Saturday, October 4, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG


DALAM TEMPOH SEBULAN SAHAJA
KEHILANGAN DUA AHLI KELUARGA

Assalamualaikum,

Takziah dan belasungkawa memang mengubati kesedihan menjelang Hari Raya Aidilfitri (1 Syawal 1429), tetapi kesedihan tetap sukar dibendung. Menjelang puasa 1 September 2008 saya kehilangan permata hati keluarga Ikram Hafiz pada 26 Ogos 2008 yang masih lagi segar dalam ingatan, tiba-tiba pada satu Hari Raya kira-kira jam 11.00 malam, bapa mentua saya Mat Lana bin Mat Deram, 80 pula mengikut jejak cucunya itu. Apalagi mereka berdua memang saling bersama menjelang perpisahan dengan keluarga, apabila bapa mentua saya mula dikesan menghidap masalah jantung. Bukan sahaja Ikram Hafiz mencadung (mendukung) atuknya dari tempat tidur ke kereta untuk dihantar ke Hospital Teluk Intan pada malam 15 Mei 2008, malah dia juga yang menghantar atuknya bagi rawatan lanjut ke IJN di Kuala Lumpur pada Julai 2008.

Ketika Ikram Hafiz meninggal dunia pada 26 Ogos 2008, memang cuba dirahsiakan daripada atuknya. Tetapi atuknya tetap mengikuti setiap perbualan telefon opah dengan emaknya (isteri saya) yang menelefon ke kampung. Sebaik sahaja beliau mengetahui insiden yang menimpa Ikram Hafiz, si atuk sekadar beritahu, “Cakap terang-terang pun dengan aku apa salahnya, aku takde apa-apa!”. Memang atuk dan opahnya tak dibawa sama pada hari pengkebumian Ikram Hafiz, tetapi si opah mengalami semput berhari-hari di samping atuknya mula mengalami bengkak kaki. Sekalipun atuknya tak meracau-racau mengenai Ikram Hafiz, sebaliknya selepas insiden tersebut fizikalnya semakin lemah (Saya tak mengunjunginya sepanjang puasa, tetapi berjanji akan balik pada Hari Raya). Pada hariraya pertama, atuk masih melayani tetamu berkunjung ke rumah, sebaliknya beliau mengalami semput menjelang maghrib. Kira-kira 11.00 malam, beliau kembali menemui Khaliq, menghembuskan nafas terakhir pada 1 Syawal 1429 (1 Oktober 2008).

Dalam jadual awal, saya bercadang balik ke Jelebu selepas solat sunat Hari Raya (1 Oktober 2008), tetapi ditangguhkan apabila kawan-kawan lama berkunjung kira-kira jam 10.00 pagi. Yong Poh Onn aktivis masyarakat dari Kajang bersama dua orang anaknya datang mengucapkan Selamat Hari Raya, dengan tak membawa bersama isterinya yang masih dalam pantang (setiap tahun pada Hari Raya, beliau akan berkunjung bersama isterinya yang peramah, di samping pandai bergurau). Yong yang juga pengamal rawatan tradisional mengaku berketurunan Laksamana Cheng Ho, sekalipun beliau tak menganut agama Islam (Laksamana Cheng Ho beragama Islam) tetapi memang memahami ciri-ciri peradaban Islam. Justeru Yong beritahu, pelayaran Cheng Ho ke Melaka pada abad ke 13 sebenarnya adalah menjejaki seorang puteri raja China yang dikatakan melarikan diri ke Asia Tenggara (alam Melayu), berikutan krisis keluarga. Begitulah!

Ketika rancak berbual bersama Yong, bekas Ahli Parlimen Sandakan, Fung Ket Wing, bekas ADUN Bandar Kelang, Chua Ku Eng dan aktivis sosial di Kelang, Sdr Chong pula berkunjung. Sdr Chong menjadi bahan usikan, disebabkan beliau tak boleh komunikasi dalam medium China, walaupun memang fasih berbahasa Melayu. Dengan kunjungan rakan-rakan itu, saya balik ke Jelebu selepas zohor bagi menemui emak (Hajjah Safiah binti Jatin) dan keluarga. Bagaimanapun selepas asar, saya bersama keluarga berkunjung juga menziarah pusara Ikram Hafiz di sisi pusara datuknya (Dato’ Sati Haji Daud bin Sheikh Haji Ahmad). Apabila sampai di Gombak jam 11.00 malam, isteri saya menerima panggilan telefon dari jiran (Puan Simah binti Othman) kira-kira jam 11.15 malam yang memberitahu mengenai musibah, berpulang ke rahmatullah bapanya. Al-Fatihah.

