Thursday, November 6, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

JIN TETAPLAH SPESIES JIN:
TAK KIRA ‘JIN ISLAM’, ‘JIN KAFIR’

Assalamualaikum,

Tahniah dari seluruh dunia! Barrack Hussein Obama melakar sejarah tokoh kulit hitam pertama memenangi kerusi Presiden Amerika Syarikat pada pilihanraya 4 November 2008 (yang menjadi tarikh ditetapkan setiap empat tahun sekali). Malah pemilihan Obama pula dianggap menyamai populariti John F Kennedy pada 4 November 1960. Barangkali! Bagaimanapun Kennedy mati terbunuh dalam tragedi malang dengan tak sempat menghabiskan satu penggal (empat tahun) pentadbirannya. Semua media di seluruh dunia hari ini (6 November 2008) memberikan liputan perioriti kepada Obama yang akan memasuki Rumah Putih, Januari 2009 nanti (iaitu lebih awal daripada Dato’ Seri Najib Tun Razak pada Mac 2009, sekalipun sudah memenangi jawatan Presiden UMNO, sebelum Obama diproklamir dipilih pada 5 November 2008). Aduhai!

Bagaimanapun kemenangan Obama bukanlah menjanjikan seribu harapan kepada negara-negara yang pernah dibuli oleh pentadbiran Amerika Syarikat (AS) sebelum ini. Justeru teringatlah akan pesanan guru saya Almarhom Bapak Mochtar Lintang, sekalipun memang wujud ‘jin Islam’ dan ‘jin kafir’; tetapi spesies jin tetaplah jin juga tak mengira sama ada ianya Islam mahupun kafir! Maknanya, dasar luar AS tetap tak berubah sekali pun penghuni Rumah Putih berubah-ubah. Dasar luar pentadbirannya tetap dipengaruhi keputusan majoriti parti yang diwakilinya sama ada Parti Demokrat atau Parti Republikan yang mendomoinasi politik AS selama ini. Misalnya, Kennedy yang dianggap hebat satu ketika dulu itulah, yang mencetuskan konflik di Kongo di samping pembunuhan Patrice Lumumba. Diikuti dengan perang saudara di Vietnam selepas pembunuhan ke atas ketua negaranya Ngo Dien Diem. Heh heh heh!

RAKAN LAMA HUBUNGI TELEFON
NOSTALGIA KETIKA DI DUSUN NYIUR

Dua hari lalu (4 November 2008) tak disangka-sangka kawan lama, Sulaiman Dusun menelefon dari Seremban, setelah hampir 20 tahun tak mendengar khabar. Beliau yang menetap di Taman Tuanku Jaafar, Seremban pun tak tahu mengenai berpulangnya ke rahmatullah Haji Kamaruddin Sulaiman (rakan yang sama menetap di perumahan Dusun Nyiur sekitar dekad 1970-an). Kalau tak disebabkan mengikuti laman blog PRIMA, memang beliau hampir tersisih dengan berita kawan-kawan lama sewaktu berkhidmat di Seremban lebih 30 tahun lalu. Alhamdullillah! Memang Sulaiman Dusun antara rakan terawal yang berpisah apabila beliau yang berkhidmat di jabatan telekom bertukar ke Kuala Lumpur.

Sewaktu beliau menetap di Keramat, pernah juga saya menumpang bermalam di rumahnya apabila menghadiri temuduga di JPA di Jalan Young. Sekalipun Sulaiman Dusun tak berminat dalam penulisan, sebaliknya beliau sering juga mengikuti perkembangan saya. Malah satu ketika pernah mengikut saya balik ke Jelebu, hingga tersedak-sedak makan langsat tengah malam. Nostalgia! Memang saya sering ke Seremban sejak bersama Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Idris lagi, tetapi disebabkan terputus hubungan tak pernahlah saya menemui Sulaiman Dusun. Apalagi beliau turut mengakui bapa saudara Haji Harun Sidek pernah beritahu sebagai rakan sekolah saya sejak 1959 lagi. Mungkin sahaja Haji Harun tak beritahu beliau mengenai kami pernah menjadi regu dalam persembahan lawak di sekolah bersama seorang lagi rakan (sudah terlupa pula identitinya). Alahai!

