Monday, October 20, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG


Assalamualaikum,

SUBJEK SEJARAH DI SEKOLAH-SEKOLAH
SARANAN PAK LAH DI PENGHUJUNG KERJAYA

Pembelajaran subjek sejarah mungkin sahaja dianggap rumit oleh kesatuan guru-guru apabila mahu dilaksanakan di sekolah-sekolah. Sebaliknya kerumitan itu boleh diatasi asal sahaja setiap individu sentiasa prihatin dengan kepentingan sejarah dalam membawa sesuatu bangsa mengangkat martabat jatidiri mereka. Saranan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi melestarikan nilai sejarah bangsa di penghujung kerjaya politik beliau, bukanlah perkara luar biasa. Pada period penjajah pun, murid-murid sudah diasuh mengenali sejarah Harold Nelson dalam peperangan melawan Napoleon Bonaparte di Trafalgar berbanding Dato’ Bahaman di Semantan atau Dato’ Maharajalela di Pasir Salak. Murid-murid juga disogokkan dengan karya-karya William Shakespear, hingga tak mengenali Syed Sheikh al-Hadi, Abdullah Munshi mahupun Tun Seri Lanang.

Sebaliknya murid-murid yang belajar di sekolah agama memang diajar mata pelajaran (subjek) ‘Tarikh’ (iaitu sejarah atau tawarikh). Bagaimanapun subjek ‘Tarikh’ sekadar sirah Nabi Muhammad SAW, bukan membabitkan ‘Sejarah Islam’ dengan skop meluas seperti kerajaan Himyar, Saba’ atau glori pemerintahan Abrahah di Habsyah. Ulama-ulama di masa lalu juga mengakui sebahagian al-Quran memang mengajar umat Islam kepada kepentingan sejarah bagi dijadikan tauladan. Dalam surah-surah yang merakam perjuangan Rasul-Rasul sebelum Nabi Muhammad, memang jelas pengajaran mengenai pedoman yang perlu diikuti oleh umat Islam. Maknanya, al-Quran juga mengajar betapa pentingnya sejarah sebagai tauladan berguna kepada manusia.

Bekas Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Idris pernah merungut apabila dijemput menyampaikan ceramah kepada Pemuda UMNO di Johor sekitar dekad 1980-an. Beliau merasa terkejut apabila sebahagian pimpinan muda di Johor ketika itu tak mengenali Tan Sri Haji Hassan Yunus, Menteri Besar Johor pertama pasca merdeka. Alahai! Fenomena berkenaan seolah-olah kurang prihatinnya pimpinan muda di Johor ketika itu terhadap perjuangan nasionalisme di negeri berkenaan menerusi UMNO. Apalagi Tan Sri Haji Hassan pernah memegang jawatan mufti sebelum terbabit dalam gerakan nasionalisme bersama Dato’ Onn Jaafar, Tan Sri Mohd Noh Omar, Dato’ Abdul Rahman Yassin dan Tan Sri Ibu Zain. Begitulah!

Ketika pimpinan UMNO tak mengenali pemimpin-pemimpin mereka yang terdahulu, betapa pula mahu memahami perjuangan Ibrahim Haji Yaakob, Cikgu Abdul Hadi Hassan, Harun Mohd Amin, Dato’ Dr Ishak Haji Muhammad, Dr Burhanuddin al-Helmy atau Dato’ Ahmad Boestamam. Apatah lagi dengan Dato’ Lela Merah Dol Said, Dato’ Bandar Tunggal Abdullah Ahmad, Dato’ Maharajalela Pandak Lam, Dato’ Bahaman Orangkaya Semantan, Tok Janggut Haji Mat Hassan Munir atau Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong. Bagi pimpinan muda UMNO pejuang-pejuang yang dilabel British sebagai ‘penderhaka’ atau gerila militan perlu dilenyapkan daripada sejarah bangsa, kerana yang penting ialah: “1 am as what I am!”. Barangkali!

