Sunday, November 2, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG


KONVO DI UNISEL JADI PENAWAR:
PENCAPAIAN KAKAK & KEHILANGAN ADIK

Assalamualaikum,


Hari ini (2 November 2008) konvokesyen Universiti Industri Selangor (Unisel) di Bestari Jaya (Batang Berjuntai), anak saya Nurul Salwa turut menerima ijazah dengan Kepujian Kelas Kedua (Tinggi). Memang terasa gembira dengan pencapaian akademiknya dalam bidang pengkomputeran, tetapi masih belum mampu melupakan pemergian permata hati keluarga Ikram Hafiz buat selama-lamanya dalam usaha melanjutkan pengajiannya. Memang kepedihan terasa apabila melalui lokasi nahas jalanraya yang mengorbankan nyawanya, bagaimanapun ketentuan Illahi tak siapa pun mampu menolaknya. Allahyarham Ikram Hafiz memilih Unisel semata-mata mahu mengikuti jejak kakaknya, sekalipun beliau turut menerima tawaran dari UiTM di Shah Alam dan dua lagi IPTS. Alhamdullillah, pencapaian Nurul Salwa mampu menjadi penawar kesedihan keluarga berikutan kehilangan Allahyarham Ikram Hafiz.

Semalam jam 9.30 pagi (1 November 2008; 8.30 pagi waktu Indonesia), mantan Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah menelefon dari Bukittinggi, Sumatera Barat, Indonesia dalam kunjungan bersama isterinya selama seminggu. Memang beliau seronok berkunjung ke Ranah Minang kerana buat pertama kali jejakkan kaki ke bumi yang popular dengan aura Adat Minangkabaunya. Dato’ Dr Mohd Mansor kononnya kagum dengan taklimat yang diberikan mengenai pemakaian Adat Minangkabau memberi perlindungan kepada wanita, sekalipun tak dihebohkan seperti ‘women libs’ di barat. Sekitar dekad 1990-an memang kerap saya ke Bukittinggi bersama Allahyarham Mamak Bandaro (Tan Sri Abdul Samad Idris), di samping ke Padang, Payakumboh, Baso, Batusangkar, Padang Panjang, Danau Maninjau, Danau Singkarak atau Teluk Bayur (yang popular menerusi lagi Ernie Djohan).

PEMIMPIN BERPENGARUH TAK BERKUASA
& PEMIMPIN BERKUASA TAK BERPENGARUH

Isu pemilihan dalam UMNO juga terus menjadi perbincangan di kalangan kawan-kawan selepas 118 Bahagian daripada 192 mengadakan Mesyuarat Agung setakat ini. Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak terus menerima 117 pencalonan, di samping Tengku Razaleigh Hamzah sekadar 1 sahaja, itupun menerusi Bahagian Gua Musang yang sentiasa berdiri teguh di belakang beliau. Memang sukar mahu diramalkan 74 Bahagian lagi, sama ada bersedia atau tidak untuk mencalonkan Tengku Razaleigh antara tokoh UMNO yang setanding dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Musa Hitam pada dekad 1970-an dan 1980-an. Malah ketika memberikan ceramah dalam forum di UKM pada 1995, Menteri Penerangan Dato’ Ahmad Shabery Cheek (Ketua Penerangan PSM46 ketika itu) membuat analitikal antara pemimpin berpengaruh dan pemimpin berkuasa.

Secara kebetulan saya juga dijemput sebagai ahli panel bersama Dato’ Ahmad Shabery dan Dr Harun Taib (PAS), di samping Dr P Ramasamy mempengerusikan majlis anjuran pelajar-pelajar UKM ketika itu. Justeru Dato’ Ahmad Shabery memberitahu, Tengku Razaleigh sebagai contoh pemimpin yang berpengaruh tetapi tak mempunyai kuasa, sebaliknya Tun Dr Mahathir Mohamad pemimpin yang berkuasa tetapi tak mempunyai pengaruh. Sebaliknya ketika saya bersama pimpinan PRIMA membuat kunjungan hormat menemui Tun Dr Mahathir di Yayasan Pimpinan Perdana, Putrajaya pada 2007 beliau mengakui tak mempunyai kuasa. Bagi Tun Dr Mahathir kebobrokan pihak yang berkuasa perlu dihalang menerusi mesej dalam usaha memperbetulkan keadaan. Memang Tengku Razaleigh dan Tun Dr Mahathir sedangkan menyampaikan mesej berkenaan. Dengan satu Bahagian Gua Musang mencalonkan Tengku Razaleigh, sudah cukup menjadi mesej untuk disampaikan. Barangkali!