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA

PENGASAS UMNO SUNGAI BELUKANG:
MENINGGAL DUNIA AKIBAT SAKIT JANTUNG

Pengasas UMNO Cawangan Sungai Belukang dalam Bahagian Bagan Datoh, Perak, Mat Lana bin Mat Deram, 80 meninggal dunia pada Hari Raya pertama tahun ini (iaitu 1 Oktober 2008) jam 11.00 malam akibat menghidap sakit jantung. Beliau yang pernah dirawat di Institut Jantung Negara (IJN), 28 Julai 2008 lalu meninggalkan balu, Puan Rahmah binti Abdul Hamid, 75 di samping enam orang anak dan beberapa orang cucu. Antara anaknya ialah Adiah binti Mat Lana (isteri ketua pimpinan PRIMA, Pak Dharma), yang juga penulis novel dan bekas kolumnis bagi akhbar tabloid ‘Pentas Dunia’ dan ‘Buletin Utama’. Sekalipun Mat Lana tak terbabit sebagai pejuang nasionalisma pada period awal kemerdekaan, tetapi beliau merupakan aktivis UMNO di Bagan Datoh sejak di bawah pimpinan Haji Muhammad bin Yaakob (bekas ADUN Rungkup).

Bagaimanapun berikutan lanskap politik yang bergelora pada 1999, Mat Lana terbabit sebagai aktivis PAS dengan menjadi penyokong di peringkat akar umbi. Beliau menjadi pengasas UMNO Cawangan Sungai Belukang pada dekad 1980-an dengan dipilih selaku ketua, di samping menggerakkan kegiatan sosial di kalangan penduduk di Sungai Haji Muhammad dengan menyediakan pasukan sukarela membantu majlis-majlis kahwin di kalangn penduduk tempatan. Ketika menjadi Ketua Cawangan UMNO, Mat Lana bukan sahaja peraih kelapa bagi kemudahan pekebun-pekebun kecil, malah menerusi hubungan akrab bersama Haji Muhammad Yaakob, beliau membantu nelayan-nelayan tempatan mendapatkan enjin bot percuma, termasuk juga bangku-bangku khusus untuk kegunaan di khemah majlis perkahwinan. Bersama peneroka-peneroka tanah di Sungai Belukang, beliau bersama abangnya Harun bin Mat Lana dan Lebai Wak Sudin turut mendirikan surau bagi kemudahan beribadat.

Pada dekad 1970-an, Mat Lana mengetuai penerokaan tanah di Sungai Belukang setelah menerima sokongan dari Haji Muhammad Yaakob (ketika itu ADUN Rungkup), dengan transisi daripada hutan paya bakau kepada kebun kelapa. Penerokaan tanah bagi memberi peluang kepada mereka yang tak bertanah membangunkan tanaman kelapa sebagai pekebun kecil kelapa, bukan sahaja terbata kepada komuniti Melayu sebaliknya meliputi masyarakat bukan Melayu yang menduduki Bagan Sungai Belukang. Berikutan keuzuran matanya pada dekad 1990an, Mat Lana melepaskan jawatan selaku Ketua Cawangan UMNO, malah kurang aktif dalam gerakan sosial. Beliau mula dikesan menghidap penyakit jantung awal tahun 2008 ini. Bagi pihak keluarga, Adiah Mat Lana mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mengunjungi jenazah, menghantar ucapan takziah serta uruskan segala kerja-kerja hingga selesai pengkebumian bapanya. Semoga Allah cucuri rahmat ke atas rohnya. Amin.

SALAM TAKZIAH DPD KAMAL AMIR

Al-Fatehah. Sampaikan salam belasungkawa saya dan famili buat Kak Diah (Adiah), semoga sabar dan tabah menghadapi dugaan Illahi. – (SMS; 2 Oktober 2008; 16:01:00 – Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz, Jurucakap PRIMA, Taman Tun Dr Ismail, KL).

