S U A R A < < < > > > P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
DARI LAMAN BLOG:
KU LI SUDAH KE PERMATANG PAUH
PAK YA BERKEMPEN DI PENTAS PKR
Assalamualaikum,
Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz menelefon malam ini 10.00 pm (24 Ogos 2008) meminta betulkan alamat rumahnya No 1 Jalan Dato’ Suleiman 8, Taman Tun Dr Ismail bagi Majlis Deklamasi Puisi Merdeka PRIMA, 29 Ogos 2008 ini. Beliau baru sahaja balik dari Permatang Pauh mengiringi Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah membuat kunjungan menemui penyokong-penyokong BN dalam siri membantu calon UMNO Dato’ Arif Shah Omar Shah (yang juga adik bekas ahli koporat Dato’ Amin Shah). Selepas kunjung ke Permatang Pauh menurut Dato’ Kamal Amir, Tengku Razaleigh menggesa diperkemaskan jentera BN lebih berlipat ganda, sekiranya mahu mencapai kemenangan. Malah Dato’ Kamal Amir sendiri mengakui Permatang Pauh bukanlah mudah kepada UMNO.
Berdasarkan laporan kawan-kawan, pengkritik sastera sekitar dekad 1960-an Haji Yahaya Ismail juga ke Permatang Pauh sejak beberapa hari lalu. Berbeza dengan penyair Yassinsalleh ke Permatang Pauh sejak hari penamaan calon 16 Ogos 2008, Haji Yahaya pada peringkat awalnya sekadar memasarkan buku terbarunya ke utara. Tup tup beliau terbabit membantu kempen PKR, malah dikatakan turut tampil di pentas memberikan ceramah sebagai manifestasi keberangan rakyat terhadap kebobrokan UMNO. Memang Yassinsalleh banyak memberi info kepada sekretariat PRIMA mengenai perkembangan pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh. Keberangan rakyat pula bukan sekadar kebobrokan UMNO, malah ditambah dengan laporan media yang menyebabkan orang Melayu menyampah, menyumpah dan menyeranah UMNO. Begitulah!
Misalnya, hari ini (24 Ogos 2008) laporan berita TV merasakan ianya maklumat sensasi apabila isu letupan menggegar pejabat Puteri UMNO seolah-olah mahu menonjol keganasan di pihak lawan. Justeru saya menghubungi kawan lama bekas Ahli Parlimen Seputeh, Liew Ah Kim yang pernah mengalami insiden digegar letupan ketika kempen pilihanraya 1974. Ah Kim yang bertanding bagi kerusi DUN Sungai Ujong di Negeri Sembilan, di cabar oleh parti komponen BN mengadakan rapat umum berdekatan kedai menjual keranda di Jalan Paul, Seremban. Beliau menyambut cabaran tersebut dengan membatalkan rapat umum (ketika itu rapat umum dibenarkan) yang sudah diatur di Lobak. Ketika berucap di pentas satu letupan (bom buatan sendiri) meledak hingga menyebabkan ramai yang cedera.
Berdasarkan laporan semasa ketika itu calon BN sudah mendahului Ah Kim mengikut peratusan, justeru peluang beliau untuk menang adalah sukar sama sekali. Sebaliknya provokasi BN memang memakan diri, apabila keberangan rakyat mengubah peratusan di saat akhir, menyebabkan Ah Kim menewaskan calon BN. Pengundi pada 1974 pun mampu menilai iaitu keganasan tak mungkin dilakukan oleh ‘kambing’ yang minum di hilir, kerana yang mengeruhkan air memang harimau disebabkan ia minum di hulu. Justeru apalagi pengundi yang hidup pada era IT yang memperoleh maklumat menerusi laman web dan laman blog. Keberangan rakyat bukan sekadar kepada UMNO, malah media juga sudah semakin dibenci, dicaci dan dikeji – gara-gara heh heh heh!
-Pak Dharma.
INFO HAK ASASI MANUSIA:
IMAM BERI PENJELASAN TERBUKA
‘SUMPAH LAKNAT’ DI MASJID WILAYAH
Imam Masjid Wilayah Persekutuan, Tuan Haji Ramlan dilaporkan akan mendedahkan isu ‘sumpah laknat’ yang dilafazkan oleh Muhd Saiful Bukhari yang mendakwa diliwat oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim di hadapan beliau sehari sebelum penamaan calon bagi pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh. Dalam laporan yang disampaikan petang ini (24 Ogos 2008) ke sekretariat PRIMA, Tuan Haji Ramlan tampil di pentas PKR malam ini (24 Ogos 2008) bagi menjelaskan kekeliruan dalam isu yang membabitkan kemurnian agama Islam. Menurut laporan berkenaan, sebelum ini imam masjid berkenaan sudah membuat pengakuan kepada beberapa orang cendekiawan Islam berkaitan pembabitan beliau menerima ‘sumpah laknat’ pemuda terbabit. “Malam ini Tuan Haji Ramlan akan memberi penjelasan di pentas PKR,” beritahu sumber berkenaan.
