Wednesday, October 1, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG


DAGING LEMBU RM18 SEKILO
HARI RAYA TETAP DISAMBUT MERIAH

Assalamualaikum,

Allahhu Akbar, Allahhu Akbar, Allahhu Akbar! Takbir dan tahmid bergema di serata alam apabila umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri. Di Malaysia ianya disambut esok (1 Oktober 2008), sekalipun di Arab Saudi sudahpun merayakan hari ini, 30 September 2008 kerana ‘lain padang lain belalang’. Begitulah! Sekalipun ramai warga kota Kuala Lumpur balik ke kampung halaman, tetapi di pasar jualan ayam dan daging lembu laris. Ketika saya ke pasar di Taman Seri Gombak jam 12.00 tengah hari, daging lembu masih banyak tergantung dengan harganya RM18 sekilo. Ayam pula kehabisan dengan harganya RM7.00 sekilo, tetapi terpaksa pula menunggu setengah jam kerana penjual memesannya dari pasar borong di Selayang. Terlewat pula 15 minit, kena tunggu lagi kira-kira 10 minit. Maknanya, bekalan ayam terus mendapat permintaan disebabkan harga daging lembu melonjak ke paras RM18-RM20. Barangkali!

Malaysia yang aman damai tak berhadapan dengan masalah bekalan daging dan ayam. Alhamdullillah! Apalagi negara kita tak mengalami perang, serang dan berang yang meragut nyawa orang awam seperti di Iraq, Somalia, Afghanistan, Pakistan, Thailand, Filipina apabila umat Islam dianiaya secara terancang. Sekalipun tak berhadapan dengan kekacauan, tapi Malaysia tak terlepas daripada kekeliruan, kecelaruan dan keselaruan. Entahlah! Misalnya, penahanan Raja Petra Kamaruddin di bawah ISA menjelang Hari Raya, boleh juga ditakrif penganiayaan terancang yang sukar diterima berdasarkan prinsip peri kemanusiaan. Apalagi ramai tahanan ISA masih dibelenggu kebingungan kerana tak diketahui atas fakta apa mereka ditahan, kalau ISA bagi memantau masalah ketenteraman awam.

Ketika isu anti hadis hampir menimbulkan kekeliruan sekitar dekad 1980-an, aktivis yang terbabit dalam gerakan tersebut tak pula ditahan di bawah ISA. Kebimbangan umat Islam lebih teruja dengan isu gerakan anti hadis yang mempunyai ramai pengikut kalau dibandingkan pendekatan yang dibuat oleh Raja Petra. Malam pimpinan BN sendiri mula tak senang dengan ISA seperti ditampilkan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Zaid Ibrahim dan bekas Menteri Pengangkutan Dato’ Seri Dr Fong Chan Onn. Aktivis MIC juga turut menyuarakan mengenai ISA yang tak relevan lagi dilaksana dalam masyarakat bertamadun, kecuali di Singapura yang mengadaptasi akta berkenaan ketika ianya menjadi sebahagian Malaysia.

Hari Raya mungkin tak bermakna kepada keluarga tahanan ISA, apalagi Raja Petra yang ditahan di kem Kemunting menjelang beberapa hari sahaja sebelum 1 Syawal. Ketika Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Syed Abdul Hamid bin Syed Jaafar Albar bergembira di sisi keluarga dengan juadah terhidang, Raja Petra dan lain-lain tahanan ISA sekadar memerhati tembok batu akibat dipisahkan dengan keluarga. Raja Petra sekadar menyampaikan padangan orang ramai menerusi penulisan yang ditakrif oleh kerajaan sebagai mengancam ketenteraman awam. Pada 1976 Timbalan Menteri Sains dan Teknologi, Dato’ Abdullah Ahmad (Kok Lanas) dan Timbalan Menteri Buroh Dato’ Abdullah Majid ditahan di bawah ISA bukan mengancam ketenteraman, tetapi didakwa terbabit dengan anasir subversif dan pro komunis. Aduhai!

