Thursday, August 28, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


DARI LAMAN BLOG
:


HILANGNYA SEBUTIR PERMATA HATI
SEWAKTU MENUNGGU KEPUTUSAN P/RAYA


Assalamualaikum,


Sewaktu sibuk melayani SMS rakan-rakan termasuk Yassinsalleh, Salehuddin, Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz, John Pang dan Haji Abu Bakar Ninggal jam 7.00 pm (26 Ogos 2008) mengenai proses menunggu keputusan rasmi pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh, saya menerima panggilan dari polis Tanjung Karang. Anak saya Ikram Hafiz penuntut tahun 1, Diploma Sains Komputer Industri di Universiti Industri Selangor (Unisel) meninggal dunia akibat kemalangan motosikal. Justeru saya tak peduli lagi fasal laman blog PRIMA, kerana kehilangan sebutir permata berharga dalam keluarga lebih penting dari segala-galanya. Memang Ikram anak yang nakal, tetapi kejayaan membolos diri memasuki IPTS, Mei 2008 lalu terlalu menghiburkan.


Kami sekeluarga bergegas ke Hospital Tanjung Karang, di sebabkan lokasi kemalangan di persimpangan Ijok. Kawannya yang membonceng, Sam (Syamsul Nur Ariffin bin Nordin) dalam keadaan kritikal dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh. Ketika sampai di bilik mayat Hospital Tanjung Karang, ramai rakan-rakannya dari Unisel termasuk mentor, pensyarah dan dekan fakultinya sudah menunggu. Kira-kira jam 10.00 malam semua urusan membawa balik jenazah selesai, dan sampai di rumah kira-kira jam 12.00 malam. Di pekarangan rumah berpuluh-puluh kawannya di sekolah terdahulu, jiran-jiran di samping rakan-rakannya melepak Zarul, Lantun, Shaggy, Rahman, Botak, Meon, Boy Komeng, Raja Zulkarnain, Shake dan Norman (Boy rakan melepaknya pula terkilan tak dapat datang di Kolej Lagenda) sudah menunggu dengan penuh setia.

Kawan-kawannnya di Greenwood memberitahu Ikram balik ke Gombak pada 25 Ogos 2008, sekadar bertemu kawan-kawan (dengan tak singgah balik ke rumah) termasuk rakan wanitanya sejak di sekolah menengah dikenali Fina. (Fina adalah rakan baiknya, tetapi bukanlah teman wanita, kerana setiap masalah peribadi sering diluahkan kepada rakannya itu). Menurut Fina, ketika balik menemui kawan-kawannya di Greenwood, Ikram secara bergurau memberitahu, “Aku rindu dengan korang semua, kalau aku mati nanti tak dapat lagi jumpa korang.” Bagi Fina, Ikram memang gemar bergurau dengan kawan-kawannya, justeru ungkapan berkenaan seolah-olah perkara biasa apabila bertemu sekali sekala dengan kawan-kawannya.

Sejak pagi 26 Ogos 2008, Ikram dikatakan sibuk mengemas bilik di asrama dengan tak hiraukan makan tengahari. Apabila diajak kawan-kawannya Mail, Jan, Hakim, Zaki dan beberapa lagi keluar makan, beliau memberikan pelbagai alasan. Dalam keadaan sehari suntuk tak menjamah makanan, beliau mengajak rakannya Sam menghantar balik ke Taman Seri Gombak. Di samping itu beliau menelefon kakaknya Nurul Salwa (graduan Unisel) memberitahu mahu balik ke rumah untuk mengambil buku, tetapi minta dirahsia daripada saya, kira-kira jam 3.30 petang. Ketika itu saya mengadakan pertemuan dengan aktivis PRIMA di Hulu Kelang.

Ketika dibawa balik ke rumah pihak hospital membekalkan kapas serta menyuruh beli lebih banyak, kerana bimbang pendarahan akan berterusan. Sebaliknya apabila sampai ke rumah, tak setitik pun darah mengalir dari luka-lukanya. Ketika dimandikan di masjid al-Khiriyyah, Taman Seri Gombak jam 10 pagi (27 Ogos 2008), ternyata Ikram tak makan sehari suntuk kerana sewaktu disucikan, tak setitik pun najisnya keluar. Wajahnya tetap tenang (tak kelihatan seperti mengejut, disebabkan dia meninggal di tempat kejadian), malah bagaikan tidur nyenyak (bukan seperti menahan kesakitan). Seluruh pegawai masjid termasuk imam, imam 2, siak, bilal, malah disertai lebih 100 orang rakan-rakan turut melakukan solat jenazah. Begitulah.