UCAPAN TAKZIAH DAN SIMPATI

Saya mengucapkan takziah atas kepulangan bapa mentua anda. Harap saudara dan keluarga berbanyak sabar. Saya sedekah al-Fatehah untuk Allahyarham. – (SMS; 2 Oktober 2008; 18:16:08 – Haji Yahaya Ismail; Kampung Tunku, PJ).

AL-FATEHAH DIIRINGI BERSAMA

Qolluinnalillahi. Semoga Allah menempatkannya di kalangan orang-orang beriman. Salam takziah dari saya sekeluarga. Al-Fatehah. – (SMS: 2 Oktober 2008; 16:07:32 – Yassinsalleh, Karak, Pahang).

DEMOKRASI BUKAN PERTANDINGAN:
MEREBUT DUA JAWATAN TERTINGGI UMNO

Pelan peralihan kuasa yang diterima oleh pimpinan UMNO perlu direalisasikan secara tertib dengan tak wajar dipertandingkan dua jawatan tertinggi dalam parti (Presiden dan Timbalan Presiden, menurut Ketua Penerangan UMNO Bahagian Gombak, Omar Sudi Abdul Manan. Ketika ditemui hari ini (3 Oktober 2008) Omar Sudi menolak sebarang andaian, pertandingan merebut dua jawatan tertinggi UMNO sebagai menyuburkan sistem demokrasi. Kata Omar Sudi menambah, demokrasi tetap disuburkan sekalipun dia jawatan tertinggi parti tak dipertandingkan. Seterusnya beliau turut bersetuju dengan pandangan penganalisis politik Haji Yahaya Ismail, UMNO perlu menggalakkan setiap penyertaan pimpinan muda di kalangan diplomat yang berpengalaman di peringkat global bagi memulihkan semula UMNO. “Pimpinan parti perlu mengakui wajarnya golongan muda yang berpengalaman menyertai UMNO bagi persediaan dalam mengambil alih kepimpinan parti,” beritahu Omar Sudi.

Seterusnya beliau meminta pimpinan di peringkat umbi mengelak sebarang usaha yang mendorongkan kepada dua jawatan tertinggi parti dipertandingkan. Katanya, pelan peralihan kuasa yang diterima bersama sudah memadai sebagai formula awal dalam usaha memelihara perpaduan UMNO. Sekalipun UMNO berhadapan dengan fenomena yang menyebabkan krisis keyakinan, tetapi usaha menstabilkan politik perlu digerakkan secara tertib. Beliau juga bersetuju, Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah bukanlah pemimpin alternatif bagi pemulihan UMNO sekarang, sekalipun pernah menabur jasa kepada parti. Menurutnya, dalam usia 72 tahun adalah wajar Tengku Razaleigh memberikan idea yang positif memulihkan UMNO dengan memberi laluan kepada pemimpin lebih muda. “UMNO bukan sahaja berhadapan dengan tentangan dari luar, tetapi masalah dalaman perlu diselesaikan secara berhemah,” katanya.

INFO SASTERA & BUDAYA

NOVEL ‘SAINS FIKSYEN’
JAUH DI PULAU RAHSIA
Oleh: Ikram Hafiz

(Sebelum memasuki Unisel pada Mei 2008, Allahyarham Ikram Hafiz bukan sahaja berbakat dalam kraftangan dan elektrikal ketika belajar di Sekolah Menengah Teknik Gombak, malah terbabit dalam karya kreatif. Ikram Hafiz pernah menghasilkan novel sains fiksyen pada 2007, ketika membuat kerja sambilan menjual burger. Hanya sebuah sahaja novel yang dihasilkannya, dan diterbitkan oleh Mulya Utama Enterprises, Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor. Mulai sekarang, novel karya Ikram Hafiz dimuatkan dalam laman blog ini).

(sambungan kelmarin…)


(16)

5
WAKTU BERLALU LAMBAT

OMBAK BESAR MENGGULUNG PANTAI
OPAH TERSENGGUK MERATAPI NASIB CUCU

MALAS benar dia mahu melayani Kak Wa apabila sebut mengenai Charles Francis Richter. Adang juga tahu fasal profesor seismologi yang menemui formula mengukur skala gelombang bumi itu. Sengaja dia tak mahu menunjuk-nunjuk di depan Kak Wa mengenai nama skala berkenaan diambil sempena profesor tersebut.

Adang juga pernah terbaca di internet mengenai Dr Richter anak kelahiran Hamilton di Ohio, Amerika Syarikat gunakan alat siesmograf mengukur skala gempa bumi itu sama macam matematik. Ia dapat merakam masa, lokasi kejadian dan magnitud gegaran menerusi data yang diambil dari stesen yang dibina.