INFO SASTERA & BUDAYA:
PENDEKLAMATOR & PENYAIR WANITA
MENYERIKAN MAJLIS BACA PUISI PRIMA
Beberapa penyair dan pendeklamator wanita akan memeriahkan ‘Majlis Deklamasi Puisi Merdeka’ PRIMA di kediaman jurucakapnya Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz di No 1 Jalan Dato’ Suleiman 8, Taman Tun Dr Ismail pada 29 Ogos 2008 ini mulai jam 8.30 malam, kata aktivis perfileman Yassinsalleh. Memberitahu sekretariat PRIMA, beliau yang terkenal dengan sajaknya ‘Ikan-Ikan Di Kaca’ sekitar dekad 1970-an antara penyair dan pendeklamator wanita yang akan hadir termasuklah Dr Seri Intan Mokhtar, Yasleh Rita Ayu, Nurul Salwa dan Rozzie Kamal. Katanya, beberapa orang penyair dari Perak dijangka hadir berikutan persetujuan pimpinan penulis di Perak, Malim Ghozali Pk memberi jaminan akan turut berpuisi bersama aktivis PRIMA. “Mungkin Perak juga akan menghantar pendeklamator dan penyair wanita mereka,” beritahu Yassinsalleh.
INFO SUARA PROLITAR:
SUMPAH MACAM JADI MAINAN
NAJIB, TAJOL SAMA DENGAN SAIFUL
Najib (Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak) sudah bersumpah. Tajol Rosli (Dato’ Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali) juga bersumpah. Siapa lagi gerangan mahu bersumpah? Sumpah sudah jadi macam mainan, tak fikir pula ianya mempersenda-senda. Tetapi secara tak sedar, tahap pemikiran Najib dan Tajol samalah dengan Mohd Saiful Bukhari apabila mahu bersumpah. Janganlah diminta-minta sangat disegerakan laknat, kerana Allah SWT Maha Mengetahui yang nyata dan yang tersembunyi. – (SMS, 24 Ogos 2004; 16:23:05 – Man Cincai, Selayang, Selangor).
PEKASAM BIASA PADA ANWAR
MUNGKIN NAJIB MUNTAH BELILAH!
BN dah ketoyong. Road blokcs ada di mana-mana. Di Taiping pun (sepatutnya tak kena mengena langsung dengan pilihanraya kecil di Permatang Pauh) ada road block. Orang PKR tengah tunggu apa pulalah lagi pekasam UMNO yang BN nak limparkan pada Anwar (Dato’ Seri Anwar Ibrahim). Makin banyak pekasam dilimpar, bertambah selesa Anwar (kerana sudah lama dia makan ikan kering, sejak dipecat daripada jawatan TPM). Anwar tak hairan lagi dengan pekasam dan ikan kering, takut-takut Najib (Dato’ Seri Mohd Najib Razak) yang muntah belilah kena pekasam. (SMS; 24 Ogos 2008; 18:04:22 – YS, Permatang Pauh, Pulau Pinang).
KOMENTAR
bersama Pak Parjo
ORANG KAYA MENJADI ‘PEMURAH’
‘SENJATA TERAKHIR’ DI PERMATANG PAUH.
Sebermula akan Orangkaya Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak memberitahu orang banyak sumpah yang dilafzakannya itu adalah senjata terakhir. Arakian, adapun Orangkaya Dato’ Seri Mohd Najib itu bersumpahlah ia dalam masjid di Kampung Guar Perahu pada 21 Syaaban 1429 (atau disebut orang banyak 24 Ogos 2008). Maka berkatalah sahabat-sahabat fakir, masygollah segala anak-anak buahnya, kerana bimbang ‘senjata terakhir’ itu ‘senjata makan tuan’, adanya! Syahdan Orangkaya Dato’ Seri Mohd Najib juga memberitahu penyerahan bantuan untuk masjid dan surau di Permatang Pauh. Maka terlalu besarlah jumlahnya sumbangan wang itu menjelang pilihanraya kecil, tak terpemenai banyaknya. Arakian tertanya-tanyalah orang banyak kenapa Orangkaya Dato’ Seri Mohd Najib menjadi ‘pemurah’ ketika pilihanraya kecil ini, adanya!
Alkisah tersebutlah ceritera Dang Raya Rani dengan keempat perempuan sertanya itu pun lenyaplah. Ada kadar sesaat, maka kelihatan seorang perempuan tua, bongkok belakangnya, berlipat tiga. Maka ia berkata pada Tun Mamat, ‘Adapun segala kata-kata tuan hamba itu sudahlah dipersembahkan oleh Dang Raya Rani pada Puteri Gunung Ledang. Akan titah tuan puteri, “Jikalau raja Melaka hendakkan aku perbuatkan aku jambatan emas satu, jambatan perak satu, dari Melaka datang ke Gunung Ledang ini. Akan peminangannya, hati nyamuk tujuh dulang, hati kuman tujuh dulang, air mata setempayan, air pinang muda setempayan, dan darah raja semangkuk, dan darah anak raja bernama Raja Ahmad itu semangkuk. Jikalau boleh demikian, kabullah tuan puteri akan kehendak raja Melaka itu, kerana raja Melaka itu tiba-tiba sahaja jadi pemurah”, seperti disurat orang dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:
HIDUP BAHASA MELAYU!
No comments:
Post a Comment