S U A R A < < < > > > P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
DARI LAMAN BLOG:
PAK YA MINTA BERJUMPA DI CONCORDE
Assalamualaikum,
Ketika uruskan pembayaran wang bagi proses konvokesyen anak saya Nurul Salwa yang akan menerima ijazah di Universiti Industri Selangor (Unisel) November ini, saya menerima SMS hari ini (21 Oktober 2008) dari Haji Yahaya Ismail (Pak Ya) mengenai perjumpaan yang dianjurkan oleh Dato’ Abdul Aziz (Chemor) seorang usahawan yang prihatin dengan perjuangan pengendali laman web dan blog. Pak Ya beritahu perjumpaan di Hotel Concord jam 12.00 tengahari, sekadar sembang-sembang di samping makan tengahari bersama. Justeru saya tak ambil hirau sangat dengan SMS Pak Ya, disebabkan urusan anak saya perlu diberi prioriti. Apalagi saya baru sahaja kehilangan permata hati keluarga, Allahyarham Ikram Hafiz yang juga menuruti jejak kakaknya menuntut di Unisel. Malangnya, cita-cita arwah tak kesampaian apabila terlebih dahulu menyahut panggilan Illahi kerana terbabit dalam nahas jalanraya.
Bagaimanapun apabila Haji Abu Bakar Ninggal menelefon kira-kira jam 10.00 pagi, saya mengubah fikiran untuk bertemu kawan-kawan blogger. Justeru sebaik sahaja selesai urusan di Bank Islam, Selayang saya menunggu Haji Abu Bakar menjemput ke rumah. Dalam perjalanan ke Hotel Concord saya masih belum dapat membayangkan matlamat perjumpaan yang diatur oleh Pak Ya bersama kawannya Dato’ Abdul Aziz. Apalagi Haji Abu Bakar lebih cenderung memperkatakan pencalonan Bahagian-Bahagian UMNO yang berlangsung sekarang, seolah-olah menolak sama sekali peranan Tengku Razaleigh Hamzah. Sebelum ini Tengku Razaleigh menawarkan diri untuk bertanding jawatan Presiden UMNO, tetapi hingga hari ini (21 Oktober 2008) masih belum menerima sebarang pencalonan. Aduhai!
Ketika sampai di lobi hotel, saya cuba menghubungi Pak Ya tetapi tak menerima respons. Justeru saya mula tawar hati untuk terbabit dalam perjumpaan tersebut, tetapi Haji Abu Bakar mendesak untuk bersabar. (Sebenarnya hati saya mudah sebak apabila melihat orang ramai dalam sesuatu majlis makan, kerana terbayang seolah-olah kenduri tahlil dan doa arwah anak saya Allahyarham Ikram Hafiz. Malah saya pernah tak sempat meneruskan sampai habis majlis berbuka puasa yang dibuat oleh Dr Amar Hassan dan akhbar Buletin Rakyat sebelum Hari Raya dulu). Bagaimanapun ketika mengajak Haji Abu Bakar balik sahaja selepas tak dapat menghubungi Pak Ya, tiba-tiba ternampak Dato’ Ruhanie Ahmad masuk ke lobi berkenaan.
Selepas Dato’ Ruhanie menghubungi Dato’ Abdul Aziz, rupa-rupanya kawan-kawan blogger sudah menunggu di ruang makan. Apabila saya masuk ke dewan berkenaan bersama Dato’ Ruhanie dan Haji Abu Bakar, kebetulan pula S.H. Alattas sedang memberikan taklimat. Rupa-rupanya majlis berkenaan bermula daripada omong-omongan Dato’ Ruhanie memberitahu S.H.Alattas hasratnya mahu menawarkan diri bertanding MT UMNO dalam pemilihan Mac 2009 nanti. S.H.Alattas menghubungi Dato’ Abdul Aziz yang bersetuju mengadakan perjumpaan dengan blogger, di samping menjemput Dato’ Ruhanie sebagai tetamu khas. Begitulah!