PARTI POLITIK TAK SALAH:
TEPUK DADA TANYALAH SELERA!

Haji Abu Bakar Ninggal menghubungi tengahari ini (6 November 2008) beritahu fasal sudah dua hari tak sempat mengikuti perkembangan di laman blog, disebabkan komputer meragam. Bagaimanapun, memang sudah dua hari laman blog PRIMA tak aktif berikutan komitmen yang lain termasuk frasa akhir menyiapkan buku Undang Luak Rembau, Dato’ Lela Maharaja Haji Muhamad Sharip Haji Othman. Apalagi Haji Abu Bakar juga terlalu berharap pimpinan dari Melaka Dato’ Seri Mohd Ali Rustam mampu menembusi kuota pencalonan Timbalan Presiden UMNO. Kalau berdasarkan pandangan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika sesi pertemuan dengan PRIMA tahun lalu (15 Ogos 2007), UMNO tak salah, yang salah ialah pimpinannya. Justeru PAS, PKR, Gerakan, MCA, DAP atau lain-lain juga tak salah, kerana yang salah ialah pimpinannya. Terpulanglah kepada ahli-ahli di peringkat akar umbi ‘tepuk dada tanya selera’. Heh heh heh!

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA


KEPONGAHAN KERAJAAN NEGERI
MAHU MENCABAR BAHASA MELAYU

Kepongahan kerajaan negeri Pulau Pinang mahu meneruskan pelaksanaan papan tanda nama jalan menggunakan empat bahasa, perlulah bersedia menghadapi risiko vendalisme yang merugikan semua pihak. Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) Dato’ Seri Anwar Ibrahim seharusnya mengambil pendekatan rasional setelah semua pihak mengakui menerima Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi, di samping perjuangan panjang yang sudah lama digerakkan sejak 1960 tak dipersia-siakan. Apalagi anak-anak sekolah sejak awal dekad 1960-an sudah dididik dengan kempen ‘Bulan Bahasa’ harus dihormati sumbangan dan pengorbanan mereka, terutama pelajar-pelajar yang dijadikan ‘eksprimen’ dengan frasa penubuhan sekolah-sekolah menengah Melayu selepas merdeka (ketika ianya kekurangan segala prasarana di samping menumpang bilik darjah di bangunan sekolah lain).

PRIMA menolak sebarang pendekatan kekerasan, tetapi bersedia untuk menimbang sokongan kepada aktiviti vendalisme sekiranya kerajaan negeri Pulau Pinang meneruskan kepongahan. Sikap ‘menunjuk kuasa’ dan bukan ‘menjadi mentadbir’ tak membawa apa-apa manfaat seperti pendekatan Presiden George W Bush di Amerika Syarikat (AS) yang berlagak sebagai pembanteras keganasan, sebaliknya menjadi pembuli paling songsang. Pencerobohan ke atas Iraq, Afghanistan dan Pakistan menjadikan AS hampir muflis dengan berbilion ringgit dicurahkan kepada ‘peperangan’ yang tak berkesudahan. Justeru, kepongahan dengan kuasa kerajaan negeri Pulau Pinang tak akan bermanfaat, sekiranya vendalisme boleh membawa kerugian kos penyelenggaraannya.
RON PERLU 5 PENCALONAN LAGI
HARAP SOKONGAN PIMPINAN BAHAGIAN

Bekas Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan di Parlimen Dato’ Ruhanie Ahmad memerlukan lima pencalonan lagi bagi memenuhi kouta untuk layak bertanding Majlis Tertinggi (MT) UMNO Mac 2009 nanti, beritahu pembantunya Yassinsalleh. Setakat ini menurut Yassinalleh, Dato’ Ruhanie (Ron) sudah menerima lima pencalonan justeru memerlukan lima lagi Bahagian mencalonkan bagi melepasi 10 pencalonan. Katanya, Dato’ Ron berharap rakan-rakan di Bahagian memberi peluang kepadanya untuk sama-sama bersaing merebut jawatan MT dalam usaha membawa suara prolitar ke dalam pimpinan tertinggi parti berkenaan. “Kita tak mahu suara elit sahaja didengar dalam pimpinan MT UMNO, kalangan prolitar termasuk penulis-penulis blog juga disampaikan kepada pimpinan UMNO,” beritahu Yassinsalleh.