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA

BAHASA MELAYU MENYATU-PADU:
MEREKA MUFLIS IDEA YANG POLITIKKAN


Pejuang Bahasa Melayu tak pernah mempolitikkan isu bahasa, kerana sejak pra merdeka ianya menjadi alat menyatu padukan gerakan nasionalisme menerusi akhbar-akhbar dan persuratan, beritahu bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah ketika menghubungi sekretariat PRIMA dari Bukittinggi, Sumatera Barat, Indonesia hari ini (1 November 2008). Katanya, yang mempolitikkan isu bahasa ialah orang politik yang muflis idea semata-mata menimbulkan sentimen kaum bagi meraih sokongan. Justeru beliau menambah, masyarakat bukan Melayu tak perlu terpedaya dengan pemikiran politik muflis hingga memutar belitkan fakta. “Pada period kesultanan Melaka pun hubungan perdagangan di peringkat antarabangsa juga adalah menggunakan Bahasa Melayu,” menurut Dato’ Dr Mohd Mansor.

Katanya lagi, berdasarkan beberapa frasa perutusan surat yang dibuat oleh kesultanan Melaka dengan negara-negara luar termasuk Pasai, Gujerat, India, Siam, Majapahit atau China adalah menggunakan Bahasa Melayu. Justeru Dato’ Dr Mohd Mansor menolak sebarang usaha mahu menggunakan empat bahasa ke atas papan tanda seperti yang diumumkan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang. Seterusnya beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor, sekiranya dengan pengisytiharan Pulau Pinang sebagai tapak warisan sejarah menjadi alasan papan tanda jalan perlu menggunakan empat bahasa, bagaimana kalau Alor Setar, Kota Bharu, Kuala Lumpur atau Ipoh juga diisytihar ‘tapak warisan’. “Aktivis bahasa tak pernah mempolitikkan isu bahasa, tetapi aktivis politik yang mempolitikkan isu berkenaan,” kata Dato’ Dr Mohd Mansor menambah.


Memang Bahasa Melayu berperanan sebagai mekanisma menyatu padukan rakyat di negara ini sejak pra merdeka, justeru tak wajar ianya dipolitikkan, jelas penganalisis politik Haji Mohd Sayuti Omar. Beliau bersetuju dengan pandangan Dato’ Dr Mohd Mansor pegisytiharan Pulau Pinang sebagai tapak warisan bukanlah alasan bagi papan tanda jalan di negeri itu menggunakan empat bahasa. Haji Mohd Sayuti yang pernah membuat lawatan ke negara-negara Balkan dan Asia Barat mengakui, pelancong dan pengunjung tetap memahami arah tunjuk jalan berdasarkan papan tanda menggunakan bahasa tempatan sahaja. “Justeru aktivis politik tak seharusnya menjadikan isu bahasa sebagai rangsangan meraih sokongan dengan menjadikan orang bukan Melayu mangsa kerakusan mencari pengaruh,” beritahu Haji Mohd Sayuti.

Beliau seterusnya mengakui terbabit merumuskan ‘Deklarasi Janda Baik’ dalam perjumpaan aktivis bahasa dan penulis-penulis Melayu di Janda Baik, Bentong, Pahang pada 26 Oktober 2008 lalu. Perjumpaan yang dipelopori oleh penulis buku-buku politik kontroversi, S.H.Alattas bersetuju merumuskan 15 perkara yang terkandung dalam deklarasi berkenaan sebagai manifestasi majoriti mangsa Melayu. Menurutnya lagi kandungan 15 Perkara dalam ‘Deklarasi Janda Baik’ boleh dilayari menerusi laman blog http://msomelayu.blogspot.com/ iaitu diluluskan menjadi pendekatan bersama. “Dalam perjumpaan di Janda Baik itu, adalah susulan dari pertemuan di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 21 Oktober 2008, di samping akan dijadikan agenda berterusan dari semasa ke semasa,” katanya.
INFO SASTERA & BUDAYA

NOVEL ‘SAINS FIKSYEN’
JAUH DI PULAU RAHSIA
Oleh: Ikram Hafiz


(Sebelum memasuki Unisel pada Mei 2008, Allahyarham Ikram Hafiz bukan sahaja berbakat dalam kraftangan dan elektrikal ketika belajar di Sekolah Menengah Teknik Gombak, malah terbabit dalam karya kreatif. Ikram Hafiz pernah menghasilkan novel sains fiksyen pada 2007, ketika membuat kerja sambilan menjual burger. Hanya sebuah sahaja novel yang dihasilkannya, dan diterbitkan oleh Mulya Utama Enterprises, Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor. Mulai sekarang, novel karya Ikram Hafiz dimuatkan dalam laman blog ini).