-Pak Dharma
INFO HAK ASASI MANUSIA:
KERAJAAN DIDESAK BEBASKAN SEGERA
RAJA PETRA MANGSA KEPONGAHAN ISA
Kerajaan didesak membebaskan segera pengendali laman web Malaysiakini Raja Petra Kamaruddin daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tanpa syarat. Desakan itu dicapai dalam perjumpaan pengendali-pengendali laman web dan laman blog di sebuah hotel di sini hari ini (21 Oktober 2008), beritahu aktivis masyarakat yang juga penyair Yassinsalleh. Katanya, semua pengendali laman web dan blog yang menghadiri perjumpaan tersebut sebulat suara mahukan kerajaan bersikap adil terhadap Raja Petra yang menjadi mangsa kepongahan ISA. Perjumpaan yang dipegerusikan oleh Syed Hussain Al-Attas itu turut disertai lebih 20 penulis termasuk bekas Ahli Parlimen Parit Sulung Dato’ Ruhanie Haji Ahmad, Dato’ Abdul Aziz (Chemor) dan Wan Ahmad Talib.
“Sekalipun setiap pengendali blog mempunyai perbezaan pendapat, malah kurang bersetuju dengan beberapa isu yang dibangkitkan oleh Raja Petra, tetapi kami semua bersatu dalam mendesak kerajaan membebaskan penulis blog itu,” menurut Yassinsalleh memetik keputusan yang dicapai. Seterusnya jelas Yassinsalleh, sekalipun ayahnya Allahyarham Salleh bin Abdul Latiff pernah terbabit sebagai polis khas pada period darurat 1940-an bagi melaksanakan kuatkuasa ISA, tetapi baginya ISA adalah undang-undang pengecut dan tak bermaruah. Yassinsalleh berkata, Raja Petra tak terbabit dalam demonstrasi seperti digerakkan oleh Hindraf, tetapi sekadar menulis di laman web yang tak mengganggu keselamatan awam. “Raja Petra sekadar mendedahkan beberapa isu yang sengaja disembunyikan oleh pemimpin UMNO selama ini,” ujar Yassinsalleh.
DATO’ RON BELUM TERLAMBAT
MENAWAR DIRI BERTANDING MT
Bekas Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan di Parlimen (BBC), Dato’ Ruhanie Ahmad (Dato’ Ron) menawarkan diri untuk bertanding Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada pemilihan Mac 2009 nanti. Berikutan masih banyak lagi Bahagian-Bahagian UMNO yang belum mengadakan Mesyuarat Agung bagi membuat pencalonan, Dato’ Ron mengakui tak terlambat untuk menawarkan diri. Dato’ Ron mengumumkan akan bertanding merebut MT dalam majlis perjumpaan dengan pengendali laman web dan blog di Kuala Lumpur hari ini (21 Oktober 2008). Wartawan-wartawan dari akhbar alternatif turut dijemput menghadiri perjumpaan tersebut. “Kesediaan saya untuk menawarkan diri adalah untuk membawa ‘pemikiran alternatif’ dalam MT, di samping membawa suara para blogger di peringkat MT UMNO,” beritahu Dato’ Ron dalam ucapan ringkasnya ketika membuat pengumuman.
Dato’ Ron yang juga bekas Ahli Parlimen Parit Sulong merupakan bekas Setiausaha Akhbar Timbalan Perdana Menteri (ketika itu Tun Musa Hitam). Beliau dilantik menjadi Timbalan Pengerusi BBC dengan Dato’ Seri Shahidan Kassim pengerusinya. Apabila Dato’ Seri Shahidan berpindah ke kerusi DUN bagi menjadi Menteri Besar Perlis, Dato’ Ron pula dilantik memegang jawatan Pengerusi BBC. Dalam tempoh Dato’ Ron menduduki kerusi Pengerusi BBC, beliau banyak membawa isu-isu ketuanan Melayu hingga menimbulkan pertikaman lidah dengan anggota-anggota pembangkang termasuk Lim Kit Siang dan Dr Tan Seng Giaw. Beliau yang terus konsisten membangkitkan isu ketuanan Melayu sering menjadi sasaran blok pembangkang, bagaimanapun Dato’ Ron mampu menangkis dengan hujah-hujah bernasnya.
