Tuesday, October 28, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


DARI LAMAN BLOG

DEBAT TERBUKA PIMPINAN PEMUDA
DR KHIR TOYO MELONJAK DAN MARA

Assalamualaikum,


Cabaran yang dibuat calon Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin bagi menggerakkan debat terbuka, seolah-olah melembabkan pencalonan ke atas pendahulu pesaingnya Dato’ Mukhriz Tun Dr Mahathir. Malah Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo yang menyambut cabaran Khairy juga bukan sahaja melepasi kouta pencalonan, malah terus menerima sokongan luar biasa. Sebaliknya Dato’ Mukhriz yang enggan berdebat, tiba-tiba menghadapi laluan lembab, ketika dua pesaingnya menerima pencalonan yang laju, maju dan teraju! Fenomena berkenaan seolah-olah mengimbau kembali persaingan bagi jawatan Ketua Pemuda pada 1982, apabila calonnya Dato’ Seri Anwar Ibrahim mencabar Dato’ Suhaimi Kamaruddin berdebat. Berikutan keengganan Dato’ Suhaimi berdebat, beliau tewas dengan majoriti 10 undi sekalipun menerima pencalonan yang banyak.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Dato’ Mustapha Mohamad pula mendakwa belum tiba masanya bagi UMNO menggerakkan perdebatan. Ironinya, kalau sekarang masih belum tiba masanya setelah 51 tahun merdeka, bilakah pula masa yang dinanti-nanti itu akan tiba? Tun Dr Mahathir Mohamad juga dilaporkan tak bersetuju digerakkan debat berkenaan, mungkin sahaja menyedari Dato’ Mukhriz bukanlah pemidato yang mampu berdebat. Apalagi isu debat pimpinan politik bukanlah perkara baru, malah sudah digerakkan sejak dekad 1960-an yang dipelopori oleh bekas Presiden Gerakan Profesor Syed Hussein al-Attas (Allahyarham). Ketika itu sasarannya ialah Menteri Pelajaran, Tan Sri Khir Johari (Allahyarham) dalm isu dasar pendidikan kebangsaan.

Bagaimanapun Tan Sri Khir enggan berdebat, sebaliknya menyambut cabaran tersebut dengan mencadangkan Tun Dr Mahathir, pengerusi biro pendidikan UMNO ketika itu menghadapi Profesor Syed Hussein. Sebaliknya Tun Dr Mahathir sendiri menyalahkan Tan Sri Khir yang mahukan perdebatan tersebut. Maknanya, sejak dekad 1960-an lagi Tun Dr Mahathir enggan menggerakkan perdebatan terbuka dalam isu politik. Justeru kesediaan Dato’ Seri Mohd Khir berdebat melonjakkan kualiti pimpinannya kepada perwakilan Pemuda UMNO apabila melepasi kouta pada 27 Oktober 2008, ketika beliau ketinggalan dengan 36 pencalonan sahaja. Khairy pula membuat cabaran untuk berdebat sebaik sahaja melepasi kouta 39 pencalonan. Begitulah!

Berikutan keengganan Dato’ Mukhriz menerima cabaran berdebat, beliau yang mendahului dengan 68 pencalonan sebelumnya, sekadar menambah dua pencalonan menjadi 70 pada 28 Oktober 2008. Berbeza dengan Dato’ Seri Dr Mohd Khir yang bersedia untuk berdebat melonjak kepada 47 pencalonan pada 27 Oktober 2008, malah memintas Khairy sekadar 46 pencalonan. Bagaimanapun pada 28 Oktober 2008, Khairy kembali mendahului Dato’ Seri Dr Mohd Khir dengan 48-47, di samping Dato’ Mukhriz kekal 70 pencalonan. Sekiranya Khairy dan Dato’ Seri Dr Mohd Khir mampu memintas Dato’ Mukhriz dalam persaingan seterusnya, maknanya isu debat terbuka mampu memutar jarum arloji kepada ‘cencaru makan petang’. Heh heh heh!

