Friday, October 31, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


DARI LAMAN BLOG:

Assalamualaikum,



Kalau berbincang isu Bahasa Melayu dengan Haji Yahaya Ismail, memang boleh habis sehari suntuk pun tak akan jemu. Beliau tak akan berkompromi dengan kepongahan kerajaan negeri Pulau Pinang mahu menggunakan empat bahasa bagi papan tanda jalan, seperti pernah dilakukan oleh Parti Gerakan sebaik sahaja mengambil alih kerajaan negeri Pulau Pinang pada 1969. Bagaimanapun kos membina papan tanda jalan menjadi sia-sia, apabila ianya perlu dibuang selepas menerima bantahan yang keras kerana tak selaras dengan kehendak majoriti rakyat. Ironinya, apabila menyentuh isu perpaduan nasional biasannya orang Melayu diminta memelihara intergriti kaum, sebaliknya bukan Melayu sengaja membiarkan api menyerap ke dalam sekam. Secara terbuka kita sekadar mendengar Pemuda MCA mendesak hapuskan kuota 30% ekuiti sekonomi kepada bumiputra yang dianggap menyulitkan pelabur-pelabur luar membawa pelaburan.


Di kalangan masyarakat pula saya sendiri hampir hilang sabar apabila jiran bukan Melayu sengaja membawa anjing peliharaannya membuang najis di hadapan rumah saya (yang kebetulan terdapat pokok belimbing, jambu batu dan lengkuas). Si jiran terbabit menunggu hingga jam 12.00 malam untuk membawa anjing peliharaannya membuang najis, disebabkan rumahnya (rumah teres dua tingkat) tak mempunyai ruang. Sepatutnya jiran bukan Melayu terbabit memahami, anjing memang tak sesuai di pelihara di tengah masyarakat Melayu, apalagi sengaja di hantar ke hadapan rumah saya. Kalau orang Melayu berkeras, maka akan timbul tohmahan mahu menghalang kebebasan orang bukan Melayu. Apakah orang Melayu sahaja perlu bertolak ansur dalam isu kebebasan hak asasi, ketika orang bukan Melayu mahu membolot segala kepentingan dalam isu kebebasan itu?



Sebelum solat Jumaat hari ini (31 Oktober 2008), Haji Abu Bakar Ninggal menelefon berkaitan kes bunuh warga Mongolia, Altantoya Shaariibu. Tak perlulah nak komen apa-apa, kerana saya tertumpu menonton CD ‘Samson and Delilah’ terbitan dekad 1950-an dengan penampilan aktor Victor Mature dan aktres Hedi Lamarr. Memang epik Samson dan Delilah menjadi kegemaran saya sejak kecil lagi (malah tak jemu-jemu ditonton), kerana ianya adaptasi dari surah ‘Judges’ 13-16 dalam Injil. Begitulah! Ibarat tamsilnya begitu simple iaitu ‘kegagahan’ seorang lelaki dengan kuasa fizikal iaitu Samson di samping ketamakan seorang wanita dengan kuasa spritual bersenjatakan kecantikan yang dianugerah Illahi. Lelaki yang perkasa dengan kekuatan fizikal akhirnya terperosok ke dalam seksaan lahiriah, apabila tewas di dalam nafsu kecantikan Delilah. Begitulah!


Memang penulis blog Sallehuddin Hashim terkekeh-kekeh ketawa apabila diberitahu saya seronok menonton ‘Samson and Delilah’. Mungkin anak-anak muda sekarang pun tak kenal dengan aktor Victor Mature dan akters Hedi Lamarr yang ditampilkan menerusi filem berkenaan. Barangkali Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz juga baru terbangun tidur, kerana beliau terpinga-pinga apabila dihubungi. Beliau juga macam tak percaya saya kaki wayang, apabila menonton CD ‘Samson and Delilah’. Tetapi ‘Samson and Delilah’ bukan sekadar kisah epik, malah masih menjadi sebahagian realiti kehidupan sekarang. Sama ada secara sedar mahupun sebaliknya Samson dan Delilah tetap menampilkan kelibat mereka di depan kita dalam identiti yang berbeza. Percayalah!