Sekalipun Ikram dianggap nakal oleh guru-guru sekolah sejak di sekolah rendah, sekolah menengah dan sekolah teknik, tetapi ketika majlis korban di masjid, beliau tampil membantu kerja-kerja yang diberikan kepadanya. Apabila bulan puasa, dia tampil bersama aktiviti masjid, dengan perangai ‘gila-gilanya’. Sikap nakal Ikram, menyebabkan dia pernah dibuang sekolah pada 2002 menjelang tiga bulan untuk peperiksaan PMR, akibat merit yang tinggi dicampurkan oleh gurunya sejak di sekolah rendah hingga ke sekolah menengah. Justeru beliau mengambil peperiksaan PMR dengan tak bersekolah dalam tempoh tiga bulan (bagaimanapun tetap lulus). Bagaimanapun beliau kembali bersekolah dengan sokongan Ketua UMNO Bahagian Gombak, Dato’ Ahmad Bujang.

Dilahirkan pada 12 April 1988, Ikram memasuki sekolah rendah dengan pencapaian cemerlang ketika Darjah 1, 2 dan 3. Bagaimanapun selepas Darjah 4 pelajaran merosot, di samping banyak sangat tekanan daripada guru-guru, sekalipun beliau pernah terpilih sebagai perserta terbaik perkhemahan pasukan beruniform sekolah-sekolah rendah negeri Selangor ketika menuntut dalam Darjah 6. Pada 27 November 1999, Ikram turut bersama saya jam 3.00 pagi menemui Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi (ketika itu Timbalan Perdana Menteri) di Seberang Jaya (Permatang Pauh), malah menyertai perjumpaan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad (Perdana Menteri) pada jam 11.00 tengahari tarikh berkenaan ketika kempen pilihanraya 1999.

Dalam perjalanan membawa jenazah Ikram Hafiz untuk dikebumikan di kampung di Jelebu (disebelah kubur datuknya almarhum Dato’ Sati Haji Daud Sheikh Haji Ahmad), Setiausaha Politik Perdana Menteri yang juga bekas aktivis belia Dato’ Suhaimi Ibrahim menelefon. Di samping menyampaikan ucapan takziah, Dato’ Suhaimi juga turut terkedu dengan musibah yang menimpa keluarga saya. Rakan-rakan yang turut menyampaikan ucapan takziah termasuklah Dato’ Suhaimi, bekas pimpinan Pemuda PKR Mohd Ezam Mohd Noor, bekas Ahli Parlimen Seputeh Liew Ah Kim, bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM) Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah, aktivis budaya Yassinsalleh, aktivis teater L Mankadir Shamsi, aktivis UMNO Perlis, Dr. Amar Hassan, aktivis PKR, Mazlan Musa, Haji Bakar Ninggal dan Speaker Dewan Undangan negeri Selangor Teng Chan Khim.

Sebaik sahaja jenazah dibawa balik ke rumah, Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz turut menziarah jam 2.00 pagi, diikuti oleh bekas editorial ‘Balai Muhibbah’ (di Jabatan Perdana Menteri) Zakaria Bidin. Adik angkat saya Ir Adnan Khalid dan Azwa yang juga aktivis Pekida, memang terus bertungkus lumus menguruskan jenazah dibawa balik dari Hospital Tanjung Karang ke rumah di Taman Seri Gombak. Haji Abdullah Yusuff pula menuruskan segala urusan di masjid, malah jam 11.00 malam pegawai masjid Haji Baharuddin sudah menelefon saya bagi membuat persiapan. Tak hairanlah semua berjalan lancar bagi urusan memandikan jenazah di masjid. Seawal 6.00 pagi (27 Ogos 2008) rakan-rakan dan jiran muka berduyun-duyun datang termasuk Cikgu Mariam (isteri bekas aktivis PKR Dr Wahid Suhaimi), pegawai DBP Suffian Abdul Rahman dan aktivis PRIMA Zainal Abidin Rasidin.