Seterusnya Yassinsalleh menambah, minggu ini Bahagian-Bahagian UMNO yang akan bersidang dijangka membuat pencalonan kepada Dato’ Ron ialah Pantai, Pendang, Ampang, Sungai Petani, Sandakan, Tenom, Kuala Nerus, Pasir Putih, Larut dan Pekan. Beritahu Yassnsalleh seterusnya, Dato’ Ron yang akan membawa ‘suara alternatif’ dalam MT sekiranya terpilih dalam Perhimpunan Agung UMNO nanti terus konsisten mahukan golongan prolitar termasuk penulis-penulis laman blog diwakili di Dewan Negara sebagai perjuangan ‘suara alternatif’. Justeru katanya, pada perjumpaan penulis-penulis laman blog 21 Oktober 2008 lalu, rumusan dibuat menamakan pengkritik sastera Haji Yahaya Ismail dan sasterawan Dharmala N.S. sebagai berpotensi mewakili golongan prolitar di Dewan Negara. “Pimpinan Bahagian UMNO yang akan bersidang minggu ini diharap mencalonkan Dato’ Ron,” jelas Yassinsalleh.

INFO SASTERA & BUDAYA

NOVEL ‘SAINS FIKSYEN’
JAUH DI PULAU RAHSIA
Oleh: Ikram Hafiz

(Sebelum memasuki Unisel pada Mei 2008, Allahyarham Ikram Hafiz bukan sahaja berbakat dalam kraftangan dan elektrikal ketika belajar di Sekolah Menengah Teknik Gombak, malah terbabit dalam karya kreatif. Ikram Hafiz pernah menghasilkan novel sains fiksyen pada 2007, ketika membuat kerja sambilan menjual burger. Hanya sebuah sahaja novel yang dihasilkannya, dan diterbitkan oleh Mulya Utama Enterprises, Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor. Mulai sekarang, novel karya Ikram Hafiz dimuatkan dalam laman blog ini).

(sambungan kelmarin…)

(29)

10
PANTANG BERPUTUS ASA

MENCARI IDEA DI BILIK SEMPIT
BERSAMA PIJAT-PIJAT MENGETIP

TERLALU banyak pijat-pijat mengetip di celah meja kayu dan bangku buruk di penjuru gua kecil itu. Beberapa kali saya menginsut duduk akibat pijat-pijat mengetip punggung. Tetapi Si Tongkol tak peduli sangat fasal pijat-pijat yang banyak. Malah dia boleh terlelap selepas menelan pil ‘pin killer’ bagi hilangkan kesakitan akibat mengalami cedera parah.

Sebaik sahaja Si Tongkol dapat bertahan daripada kesakitan, segera saya mengajak kawan-kawan ubahsuaikan objek tentera boneka yang telah ditawan. Wayar anod dan katod sengaja saya alihkan pada bahagian gear pacu serta gear terpacu. Gelinciran pada gear pacu yang membolehkan ianya berfungsi juga dilumur minyak gris, hingga pergerakan boneka tak stabil.

“Kamu ni enjin bot rosak, tak boleh baiki,” Usin Sodok kelihatan ceria selepas objek boneka berkenaan dapat ditawan. “Tapi sistem komputer dalam boneka kamu tahu pula fungsinya!” tersengih-segih dia sambil membantu buatkan ubahsuai.

“Dah subjek yang saya ambil di sekolah kejuruteraan mekanikal, fasal wayar-wayar ni saya tau le sikit-sikit,” sahut saya tetap kenang sering dimarahi emak kerana tak pernah berhasil baiki radio, peti TV mahupun CPU komputer yang rosak.