(sambungan kelmarin…)

(27)

9
DENDAM BAPAK PROFESOR

MAHU TEGAKKAN BENANG BASAH:
PERBALAHAN DUA PENYANGAK BONEKA

DALAM masa mereka bertiga terlentang di katil tak boleh bergerak apa-apa, skrin TV di dinding batu terpasang. Tetapi ianya mengalami kerosakan kerana tak berfungsi. Hanya kelihatan garis berjalur-jalur dengan tak menonjolkan gambar di skrin. Suara juga tak kedengaran, kecuali bunyi bising tersekat-sekat bagaikan guruh di udara.

“Kolonel Si Tongkol, dalam tempoh 24 jam kalau kamu tak menyerah, kawan-kawan kamu akan dibunuh!” kedengaran suara Bapak Profesor di corong mikrofon setelah skrin TV di dinding tak berfungsi.

Tetapi Si Tongkol tak menyahut. Mereka juga tak mengetahui tempoh 24 jam kerana tak kelihatan jam di dinding. Jangan di tangan pula tak dapat dilihat akibat tangan tergari. Bung Hirman sekadar mengeluh sambil mengerling dua orang rakannya yang gelisah tak menentu. Apalagi Jojo yang mengalami kecederaan berterusan mengerang akibat tak diberi rawatan.

“Kamu semua sudah memusnahkan hidup aku, sekarang aku akan musnahkan pula hidup kamu, mengerti!” Bapak Profesor ketawa berdekah-dekah di corong mikrofon seperti orang tak siuman.

Siapapun tak menyahut. Baik Si Tongkol mahupun Jojo atau Bung Hirman dan Bung Superman hanya mendiamkan diri. Mereka tak boleh bersuara kerana gelombang bunyi akan menyebabkan tentera-tentera boneka bertindak balas. Setiap detik memang mereka diawasi selagi masih berjejak di planet boneka ciptaan Bapak Profesor.

“Kamu semua menyebabkan kematian anak gadisnya, justeru kamu wajar menerima pembalasan!” ujar Bapak Profesor terus ketawa berdekah-dekah.

“Jangan salahkan orang lain kerana kesilapanmu, Profesor Adri,” kedengaran pula buat pertama kali Si Tongkol menyebut nama sebenar Bapak Profesor. “Kamu yang mengejar kekayaan duniawi untuk ubati anak gadismu,” jawapannya menyebabkan Bapak Profesor mendengus marah.

“Apa maksudmu, Kolonel Si Tongkol?” bentak Bapak Profesor yang dipanggil oleh Si Tongkol dengan nama Profesor Adri.

“Kamu sendiri tahu Profesor Adri, anak kamu tak bisa diubati,” ujar Si Tongkol mahu dedahkan rahsia Bapak Profesor. “Kanser hatinya sudah seratus peratus, tetapi kamu mahu buktikan kecanggihan teknologi mampu pulihkan penyakit anak kamu,” jelasnya sengaja menyakiti hati Bapak Profesor.

“Anak gadisku tak mati, kalau aku tak dicolek gerombolan pengganas,” Bapak Profesor meluahkan perasaan hatinya. “Aku dipaksa menjadi hamba sama seperti boneka, semata-mata mahu memuaskan hati kamu semua!” katanya membentak marah.

“Harus diingat Profesor Adri, bukan saya yang mencolek,” segera Si Tongkol memberi penjelasan. “Tetapi sayalah orang yang selamatkan kamu dari menjadi tawanan seumur hidup kumpulan pengganas antarabangsa,” ujarnya mengingatkan.

“Kamu juga sama seperti mereka, Kolonel Si Tongkol,” sahut Bapak Profesor sengaja mengejek. “Aku kamu jadikan macam boneka untuk hasilkan senjata, kemudian kamu seludup dengan mendapat ganjaran lumayan,” dia mendengus melepaskan geram.

Ternyata perbalahan itu menyebabkan mereka saling mendedahkan rahsia masing-masing. Bapak Profesor mengakui terlalu lama hidup tertekan bagaikan boneka yang sentiasa dikawal mereka yang mencari kesempatan kerana keampuhan ilmu teknologinya. Dalam masa mengalami kesempitan wang akibat anak gadisnya menderita penyakit barah hati, dia dicolek gerombolan pengganas antarabangsa.

