Wednesday, July 16, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

EDITOR WANITA PIKUL AKHBAR
RAHSIA PENERBITAN BERTAHAN LAMA.

Assalamualaikum,

Dua minggu sekali memang saya sekeluarga bersarapan makan nasi lemak ikan masin bersama keluarga editor Buletin Rakyat, Norzah Haji Kepol. Setidak-tidaknya bincang fasal isu untuk ‘lead news’ di muka hadapan akhbar tabloid berkenaan apabila terpaksa bersaing dengan akhbar tabloid yang lain. Kadangkala juga kagum dengan kegigihan editor wanita seperti Norzah dalam menggerakkan akhbar tersebut hingga boleh bertahan lagi. Malah beliau bersama suaminya Nasiri Hamid sanggup pikul akhbar ke lori untuk dihantar ke pantai timur atau ke airport. Justeru pagi ini (15 Julai 2008), saya bersarapan di restoran yang menjadi kebiasaan kami, disebabkan di situ disediakan nasi lemak ikan masin yang menjadi favourite kami. Barangkali!

Setiausaha Agung Majlis Kerjasama Belia Asian, Sobri Ahmad juga menelefon pagi ini (15 Julai 2008) mengingatkan mesyuarat di Kelang besok (16 Julai 2008). Beliau juga berharap semuanya berjalan lancar, kerana mesyuarat berkenaan berkaitan isu bangsa Melayu juga. Memang PRIMA tak perlulah berseminar, bersimposium atau berforum untuk menarik perhatian umum dengan resolusi itu dan ini, kemudian disembahkan ke pintu istana (di sambut oleh kakitangannya sahaja). Malah di Johor Bahru pun khabarnya, pihak istana pun tak hadir dalam majlis ‘Kongres Perpaduan Melayu’ Mei 2008 lalu. PRIMA sekadar terbabit secara kecil-kecilan sahaja, di samping mesyuaratnya juga disertai dua tiga orang sahaja. Heh heh heh!

Entah kenapa L Mankadir Shamsi meminta nombor telefon aktivis budaya Dinsman dan Yassinsalleh, kerana beliau mahu hubungi dua aktivis berkenaan. Beliau memang menyokong usaha Dinsman memperkasakan ormas budayanya ‘PAKSI’ bagi menyaingi GAPENA yang tak berhasrat lagi meneruskan legasi ‘pemupukan kebudayaan nasional berteraskan kebudayaan Melayu’. Apalagi GAPENA terang-terangan tak mahu menolak ‘perhambaan minda manusia kepada manusia’. Justeru Mankadir bersetuju dengan Dinsman memperkasa PAKSI, di samping Yassinsalleh mahukan bayaran ‘standard’ kepada karyawan yang menghasilkan karya-karyanya. Hati siapa tak terharu menurut Mankadir, kalau bayaran kepada artis veteran sama seperti buruh kontrak.

Malam ini (15 Julai 2008) sengaja saya luangkan masa menonton TV9 jam 9.00 malam siaran langsung acara debat bekas Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Penerangan Dato’ Ahmad Shabery Cheek. Sekalipun Shabery cuba menyembunyikan kegugupan, tetapi mudah memahami keadaan yang menyelubungi dirinya yang pernah menjadi Ketua Penerangan PSM46. Sekitar 1995 pernah juga saya menjadi ahli penal bersamanya dan Dr Harun Taib (PAS) dalam forum di UKM yang membincangkan isu demokrasi, dengan pengerusinya Dr P. Ramasamy. Beliau gunakan papan putih (ganti papan hitam) melakar rajah bagi menerangkan pola-pola demokrasi bagi menyembunyikan kegugupannya. Barangkali!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA

LIMA PERKARA SHABERY GAGAL
SAINGI KEPINTARAN HUJJAH ANWAR

(Kenyataan media Ketua Pimpinan PRIMA, Pak Dharmala N.S. di Kuala Lumpur pada 16 Julai 2008, mengenai perdebatan terbuka Menteri Penerangan Dato’ Ahmad Shabery Cheek dan Penasihat PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Dewan Budaya Tun Syed Nasir, DBP Kuala Lumpur, jam 9.00 malam).

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dato’ Seri Anwar Ibrahim memerangkap Menteri Penerangan Dato’ Ahmad Shabery Cheek dalam debat yang dianjurkan oleh laman web agendadaily.com malam ini (15 Julai 2008). Isu siapa memenangi debat berkenaan bukan perkara penting, tetapi secara retorik Dato’ Seri Anwar berhasil menyampaikan mesejnya menerusi kaca TV ke seluruh negara dalam tempoh satu jam. Siaran secara langsung di kaca TV yang boleh ditonton oleh 26 juta rakyat Malaysia, di samping Singapura, Brunei dan selatan Thailand ianya tak disunting malah secara jelas Dato’ Seri Anwar mampu mengawal keadaan. Sebaliknya Dato’ Ahmad Shabery dalam keadaan gugup tersasar hingga kepada demonstrasi Baling1974, malah cuba mengaitkan peranan Dato’ Seri Anwar ketika menjadi Menteri Kewangan pada 1990-an.