-Pak Dharma




INFO HAK ASASI MANUSIA:


KERAJAAN NEGERI PP DIDESAK
MINTA MAAF KEPADA ORANGN MELAYU



Pejuang Bahasa Melayu sejak dekad 1960-an Haji Yahaya Ismail, mahukan kerajaan negeri Pulau Pinang meminta maaf kepada orang Melayu berikutan keputusan mahu menggunakan pelbagai bahasa di papan tanda jalan di negeri itu. Haji Yahaya (Pak Ya), yang juga bekas Setiausaha Front Bertindak Bahasa Kebangsaan pada 1966, menganggap kerajaan negeri Pulau Pinang mengguris perasaan hati nurani bangsa Melayu, seolah-olah mencabar hak-hak yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Katanya, setiap komponen parti dalam pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang harus menerima tanggungjawab dengan keputusan tersebut. “Jangan sampai nasi sudah menjadi bubur, atau sudah terantuk baru mahu mengadah,” beritahu Pak Ya ketika menghubungi sekretariat PRIMA pagi ini (31 Oktober 2008).



Seterusnya Pak Ya memberitahu, ‘Deklarasi Janda Baik’ yang diumumkan pada 26 Oktober 2008 lalu adalah manifestasi penulis-penulis dan aktivis budaya termasuk semua karyawan seni yang menghadiri perjumpaan tersebut (sila rujuk http://msomelayu.blogspot.com/). Beliau juga turut mengakui perjumpaan susulan akan digerakkan dalam tempoh terdekat, di samping pertemuan akan dibuat Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak berdasarkan temu janji yang dirancang. Katanya ‘Deklarasi Janda Baik’ adalah memorandum yang akan turut disembahkan kepada semua DYMM raja-raja Melayu termasuk juga pemimpin-pemimpin Melayu. “Di harap baginda raja-raja Melayu dan pemimpin-pemimpin Melayu bersedia menerima rombongan kami,” menurut Pak Ya menambah.



Sementara itu mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Dato’ Abdul Aziz Deraman memberitahu, DBP sekadar diberi kuasa menegur dan menasihat dalam kes penggunaan Bahasa Melayu seperti terkandung dalam Akta Pindaan 1995 sahaja. Setakat ini belum dibuat sebarang pindaan kepada kuatkuasa penggunaan Bahasa Melayu sejajar dengan fungsinya sebagai bahasa rasmi negara, beritahunya apabila diminta memberi penjelasan kepada rungutan penulis blog Sallehuddin Hashim berkaitan isu kerajaan negeri Pulau Pinang mahu melaksanakan penggunaan pelbagai bahasa kepada papan tanda jalan di negeri berkenaan. “Selagi amendment tak dibuat untuk memberi kuasa kepada DBP memang sukarlah, apalagi yang ada hanya kuasa menegur dan menasihat seperti dalam Akta Pindaan 1995,” kata Dato’ Abdul Aziz.




INFO SASTERA & BUDAYA:


NOVEL ‘SAINS FIKSYEN’
JAUH DI PULAU RAHSIA
Oleh: Ikram Hafiz


(Sebelum memasuki Unisel pada Mei 2008, Allahyarham Ikram Hafiz bukan sahaja berbakat dalam kraftangan dan elektrikal ketika belajar di Sekolah Menengah Teknik Gombak, malah terbabit dalam karya kreatif. Ikram Hafiz pernah menghasilkan novel sains fiksyen pada 2007, ketika membuat kerja sambilan menjual burger. Hanya sebuah sahaja novel yang dihasilkannya, dan diterbitkan oleh Mulya Utama Enterprises, Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor. Mulai sekarang, novel karya Ikram Hafiz dimuatkan dalam laman blog ini).



(sambungan kelmarin…)



(27)



9


DENDAM BAPAK PROFESOR



PASRAH DENGAN TAKDIR MENIMPA:
M-16 TAK MAMPU LAWAN KOMPUTER.



TERPAKSA Jojo mendiamkan diri. Dia tahu orang tua itu masih berdendam. Memang dendam lama yang bersarang di hatinya menjadikan Bapak Profesor terlalu marah.