Lagipun Dr Richter yang meninggal dunia pada 1985, ketika Adang masih lagi belum masuk Tadika. Tentu Kak Wa juga tak tahu sangat mengenai kajian profesor itu fasal magnitud O bersamaan dengan 1011 ‘ergs’ (iaitu 104 Joule – ukuran tenaga). Justeru ombak tsunami yang melanda Aceh pada magnitud 9, sudah tentu bersamaan dengan 1024 ‘ergs’ (atau 1017 Joule).

Takat bertegang leher dengan Kak Wa memang malas sangat pada Adang. Dia pun sekadar memahami teori ‘Magnitud Richter’ berasaskan skala 10. Berdasarkan perubahan satu magnitud mewakili 100 kali ganda kekuatan gerakan tanah itu ianya tak melebihi rekod siesmograf-logaritma. Sebab itu Adang juga tahu mengenai teori tragedi tsunami yang merusuhkan hati emak ketika itu.

“Sumber kewangan juga perlu teknologi,” Kak Wa terus pertahankan ideanya. “Kalau akaun nak dikira dengan sempoa, takkan mampu lawan komputer,” dia mencebek bibir mengejek Adang.

“Macam mana nak beli komputer, kalau tak ada sumber kewangan,” terkekeh-kekeh
Adang ketawa mengusik Kak Wa.

“Sumber kewangan juga tak berkembang selagi tak dimajukan dengan pembangunan teknologi,” Kak Wa mendengus terus meninggalkan Adang terconggok menonton TV di tengah rumah bersama Adik Mi dan Abang Caah.

Ketika Kak Wa turun ke rumah dapur, opah masih termengah-mengah menahan semput. Disuruh emak memakai baju sejuk pun opah menolak, kerana terasa badannya panas memijar. Segera Kak Wa memujuk supaya berbaring rihatkan badan, tetapi opah berkeras mahu menunggu abah balik.

Apalagi atuk tak duduk dia di rumah selepas balik membuat laporan polis. Dia keluar semula bersama Alang Seman. Atuk sekadar beritahu opah mahu ke bagan, tetapi tak jelas pula tujuannya. Kalau menunggu di bagan juga sia-sia sahaja, kerana budak-budak turun ke laut belum dapat dikesan.

Memang atuk bosan terconggok menonton di depan TV. Asal sahaja opah melihat kelibatnya tentu terus dileteri juga. Opah akan salahkan dia, kerana biarkan cucu turun ke laut. Sebab itu atuk malas mendengar leteran opah.

Sebaik sahaja Kak Wa mendekati opah, tiba-tiba sahaja orang tua itu tersengguk-sengguk menangis. Mudah sangat opah menangis kalau hatinya tersentuh hiba. Terpaksa pula Kak Wa memujuknya. Tahu sangat Kak Wa mungkin opah akan berterusan menangis sekiranya tak dapat mengawal perasaan.

“Kita seronok tengok TV, Hafiz di laut tu entah apa khabarnya?” gerutu opah mengesat pelupuk mata.

Serba salah Kak Wa mahu menyahut. Dia sendiri tak keruan asal sahaja kenang laporan TV mengenai tragedi tsunami di Banda Aceh. Tatkala melihat mangsa tsunami dihanyut ombak besar dalam visual ditayangkan di TV, memang Kak Wa terjerit kecil. Tak siapa pun selamat ketika ombak tsunami menggulung pesisir pantai.

(* Kreativiti Ikram Hafiz menggambarkan keadaan di lokap polis Selayang, ketika dia bersama kawan-kawannya ditahan berikutan kes pergaduhan apabila bertindak balas selepas wang jualan burgernya disamun, tetapi dituduh merusuh. Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Teng Chang Khim – sekarang Speaker DUN Selangor, dan Wee Choo Keong – sekarang Ahli Parlimen Wangsa Maju, turut campur tangan bagi membebaskan Ikram Hafiz dan rakan-rakannya yang ditahan selama lima hari).

(bersambung)

INFO SUARA PROLITAR

MASIH BELUM TERLAMBAT:
UCAPAN SELAMAT HARI RAYA

Salam. Selamat Hari Raya. Maaf zahir batin. – (SMS; 2 Oktober 2008; 03:14:22 – Dato’ Suhaimi Ibrahim, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Kuala Lumpur).