Pembantu Dato’ Ahmad Shabery, Tan Sri Dr Nordin Kardi turut kucar kacir apabila mengemukakan soalan yang tak membantu kelancaran menteri itu menjana hujah, berbanding dengan pembantu Dato’ Seri Anwar, Zulkifli Sulong yang mampu memberi ruang kepada pendebatnya ‘melanyak’ lawan. Isu Dato’ Seri Anwar cuba memesongkan perhatian masyarakat ketika berhadapan dengan dakwaan liwat juga tak memberi apa-apa makna. Sebaliknya perdebatan mengenai mauduk ‘Hari Ini Bentuk Kerajaan, Besok Harga Minyak Turun’ perlu dilihat daripada perspektif politik yang memerangkap Dato’ Ahmad Shabery terikut-ikut dengan rentak Dato’ Seri Anwar.

Secara umum persepsi menerusi perdebatan itu menampilkan lima perkara yang tak disedari oleh Dato’ Ahmad Shabery terperangkap dalam jebak Dato’ Seri Anwar iaitu (i) Membantu Dato’ Seri Anwar menyampaikan mesej terus menerus melalui TV mengenai kebobrokan dalam pentadbiran kerajaan, (ii) Dato’ Ahmad Shabery terikut-ikut dengan rentak Dato’ Seri Anwar dengan mengakui sukar menjadi kerajaan, dan mudah berhujah sebagai pembangkang, kerana beliau pernah menyertai PSM46, (iii) Secara tak langsung ianya mengakui kerajaan dipengaruhi oleh anasir luar dalam menghadapi kenaikan harga petroleum global, (iv) Dato’ Ahmad Shabery mengakui kerajaan Malaysia terlalu kerdil untuk bersaing dengan industri petrolium luar negara, dan (v) Secara tak langsung ianya mengakui pengaruh Dato’ Seri Anwar mencemaskan negara, hingga memerlukan idea bekas Timbalan Perdana Menteri itu dimanfaatkan kepada kerajaan.

GAMBAR AKSI LUCAH DI HANSET
BUDAYA MORAL YANG MENJADI-JADI


Budaya mengirim gambar aksi lucah menerusi telefon bimbit semakin menjadi-jadi terutama membabitkan rakyat tempatan, malah sebahagiannya dilakukan secara terang-terangan beritahu aktivis teater di Pahang, L. Mankadir Shamsi. Ketika menghubungi sekretariat PRIMA, Mankadir melahirkan rasa kesal apabila insiden ‘Budak Jolai’ yang membabitkan aksi lucah peneroka Felda turut diedarkan menerusi telefon bimbit. Katanya, beliau juga turut menerima SMS yang menawarkan rakaman aksi lucah bagi dimasukkan ke dalam telefon bimbit. Seterusnya Mankadir mendesak kementerian multimedia dan komunikasi memantau perbuatan tak bertanggungjawab. “Mustahil tak boleh dipantau, kerana buktinya boleh dikesan secara mudah,” beritahu Mankadir.

Menurut Mankadir, beliau sendiri menerima SMS berkenaan pada 13 Julai 2008 jam 17:22:56 menerusi pengirim yang boleh dikesan telefon bimbitnya, kalau pihak berkuasa mahu mengambil langkah tegas untuk memantau. Seterusnya beliau menambah, SMS berkenaan menyebut: “Hi nak tengok movie clip pasangan yang hangat baru dpt dari h/p orang lain semalam ni? Kalau nak tekan XMV dan htr ke 33887, I akan htr wyg tu bagi u – pengirim 6017-8157143”. Penyibaran gambar aksi lucah beritahu Mankadir, dibuat secara terang-terangan bagi merosakkan pemikiran remaja. “Bukan sahaja kementerian perlu memantau, malah pihak polis juga wajar mengambil langkah mencegahnya,” tegas Mankadir menambah.

INFO SASTERA & BUDAYA

KARYA BUKAN MENGEJAR GLORI
YASSIN SEDIA KEMBALI MENGARAH FILEM.


Menghasilkan karya seni bukan mengejar glori, tetapi memberi tumpuan kepada kerjaya berestatika, menurut Yassinsalleh yang pernah dinobat pengarah terbaik dalam Pesta Filem Malaysia sekitar dekad 1980-an. Apabila mengejar glori dengan berbangga sebagai karya intelektual bukan sahaja audien ‘meluat’, malah karya berkenaan sekadar ‘syok sendiri’ kerana sukar dipasarkan, kata Yassinsalleh. Memberitahu pengalamannya selaku pengarah filem ‘Potret Maria’ beliau memberitahu, penulis skripnya wartawan Osman Abadi hampir kecewa kerana tak siapapun pengarah yang sanggup memilemkan. “Bagaimanapun saya melihat ‘Potret Maria’ sebuah skrip filem yang berestatika, sebab itu saya memberanikan hati menawar diri untuk jadi pengarah,” menurut Yassinsalleh.

