Monday, August 25, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

Assalamualaikum,

KEMENANGAN ANWAR DITUNGGU-TUNGGU
MANIFESTASI MELAWAN PERHAMBAAN MINDA

Pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh besok (26 Ogos 2008), majoriti rakyat tak peduli sama ada PKR bersaing sengit dengan BN atau AKIM, tetapi setiap warga yang normal menunggu-nunggu kemenangan bekas Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Misalnya, anak muda yang tak berparti, Nasiri Hamid, 35 tiba-tiba sahaja berasa berang apabila TV menyiarkan laporan Mohd Saiful Bukhari Azlan bersumpah laknat di masjid sehari sebelum penamaan calon pilihanraya kecil berkenaan. Maknanya, anak muda Melayu tak akan berang sekiranya pilihanraya diselenggarakan secara bersih, sebaliknya taktik yang dibawa UMNO memang satu pendekatan yang pongah, bobrok dan congah menggunakan media kerajaan.

Apalagi sebelumnya Menteri Penerangan Dato’ Ahmad Shabery Cheek meminta media tak membawa pendekatan pongah, bobrok dan congah pada pilihanraya kecil itu, tetapi Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak menampilkan diri lebih menonjol daripada calon UMNO sendiri, Dato’ Arif Shah Omar Shah. Justeru ianya dilihat seolah-olah Dato’ Seri Mohd Najib calon di Permatang Pauh, menyebabkan keberangan tersebut sukar dibendung. Langkah Dato’ Seri Mohd Najib menabur wang dengan menyerahkan bantuan kepada masjid dan surau di seluruh Parlimen Permatang Pauh dengan peruntukan melebihi RM4 juta pada 24 Ogos 2008, menghina umat Islam di kawasan berkenaan seolah-olah mereka boleh dibeli dengan nilai wang ringgit.

Pagi ini (25 Ogos 2008) Haji Abu Bakar Ninggal menelefon jam 7.00 pagi, mahu tahu perkembangan di Permatang Pauh. Keberangan beliau juga turut diluah apabila Dato’ Seri Mohd Najib menjadikan ‘sumpah laknat’ sebagai senda gurau, di samping mencabar Dato’ Seri Anwar ‘bersumpah laknat’. Mereka yang tak sabar-sabar mahu azab Allah disegerakan banyak disebut di dalam al-Quran iaitu pada umat-umat terdahulu, kata seorang aktivis tabligh dari Jelebu, Abdul Latiff Sheikh Haji Ahmad, 68. Misalnya, umat Nuh Najiullah a.h. memperlekeh nabinya membina bahtera jauh dari laut dengan tak takut ancaman banjir yang dijanjikan kepada mereka yang kufur. Bagaimanapun memang rata-rata rakyat Malaysia di semua peringkat umur menunggu-nunggu Dato’ Seri Anwar menang di Permatang Pauh.

Ketika berkunjung ke rumah seorang kawan semalam (24 Ogos 2008), anak gadisnya yang masih menuntut di sekolah menengah, tiba-tiba menukar channel TV apabila berita Buletin Utama menampilkan gambar Dato’ Seri Mohd Najib. Keberangan anak gadis berkenaan seakan-akan sama seperti berlaku ketika insiden 1999, apabila gambar Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad diconteng anak-anak muda. Keberangan anak-anak muda terhadap penampilan Dato’ Seri Mohd Najib seolah-olah signal awal kepada UMNO heh heh heh menjelang Jun 2010! Justeru parti tak diperlukan lagi pada naratif pilihanraya, sebaliknya semua pihak menunggu-nunggu kemenangan Dato’ Seri Anwar sebagai manifestasi suara rakyat melawan perhambaan minda. Barangkali!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA


‘PENGUNDI HANTU’ MENYELINAP MASUK
PENGUNDI SUDAH BERSEDIA MENOLAK UMNO

Mesyuarat khas Angkatan Muda PKR di Permatang Pauh semalam (24 Ogos 2008) memberi fokus kepada strategi menangkap ‘pengundi hantu’ yang dikatakan sudah menyelinap masuk, beritahu pemerhati politik Yassinsalleh. Katanya, sentimen pengundi menjelang petang ini (25 Ogos 2008) rata-rata optimis Dato’ Seri Anwar Ibrahim tetap menjadi pilihan rakyat di Permatang Pauh. “Realitinya untuk memperoleh majoriti besar melebihi 20 ribu memang sukar berikutan kemasukan ‘pengundi hantu’, tetapi fakta ‘pengundi hantu’ memang sudah banyak pengalaman kepada PKR,” jelas Yassinsalleh selanjutnya. Beliau juga menambah, strategi untuk menangani ‘kepocongan’ pengundi hantu sudah disusun berikutan dengan msyuarat khas itu.