PIMPINAN PRIMA DIANGGAP SESUAI
BAWA SUARA BLOGGER DAN PENULIS
Pimpinan PRIMA sasterawan Dharmala N.S. (Pak Dharma) dan pengkritik sastera Haji Yahaya Ismail (Pak Ya) dianggap paling sesuai mewakili suara blogger dan penulis bebas di Dewan Negara. Perjumpaan pengendali-pengendali laman web dan blog di sebuah hotel di sini hari ini (21 Oktober 2008) sebulat suara mendesak kerajaan memberi perhatian kepada peranan blogger dan penulis bebas bagi dilantik menduduki kerusi senator bagi membolehkan kepentingan mereka diperjuangkan. Penulis S.A. Alattas yang membuat cadangan tersebut mendapat sokongan Dato’ Ruhanie Ahmad (pengendali laman blok kudkepang), kemudiannya dipersetujui oleh lebih 20 pengendali laman blog dalam perjumpaan tersebut. Perjumpaan yang digerakkan oleh usahawan Dato’ Abdul Aziz, akan dijadikan acara berkesinambungan dalam mempertahankan kepentingan penulis-penulis bebas.
Dato’ Abdul Aziz dalam ucapan alu-aluannya bersetuju dengan pandangan Dato’ Ruhanie mengenai kegagalan mempertahankan kedaulatan Pulau Batu Putih, boleh membuka ruang yang lebih menguntungkan kerajaan Singapura. Katanya, fakta geografi menunjukkan perairan Laut China Selatan merupakan lokasi sumber minyak terpenting di Tenggara Asia sama seperti kedudukan di Asia Barat. Justeru beliau menambah, Pulau Batu Putih memang sekadar terumbu batu karang di samping operasi rumah api yang dikuasai oleh Singapura, tetapi pelaksanaan Koridor Wilayah Iskandar akan membuka lebih ruang kepada mereka untuk memantau ekonomi di Tenggara Asia. “Pandangan kritis penulis-penulis blog perlu disuarakan ke pringkat tinggi di Dewan Negara,” kata Dato’ Abdul Aziz menambah.
RUMAH TERBUKA DI JANDA BAIK
PELUANG BERSANTAI BERSAMA ALAM
INFO SASTERA & BUDAYA:
NOVEL ‘SAINS FIKSYEN’
JAUH DI PULAU RAHSIA
Oleh: Ikram Hafiz
(Sebelum memasuki Unisel pada Mei 2008, Allahyarham Ikram Hafiz bukan sahaja berbakat dalam kraftangan dan elektrikal ketika belajar di Sekolah Menengah Teknik Gombak, malah terbabit dalam karya kreatif. Ikram Hafiz pernah menghasilkan novel sains fiksyen pada 2007, ketika membuat kerja sambilan menjual burger. Hanya sebuah sahaja novel yang dihasilkannya, dan diterbitkan oleh Mulya Utama Enterprises, Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor. Mulai sekarang, novel karya Ikram Hafiz dimuatkan dalam laman blog ini).
(sambungan kelmarin…)
(23)
7
STRATEGI PERANG BONEKA
DINDING KEBAL DITEMBUSI AKAL
IKHTIAR MAHU MEMBOLOS KELUAR
BAPAK Profesor memantau setiap lokasi kunco-kunco Si Tongkol bergerak. Dia tak boleh tumpukan pada Si Tongkol di lereng bukit sahaja. Dalam masa yang sama Jojo mara dari pesisir patai; Bung Hirman di rusuk kiri bukit, sementara Bung Superman di rusuk kanan. Mereka serentak menyerang dengan menembak tentera-tentera boneka yang bukan spesies hidupan bernyawa.
Setiap kali tentera-tentera boneka ditembak ianya mengeluarkan haba. Percikan haba itu keluar seperti debu beracun menyebabkan rumput-rumput layu serta merta seperti disiram asid. Peralatan canggih teknologi Bapak Profesor ternyata sukar ditandingi kepakaran ketenteraan yang dimiliki Si Tongkol.
Ketika kekecohan berlaku di luar terowong persembunyian Bapak Profesor inilah, dinding bilik kami ditempatkan itu terbuka. Semua tentera boneka di situ seolah-olah dikerah keluar membantu rakan-rakannya. Lantas saya mengambil kesempatan ke meja makmal. Cepat-cepat pula cairan di dalam balang berisi ‘alkali’ dan ‘karbon dioksida’ saya curahkan pada trek di bawah dinding.
“Kamu buat apa tu, Hafiz?” terkejut Abang Din apabila saya bertindak nekad ketika kekecohan berlaku di luar jana teknologi Bapak Profesor.
“Kita cuba sibarkan virus pada sistem komputer ni, mudah-mudahan berjaya,” ujar saya lantas menyemburkan cecair ‘sebatian haidrokarbon’ pada kamera litar di bilik itu. Usin Sodok yang masih lagi trauma sekadar terkebil-kebil mata sahaja terconggok di katil tak berani membantu saya.
Tetapi Abang Din sudah melompat turun dari katil apabila saya menerpa ke komputer di bilik makmal. Sengaja saya gunakan komputer di situ bagi menukar program perisian pelayar. Apalagi ketika itu dinding logam ‘tungsten’ yang kedap rapat sebelumnya seolah-olah tak berfungsi. Sebab itu Abang Din terburu-buru mengajak saya segera keluar dari bilik berkenaan.
“Aku takut nak keluar dari sini,” ujar Mail Kengkang gementar. “Nanti kita ditangkap semula, selepas tu kita akan didera lebih teruk lagi,” dia masih tak berganjak duduk di atas katil.
“Kalau kamu nak mati kering, tunggulah di sini!” bentak Abang Din memarahinya.
Tetapi saya tak terburu-buru mahu keluar. Komputer di bilik makmal mungkin berguna juga untuk sibarkan virus di sekitar lokasi berkenaan. Sebab itu pemusnahan mesti dilakukan di situ terlebih dahulu.
“Cepatlah, sebelum dinding ni tertutup semula,” desak Abang Din gembira selepas dapat peluang melarikan diri. Malah dia terus menyuruh kawan-kawan jangan berhenti membaca ayat-ayat al-Quran yang diajarkan oleh ayahnya Alang Seman.
“Kalau kamu nak jadi Hang Kasturi dan Hang Lekir, kenapa tertakut-takut?” lantas Sahak Salai mengejek Usin Sodok dan Mail Kengkang. Dia juga terus melompat turun dari katil setelah tak terdapat ancaman lagi. Tentu Bapak Profesor sedang mengerah objek tentera-tentera boneka pertahankan planet ciptaannya itu.
Ketika kami dapat membolos keluar, dinding logam ‘tungsten’ itu masih ternganga. Bau gas yang saya curahkan ke trek di bawahnya menyenak ke hidung. Dinding berkenaan seolah-olah tak berfungsi lagi akibat dirosakkan sistem solar yang menggerakkan operasi di sekitar bilik makmal tersebut.
Sebaik sahaja kami keluar dari ruang terowong di bawah terumbu batu karang, tak kedengaran lagi tembakan M-16 Si Tongkol dan kunco-kunconya. Tak bertangguh saya mengajak kawan-kawan bersembunyi di dalam belukar selepas pertempuran berakhir.
(* Kreativiti Ikram Hafiz menggambarkan keadaan di lokap polis Selayang, ketika dia bersama kawan-kawannya ditahan berikutan kes pergaduhan apabila bertindak balas selepas wang jualan burgernya disamun, tetapi dituduh merusuh. Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Teng Chang Khim – sekarang Speaker DUN Selangor, dan Wee Choo Keong – sekarang Ahli Parlimen Wangsa Maju, turut campur tangan bagi membebaskan Ikram Hafiz dan rakan-rakannya yang ditahan selama lima hari).
(bersambung)
BUKU TERBARU PAK HABIB
MENUNTUT JAWAPAN DARI ANWAR
Kulit luar buku terbaru S.H. Alattas (Pak Habib) dikategorikan sebagai (18 SX) yang memberi amaran tak boleh dibaca oleh mereka yang berusia di bawah 18 tahun. Barangkali! Judul buku berkenaan boleh diklasifikasikan sebagai berunsur seks iaitu ‘Sodomi, Bontuti, al-Liwati: Dunia Belum Kiamat 2’. Mungkin sahaja kesinambungan buku sebelumnya ‘Dunia Belum Kiamat 1’ (JB News Media Network, KL; 2008) yang memperlihatkan Pak Habib penulis buku politik prolifik di Malaysia. Apalagi bagi tahun 2008, Pak Habib mampu menghasilkan empat buah buku, sekalipun pada 2007 beliau sekadar menerbitkan dua buah buku sahaja. Bagaimanapun buku terbaru Pak Habib ini merupakan cetakan kedua (September 2008), setelah diterbitkan buat pertama kali pada Ogos 2008.
Sebahagian kandungan buku ‘SBA:DBK2’ adalah kompilasi berita dan rencana akhbar, di samping kritikan Pak Habib terhadap perlakuan seks songsang. Disebabkan Ketua Pembangkang Dato’ Seri Anwar Ibrahim terbabit dalam kes liwat berikutan laporan polis yang dibuat oleh Mohd Saiful Bokhari Azlan, fokus penulisan Pak Habib banyak dikaitkan dengan fakta yang menyangkut isu berkenaan. Buku ‘SBA:DBK2’ setebal 342 halaman ini diterbitkan oleh JB News Media Network, Kuala Lumpur tak dinyatakan harganya. Bagaimanapun ianya boleh dipesan terus menerusi JB News Media Network, No 23A Jalan 4/21D, Medan Idaman, 53100 Gombak, Kuala Lumpur atau emel kepada sh.alattas@yahoo.com, di samping layari laman web http://www.shalattas.com/ .
INFO SUARA PROLITAR:
BUAT CERITA INDAH-INDAH
SEKADAR NAK SEDAP LIDAH
Peneroka Felda akan menerima imbuhan. Dulu pun peneroka Felda kononnya dapat sara hidup. Seronoknya jadi peneroka, dapat bantuan kerajaan. Apalagi yang umumkan Najib (Dato’ Seri Mohd Najib). Nak raya pun peneroka dapat imbuhan. Kalau fikirkan angka RM500, memang hebat. Tapi sebenarnya itu memang wang peneroka. Tolak pinjaman, tolak baja, tolak racun, tolak itu tolak ini, yang tinggal berapa sen sahaja? Janganlah buat cerita yang indah-indah, kalau sekadar nak sedap lidah. (SMS; 21 Oktober 2008; 20:38:41 – Alimali, Felda Jelebu, Negeri Sembilan)
KOMENTAR
bersama Pak Parjo
PENITIR CANANG YANG BERMUKA-MUKA:
RAKYAT DI NEGERI MELAYU DILAGA-LAGA
Kata sahibul hikayat tersebut alkisah akan Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra dikatakan orang banyak terlalu murka kepada kerajaan negeri itu yang diperintah harakah Islam (PAS). Baginda bertitah ketika menyempurnakan persidangan di balairongseri (Dewan Negeri Kelantan) semalam iaitu 20 Syawal 1429 (atau disebut orang banyak 20 Oktober 2008). Arakian terlalu gembira anak-anak buah harakah Melayu (UMNO) kerana mendengar titah Sultan Kelantan yang murka itu, adanya. Maka diberitahu kepada fakir akan perihal penitir-penitir canang yang mahu mendapat nama itu menyibar fitnah mengenai baginda sultan yang murka. Sebermula akan baginda sultan sebenarnya amat murka akan kerja-kerja kerajaan yang di Kuala Lumpur. Syahdan akan baginda Sultan Kelantan itu tentulah lebih percayakan rakyatnya daripada mereka yang pandai bermuka-muka untuk memperlekehkan negeri baginda, adanya.
Syahdan maka Sultan Ahmad pun undurlah ke Ulu Muar. Maka baginda diam di Pagoh, dan Sultan Mahmud diam di Batu Hampar. Maka Sultan Ahmad berkota di Bentayan. Arakian Feringgi pun diamlah di Melaka. Maka pagar ruyung istana di perbuatnya kota. Sebermula Feringgi pun datang pula menyerang Pagoh. Maka berperanglah ada beberapa hari. Syahdan Sang Setia pun matilah; maka Pagoh pun alah. Maka Sultan Ahmad pun undur ke Ulu Muar, lalu ke Penarikan. Maka bendahara pun mati, ditanamkan orang di Lubuk Batu; itulah disebut orang Dato’ di Lubuk Batu. Maka Sultan Ahmad dengan ayahanda baginda Sultan Mahmud pun berjalan ke Penarikan lalu ke Pahang. Arakian kerana hamba Melayu itu dilaga-laga oleh penitir-penitir canang yang bermuka-muka alahlah negeri itu seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:
Who knows where to download XRumer 5.0 Palladium?
ReplyDeleteHelp, please. All recommend this program to effectively advertise on the Internet, this is the best program!