Penulis veteran S. A. Alattas (Pak Habib) menziarah di masjid, bersama editor Buletin Rakyat, Norzah Haji Kepol dan suaminya Nasiri Hamid (yang memanggil Ikram sebagai ‘Anakku Sazali’ kerana sifat manjanya), malah seorang yang saya tak kenali memeluk erat saya dengan tangisan hiba, di samping mengakui beliau juga pernah kehilangan ‘permata’ yang berharga tiga bulan lalu. Sebelum van jenazah bertolak balik ke Jelebu, sebuah bas dari Unisel sampai dengan rakan-rakannya, wakil VC, pensyarah, dekan dan bahagian hal ehwal murid bagi menziarah. Mereka dari Unisel terkejut menatap wajah Ikram bertukar seolah-olah tersenyum dengan kunjungan rakan-rakannya, kemudian kembali normal apabila ditutup semula.

Di kampung, berpuluh-puluh sanak saudara, sahabat handai dan jiran-jiran menunggu Ikram. Malah ketika diturunkan dari van jenazah mereka berebut-rebut untuk mengusung ke rumah peninggalan almarhum datuknya. Jenazahnya disembahyangkan buat kali kedua di rumah almarhum datuknya dengan diketuai oleh imam 2 masjid jamek daerah Jelebu, Haji Salleh Noordin. Sebelum zohor jenazah Ikram selamat dikebumikan, dengan talkin dibacakan oleh imam masjid Kampung Teriang, Haji Isa. Hampir 200 sanak saudara, jiran-jiran dan sahabat handai saya turut menghantar jenazah, sekalipun saya tak sempat untuk melayani mereka (disebabkan faktor saya kurang sihat).

Jam 3.00 petang (27 Ogos 2008), ayah Sam menelefon isteri saya, memberitahu Sam juga meninggal dunia di Hospital Sungai Buluh, di samping dikebumikan malam ini juga (27 Ogos 2008) iaitu dalam tempoh beberapa jam sahaja selepas Ikram disemadikan (sebagai rakan sekuliah yang hidup dan mati bersama sejak tiga bulan sahaja berkenalan). Malam ini (28 Ogos 2008) pelajar-pelajar Unisel bersama kalangan pensyarah dan dekan memberikan dua kumpulan bagi menghadiri tahlil di rumah saya (di Seri Gombak) dan di rumah ayah Sam (di Sungai Besi). Jam 3.30 petang (27 Ogos 2008) rakan sebilik Ikram di asrama, Zaki dalam sendu yang berterusan meminta isteri saya mengatakan ‘tidak’ berikutan berpulangnya Ikram ke rahmatullah.

Terpaksa pula isteri saya memujuk (menerusi telefon) Zaki supaya menerima realiti, Ikram sudah selamat disemadikan sebelum zohor. Memang bagi saya Ikram ‘permata hati’ yang hilang, kerana biasanya beliaulah memandu kereta sekiranya saya mahu balik ke kampung atau perjalanan jauh. Malah beliau cekap menukar tayar kereta sekiranya pamcit, di samping melakukan kerja-kerja lasak berbanding abangnya sendiri. Apalagi Norzah bersama suaminya Nasiri, lebih senang memanggilnya ‘Anakku Sazali’ kerana sikapnya yang nakal (kadangkala berasa marah), tetapi manja dan mesra (hingga terasa menghiburkan).

Hari ini (28 Ogos 2008) abang Ikram yang menghidap autisme, Syamsul Anwar mula merasakan kehilangan ‘permata hati’ keluarga kami, apabila memakai kot sepanjang hari. Syamsul yang tak mampu meluahkan isi hati secara normal, sekadar menunjukkan simbolik kepada rasa kehilangan itu. Malah ketika Ikram terbabit dalam kemalangan jalanraya pertama ketika di Tingkatan 3, Syamsul Anwar yang dipanggilnya ‘Caah’ mengusap-usap simen di kakinya. Di samping itu, kucing kesayangan Ikram juga, turut menghidu-hidu pakaiannya yang terbabit dalam kemalangan (masih berbungkus plastik) berkenaan.Bagi pihak keluarga saya, mengucapkan terima kasih kepada pihak polis, pihak hospital, dan semua yang terbabit menguruskan jenazah hingga selamat disemadikan. Semoga Allah cucuri ke atas rohnya dan rakannya Sam yang sama terbabit dalam insiden langgar lari tersebut. (Dari Allah kita datang, kepada Allah kita kembali).