Tetapi kemarahan Bapak Profesor bukan sekadar dendam lama. Apalagi kematian anak gadis kesayangannya ketika dia diperas dalam tawanan kumpulan gerila. Malah dia tak menyangka virus komputer mula menggugat. Asal sahaja melihat dinding kebal logam tungsten yang dibina musnah, kemarahan Bapak Profesor semakin meluap-luap.



Ketika melintasi katil Bung Hirman dan Bung Superman terlentang, Bapak Profesor tak bercakap sepatah pun. Selepas menatap muka dua orang tawanan itu, dia terus keluar dari bilik makmal berkenaan. Dinding kebal yang terbuka tak ditutup semula disebabkan bahagian bawahnya sudah rosak teruk selepas disimbah cecair asid alkali dan sebatian hidrokarbon.



“Mujur kemarahannya tak dilepaskan kepada kita,” ujar Bung Superman mengerling ke arah Bung Hirman.



Belum sempat Bung Hirman menyahut dua objek tentera boneka lantas menerpa ke arah Bung Superman. Gelombang suara Bung Superman mudah dikesan. Siapa sahaja terkurung di bilik makmal itu tak boleh bersuara apa-apa. Mereka akan dibelasah tentera boneka asal sahaja kedengaran gelombang suara.



Ketika itu Bung Hirman menyedari gelombang bunyi mudah dikesan oleh objek tentera-tentera boneka ketika bersembunyi di dalam belukar. Setiap kali melepaskan tembakan M-16 ke arah objek tentera boneka, tak satu pun objek berkenaan jatuh tersungkur. Lainlah kalau bertempur di medan perang, M-16 memang berkesan untuk menewaskan musuh.



Ternyata melawan strategi komputer, senjata M-16 bukanlah ampuh. Pantulan bunyi tembakan sama juga macam gelombang suara yang mudah dikesan. Tentera-tentera boneka semakin banyak mengepung.



Terjahan peluru yang menyinggahi logam tungsten objek tentera boneka tak terjejas bagaikan badan roket yang tak cair terkena haba panas. Pantulan cahaya dari mata tentera boneka juga boleh meranapkan pokok-pokok di sekeliling tempat dia berlindung.



Apabila diseru meletakkan senjata, tak bertangguh Bung Hirman keluar dari lokasi persembunyian. Sekaligus pula tentera boneka menggari tangan dan kaki. Dia diusung masuk ke dalam kenderaan bagaikan model keranda. Kemudian bergerak masuk ke dalam terowong di bawah terumbu batu karang.



Ketika melintasi telaga di bawah jambatan kecil, Bung Hirman melihat kocakan ombak laut. Percikan airnya naik ke tebing telaga seolah-olah tempias hujan. Selepas menyeberangi telaga berkenaan, dia terus dicampakkan ke bilik makmal berkenaan. Di situ tentera-tentera boneka yang berkawal mengheret dia naik ke atas katil. Dia terus digari sekalipun setelah dicampak ke katil.



Lama dia terlentang di katil hingga tak boleh bergerak ke kiri mahupun ke kanan, barulah Bung Superman pula dicampakkan ke bilik makmal tersebut. Tetapi dia tak boleh bersuara apa-apa. Asal sahaja mahu membuka mulut menegur rakannya itu, objek tentera-tenter boneka yang berkawal akan menerkam. Tahu sangatlah dia gelombang suara dapat dikesan objek tentera boneka berkenaan.



Setengah jam selepas Bung Superman diseret masuk, kelihatan pula Jojo dalam keadaan cedera di dada dan tangan ditolak ke bilik tersebut. Dia juga digari sekalipun mengalami kecederaan. Ketika menjadi tawanan memang mereka tak ada pilihan untuk membantah. Segalanya pasrah dengan takdir yang menimpa.



(* Kreativiti Ikram Hafiz menggambarkan keadaan di lokap polis Selayang, ketika dia bersama kawan-kawannya ditahan berikutan kes pergaduhan apabila bertindak balas selepas wang jualan burgernya disamun, tetapi dituduh merusuh. Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Teng Chang Khim – sekarang Speaker DUN Selangor, dan Wee Choo Keong – sekarang Ahli Parlimen Wangsa Maju, turut campur tangan bagi membebaskan Ikram Hafiz dan rakan-rakannya yang ditahan selama lima hari).