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA


UMNO TOLAK PEJUANG PROLITAR
TREND PENCALONAN PIMPINAN TERTINGGI.

Bekas Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan di Parlimen (BBC) Dato’ Ruhanie Ahmad masih belum menerima sebarang pencalonan bagi jawatan MT UMNO hingga setakat hari ini (28 Oktober 2008), sekalipun beliau sudah mengumumkan menawar diri, kata aktivis budaya Yassinsalleh. Beliau melahirkan rasa terkilan dengan budaya UMNO sekarang lebih mementingkan ‘politik wang’, berbanding keikhlasan perjuangan apabila Dato’ Ruhanie (Ron) dianggap sebagai pejuang prolitar (marhaen) iaitu kelas bawahan. Menurut Yassinalleh, sepanjang perkhidmatan Dato’ Ron sebagai Pengerusi BBC, beliau merupakan Ahli Parlimen UMNO yang disegani oleh pihak pembangkang, apabila hujah-hujahnya mempunai fakta yang sukar ditangkis lawan. “Kalau UMNO meneruskan budaya menolak tokoh yang berprinsip, UMNO akan menjadi denosour,” beritahu Yassinsalleh selanjutnya.

Selasa lalu (21 Oktober 2008) Dato’ Ron mengumumkan menawar diri bertanding jawatan MT UMNO, Mac 2009 nanti sekalipun terlambat membuat keputusan tersebut. Dato’ Ron membuat tawaran tersebut selepas merasakan perlunya ‘pemikiran alternatif’ dalam MT UMNO, disamping kewajaran penulis laman blog diwakili menerusi pimpinan tertinggi UMNO. Justeru Yassinsalleh menambah, Bahagian-Bahagian UMNO yang masih belum mengadakan mesyuarat agung perlu mengambil langkah positif dengan mencalonkan Dato’ Ron bagi mengisi jawatan MT untuk memberi perimbangan dalam kesinambungan perjuangan bangsa. Setakat 28 Oktober 2008 Dato’ Noh Omar dilihat menerima pencalonan tertinggi bagi jawatan MT dengan 90 pencalonan. “Sekiranya UMNO mahu berubah perlulah membawa perubahan secara keseluruhan,” ujar Yassinsalleh menambah.

DBP WAJAR DIBERI KUASA KHAS
DAKWA SESIAPA PERLEKEH BAHASA

Penulis laman blog Sallehuddin Hashim mahukan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diberi kuasa menerusi undang-undang bagi mengambil langkah positif dalam isu Bahasa Melayu. Katanya, selagi tak diwujudkan agensi yang berfungsi mengawal selia Bahasa Melayu di bawah peraturan undang-undang, pelbagai pihak boleh melakukan tindakan sewenang-wenang memperlekeh Bahasa Melayu. Seterusnya Sallehuddin menambah, tak ada gunanya di mulut mengakui Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, tetapi tingkah laku memperlekeh kedaulatannya. Sallehuddin memberitahu demikian ketika mengulas langkah kerajaan negeri di Pulau Pinang mahu menggunakan empat bahasa bagi papan tanda jalan atas alasan negeri berkenaan sudah diiktiraf sebagai ‘tapak warisan’. “Memang aneh apabila sudah diiktiraf tapak warisan, ianya perlu memperlekeh Bahasa Melayu,” kata Sallehuddin.

Sementara itu Jurucakap PRIMA, Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz menyifatkan langkah menggunakan empat bahasa bagi papan tanda di Pulau Pinang bukan sahaja memperlekeh Bahasa Melayu, malah secara terbuka kerajaan negeri Pulau Pinang sudah menerima pandangan Ketua Wanita Gerakan, Dato’ Tan Lian Hoe iaitu orang Melayu juga golongan imigran. Maknanya beritahu Dato’ Kamal Amir, orang Melayu menerima nasib Pak Kaduk ‘ayam menang kampung tergadai’ atau menjadi dagang di negeri sendiri. Seterusnya Dato’ Kamal Amir menggesa orang Melayu menerima ‘Deklarasi Janda Baik’ yang dirumuskan oleh penulis-penulis Melayu pada 26 Oktober 2008 lalu (sila rujuk http://msomelayu.blogspot.com/). “PRIMA menyokong ‘Deklarasi Janda Baik’ dan resolusi pada 21 Oktober 2008 di Kuala Lumpur,” beritahu Dato’ Kamal Amir.