-Pak Dharma.
UCAPAN TAKZIAH UNTUK
ALLAHYARHAM IKRAM HAFIZ
Takziah kepada Pak Dharma. Saya berada di Permatang Pauh. Bagaimanapun saya tumpang sedih dengan musibah ke ats keluarga Pak Dharma. Saya memahami Ikram Hafiz masih muda dan pelajar yang bakal menumbangkan sesuatu kepada negara. Harap Pak Dharma bersabar. Al-Fatihah, semoga Allah cucuri rahmat ke atas rohnya. - (Dato' Suhaimi Ibrahim - Setiausaha Politik Perdana Menteri - 27 Ogos 2008)
Salam takziah kepada Pak Dharma sekeluarga di atas berita yang amat memilukan. Semoga tabah hadapi ujian berat ini. Minta maaf saya tidak dapt ziarah kerana berada di Jakarta. Wassalam. - (Ezam Mohd Nor-Bekas Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri-28 Ogos 2008)
Wak ucapkan takziah. Semoga tabah dan banyak bersabar. - (Nahar Kamsani - 27 Ogos 2008)
Takziah. Kesedihan yang dalam dengan berita sedih. Semoga keluarga saudara bersabar dengan kejadian ini. Saya juga turut bersedih dan bersimpati. - (Liew Ah Kim - Bekas Ahli Parlimen Seputeh - 27 Ogos 2008)
Saya merasa sedih dan mengucapkan takziah dengan berita berpulangnya ke rahmatullah anak kesayangan Pak Dharma. Diharap Pak Dharma tabah menghadapi ujian ini. Al-Fatihah - (Abdul Rahman Othman - Bekas Timbalan Presiden PKR - 27 Ogos 2008)
Saya mengucapkan takziah ke atas kematian anak kesayangan saudara. Terimalah sebagai takdir dengan kesabaran. Semoga Tuhan mencucuri rahmat ke atas rohnya. - (Teng Chang Khim - Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor - 28 Ogos 2008)
INFO HAK ASASI MANUSIA:

CORAT CORET PERMATANG PAUH
UMNO GANAS MACAM HARIMAU LUKA

Catatan: Yassinsalleh
Sejak pagi (26 Ogos 2008) provokasi UMNO sudah jelas membawa pendekatan ganas macam harimau terluka pda pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh. Di mana-mana sahaja unsur-unsur menakutkan para pengundi sudah digerakkan, termasuk oleh pasukan beruniform. Jam 10.00 pagi misalnya, di pekan Permatang Pauh sebuah helikopter turun rendah menyebabkan bumbung rumah seorang penduduk diterbangkan. Bagaimanapun pemilik rumah terbabit sudah pun membuat laporan polis. Berdekatan rumah terbabit juga berlaku insiden petugas PKR dibelasah oleh petugas UMNO, tetapi pasukan uniform yang berkawal di situ tak mengambil sebarang langkah positif. Kekecohan semakin memuncak pada 1.30 tengahari apabila pengundi hantu yang diimport mula dibawa dengan 20 buah bas di Mengkuang Titi.

Bukan sahaja bas, malah beberapa buah van juga terpaksa ditahan oleh petugas-petugas PKR kerana mengangkut pengundi hantu yang diimport. Mereka didapati ialah warga Indonesia yang diperalatkan untuk menjadi ‘pengundi hantu’. Kira-kira jam 1.30 tengahari Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi yang dijangka memberi sokongan moral kepada calon BN Dato’ Arif Shah Omar Shah, bergegas-gegas menuju ke lapanganterbang, untuk balik ke Kuala Lumpur (mungkin kecewa dengan laporan terhadap peluang BN). Pimpinan Pemuda UMNO Dato’ Seri Hishamuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin dilihat di Seberang Jaya. Secara angkuh mereka letakkan kereta menghalang lalu lintas tak jauh dari lokasi membuang undi.

Provokasi mereka terpaksa disambut oleh petugas-petugas PKR dengan mengejek-ejek kelakuan pimpinan Pemuda UMNO yang kononnya mahu membawa budaya dan teladan yang baik kepada generasi muda. Justeru barulah pasukan beruniform nasihatkan pemandu kenderaan terbabit mengalihkan kereta yang dinaiki oleh pimpinan Pemuda UMNO itu. Di sebelah petang pasukan beruniform menakut-nakutkan pengundi Cina di Kampung Tiong Wah di Seberang Jaya, dengan mengadakan kawat dalam tiga perbarisan seolah-olah akan berlaku kekacauan, kesasauan dan kegagauan!