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA


UCAPAN SELAMAT HARI RAYA
BERMAAF-MAAFAN DENGAN KEREDAAN

Pimpinan Warga Prihatin Malaysia (PRIMA) mengucapkan SELAMAT HARI RAYA, maaf zahir batin kepada semua yang melayari laman blog ini khususnya dan semua umat Islam di seluruh dunia umumnya. PRIMA turut mengucapkan Hari Raya kepada Raja Petra Kamaruddin dan tahanan ISA yang beragama Islam, di samping mengutuk kerajaan yang melaksananya. Harap Puan Marina Lee Abdullah dan semua keluarga tahanan ISA bersabar menempuh dugaan, dan PRIMA sentiasa bersama menentang akta yang lebih bersifat tak bertamaddun ini – (Pimpinan PRIMA; 1 Syawal 1429).

SESI HIRUP SUP, LEMANG & KETUPAT

Salam eid-fitry. Seandainya saudara masih berada di KL dan kawasan sekitarnya kerana tidak balik kampung, maka saya dengan rendah hati menjemput saudara ke rumah saya di No 1 Lorong Sulaiman 8, Taman Tun Dr Ismail, malam ini (30 September 2008) lepas takbir, sesi hirup sup dan makan lemang dan ketupat. – (SMS; 30 September 2008; 13:59:42 – Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz, Jurucakap PRIMA).

SALAM HARI RAYA SEKELUARGA

Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf zahir dan batin, daripada kami sekeluarga Mohd Fadil Abdul Samad – (SMS; 30 September 2008; 16:29:35 – Mohd Fadil Tan Sri Abdul Samad Idris, Keramat, KL).

SIMPATI KEPADA KELUARGA RAJA PETRA

Selamat Hari Raya. Hari raya ni susah senang kita raya bersama keluarga di rumah dan kampung halaman. Raja Petra Kamaruddin & lain-lain tahanan ISA beraya dalam kurungan kawat berduri di Kemunting. Bagaimanalah gamaknya anak-anak tahanan ISA menyambut raya tahun ni! Selamat Hari Raya dari kami sekeluarga. – (SMS; 30 September 2008; 10:08:47 – Yassinsalleh, Yasleh Khaliff Amri, Yasleh Hani Wati, Yasleh Rita Ayu, Dr Seri Intan Mokhtar, Siti Rahey Salehuddin, Kajang, Selangor).

SAMBUT HARI RAYA PUASA

Selamat sambut hari raya puasa, semoga Allah berkati seisi keluarga. Maaf zahir dan batin. – (SMS; 30 September 2008; 09:32:43 – Mohamed Fazal Khan, Thinker’s Library, 123 Jalan Jasa 3, Taman Jasa, Sungai Tua, Selangor).

MAAF ZAHIR BATIN

Selamat Hari Raya. Maaf zahir batin. May this raya brings blessing to you and ours. Yasleh and family. – (SMS; 30 September 2008; 13:27:03 – Yasleh Rita Ayu, UM, Kuala Lumpur).

HILANG RAMADAN DATANG LEBARAN

Telah hilanglah Ramadan. Telah datanglah lebaran. Salam Aidilfitri diucapkan. Mohon sejuta kemaafan. Moga ukhuwah berkekalan. Mengukuh erat persaudaraan. Mengharum wangi kehidupan. Mekar sepanjang zaman. Salam Syawal dari Ehsan Jamily. – (SMS; 30 September 2008; 18:12:15 – Ehsan Jamily, Melaka).

SELAMAT HARI RAYA

Selamat Hari Raya. Maaf zahir batin. – (SMS; 30 September 2008; 17:16:44 – Dr Harun Kidam, Kelebang, Melaka).

ZAKAT JADI PENAWAR

Jika seluruh harta adalah ‘racun’ maka ‘zakat’lah penawarnya, jika seluruh umur adalah ‘dosa’, maka ‘taqwa’ dan ‘taubat’lah ubatnya, jika seluruh bulan penuh dengan noda, maka ‘Ramadan’lah pemutihnya. Selamat Hari Raya Aidilfitri. Minnal aidin Walfa izin. Mohon maaf zahir & batin dari Nasri, Norzah & Adik Daya – (SMS; 30 September 2008; 18: 43:15 – Nasri Hamid, Melaka).