INFO SASTERA & BUDAYA

NOVEL
‘SAINS FIKSYEN’
JAUH DI PULAU RAHSIA
Oleh: Ikram Hafiz
(Sebelum memasuki Unisel pada Mei 2008, Allahyarham Ikram Hafiz bukan sahaja berbakat dalam kraftangan dan elektrikal ketika belajar di Sekolah Menengah Teknik Gombak, malah terbabit dalam karya kreatif. Ikram Hafiz pernah menghasilkan novel sains fiksyen pada 2007, ketika membuat kerja sambilan menjual burger. Hanya sebuah sahaja novel yang dihasilkannya, dan diterbitkan oleh Mulya Utama Enterprises, Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor. Mulai sekarang, novel karya Ikram Hafiz dimuatkan dalam laman blog ini).

(sambungan kelmarin…)

(26)

9
DENDAM BAPAK PROFESOR

DALAM KURUNGAN JADI TIKUS:
DI LUAR TUNJUK GAGAH PERKASA

BILIK makmal yang lengkap dengan peralatan teknologi tak ubah macam bilik kurungan juga. Pintu masuk ke bilik makmal berkenaan hanya dinding logam tungsten itu sahaja. Sekiranya dinding keluli padu itu berganjak ke tepi macam grill ditolak, barulah pintu ternganga. Tetapi sebahagian kecil dinding berkenaan sudah terbelengot bagaikan zink terpokah.

Ketika dinding kebal itu terbuka, Bapak Profesor tak terus membolos masuk. Dia berhenti sejenak memerhati bahagian dinding berkenaan yang terbelengot. Mendengus marah Bapak Profesor setelah menyedari kekebalannya mula tergugat. Tak disangka dinding keluli padu daripada logam tungsten itu boleh dimusnahkan.

“Aku beri tempoh 24 jam pada Kolonel Si Tongkol, kalau dia tak menyerah kamu semua akan dibunuh!” jerkah Bapak Profesor memerhati tiga orang tawanan yang terikat kaki dan tangan. Mereka tak mampu melawan disebabkan gari yang mencengkam pada pergelangan kaki dan tangan tak boleh dibuka. Suiznya terletak pada punat butang di tangan Bapak Profesor.

Tentera boneka yang berkawal tak banyak di dalam bilik makmal itu. Setiap tawan dikawal dua objek tentera boneka yang sentiasa dipantau oleh Bapak Profesor. Sebab itu para tawanan sekadar terlentang sahaja di katil menyerahkan diri kepada takdir Illahi.

“Di luar kamu seorang yang garang, kenapa di sini macam tikus?” Bapak Profesor membentak ketika melintasi katil Jojo.

Lelaki berketurunan India itu tak menyahut. Dia terkebil-kebil mata kerana terlalu ketakutan. Ketika itu dia merasakan dirinya memang kerdil. Bukan lagi pelaut yang gagah mengharung ombak bergelora. Kalau kebiasaannya dia menyergah tawanan dalam bilik kurungan, tetapi ketika itu dia sendiri dibuli oleh Bapak Profesor.

“Kenapa dia tak berani bersuara, apa kamu sudah bisu?” segera Bapak Profesor menampar pipi Jojo. “Nah, sekarang tunjukkan diri kamu anak jantan, opportunis!” sindirnya dengan menyimpan dendam.