“Bolehkah berjaya eksprimen kamu ni, Hafiz?” Abang Din serba salah juga setiap kali mendengar peti suara pada objek boneka berkenaan berbunyi tenggelam timbul macam radio transistor rosak.

“Kita cuba dulu,” ujar Mail Kengkang semakin yakin dapat mengenal pasti formula menewaskan tentera-tentera boneka Bapak Profesor. “Masih banyak lagi tentera-tentera boneka di luar gua, macam mana kita nak keluar?” katanya terlangah-langah memerhati ke pintu gua.

“Apa yang penting kita jangan cepat berputus asa,” beritahu saya meletakkan kaca cermin pada bahagian mata objek boneka yang ditawan itu. Bagaimanapun saya menghadapi kesukaran untuk memantau menggunakan alat kawalan jauh.

Memang alat kawalan jauh dipantau menerusi sistem berkomputer di bilik operasi Bapak Profesor. Semua objek tentera boneka bergerak serentak dengan dikawal oleh Bapak Profesor yang memantau di monitor. Punat butang di hujung jarinya yang memastikan setiap objek tentera boneka menapati kemahuannya. Tak satu pun objek boneka-boneka berkenaan tersasar daripada monitor yang dipantaunya.

Ketika itu saya merasakan pengetahuan terlalu cetek mahu menandingi kepakaran Bapak Profesor. Wayar yang dipasang dalam badan boneka memang saya mengerti apa-apa fungsinya. Sebab itu sengaja saya tukarkan wayar anod kepada wayar atod supaya aliran kuasanya bertentangan. Gear pacu diterbalikkan kepada gear terpacu dengan peti suaranya dimatikan.

Cecair arsenik pula dijadikan alkeno bersama gas bromin, diletakkan pada molekul alkeno biar pantulan cahaya boleh memercikkan karbon dioksida. Disebabkan Si Tongkol masih terlelap, lantas saya ubahsuaikan hansetnya digantikan pada peti suara objek boneka itu. Kemudian dimasukkan dawai yang boleh diputar bagaikan spring bagi hasilkan dinamo pada bahagian yang menghubungkan aliran alat kawalan jauh.

“Kamu nak buat apa dengan tentera boneka yang kita tawan ni, Hafiz?” hairan benar Sahak Salai apabila fungsi di dalam badan boneka berkenaan habis diubahsuai.

“Entahlah, saya sendiri pun tak tahu apa akan berlaku,” jelas saya kerana tak tahu kesannya selepas diubahsuai pada bahagian wayar positif dan negatif yang digunakan oleh Bapak Profesor.

(* Kreativiti Ikram Hafiz menggambarkan keadaan di lokap polis Selayang, ketika dia bersama kawan-kawannya ditahan berikutan kes pergaduhan apabila bertindak balas selepas wang jualan burgernya disamun, tetapi dituduh merusuh. Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Teng Chang Khim – sekarang Speaker DUN Selangor, dan Wee Choo Keong – sekarang Ahli Parlimen Wangsa Maju, turut campur tangan bagi membebaskan Ikram Hafiz dan rakan-rakannya yang ditahan selama lima hari).

(bersambung)

PUISI LAMA

Janji Orang Beradat

Janji adat janjinya teguh
Janji dibuat, janji dimuliakan
Didalam janji, digaduhkan (prihatin)
Janji sampai ditepati
Tergawa mati, tanda berhutang
Bukan hutang padi nan bersukat
Bukan hutang kain nan berhasta
Bukan hutang ringgit nan berbilang
Hutang adat dan pesaka.