UCAPAN SELAMAT

Selamat Hari Raya. – (SMS; 30 September 2008; 20:33:28 – Dato’ Noraini Ahmad,
Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia).

SALAM SYAWAL SEKELUARGA

Kami & keluarga mohon maaf zahir batin. Salam Syawal untuk seisi keluarga. – (SMS; 30 September 2008; 20:43:43 – A F Yassin, Sungai Buluh, Selangor).

INGATAN SEISI KELUARGA

Selamat Hari Raya Aidilfitri. Salam dan ingatan selalu kepada seisi keluarga – (Telefon; 30 September 2008; 10.30 malam – Dato’ Ahmad Bujang, Ketua UMNO Bahagian Gombak, Selangor).

YANG JAUH KITA DEKATKAN

Kita bertukar bermacam ungkapan, untuk menyambut Hari Kemenangan, yang jauh kita dekatkan, yang dekat kita mesrakan, Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir batin. – (SMS: 30 September 2008; 23:20:24 – Roslan Shah, Kuala Lumpur).

SALAM SEKELUARGA

Salam eidulfitri, Ezam sekeluarga – (SMS; 30 September 2008; 23:42:48 – Ezam Mohd Noor, Petaling Jaya, Selangor).

MAAF ZAHIR BATIN

Selamat Hari Raya, maaf zahir batin. Salahuddin dan Salina – (SMS; 30 September 2008; 23:48:47 – Salahuddin, Kuala Lumpur).

UCAPAN SALAM EIDUL FITRI

Salam eidul fitri, maaf zahir batin – Sobri Ahmad, MBM. – (SMS; 1 Oktober 2008; 00:48:48 – Sobri Ahmad, Setiausaha Agung Majlis Kerjasama Belia Asian, Kuala Lumpur)

SALAM SEKELUARGA

Salam Aidilfitri, dari Zakaria Bidin & famili - (SMS; 1 Oktober 2008; 02:06:07 - Zakaria Bidin, Cheras, Kuala Lumpur)

MAAF ZAHIR BATIN

SelamatHari Raya Aidilfitri. Maaf zahir dan batin. Ikhlas daripada ADUN Lukut,YB Ean Yong Tinsing - (SMS; 1 Oktober 2008; 09:51:25 - Ean Yong Tin Sing, Kajang, Selangor).


MULUT KEKADANG SALAH MENYEBUT

Mata kekadang salah melihat, mulut kekadang salah berucap, hati kekadang salah menduga, maaf segala kesilapan yang pasti ada, salam Aidilfitri,maaf zahir batin,daripada Haji Abu Bakar Ninggal & keluarga - (SMS;1 Oktober 2008; 10:18:42 - Haji Abu Bakar Ninggal, Kuala Krai,Kelantan).
MAAF ZAHIR BATIN
Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin, dari Yahaya Ismail dan keluarga. (SMS; 1 Oktober 2008; 09:56:35 - Haji Yahaya Ismail, Petaling Jaya, Selangor).
JANGAN LUPA PALESTIN
Selamat Hai Raya Aidilfitri. Maaf zahir dan batin. Semoga di waktu kita merayakan hari yang mulia ini kita tak sampai terlupakan nasib saudara-saudara kita umat Islam di seluruh dunia yang sedang dijajah, dikuasai & menjadi permainan kuasa-kuasa Barat yang anti Islam. Apa yang sedang berlaku di Palestin misalnya adalah penghinaan sehina-hinanya ke atas kita orang Islam. Jadi tak ada sebab pun untuk kita berseronok sangat. Kita sedang dihina. Insaflah & bangkitlah! & maaflah kalau ucapraya saya tak seperti ucapan raya. Mohon dimaafkan zahir batin. - (SMS; 1 Oktober 2008; 09:14:59 - Dinsman,PAKSI, KualaLmpur).
SALAM DARI JAUH
Selamat Hari Raya. Maaf tak dapat datang - (SMS; 1Oktober 2008; 05:39:52 - Liew Ah Kim, bekas Ahli Parlimen Seputih, Kelang, Selangor).
HARI RAYA EID UL-MUBARAK
Selamat Hari Raya eid ul-Mubarak - Zulkeply & sekeluarga. (SMS; 1 Oktober 2008; 10:30:00 - Zulkeply Rasip,Putrajaya,Wilayah Persekutuan).
SELAMAT HARI RAYA, AMPUN MAAF DIPINTA