JANGAN PINGGIRKAN ULAMA
JASA MEREKA PERLU DIKENANG

Insya Allah, kita tidak akan pinggirkan ulama silam Negeri Sembilan. Mereka telah banyak berjasa dan adalah merupakan pewaris Nabi (sila rujuk http://abdulmuluk daud.blospot.com) – (SMS; 2 Oktober 2008; 06:32:25 – Rozmal Malakan, Seremban, Negeri Sembilan; waghih.blogspot.com).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

BEREBUT-REBUT JAWATAN TINGGI:
TAK MENYEMBAH HENDAKLAH DISERANG!

Sebermula tersebutlah ceritera Orangkaya Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin tidaklah ia mahu mendahului ketuanya Orangkaya Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi umumkan jawatan yang jadi rebutannya pada pemilihan harakah Melayu (UMNO) itu. Syahdan akan Orangkaya Tan Sri Muhyiddin itu mahu menutup mulut sahaja ketika ditemui oleh penitir-penitir canang di hadapan 10,000 anak-anak buahnya ketika menyambut Hari Raya di Muar, Johor semalam (2 Oktober 2008). Arakian akan Orangkaya Tan Sri Muhyiddin itu disebut-sebut orang akan bertanding merebut jawatan kedua tertinggi dalam harakah Melayu. Maka ia mengaku belum lagi membuat pengumuman selagi akan ketuanya Orangkaya Dato’ Seri Abdullah mendiamkan diri. Syahdan sekalian anak-anak buah dalam harakah Melayu semakin susah hati mendengarkan orang-orang besar mahu berebut-rebut memegang jawatan tinggi, adanya.

Arakian pada masa dahulu berperanglah mereka ketika berebut-rebut jawatan tinggi itu. Adapun akan Seri Nara Diraja (pada masa itu ialah Orangkaya Menteri Kewangan atau Penghulu Bendahari), dianugerahi baginda Sultan Mansor Shah memerintah Sening Ujong semuanya sekali. Adapun Sening Ujong itu dahulukala berbahagi dua dengan Bendahara Paduka Raja Tun Perak. Ada penghulu di sana, Tun Tuakal namanya, ada salahnya pada Sultan Mansor Shah sedikit. Maka dibunuh oleh baginda. Maka orang Sening Ujong tiadalah keluar lagi sebab penghulunya mati itu. Syahdan hilanglah kuasa Bendahara Paduka Raja ke atas Sening Ujong kerana berebut-rebut jawatan tinggi itu sudah menjadi perkara biasa. Hatta, beberapa lamanya maka Seri Nara Diraja sakit. Telah diketahui dirinya akan mati, maka Seri Nara Diraja menyuruh memanggil Bendahara Paduka Raja (kerana bendahara itu adik iparnya jua, sekalipun ia berebut-rebut akan jawatan tinggi di balairongseri). Maka diserahi kepada bendahara menjaga anak-anaknya Tun Tahir dan Tun Mutahir.

Arakian, maka Sultan Mansor Shah hendak menyuruh menyerang Siak, kerana Siak itu dahulunya negeri besar, Maharaja Permaisura nama rajanya, asalnya daripada raja Pagarruyung, tiada menyembah ke Melaka; sebab itulah maka baginda suruh serang pada Seri Udani, iaitu anak buah Bendahara Paduka Raja jua, adanya. Enam puluh banyaknya kelengkapan pergi itu. Maka Sang Jaya Pikrama dan Sang Surana dan Akhtiar Muluk (bukanlah ketua pimpinan PRIMA) dititahkan bersama-sama dengan Seri Udani. Adapun Seri Udani itu anak Tun Hamzah, cucu Bendahara Seri Amar Diraja (iaitu sepupu kepada Seri Udani, kerana bonda Sultan Mansor Shah itu adik kepada ayahnya iaitu anak-anak kepada Bendahara Seri Amar Diraja; akan bendahara itu juga ayah Bendahara Seri Wak Raja iaitu ayahnya Tun Perak). Arakian di masa dahulukalah bukan sahaja berebut-rebut jawatan tinggi, akan tetapi kalau raja negeri lain tak menyembah ke Melaka maka hendaklah diserang seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:




HIDUP BAHASA MELAYU!

No comments:

Post a Comment