(Hutang adat dan pesaka
hutang ringgit nan berbilang
hutang tender nan terhalang
hutang Bahagian nan dilarang
hutang UMNO nan berhutang
hutang Mac 2009 akan datang
hutang sumpah nan berbayang)

-Alba
Jelebu, N.S.
5 November 2008

INFO SUARA PROLITAR

3.00 PETANG PERGI KE KEDAI:
SURAT KHABAR MELAMBAK LAGI

Media arus perdana cukuplah. Jangan nak laga-lagakan pemimpin Pakatan Rakyat (PR). Hari ini (6 November 2008), kutuk Dato’ Seri Anwar Ibrahim fasal walk out ketika Dato’ Seri Najib Tun Razak bentang bajet. Dulu-dulu media terbabit yang ampu Dato’ Seri Anwar macam nak rak. Masa tu (dekad 1980-an) sebelah mata pun tak pandang Najib. Laga-lagakan pula Tuan Guru Hadi Awang fasal isu lantik bukan Melayu pangku PKNS oleh kerajaan negeri Selangor. Tahun 2008 ni tak sama dengan 1988. Letak gambar Obama muka depan pun, hingga 3.00 petang melambak lagi surat khabar di kedai. – (SMS; 6 November 2008; 14:43:51 – Man Cincai, Selayang, Selangor).

DUDUK DI MALAYSIA SEPERTI DUDUK DI SEBERANG
SANA SINI DRAMA INDON

Apa nak jadi dengan saluran Astro, tak cukup dengan drama Indon di saluran Aruna malah di saluran Prima juga banyak dihidangkan.Terasa seolah-olah bermastautin di negara mereka.Bukan sahaja Astro malah RTM dan Media Prima terlalu kerap menyiarkan drama Indon, sama ada bersiri mahupun telefilem. Apa sudah jadi? Adakah penerbit drama di Malaysia sudah ketandusan idea untuk menerbitkan drama?Bertambah sukalah amah bila rancangan dari negara mereka disiarkan. – (SMS; 6 November 2008; 15:30:02 – Mimie, Gombak, Selangor).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

RAMAI YANG BERSUARA MENYOKONG NAJIB
TENTANG PEBELANJAAN NEGARA YANG DIBENTANG

Syahdan segala orang banyak pun bersuaralah kerana mahu menunjukkan mereka menyokong akan perbelanjaan negara yang dibentangkan oleh Orangkaya Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak semalam, 7 Zulkaedah 1429 (atau disebut orang 5 November 2008). Arakian pada masa nenek moyang fakir dahulukala adapun Orangkaya Menteri Kewangan itu dipanggillah ia Penghulu Bendahari. Taklah ia membentang akan perbelanjaan, tetapi sekadar menjaga perbendaharaan sahaja, adanya. Sebermula tak dipersetujui oleh sekalian anak-anak buah Orangkaya Permatang Pauh Dato’ Seri Anwar Ibrahim, menyebabkan penitir-penitir canang mengampu-ampu akan Orangkaya Dato’ Seri Mohd Najib dengan meminta orang banyak memburuk-burukkan Orangkaya Permatang Pauh itu.

Arakian maka oleh Tun Bija Sura dipilihnya anak tuan-tuan empat lima orang, dibawanya naik ke peseban. Maka segala anak tuan-tuan itu memanglah yang pandai ia mengampu-ampu kerana mahukan kurnia daripada Sultan Melaka. Syahdan Tun Bija Sura dengan segala anak tuan-tuan itu pun berlunjurlah di hadapan Betara Majapahit, kain disingsingnya had lutut. Kasadnya mahu megutuk-ngutuk akan layanan Betara Majapahit kepada sekalian orang Melaka. Telah dilihat oleh hulubalang Jawa, dilarang mereka itu, katanya, ‘Tanpa kedep tambung laku sira, berlunjur di hadapan Betara Majapahit.’ Maka sahut Tun Bija Sura, ‘Aku dititahkan paduka Betara Majaphit bermain; maka kami bermain. Jika tiada dengan titah beranikah kami?’ Maka kata Betara Majapahit, ‘Biarlah!’ kerana samalah penitir-penitir canang yang mengampu-ampu itu dengan perihal di dalam ‘Kitab Melayu’ yang disebut:


HIDUP BAHASA MELAYU!

No comments:

Post a Comment