3.00 pm kira-kira 3,000 FRU dihantar ke Pusar Perjumlahan Undi di dewan Tuanku Bainun, Institut Aminuddin Baki. Sebelumnya 2.30 pm Ahli Parlimen Padang Serai, Gubalakrishnan bersama dua orang anaknya dipukul anggota pasukan beruniform atas alasan melakukan keganasan menghalang bas-bas khas membawa ‘orang luar’. Pasukan beruniform seolah-olah menjadi hakim memastikan penumpang-penumpang bas terbabit ialah orang awam, bukannya pengundi hantu yang diimport untuk mencemarkan sistem demokrasi di Malaysia. Malah insiden berkenaan turut mendedahkan beberapa buah bas dari Melaka yang mengimport pengundi hantu ialah ‘warga Indon’.

Bagaimanapun dilaporkan petugas-petugas BN di beberapa pondok undi turut meninggalkan lokasi seawal jam 3.30 petang, malah terus balik ke negeri masing-masing. Maknanya petugas-petugas BN meninggalkan pos, setelah menyedari peluang untuk mencapai kemenangan adalah tipis, nipis dan kepis.Keputusan pilihanraya kecil itu calon PKR Dato’ Seri Anwar terus mendomonasi Parlimen Pauh dengan majoriti lebih 15,000 mengatasi calon BN Dato’ Arif Shah, di samping calon AKIM Hanafi Mamat hilang wang pertaruhan. Justeru agenda Dato’ Seri Mohd Najib selaku Pengarah Pilihanraya mahu menimbulkan provokasi ternyata kecundang, terkejang dan terkedang.

(Ketika menaip semula catatan ini dari SMS Yassinsalleh yang mengikuti pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh, pihak polis Tanjung Karang menelefon jam 7.00 malam 26 Ogos 2008, memberitahu anak saya Ikram Hafiz meninggal dunia di Ijok, Selangor terbabit dalam nahas jalanraya, insiden langgar lari. Ikram Hafiz memang turut membantu membuat lay-out laman blog PRIMA selama ini).

INFO SASTERA & BUDAYA:

SEBUTIR BINTANG LAGI HILANG
KERDIPAN MENYILAU FILEM MELAYU.

Hari ini saya membaca laporan akhbar (28 Ogos 2008) seniman Dato’ Ahmad Mahmud meninggal dunia semalam (27 Ogos 2008), iaitu ketika saya juga dalam keadaan serba hiba, dengan berpulangnya ‘permata hati’ saya Ikram Hafiz ke rahmatullah. Ahmad Mahmud memang nama besar dalam industri perfileman Melayu, malah saya pernah mengenali beliau secara dekat ketika sama-sama menghadiri ‘Pekan Filem’ di kota Padang, Sumatera Barat pada 1990. Berpulangnya Ahmad Mahmud ke rahmatullah semalam, hilanglah sebutir lagi bintang mengerdip yang terus menyilau perfileman Melayu. Sekalipun usaha menjatuhkan nama Ahmad Mahmud dibuat oleh media kerana sikapnya yang berterus terang di masa lalu, tetapi bakatnya sukar ditolak dan status sebagai bintang besar juga tetap menyerlah.

Meletakkan Ahmad Mahmud popular sebagai Dr Ismadi dalam filem ‘Ibu Mentuaku’ juga seolah-olah mahu mengenepikan ketokohannya. Sebaliknya Ahmad Mahmud lebih dikenali sebagai Hang Jebat menerusi filem ‘Hang Tuah’, Koperal Ismail dalam filem ‘Matahari’, Adi dalam filem ‘Isi Neraka’ malah popular dengan wataknya menerusi ‘Adikku’ dan ‘Iman’. Malah Ahmad Mahmud digandingkan dengan semua primadona Melayu termasuk Rokiah, Saadiah, Hashimah Yon, Maria Menado, Latiffah Omar, Zaiton, Sarimah dan Noor Azizah. Ketika menghadiri ‘Pekan Filem’ di Sumatera Barat, Ahmad Mahmud diletakkan menginap bersebelahan bilik penginapan saya di Hotel Muara. Justeru apabia menunggu jadual yang diatur, kami akan berbual panjang di hadapan bilik penginapan berkenaan.

INFO SUARA PROLITAR:

BERSIAP UNTUK MUZIUMKAN UMNO
KALAU PEMIMPIN TERUS BERSIKAP PONGAH.