Assalamualaikum, dihari yang mulia ini saya memohon ribuan ampun dan maaf dari saya Mokhtar & keluarga. (SMS; 1 Oktober 2008; 2:51:06 - Mokhtar & keluarga, Ulu Klang, Slangor)
JANGAN BIARKAN IA TERUS BERLALU
Jika hati rasa resah, itu tanda sesuatu yang tak kena. Jangan biarkan ia terus berlalu, lama kelamaan sukar di bendung dan mengalir ke Akhirat. Tiada kemaafan lagidi sana. Oleh itu di dunialah tempatnya. Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin. (SMS; 1 Oktober 2008; 4:00:00 - M.Saad & keluarga, Sg Buloh, Selangor).
INFO SASTERA & BUDAYA


NOVEL ‘SAINS FIKSYEN’
JAUH DI PULAU RAHSIA
Oleh: Ikram Hafiz
(Sebelum memasuki Unisel pada Mei 2008, Allahyarham Ikram Hafiz bukan sahaja berbakat dalam kraftangan dan elektrikal ketika belajar di Sekolah Menengah Teknik Gombak, malah terbabit dalam karya kreatif. Ikram Hafiz pernah menghasilkan novel sains fiksyen pada 2007, ketika membuat kerja sambilan menjual burger. Hanya sebuah sahaja novel yang dihasilkannya, dan diterbitkan oleh Mulya Utama Enterprises, Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor. Mulai sekarang, novel karya Ikram Hafiz dimuatkan dalam laman blog ini).

(sambungan kelmarin…)


(15)

5
WAKTU BERLALU LAMBAT

OMBAK TSUNAMI MEMANG CEMAS
MENUNGGU KEPULANGAN ABAH TERSAYANG

SEMAKIN bertambah cemas apabila laporan berita di TV menyebut beribu-ribu mangsa tsunami ditemui. Aceh, India dan Sri Lanka dilaporkan paling ramai jumlah yang terbabit menjadi mangsa menjelang malam 26 Disember 2004. Sekalipun Kuala Kedah dan Batu Feringgi tak sampai 100 orang mangsa, tetapi sudah cukup menggusarkan hati emak dan opah.

Langsung emak tak mahu terconggok di depan TV. Dia seolah-olah mengalami trauma apabila melihat ombak tsunami merempuh Batu Feringgi di Pulau Pinang ketika menonton di kaca TV. Malah emak tak mahu naik ke tengah rumah menonton TV, sebaliknya duduk di rumah bawah bangunan dapur sahaja bersama opah.

Apabila disebut fasal Bagan Datoh terbabit dengan fenomena dilanda tsunami, emak semakin tak keruan. Apalagi taukeh bot ikan Kee Hang mengakui penduduk-penduduk di Sungai Burung melihat fenomena pantai menjadi kering landai secara tiba-tiba. Dalam sekelip mata pula tak semena-mena ombak menggulung tinggi memukul hutan bakau di pesisir pantai.

“Ke mana pula abah Si Hafiz, tak balik sejak petang,” keluh opah mengusap-usap dada akibat diganggu athma.

Tahu sangat emak fasal opah diganggu athma sekiranya dalam keadaan gundah gelana. Apalagi kalau fikiran tertekan memang opah tak dapat elakkan gangguan athma itu. Dia akan tercungap-cungap mengah berterusan. Tetapi opah sembunyikan segala kerunsingan yang merusuh dalam jiwanya.

“Kalau mak penat, berihatlah dulu,” tutur emak sebaik sahaja melihat keadaan opah bertambah teruk.