(bersambung)





PUISI LAMA



Sekali, Sekali!

Sekali membuka pura
Dua tiga hutang yang langsai.


Sekali mendayung perahu
Dua tiga pulau terlangsung.

Sekali jung berlabuh di pangkalan
Anjing bercawat ekor berpanjangan.


Sekali pelepah bawah jatuh ke tanah
Pelepah di atas jangan ketawa berdekah.


Sekali merpati makan di tangan
Jangan disimpan segala angan-angan.

Sekali tersauk ikan di bawah batang.
Belum tentu penuh keruntung dibawa pulang!


-A. Leman.
Bagan Datoh, Perak.
31 Oktober 2008.



BELASUNGKAWA KEPADA AKTIVIS TEATER
KEPUASAN NASIR ALI MENGHARUNG UJIAN



Aktivis teater tersohor di ibu kota, Nasir Ali, 55 meninggal dunia kira-kira jam 3.30 pagi ini (31 Oktober 2008) setelah beberapa lama menghidap ‘kencing manis’. Saya diberitahu mengenai berpulangnya ke rahmatullah Nasir Ali, apabila menerima panggilan telefon dari anak saya Khairil Nizam jam 5.00 petang ini. Nasir yang dedaktif dengan pembabitannya sebagai aktivis teater, pernah meletakkan jawatannya di DBKL semata-mata mahu melanjutkan pengajian seni lakon di Australia sekitar dekad 1990-an. Sekalipun menganggur apabila balik ke tanah air, tetapi Nasir merasakan kepuasan sebagai penggiat teater. Justeru tak hairanlah, beliau bersedia mengharungi segala ujian pahit getir, semata-mata memberi tumpuan kepada kegiatan berteater.




Pertama kali saya diperkenalkan kepada Nasir melalui Shafie Ibrahim aktivis teater sekitar dekad 1960-an dan 1970-an yang juga Pengerusi Angkatan Anivverseri Kuala Lumpur ketika itu. Di bawah pimpinan Shafie, Nasir mula terbabit dalam pementasan sempena Mauludir Rasul di surau Rumah Pangsa Sentul sekitar dekad 1970-an. Shafie meminta saya menulis skrip pantomen berjudul ‘Seksa’ yang diadaptasi daripada cerpen saya yang mempunyai judulnya yang sama. Secara beransur-ansur Nasir terbabit pula dalam drama TV diikuti filem, sekalipun diberi peranan kecil. Ketika skrip saya ‘Kosai’ (adaptasi dari novel ‘Jejak Pulang’) diterbitkan menerusi slot drama swasta, pada peringkat awalnya penerbit terbabit bersetuju menawarkan watak ‘Kosai’ kepada Nasir, tetapi di luar pengetahuan saya beliau diketepikan.


Justeru apabila penerbit yang sama mahu menerbitkan ‘Rakit’ yang diadaptasi daripada cerpen saya (pemenang hadiah pertama Cerpen Esso-Gapena 1981), saya mahukan Nasir diberi watak penting. Selepas diolah semula skrip berkenaan, saya bersetuju Nasir diberi watak antagonis. Beliau kerapkali kecewa apabila beberapa skrip saya yang diterbitkan oleh penerbit drama swasta meminggirkan namanya, menyebabkan saya juga mengambil sikap ‘berpuasa’ menulis skrip drama TV. Bagaimanapun satu ketika apabila pengarah Wak Sirim mahukan skrip, memang saya memberikan prasyarat mengambil Nasir. Saya menulis skrip ‘Rumah Pangsa’, sebaik sahaja Wak Sirim bersetuju memberikan watak Kassim (Baba) kepada Nasir. Begitulah!