Justeru katanya, beliau pernah ‘merajuk’ beberapa hari disebabkan produser gagal mendapatkan dua ekor itik angsa dan sebuah boleh getah. Sekalipun adegan berkenaan sekadar digunakan pada squens tak sampai satu minit, tetapi nilai estatika yang mahu diterjemahkan amat bermakna, jelas Yassinsalleh selanjutnya. Disebabkan beliau cerewet menghasilkan sesebuah filem, justeru sukar memenuhi selera produser yang sudah pasti mementingkan ‘ringgit dan sen’. Di samping sikap cerewetnya, tetapi Yassinsalleh tetap dihormati oleh pelakon popular Indonesia Dicky Zulkarnain yang membintangi filem ‘Potret Maria’ digandingkan dengan Dato’ Sarimah dan Rubiah Suparman. “Saya sedia kembali mengarah filem asal sahaja ianya dilakukan secara profesional,” katanya.

INFO SUARA PROLITAR

PROSEDUR POLIS PERLU TAHAN REMAN
TAPI ANWAR BEBAS BERGERAK & BUAT BISING.

Hairan ye? Kalau orang lain dituduh melakukan jenayah, di bawah Seksyen 377 Kanun Keseksaan, prosedur polis menuntut orang yang dituduh itu ditahan reman sehingga selesai penyiasatan. Tapi Anwar Ibrahim bebas bergerak dan buat bising. Malah mengganggu sisatan polis. Mengapa? Apa istimewa sangat dia sampai boleh berada ‘above the law’? Bukankah reformasi yang dilaungkan Anwar menuntut undang-undang dilaksanakan secara saksama, without fear or favour? (SMS; 14 Julai 2008; 20:07:31 – Sallehuddin, Kuala Lumpur).

NAK DIBANTU RAKYAT SUBSIDI
SYARIKAT BESAR NAK BANGKRAP DITOLONG!


Bancian di kopitiam menunjukkan 80% Anwar telah memenangi debat malam ini (15 Julai 2008). Pukulan mautnya ialah rakyat bawahan yang nak dibantu, dikatakan rakyat subsidi, tetapi membantu syarikat-syarikat besar yang nak bangkrap diklatakan ‘bail-out’. Tahniah kepada DSAI. Jawapan, hujah, data, sikap bijak + kecerdikan yang cemerlang. Itulah komen sahabat-sahabat saya di Petronas. Saya meonton bersama-sama mereka yang terdiri dari pegurus + eksekutif-eksekutif Petronas. Tahniah DSAI! – (SMS; 16 Julai 2008; 00:27:39 – Yassinsalleh, Kajang, Selangor).

ANWAR GUNA BAHASA MARHAIN
SHABERY GUNA BAHASA MENTERI!


Sabery Cheek (mulai malam ini dikenali sebagai Shabery melalut) perlu letak jawatan. Malam ini AI menjadi PM Malaysia. Debat tadi buat semua rakyat lupa kes liwat dia dan AI terus hebat. AI cakap bahasa marhain, SC guna bahasa menteri. Rakyat bertambah meluat dengan UMNO. Ini fakta. Ini sentimen para pemandu teksi dan para penumpang. Ini sentimen di kedai kopi sekarang. KL sepi tadi kerana semua orang ikut debat. Kedai kopi jammed macam menonton piala dunia. Malaysia vs MU. Kita dapat menteri penerangan baru sebulan, sebelum dapat PM baru – (SMS; 16 Julai 2008; 00:25:21 – Dr Seri Intan, Kuala Lumpur).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo.

CANANG DITITIR KE SELURUH NEGARA
PERIHAL ORANG KAYA MENTERI BERBAHAS


Syahdan dititirkan canang ke seluruh negara akan Orangkaya Menteri Penerangan Dato’ Ahmad Shabery Cheek itu berbahaslah dengan bekas Orangkaya Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Penuh sesaklah di dewan ahli-ahli penyurat kerana mahu mendengar kedua-dua orang besar itu berbahas. Maka kata segala orang banyak akan Orangkaya Menteri Penerangan, mahu merebut jawatan Majlis Tertinggi apabila Perhimpunan Agung UMNO bulan dua belas akan datang. Khabarnya! Oleh kerana itu kenalah Orangkaya Menteri Penerangan itu menunjukkan kejantanannya lebih daripada segala hulubalang sekalian.

Arakian terlupalah Orangkaya Menteri Penerangan itu menyebut akan bekas tuannya Orangkaya Tengku Razaleigh Hamzah juga pernahlah ia terbabit dengan Petronas. Maka segala perihal itu diceriterakan orang banyak kepada Orangkaya Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. Sebermula maka Tun Bija Sura dengan segala anak tuan-tuan itupun berlunjur di hadapan Betara Majapahit, kain disinsing had lutut. Telah dilihat hulubalang Jawa dilarangnya, ‘Tanpa kedep tambung laku sira, berlunjur di hadapan Betara Majpahit’. Maka sahut Tun Bija Sura, ‘Aku dititahkan paduka Betara Majapahit bermain, jika tiada dengan titah beranikah kami, janganlah pakanira menegah,” seperti disurat ‘Kitab Melayu’ daripada:








HIDUP BAHASA MELAYU!

No comments: