Monday, October 27, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


DARI LAMAN BLOG


10 AKTIVIS BEBAS SAMBUT DEEPAVALI
RAJA PETRA DITAHAN MENJELANG AIDILFITRI

Assalamualaikum,

Masyarakat India menyambut Hari Deepavali hari ini (27 Oktober 2008), dengan 10 orang aktivis Hindraf dibebaskan semalam (26 Oktober 2008) daripada dakwaan terbabit mengganggu ketenteraman awam. Maknanya, mereka mampu tersenyum gembira bagi meraikan Hari Deepavali bersama keluarga masing-masing. Khabarnya, sesiapa yang cuba mempertahankan aktivis Hindraf, mereka juga akan didakwa seperti kenyataan media Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri Abdul Hamid Syed Jaafar Albar. Ironinya, Dato’ Seri Abdul Hamid tak pernah sebut mengenai penulis laman web Raja Petra Kamaruddin yang ditahan di bawah ISA, kenapa tak dibebaskan ketika umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri? Apakah Raja Petra lebih berbahaya daripada 10 orang aktivis Hindraf yang dibenarkan merayakan Hari Deepavali bersama keluarga mereka?

Agensi berita AP menyibarkan gambar Sayed Ghulam seorang petani di wilayah Helmand, Afghanistan yang dicungkil matanya oleh sekumpulan lelaki yang dipercayai aktivis Taliban atas tuduhan tali barut kerajaan pimpinan Hamid Karzai yang diboneka oleh Amerika Syarikat. Memang Sayed Ghulam tersepit antara tentera kerajaan dan militan Taliban, sama seperti dialami oleh penduduk Tanah Melayu pada period darurat. Misalnya sekitar dekad 1950-an, seorang petani di Kampung Seperi, Jelebu, Negeri Sembilan dituduh menjadi tali barut komunis oleh tentera kerajaan British, sebaliknya ketika Askar Melayu diserang hendap di hutan Jelondong, petani-petani di Kampung Seperi memberikan perlindungan (sila rujuk buku ‘Askar Melayu 50 Tahun’, Pustaka Budiman, 1983).

Motif agensi berita barat sekadar mahu menggambarkan keganasan pejuang Islam menerusi pembabitan Taliban. Agensi berita barat sengaja menyembunyikan kekejaman Amerika Syarikat (AS) di bawah kebangsatan George W Bush terhadap tahanan di Abu Ghareif di Iraq dan di Guantinamou. AS sekadar menghukum tentera yang terbabit, setelah kumpulan hak asasi manusia membuat pendedahan. 200 orang tak berdosa dalam pengeboman di Bali, Indonesia dilaporkan sebagai keganasan Imam Samudra, tetapi beribu-ribu orang awam di Iraq dan Afghanistan tak berdosa terbunuh akibat kebangsatan George Bush disifatkan sebagai isu yang berbeza. Ironinya, media arus perdana tempatan berlagak sebagai berperi kemanusiaan, apabila turut menyibarkan gambar dari agensi berita barat mengenai kekejaman di Afghanistan.

Satu ketika dulu sekitar dekad 1980-an media arus perdana tempatan juga menganggap insiden di Mamali sebagai keganasan penduduk terbabit dengan menyembunyikan fakta mereka semua mangsa tak bersenjata. Bagi agensi berita barat, keganasan ialah apabila tentera mereka dibunuh sekalipun misi yang dijalankan menceroboh, atau seperti insiden J.W.W. Birch dibunuh oleh Si Putom di Pasir Salak. Sebaliknya apabila tentera mereka membunuh beratus-ratus pejuang Melayu, sama ada pada 1831, 1874, 1892, 1915 atau 1928 ianya tak ganas, tetapi disebabkan pejuang-pejuang terbabit ‘penderhaka’. Saddam Hussein yang dilabel ‘ganas’ sudah pun dihukum mati, tetapi kenapa keganasan masih berterusan di Iraq. Justeru apa logiknya menganggap Taliban pengganas, kalau sekadar membaca laporan media barat. Alahai!

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA

NAJIB PERLU 33 PENCALONAN LAGI
UNTUK MENAFIKAN PELUANG KU LI

Bekas Menteri Perdagangan dan Perindustrian, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah masih belum menerima pencalonan sehingga hari ini (27 Oktober 2008) bagi merebut jawatan Presiden UMNO, Mac 2009 ini. Selepas berakhir Mesyuarat Agung sejumlah 101 Bahagian UMNO, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak menerima 101 pencalonan dengan memerlukan 33 pencalonan lagi bagi menafikan peluang Tengku Razaleigh. Sekalipun penyokong-penyokong Tengku Razaleigh yakin melepasi kuota 58 pencalonan sebelum ini, tetapi senario semakin sukar diramal berikutan keputusan yang dibuat oleh Bahagian-Bahagian UMNO. Malah calon-calon yang dianggap proksi bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendominan pencalonan bagi jawatan-jawatan penting termasuk Naib Presiden dan Ketua Pemuda.

Berikutan kemenangan calon-calon proksi Tun Dr Mahathir, suara di kalangan UMNO juga condong kepada agenda yang belum selesai pernah disebut oleh bekas Presiden UMNO itu. Pembelajaran Bahasa Inggeris bagi subjek matematik dan sains di sekolah-sekolah yang diwajibkan pada period pentadbiran Tun Dr Mahathir, mula mahu dipertahankankan. Mungkin sahaja dasar pentadbiran Tun Dr Mahathir akan diberi prioriti selepas Mac 2009, termasuk menolak Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang menjadi harapan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini. Justeru banyak pihak merumuskan saranan Tun Dr Mahathir mahu mewujudkan ‘Majlis Presiden’ dalam UMNO merujuk jawatan pengerusi majlis berkenaan akan diterajui oleh Tun Dr Mahathir. Barangkali!

INFO SASTERA & BUDAYA

NOVEL ‘SAINS FIKSYEN’
JAUH DI PULAU RAHSIA
Oleh: Ikram Hafiz

(Sebelum memasuki Unisel pada Mei 2008, Allahyarham Ikram Hafiz bukan sahaja berbakat dalam kraftangan dan elektrikal ketika belajar di Sekolah Menengah Teknik Gombak, malah terbabit dalam karya kreatif. Ikram Hafiz pernah menghasilkan novel sains fiksyen pada 2007, ketika membuat kerja sambilan menjual burger. Hanya sebuah sahaja novel yang dihasilkannya, dan diterbitkan oleh Mulya Utama Enterprises, Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor. Mulai sekarang, novel karya Ikram Hafiz dimuatkan dalam laman blog ini).

(sambungan kelmarin…)

(25)

8
MELAWAN IDEA MUSUH

DULU MACAM AUR DEGAN TEBING:
KEKUATAN TENTERA ALLAH SUKAR DILAWAN

MEMANG laungan Si Tongkol didengar oleh Bapak Profesor yang bersembunyi dalam bilik operasinya di bawah terumbu batu karang. Sistem pantulan cahaya yang dipasang di segenap pelusuk pulau kecil berkenaan memudahkan dia memantau pergerakan lawan. Sebab itu Si Tongkol tak terburu-buru melarikan diri ke dalam bot di kaki bukit terumbu karang itu.

“Dulu memang kita macam aur dengan tebing, tapi sekarang tentera bonek aku sudah cukup kuat,” lantas kedengaran Bapak Profesor menyahut menerusi objek tentera-tentera boneka di pintu gua.

“Tentera Allah lebih kuat, kamu lihat sahaja ombak tsunami hampir 400,000 nyawa terkorban,” Si Tongkol lebih bersemangat.

“Kamu jangan mengubah topik, kolonel!” kata Bapak Profesor ketawa mengejek. “Sekarang persaingan antara kita berdua, bukan babitkan Allah SWT,” ujarnya terus terkekeh-kekeh ketawa.

“Saya tahu perang teknologi kamu, mahu tewaskan strategi manusia,” sahut Si Tongkol melaung kuat. “Maknanya kamu mahu perkecilkan Allah, yang berikan akal fikiran melalui otak manusia,” tegasnya ingatkan orang tua berkenaan. Lantas dia sebut fasal ‘hippocompus’ yang boleh melakukan perubahan ‘neural’ dalam otak manusia.

Tetapi Bapak Profesor tetap terkekeh-kekeh ketawa. Sengaja dia mengejek Si Tongkol fasal stor memori yang berubah sekiranya belaku kerosakan hippocompus. Ketika itu dia tak bimbang berhadapan dengan Si Tongkol sekadar doktor perubatan yang terbabit dalam ketenteraan.

“Sejak bila kamu tahu mengenai hemoglobin darah, mahu bercakap fasal neorologo?” Bapak Profesor masih ketawa besar megejek Si Tongkol.

Tiba-tiba pula ketawa Bapak Profesor terhenti, sebaik sahaja dapat saya tumbangkan salah satu objek boneka di pintu gua secara tertangkup. Ternyata boneka berkenaan tak mampu berdiri semula disebabkan pantulan cahaya matahari tak menyinggahi ke mata. Beberapa objek boneka cuba membantu, tetapi cepat-cepat Mail Kengkang menolong saya mengheret objek boneka berkenaan masuk ke dalam gua.

Abang Din, Usin Sodok dan Sahak Salai juga turut membantu mengheret objek boneka berat macam balang gas memasak itu jauh ke dalam gua. Sengaja objek tersebut saya telungkupkan supaya matanya tak disilau pantulan cahaya matahari di luar. Sebaliknya rakan-rakan tentera boneka di luar gua tak dapat masuk kerana keadaan di dalam yang gelap tak kelihatan pantulan cahaya.

Selepas saya semburkan cecair arsenik berwarna hitam ke mata tentera bonek yang ditawan, barulah objek berkenaan diterlentangkan. Tak bertangguh pula saya membuka ruang dadanya mengeluarkan wayar gear pacu dan gear terpacu yang dipantau oleh alat kawalan jauh itu. Memang wayar itu disambungkan pada keluli iaitu dengan usur-unsur molekul alkena bagi mendapatkan pantulan cahaya.

“Awasi anasir dinamit dalam boneka berkomputer tu, Hang Jebat,” Si Tongkol bergurau setelah mendengar kawan-kawan memanggil saya Hang Jebat. “Pakcik tahu sejak mula berjumpa, memang kamu pantas (patut) menjadi wira,” katanya tersenyum sekalipun terpaksa menahan kesakitan.

Tetapi anasir dinamit itu sekadar atom yang mudah meledak apabila tergesel dengan bahan bakar. Justeru saya pindahkan anasir dinamit itu kepada unsur dinamo melalui putaran keluli. Ketika itu kedengaran Bapak Profesor berulang kali membentak marah.

(* Kreativiti Ikram Hafiz menggambarkan keadaan di lokap polis Selayang, ketika dia bersama kawan-kawannya ditahan berikutan kes pergaduhan apabila bertindak balas selepas wang jualan burgernya disamun, tetapi dituduh merusuh. Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Teng Chang Khim – sekarang Speaker DUN Selangor, dan Wee Choo Keong – sekarang Ahli Parlimen Wangsa Maju, turut campur tangan bagi membebaskan Ikram Hafiz dan rakan-rakannya yang ditahan selama lima hari).

(bersambung)

PUISI LAMA

Anak Ayam Turun Sepuluh
(dengan apologi)


Anak ayam turun sepuluh
mati seekor tinggal sembilan
Najib geram Muhyiddin mengeluh
Pak Lah berdengkur hati terkilan.

Anak ayam turun sembilan
mati seekor tinggal delapan
Ku Li dendam rasa terkilan
UMNO akur ikut ketetapan.

Anak ayam turun delapan
mati seekor tinggal tujuh
Anwar seram mahu berdepan
takut tersungkur kerana gelojoh.

Anak ayam turun tujuh
mati seekor tinggal enam
Mahathir pitam ketika tengkujuh
Mukhriz menghambur sebelum terbenam.

Anak ayam turun enam
mati seekor tinggal lima
Khairy demam hampir terjunam
memang mujur kouta diterima.

Anak ayam turun lima
mati seekor tinggal empat
Hishamuddin melaram dicalon sama
Hamid Albar turut mendapat.

Anak ayam turun empat
mati seekor tinggal tiga
Khir Toyo tergamam mendapat tempat
Pemuda tafakur mahu berlaga.

Anak ayam turun tiga
mati seekor tinggal dua
UMNO demam kerana diduga
akan bertempur asal bersua

Anak ayam turun dua
mati seekor tinggal satu
kalau haram kali kedua
UMNO terkubur menjadi hantu!

-Cicit Tok Azit
Pelangai, Pahang.
27 Oktober 2008.

FAKTA YANG PERLU DIKETAHUI
BUKAN SEKADAR CATATAN SEJARAH

‘Budi Bahasa Budaya Kita’ menjadi motto Kementerian Perpaduan Kebudayaan Kesenian dan Warisan (dulu ketika ianya dinamakan Kementerian Kesenian Kebudayaan dan Warisan, bangkitlah aktivis budaya mahukan ‘kebudayaan’ didahulukan, justeru kerajaan bersetuju menukar kepada Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan, tetapi sekarang kenapa ‘Perpaduan’ didahulukan, kerana ‘Kebudayaan’ sendiri sudah merangkumi ‘Perpaduan’? Aduhai!). Sayangnya, dalam membentangkan fakta sejarah Istana Budaya, kementerian terbabit (lihat kepilan ‘Warna’ bersama Utusan Malaysia; 27 Oktober 2008), seolah-olah tak berbudi bahasa, hingga tak merujuk ucapan bekas Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Idris sempena Hati Sastera di Ipoh pada April 1980. Laporan Berita Minggu 27 April 1980:

“Di peringkat kementeriannya, Dato’ Abdul Samad (Idris) mengorak langkah penuh kepastian ke arah ini – antaranya Panggung Negara yang tidak lama lagi akan dibina akan diistilahkan ‘Istana Budaya’ supaya sesuai dengan tradisi di zaman bahari: BUDAYA DAN ILMU BERPUSAT DI ISTANA. Status pemikiran budaya dan ilmu, baginya perlu diletakkan ditaraf paling tinggi dan dimuliakan masyarakat. Di sini beliau menyeru budayawan, sasterawan dan bangsa Melayu seluruhnya memikul bersama tanggungjawab memelihara kebudayaan Melayu.” (Maknanya, siapa yang menamakan ‘Istana Budaya’ dan sebab-sebabnya dinamakan begitu, perlu diketahui oleh orang Melayu bagi mengelak berlakunya kebangsatan pemikiran – apabila ianya ditukar daripada Panggung Negara kepada Istana Budaya pada 1980).

INFO SUARA PROLITAR

JEMPUT IDOLA KE MAJLIS KAHWIN
KEIKHLASAN MAWI PERLU DIPERSOAL

Ini bukan SMS saya, tapi daripada siapa pun tak tahu, nombornya tak timbul. Mawi kata dia jemput Pak Lah (ke majlis kahwinnya), Nik Aziz (Dato’ Nik Abdul Aziz) dan Anwar (Dato’ Seri Anwar Ibrahim), konon idolanya. Iya ke? Bukan takut hilang heh heh heh ke? Tak sangka ada huh huh huh, heh heh heh, hah hah hah jadi idola Mawi. Betul-betul raya sakan AKK tahun ni, tak henti-henti saudara mara datang beraya melawat. Macam mana AKK nak berihat? Heh heh heh!

Entah-entah Mawi diperguna, Anwar kan suka gunakan belia-belia dan anak-anak muda sebagai penyokong. Tengoklah ‘Keadilan’ punyalah ramai belia-belia fanatik sokong dia sanggup berdemo. Sokong tanpa hala tuju dan tahu kebenaran. Patutnya ada orang nasihatkan Mawi jangan campur hal politik. Jemput Yang Dipertuan Agong atau Perdana Menteri aje. Mesti berpijak dibumi nyata. Nik Aziz ok juga, tapi bukan Anwar. Mawi ramai pengikutnya. – (SMS; 26 Oktober 2008; 16:32:46 – Ina, Selayang Baru, Selangor).