Sebelum itu beritahu Yassinsalleh lagi, Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali ketika berucap dalam ceramah di Padang Ibu malam kelmarin (24 Ogos 2008) memberi jaminan akan membanteras ‘pengundi hantu’ hingga ke akar umbi. Kami cukup pengalaman tangkap hantu, kami ada formula baru nak tangkap hantu, tegas Azmin Ali dalam ceramah tersebut, kata Yassinsalleh. Di samping itu Yassinsalleh juga memberitahu, fakta calon UMNO fasih berbahasa Mandarin tak memberi sebarang kredit dalam masa keberangan rakyat terhadap UMNO melonjak. Menurutnya, Dato’ Ahmad Boestamam yang boleh berbahasa Mandarin juga sekadar menang sekali di Parlimen Setapak pada pilihanrayan 1959.

INFO SASTERA & BUDAYA

SAJAK

Pelita Yang Tak padam-Padam

Walau ribut taufan menderu
Halalintar membelah menggegar bumi,
Walau gelap lembab membeku
Di muka jalan medan bakti!

Namun pelita tetap bernyala
Berapi-api merah membara
Menjadi suluh hasrat bangsa
Tak padam sepanjang masa.

Kini engkau rebah ke bumi
Besok aku diikat paksa
Berganti-ganti kita pergi
Sampai akhir keturunan bangsa.

Namun pelita menyala juga
Di dalam dupa hati nubari
Bercahayanya hidup bagai geliga
Tak padam sampai abadi.

Walau jasad hidup merana
Walau dihimpit ditindas ganas
Pelita cinta kan hidup jua
Menyinar jiwa hasrat bebas.

-Keris Mas
(Mastika, Januari 1949)

INFO SUARA PROLITAR

NAJIB HIPOKRIT SECARA JELAS
MAHU PERJUANG HAK MELAYU?

Secara realiti siapa hipokrit dalam perjuangan bangsa Melayu? Ketika pimpin Pemuda UMNO, Najib (Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak) yang desak tarik balik gelaran ‘Bapa Kemerdekaan’ kepada Tunku Abdul Rahman Putra. Najib juga mahu buang monomen Tunku di depan Parlimen. Inikah pejuang bangsa Melayu sejati? Kalau bukan bangsa Melayu yang pertahankan Tunku sebagai ‘Bapa Kemerdekaan’, siapa lagi? Tunku juga pernah berkata, buat apa nak buang monomen tu. Kalau tak suka letakkan saja di depan kediaman beliau. Pernahkah Najib meminta maaf selepas melukakan hati Tunku dan bangsa Melayu? – (SMS; 25 Ogos 2008; 16:32: 09 – Man Cincai, Selayang, Selangor).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

SEMUA PEMBESAR JADI ‘PEMURAH’
SELEPAS ITU HILANG SEGALA BICARA
Arakian sekalian orang banyak di Permatang Pauh melihat ramailah orangkaya-orangkaya berkunjung ke kampung mereka. Sebermula akan Orangkaya Menteri Pelajaran Dato’ Seri Hishamuddin Hussein pun menungganglah ia (motosikal) seperti disuratkan orang hari ini 23 Syaaban 1429 (atau disebut orang banyak 25 Ogos 2008). Maka tercenganglah segala penduduk di Permatang Pauh, kerana orangkaya-orangkaya menteri terlalu ‘pemurah’ dan ‘baik-baik belaka’, selepas itu hilanglah segala bicara. Syahdan tahulah mereka selepas 24 Syaaban 1429 (atau 26 Ogos 2008), semua orangkaya-orangkaya menteri tak akan lagi berkunjung ke kampung mereka, adanya. Arakian akan Orangkaya Timbalan Perdana Menteri itu Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak pergilah ia menziarah jurugambar Mohd Sairien Nafis yang terlantar, kononnya dipukul oleh anak-anak buah bekas Orangkaya Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Sebermula maka titah Sultan Muhammad, ‘Apalah ditakutkan raja Melaka? Kerana aku patut kerajaan di Melaka itu, kerana aku tua, lagi aku sudah hendak dirajakan oleh paduka marhum di Melaka. Berlengkaplah orangkaya sekalian; aku hendak mengambil kerajaan Melaka.’ Maka tatkala itu Sultan Muhammad di atas gajah kenaikannya yang bernama Kepenyang. Maka titah baginda, ‘Lihatlah kelak jikalau tiada aku langgarkan gajahku (kalau di hari kemudian dipanggil kereta kebal, gamaknya) ini di balairong raja Melaka itu.’ Arakian dikuis baginda gajah itu, dilanggarkan di balairong baginda sendiri. Maka kata Sultan Muhammad, ‘Demikianlah kelak balairong Melaka’. Maka segala orang Pahang pun diam tiada berbunyi melihat kelakuan Sultan Muhammad (seakan-akan Orangkaya Dato’ Seri Mohd Najib di Permatang Pauh jua, adanya) seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:


HIDUP BAHASA MELAYU!

No comments:

Post a Comment