumpah’. “Dengan surat akuan bersumpah, mereka memberitahu sijil beranak asal sudah musnah, di samping disokong oleh ketua kampung,” ujar Dato’ Dr Mohd Mansor.
PERPADUAN MELAYU DIGERAK BERTERUSAN
GOLONGAN INTELEKTUAL GHAIRAH BERMUSIM
Gerakan perpaduan Melayu perlu dilestarikan berterusan, bukan secara pendekatan bermusim hingga diperlekeh oleh masyarakat bukan Melayu, kata Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Menyentuh ura-ura satu lagi perhimpunan perpaduan Melayu akan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) 28 Ogos 2008 nanti oleh kalangan intelektual di bawah ‘Badan Bertindak Pemantapan Melayu’, Dato’ Kamal Amir turut menganggap ianya keghairahan bermusim sama dengan ‘Perhimpunan Perpaduan Melayu’ di PWTC dan ‘Kongres Perpaduan Melayu’ di Johor Bahru yag membabitkan Gabungan Penulis Nasional (Gapena) sebelum ini. “Kita mahukan perpaduan Melayu dilestari berterusan menerusi organisasi, bukan digerakkan oleh forum, seminar atau simpoisum di bawah jawatankuasa ad-hoc,” beritahu Dato’ Kamal Amir.
Beliau yang terbabit dalam gerakan menyokong pencalonan Tengku Razaleigh Hamzah bagi jawatan Presiden UMNO, Disember 2008 ini menjelaskan, setiap ahli UMNO berhak menentukan pemimpinnya. Justeru katanya, pembabitan beliau memberi sokongan kepada Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, tak membawa PRIMA ikut sama terlibat. Dato’ Kamal Amir seterusnya mengakui, pendirian PRIMA kekal seperti dalam PRU12 iaitu ‘sokong calon’ bukan ‘sokong parti’. Bagaimanapun sebagai ahli UMNO, menurut Dato’ Kamal Amir adalah menjadi haknya untuk memilih pemimpin yang mampu memartabatkan parti. “Saya berkeyakinan Tengku Razaleigh mampu memertabatkan UMNO dalam senario politik sekarang sekiranya dipilih selaku presiden parti,” katanya.
INFO SASTERA & BUDAYA:
SOKONG PAKSI GANTI GAPENA
KALAU MENOLAK PERHAMBAAN MINDA
Kesediaan pimpinan penulis kreatif (PAKSI), Dinsman bagi mengambil alih peranan Gabungan Penulis Nasional (Gapena) dalam memertabatkan isu pemupukan kebudayaan nasional berteraskan kebudayaan Melayu, dialu-alukan oleh pelbagai kalangan karyawan yang semakin bosan dengan penampilan Gapena, kata aktivis persuratan Melayu Pahang L. Mankadir Shamsi. Menyentuh tulisan Dinsman dalam ‘HARAKAH’ keluaran 15-31 Julai 2008, Mankadir berkata, beliau bersetuju dengan PAKSI selagi ianya menentang perhambaan minda manusia kepada manusia. Menurutnya, Gapena bukan sahaja sudah terpesong malah bersikap ‘lebih UMNO daripada UMNO’. “Kita mahukan ormas budaya yang bebas daripada sebarang perhambaan minda, bukan menjadi ‘balaci’ kepada pihak tertentu untuk kepentingan jangka pendek,” beritahu Mankadir.
Beliau juga memberitahu, pada mesyuarat agung Gapena baru-baru lalu wakil Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah sepatutnya tampil menawarkan diri merebut jawatan Ketua Gapena. Bagaimanapun kata Mankadir, Dato’ Dr Mohd Mansor terpaksa dihantar ke hospital di Putrajaya mengalami penyakit misteri, di samping memerlukan rihat selepas menerima rawatan. Sekiranya Dato’ Dr Mohd Mansor merebut jawatan Ketua Satu, di samping Amiruddin bagi jawatan Ketua Dua, kemungkinan senarionya berbeza. Malah beritahu Mankadir lagi, Dato’ Dr Mohd Mansor bersedia merebut jawatan Ketua Dua di samping berkompromi dengan Amiruddin bagi meneruskan persaingan Ketua Satu. “Jalan sebaik-baiknya Ismail Hussein perlu berundur setelah kerabat penulis menolak pimpinannya,” kata Mankadir menambah.
INFO SUARA PROLITAR:
KALAU KUTUK BIAR BERPADA
ORANG BODOH PUN, TAHU MENILAI!
Hari ini kawan, esok musuh. Hari ini musuh, esok kawan. Begitulah dalam politik. Dulu Ezam Mohd Noor sanggup ke penjara, kerana Anwar (Dato’ Seri Anwar Ibrahim). Sekarang kutuk Anwar macam nak rak! Saya tak pandai politik, tapi sikit-sikit tahu juga menilai. Dulu saya pun sokong UMNO, jadi ‘gurkha’ pun tak apa. Sekarang mengundi pun saya tak pergi. Susah nak undi siapa. Semuanya dua kali lima aje. Belum menang janji begitu, dan menang dalih begini. Kalau nak kutuk tu, berpada-padalah! – (SMS; 13 Julai 2008, 15:49:06 – Haji Shah, Batu 9 Gombak, Selangor).
KOMENTAR
bersama Pak Parjo
PUSAT PENGAJIAN SUDAH DITERIMA
BEKAS ORANGKAYA MENDABIK DADA
Sebermula terlalulah gembira bekas Orangkaya Menteri Kerjaraya, Dato’ Seri Samy Vellu, apabila akan memanda Perdana Menteri Orangkaya Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi bersetuju menerima pusat pengajian perubatan (AIMST) dijadikan IPTS kelima dalam negeri Melayu itu, adanya. Syahdan akan bekas Orangkaya itu berkata, tak takut ia dengan tindakan segelintir orang India membuat onar mahu menyingkirkannya. Maka sekali lagi dia mendabik dada dengan menyebut, hanya 3,600 perwakilan sahaja berhak memilih ketua orang-orang India pada bulan tiga tahun hadapan (2009). Arakian fakir pun memahami, kaedah yang digunakan bagi terus menjadi ketua ialah kepada 3,600 perwakilan, bukanlah 1.8 juta rakyat jelata keturunan India, adanya. Maka kaedah itu juga dipakai apabila 2,200 perwakilan memilih ketua Melayu bulan dua belas nanti. Gerangannya!
Arakian, ada seorang orang salah berdosa pada baginda, salahnya itu tiada betapa bena. Maka oleh Seri Maharaja disuruhnya bunuh orang itu. Maka kata Bendahara Paduka Raja, ‘Hai, hai, lihatlah Seri Maharaja; anak harimau diajarnya makan daging, dia kelak ditangkapnya’. Sebermula ketika itu Seri Bija Diraja datang dari Singapura. Maka Bendahara berkata kepada Seri Bija Diraja, ‘Orangkaya, telah amanat marhum Yang diPertuan ini ganti kerajaan’. Maka sahut Seri Bija Diraja, ‘Beta ada menengar amanat’. Telah Sultan Mahmud mendengar kata Seri Bija Diraja itu, bagida diam; pada hati baginda, ‘Tiada suka Seri Bija Diraja ini bertuankan aku’. Syahdan, dengan takdir Allah taala Sultan Mahmud pun gering, sakit buang-buang air, pada sehari dua tiga belas kali buang air. Maka Bendahara dan Laksamana sahaja merawatnya macam perwakilan jua, bukan semua rakyat jelata menghadap raja Melayu itu sakit seperti disebut ‘Kitab Melayu’ yang disurat:
No comments:
Post a Comment