“Tang ngapa, dah selalu aku macam ni,” sahut opah masih terus bertahan sekalipun matanya kelihatan layu. “Tapi abah Si Hafiz masih tak balik lagi, ke mana pula dia?” gerutunya terbatuk-batuk.

Emak tak menyahut. Dia sendiri tak tahu ke mana abah. Sejak petang abah mahu ke balai polis membuat laporan. Abah mengajak Alang Seman dan atuk ikut bersama. Abang Khairil juga temankan abah. Tetapi atuk dengan Alang Seman sudah balik ke rumah sebelum maghrib. Mereka juga tak tahu ke mana abah, sebaliknya sekadar diberitahu mahu ke Teluk Intan bersama Abang Khairil si anak sulung.

Lewat pukul 9.00 malam, abah masih tak kelihatan menjengah muka balik ke rumah. Bagaimanapun emak tak bimbang sangat fasal abah. Di tengah rumah memang anak-anak becok bercakap mengenai mangsa tsunami. Apalagi visual berkenaan disiarkan di kaca TV berulang kali.

Kak Wa yang lulus jurusan diploma sains komputer sengaja tunjukkan serba tahu fasal teknologi nano, skala magnitud Richter, kepingan tektonik di lautan dan kejadian gempa bumi yang pernah direkodkan. Tersengih-sengih sahaja Adang apabila Kak Wa mengejek fasal dia sekadar lulus diploma akaun.

“Kalau tak tahu akaun macam mana nak bangunkan teknologi?” ujar Adang sinis apabila Kak Wa terus mengusiknya. “Pembangunan teknologi mesti perlukan sumber kewangan, dari mana boleh dapat sumber kewangan kalau bukan akaun?” katanya tersengih-sengih.

(* Kreativiti Ikram Hafiz menggambarkan keadaan di lokap polis Selayang, ketika dia bersama kawan-kawannya ditahan berikutan kes pergaduhan apabila bertindak balas selepas wang jualan burgernya disamun, tetapi dituduh merusuh. Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Teng Chang Khim – sekarang Speaker DUN Selangor, dan Wee Choo Keong – sekarang Ahli Parlimen Wangsa Maju, turut campur tangan bagi membebaskan Ikram Hafiz dan rakan-rakannya yang ditahan selama lima hari).

(bersambung)
PUISI
Salam Lebaran
Kalau dilipek sobosar kuku
kalau dibontang sobosar alam
kok hilang dicari
kok hanyut dipinteh
kok tonggolam disolam
datang biarlah nampak muko
kok poie biarlah nampak belakang
jauh dihimbau dokek digamit
seuntai salam sojambak kato
dogup bicaro morisik raso
maaf zahir batin yang ese
sekeluago dipinto.
-Yassinsalleh
Pahang.
1 Oktober 2008.


KOMENTAR
bersama Pak Parjo

ARAKIAN PADA SEKALI HARI RAYA
SERI BIJA DIRAJA TAK MENGHADAP

Arakian, pada sekali hari raya, Seri Bija Diraja tiada mudik dari Singapura. Sudah hari raya, maka Seri Bija Diraja datang. Maka Sultan Mahmud murka akan Seri Bija Diraja. Maka titah Sultan Mahmud, ‘Apa sebabnya maka Seri Bija Diraja lambat datang? Tiadakah Seri Bija Diraja tahu akan adat?’ Maka sembah Seri Bija Diraja, ‘Maka patik lambat mudik, patik sangka bulan belum timbul petang itu; maka alpalah patik, melainkan ampun duli tuanku juga.’ Maka titah Sultan Mahmud, ‘Tahulah kita akan kehendak Seri Bija Diraja, tiada suka bertuankan kita, hendak bertuankan abang yang di Kampar.’ Maka disuruh baginda bunuh. Adapun hari raya pada zaman kemudian ini (1 Syawal 1429), rumah terbuka Orangkaya Dato’ Seri Najib Tun Razak itu hendaklah dihadiri oleh orang-orang besar sekalian seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:






HIDUP BAHASA MELAYU!

No comments:

Post a Comment