LONGGOKAN SAMPAH DI HUTAN MELINTANG
LEGASI PENDUDUK DI KAWASAN PERUMAHAN

Lihatlah gambar foto yang disertakan bersama ini. Sekali pandang ianya perkara biasa sahaja, tetapi renung-renunglah. Lokasi ini jalanraya menghubungkan Hutan Melintang ke Bagan Datoh di Hilir Perak. Di tepi jalan ini longgokan sampah hingga menjadikan ianya tempat pembuangan sisa toksid. Sejak wakil rakyatnya dari BN, hingga sekarang sudah bertukar kepada PKR, longgokan sampah terus menjadi legasi penduduk-penduduk kawasan perumahan di Hutan Melintang. Bukan sahaja menyakitkan mata memandang, malah berbau busuk dan mengganggu kenderaan. Kalau ADUNnya dari PKR, Ahli Parlimennya UMNO, nak bertanding pula jawatan Naib Presiden UMNO. Kena prihatin sikit dengan masalah rakyat. – (SMS; 26 Oktober 2008; 16:47:51 – Wak Soro, Hutan Melintang, Perak).

PERANGKAP SAMAN DI SABAK BERNAM
KELAJUAN 80 KSJ KELIRUKAN PENGGUNA

Nak kata sakit hati, tak pula. Tapi terkilan juga, apabila kereta dalam kelajuan 80 ksj kena saman. Rupa-rupanya macam jerangkap samarlah pula, kalau melalui jalanraya di Sabak Bernam. Dari Sekincan sebelum sampai Simpang Lima (berhadapan Sekolah Agama Simpang Lima), anda mendapati had laju ialah 90 ksj, tetapi tak semena-mena bertukar kepada 60 ksj. Pengguna jalanraya akan keliru dengan perubahan mendadak itu. Satu kilometer selepas itu kembali kepada 90 ksj, dan kemudiannya balik kepada 60 ksj. Kalau had laju dijalanraya diletakkan berserabut, pengguna jalanraya lebih lagilah kelam kabut. Saya kirimkan gambar ini, untuk tindakan pihak yang memantau had laju di Sabak Bernam. – (SMS; 26 Oktober 2008; 17:28:09 – Mangsa Saman, Kelang, Selangor).

HARGA KELAPA MEMANG BERBALOI
GANGGUAN BABI LIAR MERUNSINGKAN.

Pekebun-pekebun kecil kelapa di Bagan Datoh, Perak bersyukur harga komoditi itu meningkat hingga RM1.20 sebiji sekarang. Tak pernah lagi harga komoditi kelapa naik melambung tinggi. Tetapi dalam keadaan gawat sekarang, harga kelapa RM1.20 sebiji memang menggembirakan. Bagaimanapun dalam kegembiraan itu, pekebun-pekebun kecil kelapa berhadapan dengan gangguan babi-babi liar. Spesies babi liar akan memakan buah kelapa yang gugur, sebelum sempat pekebun-pekebun kecil mengutip. Babi-babi liar ini beranak pinak dalam belukar piai bersebelahan. Bersama ini dikirimkan foto belukar piai lokasi babi-babi liar itu membiak.

Aduan sudah dibuat kepada jabatan pertanian dan pejabat Ahli Parlimen. Tetapi babi-babi liar terus bermaharajalela. Selagi tak ada sebarang peraturan bagi mengambil tindakan kepada pekebun-pekebun yang tak mengusahakan tanah mereka, isu babi-babi liar tak akan selesai. Spesies tersebut beranak pinak dalam belukar piai di kawasan tanah terbiar. Sikap tak prihatin pemilik-pemilik tanah berkenaan, menyebabkan pekebun-pekebun kecil di sekitarnya mengalami kerugian. Kerajaan dan jabatan pertanian perlu mencari formula bagi mengatasi masalah pekebun-pekebun kecil kelapa ini. Peraturan perlu dibuat bagi memantau pemilik-pemilik tanah yang cuai itu. – (SMS; 27 Oktober 2008; 11:28:46 – Anjang Sam, Bagan Datoh, Perak).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