Justeru tak hairanlah apabila pemimpin bukan Melayu secara tak bermoral menyebut orang Melayu juga bangsa imigran dari Indonesia, apabila pimpinan muda Melayu jahil dengan fakta sejarah. Mungkan sahaja Menteri Penerangan Dato’ Ahmad Shabery Cheek sekadar boleh menasihati timbalannya Dato’ Tan Lian Hoe menutup mulut dalam masa kekecohan berlaku, tetapi bukan satu jaminan ianya tak akan dibangkitkan 100 atau 200 tahun akan datang. Orang bukan Melayu tak pernah terbabit dalam gerakan melawan penjajah pada 1511, kemudian diteruskan silih berganti hingga 1641 apabila Bendahara Sekudai Tun Jenal membantu Belanda mengusir Portugis di Melaka. Sebaliknya penjajah Belanda pula menguasai Tanah Melayu sebelum diagih-agih bersama Inggeris berikutan termetrai Perjanjian Anglo-Dutch 1824. Aduhai!

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA


RUMAH TERBUKA DATO’ SUHAIMI
DI KELAB UKAY PADA 26 OKTOBER

Rumah Terbuka Aidilfitri, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Dato’ Suhaimi Ibrahim akan diadakan pada 26 Oktober 2008 (hari Ahad), bertempat di Kelab UKAY, Bukit Antarabangsa, Ampang bermula jam 8 malam hingga 12.30 malam. Aktivis masyarakat, NGO dan pimpinan belia dijangka turut menghadiri majlis berkenaan. Dato’ Suhaimi yang juga aktivis belia di samping bekas Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), pernah menduduki kerusi ADUN Pahang kawasan Benta sebelum dilantik oleh Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku setiausaha politiknya selepas PRU12. Ketika menghubungi sekretariat PRIMA, Dato’ Suhaimi memberitahu: “Saya dengan berbesar hati mejemput ke Rumah Terbuka Aidilfitri pada 26 Oktober, Ahad mulai jam 8 malam hingga 12.30 malam di Kelab UKAY, Bukit Antarabangsa.”

INFO SASTERA & BUDAYA

NOVEL ‘SAINS FIKSYEN’
JAUH DI PULAU RAHSIA
Oleh: Ikram Hafiz

(Sebelum memasuki Unisel pada Mei 2008, Allahyarham Ikram Hafiz bukan sahaja berbakat dalam kraftangan dan elektrikal ketika belajar di Sekolah Menengah Teknik Gombak, malah terbabit dalam karya kreatif. Ikram Hafiz pernah menghasilkan novel sains fiksyen pada 2007, ketika membuat kerja sambilan menjual burger. Hanya sebuah sahaja novel yang dihasilkannya, dan diterbitkan oleh Mulya Utama Enterprises, Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor. Mulai sekarang, novel karya Ikram Hafiz dimuatkan dalam laman blog ini).

(sambungan kelmarin…)


(23)

7
STRATEGI PERANG BONEKA

CAHAYA SOLAR DARI MATA
BOLEH TEMBUSI BESI KELULI

“KITA tak boleh tunggu lama bos, mesti bertindak cepat,” tutur Bung Hirman mencebek bibir. “Saya tahu Bapak Profesor boleh jadikan budak-budak tu robot, selepas fungsi otak mereka diubahsuai,” katanya bersetuju dengan keputusan Si Tongkol.

“Sekarang kita ke sana; kita mesti masuk ke zon planet boneka orang tua tu,” tegas Si Tongkol menyuruh siapkan bekalan peluru M-16 mencukupi.

Kunco-kunco Si Tongkol tak membantah. Segera mereka mencapai senjata M-16 keluar dari gua persembunyian. Sebaik sahaja sampai zon sempadan, beberapa objek tentera boneka sudah menunggu mereka. Tak bertangguh pula Si Tongkol melepaskan tembakan bertalu-talu, tetapi satu pun objek tentera tak terjejas. Semakin banyak mereka mara mengepung kedudukan Si Tongkol.

Cepat-cepat Si Tongkol mengatur strategi perang. Sia-sia dia lama berkhidmat dalam tentera hingga berpangkat kolonel, kalau tak mampu menyaingi strategi tentera boneka. Tahu sangat dia tentera boneka sekadar objek yang bergantung kepada butang suiz di tangan Bapak Profesor. Tentera bonek dipantau dari bilik operasi berkomputer. Kalau mereka dapat menembusi bilik operasi berkenaan, segala kekuatan Bapak Profesor nescaya hancur lebur.