(* Kreativiti Ikram Hafiz menggambarkan keadaan di lokap polis Selayang, ketika dia bersama kawan-kawannya ditahan berikutan kes pergaduhan apabila bertindak balas selepas wang jualan burgernya disamun, tetapi dituduh merusuh. Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Teng Chang Khim – sekarang Speaker DUN Selangor, dan Wee Choo Keong – sekarang Ahli Parlimen Wangsa Maju, turut campur tangan bagi membebaskan Ikram Hafiz dan rakan-rakannya yang ditahan selama lima hari).

(bersambung)

PUISI LAMA

Kalau Berkalau

Kalau kail panjang sejengkal
Jangan lautan dalam hendak diduga.

Kalau kucing makan di lantai
Kenapa ditadahkan pinggan emas?

Kalau terkilat ikan di air
Sudah ku tahu jantan betinanya.

Kalau memang dah tak tahu menari
Kenapa dikatakan lantai jongkang jongket?

Kalau harapkan guruh di langit
Jangan air ditempayan yang dicurahkan.

Kalau dah celaka menimpa badan
Jangan ibu yang mengandung disalahkan.

-Dr Seri Intan Mokhtar
Tapah, Perak.
1 November 2008.


INFO SUARA PROLITAR

PERANGAI MELAYU PENINGKAN MELAYU:
PELOPOR GERAKAN NASIONALISME DIPINGGIR

Memang tak wajar disalahkan kerajaan negeri Perak sama ada sekarang mahupun sebelum ini apabila mengabaikan rumah kelahiran pelopor gerakan nasionalisme terawal Allahyarham Dr Burhanuddin Mohd Noor (Dr Burhanuddin al-Helmi) di Taiping. Kalau kerajaan negeri di bawah pimpinan UMNO pun tak peka dengan premis No 21 Jalan Hale, Ipoh, tak hairanlah rumah kelahiran Dr Burhanuddin juga dianggap tak bernilai secara artifak mahupun sejarahnya. Mungkin sahaja aktivis UMNO sekarang yang rakus berebut-rebut jawatan pimpinan tertinggi tak menyedari premis No 21 Jalan Hale itu adalah ibu pejabat UMNO pertama sebaik sahaja diproklamir di Johor Bahru pada 11 Mei 1946. Generasi muda UMNO digalakkan memperingati tarikh 11 Mei (bukan 1 – 4 Mac 1946), tetapi tak peduli dengan premis No 21 Jalan Hale, Ipoh.

Mungkin sahaja Menteri Besar Perak pertama pasca merdeka Allahyarham Tan Sri Ghazali Jawi tak berminat memperingati premis berkenaan, disebabkan ianya pejabat guaman musuh politiknya Dato’ Panglima Bukit Gantang Haji Abdul Wahab bin Tok Muda Abdul Aziz, tetapi apa salahnya Menteri Besar Perak selepas beliau sama ada Dato’ Shaari Shafie, Dato’ Ahmad Said, Tan Sri Kamaruddin Mat Isa, Dato’ Muhammad Wan Teh atau Dato’ Seri Tajul Rosli Ghazali membuat penilaian semula? Kalau Tun Hussein Onn tak membuat comeback politik untuk menjadi Perdana Menteri, mungkin juga Menara Dato’ Onn tak ditampilkan di PWTC. Atau apa salahnya Jalan Parlimen sekarang ditukar kepada Jalan Tunku Abdul Rahman Putra bagi mengenang jasa tokoh berjasa dalam sejarah tanah air?

Tetapi begitulah perangai bangsa Melayu sejak membina empayar di Melaka pada 1401, lebih mementingkan glori sendiri hingga sanggup melupakan jasa orang lain. Tak hairanlah hukuman ke atas Hang Jebat ialah rumahnya diterbalikkan bumbung ke bawah dan dibuang ke laut, anak isteri dibunuh supaya tak meninggalkan zuriat serta jenazahnya digantung kaki ke atas kepala di bawah di simpang jalan (sekalipun bertentangan dengan syiar Islam). Matlamatnya, biar jasa Hang Jebat tak dikenang oleh bangsa Melayu yang terkemudian sekalipun membantu menaikkan imej kerajaan Melaka dalam misi bersama Hang Tuah ke Manjapahit, menghalang kemaraan Megat Panji Alam di Terengganu dan terbabit meluaskan pengaruh kesultanan Melaka.