HULUBALANG BAHASA BERDIAM DIRI
PERIHAL PAPAN TANDA JALAN DI P PINANG

Sebermula akan kerajaan negeri di Pulau Pinang itu mahukan papan tanda jalan ditulis dalam bahasa lain di samping Bahasa Melayu, kerana bimbang pelancong-pelancong luar yang datang ke negeri Melayu tak memahami nama-nama jalan berkenaan. Arakian akan anak cucu fakir memberitahu, mereka juga tak melihat tulisan dalam Bahasa Melayu, Cina atau India ketika berada di negeri atas angin, adanya. Adapun bekas Orangkaya Tangkak, Dato’ Ahmad Arshad tidaklah ia bercakap dalam bahasa atas angin, ketika berucap dalam perjumpaan besar di dunia (persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu) suatu masa dahulu. Tersebutlah alkisah akan bekas Orangkaya Ketua Menteri Tun (Tabib) Lim Chong Eu juga mahu menggunakan empat bahasa pada papan tanda jalan semasa ia mula memerintah negeri itu (iaitu 1969). Tetapi bekas Orangkaya itu memahami akan perasaan sekalian rakyat jelata, maka dibatalkan akan kasadnya.

Syahdan berdiam dirilah segala hulubalang bahasa. Tak kedengaran kepada fakir akan Pendeta (Mahaguru) Tan Sri Ismail Hussein, ketua segala penulis (Gapena) itu bangun menyanggah akan hasrat kerajaan negeri Pulau Pinang mahu menggunakan bahasa lain pada papan tanda jalan. Maka terlalu marah bekas Mahaguru di pengajian tinggi (bekas Timbalan Naib Canselor HEP, UTM) Dato’ (Mahaguru) Mohd Mansor Abdullah akan perihal merendah-rendahkan Bahasa Melayu oleh kerajaan negeri Pulau Pinang itu. Tak diketahui pula fakir akan Orangkaya Permatang Pauh Dato’ Seri Anwar Ibrahim sama ada orangkaya itu marah ataupun tidak. Sebermula segala anak cucu fakir seperti Haji Yahaya Ismail, Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz, Haji Sayuti Omar, Dato’ Ruhanie Ahmad, Dinsman, Haji Abu Bakar Ninggal, Sallehuddin Hisham, S.H. Alattas, Norzah Haji Kepol, Yassinsalleh, Zakaria Bidin, Dato’ Aziz Chemor semuanya tak bersetuju Bahasa Melayu itu dipandang rendah.

Arakian akan segala anak tua-tuan itu berkata, ‘Apa kita buat bertunggu di balairong diam-diam sahaja, baik juga kita membaca hikayat perang, supaya kita beroleh faedah daripadanya.’ Maka Tun Muhammad Unta, ‘Benar kata tuan-tuan itu, baiklah Tun Indera Segara pergi memohonkan Hikayat Muhammad Hanafiah, sembahkan mudah-mudahan dapat patik-patik itu mengambil faedah daripadanya, kerana Feringgi akan melanggar esok hari.’ Syahdan Tun Indera Segara pun masuk menghadap Sultan Ahmad. Maka segala sembah orang itu semuanya dipersembahkan ke bawah duli Sultan Ahmad. Maka oleh Sultan Ahmad dianugerahi Hikayat Amir Hamzah. Sebermula titah Sultan Ahmad pada Tun Indera Segara, ‘Hendak kita berikan Hikayat Muhammad Ali Hanafiah takut tak terikut beraninya, dapat seperti Amir Hamzah pun cukuplah.’ Adapun anak Melayu itu sejak zaman Melaka lagi sudah banyak membaca, bukanlah mereka tak tahu membaca seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:

HIDUP BAHASA MELAYU!

No comments:

Post a Comment