Lantas dia arahkan berpecah kepada empat penjuru. Dia sendiri memanjat lereng bukit terumbu batu karang menyerang dari arah belakang. Jojo pula menyusur pantai melalui zon hadapan. Bung Hirman mengambil kedudukan dari sebelah rusuk kanan, sementara Bung Superman mara di zon bertentangan. Strategi perang Si Tongkol lebih sistematik sebagai bekas kolonel tentera.

“Kenapa kamu menceroboh planet boneka, Kolonel Si Tongkol?” serentak objek tentera boneka menjerkah, apabila Bapak Profesor bercakap di bilik operasinya.

“Kamu yang ceroboh tempat kami, serahkan semula budak-budak tu kepada kami!” sahut Si Tongkol menerusi hanset. Tetapi hanset di tangannya tak berfungsi setelah sistem solar di lokasi tersebut dikuasai Bapak Profesor. Justeru dia terpaksa mnejerit kuat biar dapat didengar hingga ke bilik operasi di bawah terumbu batu karang.

“Aku tak pernah menceroboh lokasi kamu,” Bapak Profesor menjelaskan menerusi alat pembesar suara terlekat pada objek tentera boneka yang berkeliaran di sekitar terumbu batu karang. Memang tak siapapun menduga di bawah terumbu batu karang itu terbina terowong jana teknologi. Di situ Bapak Profesor menguasai tentera-tentera boneka yang dipantaunya dengan kepongahan.

“Kalau begitu bagaimana budak-budak tu dapat keluar dari bilik kurungan?” laung Si Tongkol memerhatikan pergerakan objek tentera boneka mara ke arahnya.

“Budak-budak tu yang menceroboh masuk ke zon larangan, aku tak tahu bagaimana mereka keluar dari lokasi kamu!” beritahu Bapak Profesor memantau menerusi monitor komputer yang tersergam banyak di sekeliling bilik operasi.

Di bawah bukit memang Si Tongkol terdengar tembakan senjata automatik M-16 yang dilepaskan bertalu-talu. Tembakan tersebut dilepaskan oleh kunco-kunconya. Tentera boneka tak melepaskan tembakan M-16 kalau menyerang musuh. Mereka sekadar guna sistem solar menerusi lingkaran mata, hingga mampu menembusi besi keluli.

Sebab itu Si Tongkol ingatkan kunco-kunconya supaya elakkan daripada tembakan solar mata objek tentera boneka. Mereka perlu bersembunyi di sebalik terumbu batu-batu karang. Sekalipun lokasi mereka mudah dikesan oleh Bapak Profesor, tetapi orang tua itu terpaksa menghadapi serangan dari segenap penjuru.

(* Kreativiti Ikram Hafiz menggambarkan keadaan di lokap polis Selayang, ketika dia bersama kawan-kawannya ditahan berikutan kes pergaduhan apabila bertindak balas selepas wang jualan burgernya disamun, tetapi dituduh merusuh. Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Teng Chang Khim – sekarang Speaker DUN Selangor, dan Wee Choo Keong – sekarang Ahli Parlimen Wangsa Maju, turut campur tangan bagi membebaskan Ikram Hafiz dan rakan-rakannya yang ditahan selama lima hari).

(bersambung)

PUISI LAMA

Syair Hikayat UMNO

Alkisah tersebut satu ceritera
bomoh UMNO membaca mentera
Pak Lah berundur perintah negara
Najib pengganti sudah dikira.

Sekalian ahli berpaling arah
memilih Najib peluang cerah
biarlah Pak Lah luahkan marah
sokong Najib rezeki murah.

Begitulah sudah disebut orang
UMNO tempat rezeki bersarang
tak bermaruah bukanlah kurang
asalkan peluang terang benderang.

Ku Li bersedih mencari ruang
ditinggalkan ahli laksana terbuang
tiada berkuasa hilang peluang
walaupun melabur dengan wang.