Memang lama dia berdendam pada lelaki berkenaan. Sejak dicolek ketika masih lagi mengajar di Institut Teknologi Bandung, memang Jojo ikut terbabit. Lelaki itu sentiasa mengherdik asal sahaja dia merayu meminta simpati. Ketika dipaksa bekerja di institusi jana teknologi bawah tanah di Sweden pun, Jojo tetap berlagak keras terhadapnya.

Setiap kali berpindah randah di pekan-pekan kecil di utara benua Eropah itu, memang Jojo yang mengawal pergerakannya. Jojo akan membentak sekiranya dia enggan lakukan kerja-kerja mengikut jadual kumpulan gerila berkenaan.

Apabila dia dapat membolos diri dari kawalan setelah dibantu oleh Si Tongkol, tiba-tiba Jojo ikut sama menyertai kumpulan bekas kolonel tentera itu. Tahu sangat Bapak Profesor mengenai pakatan Si Tongkol seludupkan senjata api. Memang dia sendiri bangunkan jana teknologi di pulau kecil itu. Dia hasilkan objek tentera-tentera boneka terlebih dahulu, sebelum membina kilang senjata.

“Bapak Profesor tak wajar berdendam, saya hanya laksanakan tugas aje!” sahut Jojo menyedari orang tua itu menyimpan dendam terhadapnya.

“Laksana tugas mahu tunjuk kuasa, begitu?” Bapak Profesor mengherdik kuat. “Sekarang kamu boleh laksanakan tugas dan tunjukkan kuasa sekaligus!” sekali lagi Bapak Profesor menampar pipi lelaki tersebut.

(* Kreativiti Ikram Hafiz menggambarkan keadaan di lokap polis Selayang, ketika dia bersama kawan-kawannya ditahan berikutan kes pergaduhan apabila bertindak balas selepas wang jualan burgernya disamun, tetapi dituduh merusuh. Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Teng Chang Khim – sekarang Speaker DUN Selangor, dan Wee Choo Keong – sekarang Ahli Parlimen Wangsa Maju, turut campur tangan bagi membebaskan Ikram Hafiz dan rakan-rakannya yang ditahan selama lima hari).

(bersambung)


PUISI LAMA

Pembetulan Pantun Melayu

Anak indung anak ketitir
Anak merbah terlompat-lompat
Yang dikendong habis tercicir
Yang dikejar haram tak dapat.

Yang betulnya:

Anak indung anak ketitir
anak merbah terlompat-lompat
UMNO sombong, laluannya getir
PKR megah, harapan mendapat.

Bukit Putus, Rimba Keluang
Direndang jagung hangus berisi
Hukum putus badan terbuang
Dipandang gunung sama ditangisi.

Yang betulnya:

Bukit Putus, Rimba Keluang
direndang jagung hangus berisi
desas desus pemimpin dibuang
UMNO terdorong hilanglah visi.

Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi baik dikenang juga.

Yang betulnya:

Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
memang padan UMNO berpecah
Najib naik, samalah juga.

Pucuk pauh delima batu
Ikan semilang di tapak tangan
Walaupun jauh beribu batu
Jauh di mata di hati jangan

Yang betulnya:

Pucuk pauh delima batu
ikan semilang di tapak tangan
UMNO jatuh, Melayu bersatu
sejarah hilang dalam angan-angan!

-Alba,
Jelebu, N.S.
28 Oktober 2008.



INFO SUARA PROLITAR

PENDAPATAN PENEROKA RM1,000
DR YUSUFF NOOR DIMINTA KE FELDA

Dalam ‘Selamat Pagi Malaysia’, Pengerusi FELDA Tan Sri Dr Mohd Yusuff Noor beritahu pendapatan peneroka Felda tak kurang RM1,000 sebulan, walaupun harga pasaran dunia getah dan kelapa sawit jatuh. Sebaik-baiknya elok juga Tan Sri Dr Mohd Yusuff tinggal bersama peneroka dalam tempoh sebulan. Sekarang ini musim hujan, berapa hari sahaja peneroka boleh menoreh. Peneroka nak kerja di luar jadi pemandu lori atau bas ekspres, tentulah tak boleh. Tak siapa nak ambil pekerja sebulan dua sahaja.Gali kolam ikan pun tak berbaloi, sebab makanan ikan dah mahal. – (SMS; 28 Oktober 2008; 16:33:42 – Sali Long, Felda Titi, Jelebu).