Kali terakhir beliau meminta kerjasama ialah mementaskan teater ‘Ledak Kebangkitan’ sempena menyambut kemerdekaan 2006, di samping ‘Dunia Syukri’ untuk pertandingan teater Kuala Lumpur. Sekalipun teater ‘Ledak Kebangkitan’ dikritik oleh media, tetapi ianya diberi liputan meluas. Memang Nasir Ali menyedari kritikan yang disasarkan kepada teaternya disebabkan penulisnya (yang dianggap bukan pro kerajaan), tetapi beliau enggan menerima skrip yang lain. Ketika adiknya berhadapan dengan kes yang membabitkan perundangan, beliau tak berharapkan bantuan mereka yang pro kerajaan. Sebaliknya beliau lebih terhibur meminta bantuan saya bagi menyelesaikan kes tersebut. Bagi pihak PRIMA, saya mengucapkan takziah kepada keluarga Nasir Ali, semoga Allah cucuri rahmat ke atas rohnya. Al-Fatihah.- (Pak Dharma)



INFO SUARA PROLITAR:


MURID SENIOR BELASAH RAKAN
SALAH DISIPLIN ATAU DISIPLIN SALAH?


Laporan berita TV3 malam ini, 31 Oktober 2008, seorang pelajar di Sekolah Tunku Abdul Malik di Kedah kena belasah. Dia dituduh mencuri oleh 10 seniornya. Tahap disiplin di sekolah nak salahkan siapa? Salah disiplin atau disiplin salah? Kalau guru-guru prihatin, di samping segera bertindak, perkara letakkan undang-undang di tangan sendiri boleh diatasi. Kadangkala guru-guru ‘sengaja cari salah murid’ bukan ‘membantu selesai masalah’. Akhirnya murid-murid senior bertindak sendiri. Kes macam ni, bukanlah baru. Banyak dah! Cuma yang kecil-kecil tu ibu bapa diamkan aje. – (SMS: 31 Oktober 2008; 20:43:16 – Hj Soh, Rawang, Selangor).



KOMENTAR
bersama Pak Parjo



ALKISAH HAKIM MELETAK JAWATAN
KADI YUSOF PULA MEMECAT DIRINYA


Syahdan tersebutlah alkisah akan Hakim Mahkamah Tinggi di negeri Melayu itu, Dato’ Ian Chin Hong Chong meletakkan jawatanlah ia, bulan hadapan. Pada suatu masa dahulu akan Dato’ Ian Chin itu pernahlah ia mengaku diugut pecat kalau keputusan yang dibuat tak memihak kepada kerajaan. Arakian tak tahulah fakir akan jawatan hakim itu, kerana pada masa dahukala fakir hanya kenal akan Tuan Kadi sahaja. Sebermula akan Tuan Kadi itu tempat semua orang banyak berhakim. Adapun kejadian Dato’ Ian Chin itu meletakkan jawatan hanya diberitahu oleh Orangkaya Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, T Murugiah ketika ditanya orangkaya-orangkaya di Balairongseri. Maka akan Orangkaya Jerlun Dato’ Mukhriz Tun (Tabib) Mahathir, mahukan hakim itu dihadapkan ke tribunal (tak tahulah fakir akan maksudnya, kerana pada masa fakir dahulu tak pernahlah didengar perkataan itu), kerana kesalahan memberitahu pernah diugut itu.



Arakian Kadi Yusof pun jenuhlah, maka ia memecat dirinya daripada kadi, bernama Maulana Yusof. Maka anaknya pula menjadi kadi, bernama Kadi Menawar. Adapun Kadi Menawar itu, terlalu tahu menetakkan beladau. Ia belajar pada Raja Maluku yang datang menghadap ke Melaka itu. Apabila Kadi Menawar duduk dihadap segala muridnya, tempat duduknya itu berkisi-kisi. Maka kata Kadi Menawar pada segala muridnya, ‘Berapa batang kehendak tuan hamba, hamba putuskan kisi-kisi ini, hamba tetakkan dengan beladau hamba ini?’ Maka sembah segala muridnya, ‘Dua batang’. Arakian ditetak oleh Kadi Menawar, dua batang putus. Syahdan akan Kadi Menawar itu walau pun dia tempat berhakim, tetapi belajar jugalah ia akan ilmu kepahlawanan, kerana untuk berjaga-jaga bukanlah mahu mencari musuh seperti dikarang dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:



HIDUP BAHASA MELAYU!

No comments:

Post a Comment