Bomoh menilik ke dalam geluk
Najib mula dipandang elok
kalau berjumpa mesti dipeluk
seperti dikasihi sekalian makhluk.

Begitulah UMNO sejak dahulu
jasa bakti bukanlah perlu
ketua dipilih seperti dedalu
biarlah negeri mendapat malu.

Tunku digelar ‘Bapa Merdeka’
boleh dibuang sekiranya suka
monomen dibina dikutuk belaka
kerana Tunku nasihatkan mereka.

Tun Razak pula dipandang rendah
membuka hutan rancangan mudah
walaupun ayah berkorban sudah
tetapi anak tak tahu bermadah.

Aduhai bomoh sekalian alam
tiliklah nasib semakin kelam
UMNO laksana si burung balam
terangguk-angguk siang dan malam.

-Alba
Jelebu, N. Sembilan.
20 Oktober 2008.


INFO SUARA PROLITAR

ORANG TAK PANDAI BERPATIK-PATIK
SUKAR MAHU MENDEKATI KEM KU LI

Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah) masih belum dapat pencalonan. Sikapnya masih tak berubah dengan perangai anak rajanya tak lebih daripada: ‘Cerdik tak boleh diikut, bodoh tak boleh diajar’. Dengan Najib (Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak), beliau dapat ‘telur’. Boleh jadi Ku Li tak minat dengan orang yang nak tolong, kerena terpesona dengan glori Gapena. Orang yang benar-benar mahu tolong nak jumpa pun, semua disekat oleh pagar-pagarnya. Tak apalah Ku Li, kerana orang yang tak pandai nak berpatik-patik dan berengku-engku, sebenarnya tak rugi apa-apa! – (SMS; 20 Oktober 2008; 13:00:12 – YS, Kajang, Selangor).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

ALKISAH ORANGKAYA WAZIR PERDANA
KATA ANAK-ANAK BUAH CARI KETUA TERBAIK

Sebermula tersebutlah alkisah Orangkaya Wazir Perdana (atau disebut orang banyak Timbalan Perdana Menteri) Dato’ Seri Mohd Najib Abdul Razak memberitahu akan anak-anak buah harakah Melayu (UMNO) bijaksanalah mereka membuat pilihan. Maka akan anak-anak buah harakah Melayu itu tahulah mereka mencari ketua terbaik, kerana sudah memilih akan dirinya. Arakian kalau anak-anak buah harakah Melayu tak memilih akan Orangkaya Wazir Perdana itu, gerangannya tidaklah mereka itu bijaksana. Adapun Orangkaya Wazir Perdana mula diberi perhatian oleh orangn banyak, selepas bekas Orangkaya Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berusaha keras mendesak akan Orangkaya Perdana Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi itu melepaskan jawatannya. Syahdan akan Orangkaya Wazir Perdana itu berasa selesalah ia kerana semua anak-anak buah harakah Melayu sentiasa berpegang kepada kata-kata di Bukit Seguntang dahulu kala: Takkan anak Melayu itu derhaka!

Syahdan bermula segala orang yang beremas, bagaimana sekalipun kayanya, jikalau tiada dianugerahi raja tiada boleh dipakai. Apabila sudah dianugerahi barang sekalipun jua, dapatlah dipakai selama-lamanya. Dan jikalau orang masuk ke dalam jika tiada kain berpancung, dan berkeris di hadapan, dan bersebai, tiada dapat masuk, barangsiapa pun baik; dan apabila berkeris di belakang masuk ke dalam, dirampas oleh penunggu pintu. Maka inilah dahulukala larangan raja Melayu, barangsiapa melalui dia salah ke bawah duli hukumnya didenda pati, yakni seketi lima. Bermula payung puith lebih daripada yang kuning, kerana payung putih itu nampak dari jauh, sebab itulah maka payung putih lebih daripada kuning; dan pakaian raja payung putih, dan pakaian anak raja payung kuning. Sebermula akan peraturan-peraturan dari dahulukala kepada anak-anak buah harakah Melayu itu yang membolehkan ketua itu selesa, bukanlah kerana ianya memang sedia orang yang baik seperti disurat dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:


HIDUP BAHASA MELAYU!

No comments:

Post a Comment