SIAPA AGAKNYA AKAN DISALAHKAN
KALAU INSIDEN TAK DIINGINI BERLAKU?

Sekolah Menengah Hillcrest di Taman Seri Gombak, melancarkan kutipan derma bacathon.Pelajar-pelajar perempuan disuruh mengutip derma rumah ke rumah. Setiap pelajar perlu kutip tak kurang daripada RM30. Apabila pelajar dapat kutip RM20 sahaja, wang diambil kad dipulangkan. Suruh kutip lagi RM10. Pelajar-pelajar ini pergilah rumah ke rumah. Kalau berlaku insiden seperti Allahyarham adik Nurin Jasmin atau adik Sharlinie, siapa agaknya akan disalahkan. Guru-guru nak cari nama pada jabatan pelajaran, pelajar-pelajar disuruh jadi pecacai, begitukah? – (SMS; 28 Oktober 2008; 18:21:51 – Din Shah, Taman Seri Gombak, Batu Caves)

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

ORANGKAYA KUALA KANGSAR DIDESAK
FIKIR SEMULA PERIHAL PERALIHAN KUASA

Sebermula tersebutlah perkataan ketua segala perempuan akan harakah Melayu (UMNO) itu, Orangkaya Tan Sri Rafidah Aziz mendiamkan diri sahaja apabila diminta oleh orang banyak memikirkan perihal peralihan kuasa (sebenarnya silalah berundur). Arakian akan Orangkaya Tan Sri Rafidah percayalah ia segala perempuan harakah Melayu akan terus menyokongnya. Adapun ia masih lagi Orangkaya Kuala Kangsar; tak sama dengan bekas Orangkaya Dato’ Seri Shahrizat Abdul Jalil kalahlah ia untuk jadi Orangkaya di Lembah Pantai. Syahdan bekas Orangkaya Tan Sri Aishah Ghani berkatalah ia hari ini 28 Syawal 1429 (28 Oktober 2008), bahawa sekalian anak-anak buah mahukan Dato’ Seri Shahrizat jua, adanya. Arakian, bukanlah bekas Orangnkaya Tan Sri Aishah sahaja berkata begitu, bekas Orangkaya Tun Fatimah Hashim juga turut meminta Tan Sri Rafidah memikirkan semula perihal peralihan kuasa itu, seelok-eloknya biarlah dipercepatkan. Heh heh heh!

Syahdan adapun Tun Fatimah disebut orang raja perempuan besar, tetapi apabila ia hamil dibuangnya. Maka titah Sultan Mahmud dengan Tun Fatimah, ‘Mengapatah maka tuan hami maka dibuangkan? Tiada sukakah tuan beranak dengan beta?’ Maka sahut Tun Fatimah, ‘Apatah kerja raja beranak dengan beta lagi kerana anak raja yang kerajaan telah ada.’ Maka titah Sultan Mahmud, “Jika tuan hamil sekali lagi, janganlah dibuang, jikalau ia laki-laki ialah kita rajakan.’ Telah itu maka Tun Fatimah pun hamillah pula tiadalah dibuangnya. Setelah genap bulannya, maka Tun Fatimah pun beranaklah perempuan, terlalu baik parasnya; serta jadi, disambut oleh Sultan Mahmud, lalu dicium baginda; dinamai Raja Putih, terlalu sangat dikasihi baginda, begitulah perihal kuasa dan pengaruhnya ketua sekalian perempuan itu di zaman dahulu seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:


HIDUP BAHASA MELAYU!

No comments:

Post a Comment