Legasi kesombongan perangai Melayu ini kita lihat berlaku juga di Pahang, kerana hingga sekarang kerajaan negeri tak pernah memikirkan bagaimana mahu memperingati sumbangan Allahyarham Dato’ Dr Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) atau Ibrahim Haji Yaacob. Setidak-tidaknya kerajaan negeri boleh membina ‘Galeri Pak Sako’ sebagai memperingatan sumbangan beliau dalam kesusateraan Melayu. Tetapi, bagi pemikir-pemikir kebobrokan Melayu, sudah tentulah mereka lebih pentingkan glori melunggah kawasan balak daripada ‘Galeri Pak Sako’ atau ‘Galeri Inderapura’ yang boleh turut menterjemah sumbangan Dato’ Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau, Orangkaya Panglima Mansor Chenor atau Orangkaya Haji di Lipis. Perangai Melayu ini yang memeningkan bangsa Melayu sendiri – (Yassinsalleh, Kajang, Selangor)

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

MASYGHOL DENGAN PERANGAI:
MENIKAM KAWAN DARI BELAKANG

Sebermula tersebutlah alkisah Orangkaya Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi terlalu masyghol ia dengan perangai siasah menikam kawan dari belakang. Berkatalah Orangkaya Dato’ Seri Abdullah, ‘Apabila saya dengan ucapan Dato’ Pairin (Orangkaya Dato’ Joseph Pairin Kitingan) tadi, baru saya sedar ini akan menjadi ucapan perpisahan, saya tak suka mengucapkan selamat tinggal, saya tak pernah suka mengucapkannya.’ Arakian tak sepatutnya akan Orangkaya Dato’ Pairin itu dalam ucapan seolah-olah memberi selamat jalan kepada Orangkaya Dato’ Seri Abdullah, kerana mereka akan sering bertemu kemudian nanti. Maka sewajarnya Orangkaya Dato’ Seri Abdullah memberi peringatan akan sekalian anak Melayu, janganlah habis manis sepah dibuang, adanya.


Syahdan akan Orangkaya Gua Musang itu Tengku Razaleigh Hamzah sudahlah ia menerima perihal nasib siasah menikan kawan dari belakang itu, seperti diberitahu oleh Orangkaya Dato’ Seri Abdullah. Adapun sejak beberapa lama dahulu sekalian anak buah sudah berjanji taat setia, tetapi kemudian hari habislah semuanya hilang entah ke mana, kerana tak diperemasi seadanya. Sebermula akan bekas Orangkaya Perdana Menteri Tun Dr Mahathir mengakulah ia, perihal anak-anak buah di Kubang Pasu tak menerimanya menjadi perwakilan ke perjumpaan harakah Melayu (UMNO) setelah diperemasi 200 bahara seorang. Arakian sukarlah mahu memberikan bukti akan anak-anak buah sekalian menerima 200 bahara seorang, selagi dikatakan siasah menikam kawan dari belakang itu.

Sebermula pada suatu hari Tun Hassan Temenggung duduk di balainya, dihadap orang banyak. Maka Ali Manu Nayan pun datang. Syahdan berkatalah ia kepada Tun Hassan, ‘Orangkaya, semua orang besar-besar di dalam Melaka ini datang ke rumah hamba, melainkan Orangkaya juga yang tiada datang. Jikalau dapat, marilah apa Orangkaya bermain-main ke rumah hamba; hingga berdiri-diri sahaja di hadapan kedai hamba, sepuluh tahil emas hamba persembahkan.’ Maka kata Tun Hassan Temenggung, ‘Nuni haram zadah! Aku engkau hendak beri makan sedekah, jika pada bapa-bapamu yang lain boleh demikian.’ Adapun adat segala orang-orang muda Tun Hassan Temenggung, apabila ia hal tiada belanja, maka ia berkata pada Tun Hassan Temenggung, ‘Tuanku, sekarang lebuh kita tiada betul, banyak kedai anjur menganjur.’

Syahdan segala orang-orang muda, pada tengah rumah saudagar-saudagar yang kaya-kaya itu direntanginya tali, disuruhnya robohkan. Maka segala saudagar itu menyorong, ada yang seratus, ada yang dua ratus, ada yang tiga puluh, empat puluh kepada seorang. Arakian maka diambilnya oleh segala orang muda-muda Tun Hassan Temenggung, maka diperbahaginya ramai-ramai dengan segala pertanda, itulah makanannya. Maka tali itu diperbuatnya seperti sebenarnya, maka segala kedai yang anjur menganjur itu juga disuruhnya buang. Arakian ada seorang saudagar Nina Sura Dewana namanya, penghulu segala sudagar di dalam negeri Melaka, maka berdakwalah ia dengan Raja Mendaliar seperti disebutkan dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:





HIDUP BAHASA MELAYU!

No comments:

Post a Comment