Tahniah kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Lebih 31,000 pengundi di Permatang Pauh dari sejumlah melebihi 58,000 pengundi berdaftar menyokong DSAI. Maknanya, semua kempen UMNO, eskploitasi media dan agenda jabatan-jabatan tertentu sia-sia belaka. Sebabnya, ialah keberangan orang Melayu. UMNO perlu sedar sekarang keberangan orang Melayu semakin sukar dibendung. Kalau UMNO masih juga mahu tunjuk pongah, bersiaplah untuk dimuziumkan. – (SMS; 27 Ogos 2008; 04: 21: 39 – Man Cincai, Selayang, Selangor).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo


PEMBESAR MELAYU SUDAH DIINGATKAN
SEDARLAH KEPUTUSAN DI PERMATANG PAUH

Sebermula akan Orangkaya Ketua Menteri Melaka, Dato’ Seri Mohd Ali Rustam kecewa dengan keputusan pilihanraya kecil di Permatang Pauh. Maka katanya, sukarlah untuk menarik hati mereka yang ‘di atas pagar’. Syahdan bukanlah Orangkaya Dato’ Seri Mohd Ali sahaja berasa kecewa, Orangkaya Menteri Penerangan Dato’ Ahmad Shabery Cheek bagi mengubati hatinya yang duka nestapa, meminta anak-anak buahnya jangan bersedih. Heh heh heh! Maka Orangkaya Jerlun, Dato’ Mukhriz Mahathir pula ingatkan pembesar-pembesar lain, perlulah dibuat perubahan berdasarkan keputusan di Permatang Pauh itu, adanya. Arakian Dato’ Arif Shah Omar Shah yang tewas kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Permatang Pauh, memberitahu unsur-unsur perkauman kian menular menyebabkan sukar baginya bertahan.

Alkisah maka surat dari Melaka itu pun dibaca oranglah. Setelah diketahui ertinya, terlalu sukacita raja China menengar dia. Maka sagu itu pun dibawa orang ke hadapan raja China. Maka titah raja China pada Tun Perpatih Putih, ‘Bagaimana membuat dia ini?’. Maka sembah Tun Perpatih Putih, ‘Digelek tuanku, pada seorang sebiji, disuruh oleh raja kami menggelek dia, hingga sarat sebuah pilu; demikian peri banyaknya rakyat raja kami. Tiada seorang jua pun tahu bilangannya.’ Maka titah raja China, ‘Besar raja Melaka ini; banyak sungguh rakyatnya, tiada berapa bedanya dengan rakyat kita. Baiklah ia ku ambil akan menantuku’. Maka titah raja China pada Li Po, ‘Sedang raja Melaka lagi kuasa menyuruh rakyatnya menggelek sagu, istimewa aku pula; dan beras yang aku makan itu hendaklah dikupas olehmu, jangan lagi ditumbuk,’ tetapi bukanlah berunsur perkauman, kerana mahu bersaing kepandaian jua seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:









HIDUP BAHASA MELAYU.

2 comments:

  1. Salam takziah. Dari Allah kita datang, kepadaNyalah jua kita kembali. Di doakan semoga roh Allahyaham dicucuri rahmat serta dihimpunkan bersama hamba-hamba yang soleh. Banyak-banyak bersabar.

    ReplyDelete
  2. Agak lama juga saya tidak menghantar sebarang bahan kerana
    agak sibuk meneliti bahan-bahan di laman e-sastera.com. Biarpun saya bukanlah memiliki bakat menulis sajak, tetapi saya amat terpesona bila meneliti bahan-bahan yang ada di laman tersebut. Sajak merupakan di antara genre yang saya gemari dan salah sebuah boleh dikatakan banyak juga yang saya kutip dan dihasilkan oleh salah seorang teman atas persetujuannya. Sebilangan daripadanya saya posting ke dalam blog tertentu atas persetujuannya dan salah satu daripadanya adalah seperti berikut:


    MENCONGAK MAKNA MERDEKA


    Ketika di usia kanak-kanak
    sering kutanya bapa:
    akan makna merdeka?
    Lalu jawapannya: KEBEBASAN
    Siapa kurung kita?
    kuasa asing katanya
    di bumi sendirI kita jadi kuli.


    Anak-anakku kini di usia dewasa
    kepadaku sering mereka tanya:
    benarkah kita sudah merdeka?
    Minda kita masih diperhamba
    saban ketika dusta dan nista
    angkara kebejatan arus perdana.


    Kepada mereka kuhulur nasihat:
    usah percaya jika diperdaya
    tidak wajar dikongsi kemungkaran
    agar selamat di dunia juga akhirat
    usah tumpang gerabak dosa.


    Maaf.... rela aku dicerca!
    Hingga kini masih aku mencongak
    makna merdeka setelah setengah abad
    kutempuh di terowong ini
    sinar di hujungnya masih suram.



    ABDUL HALIM YAACOB (270808)
    Pinggiran Alor Setar.

    ReplyDelete