Saturday, November 8, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

‘HARBEAS CORPUS’ BERJAYA DI MAHAKMAH
RAJA PETRA DIBEBASKAN DARI TAHANAN ISA

Assalamualaikum,

Ketika ditemui adik angkat saya Ir Adnan Haji Khalid pagi ini (7 November 2008), beliau menerima aduan pelajar di sebuah sekolah menengah di Selangor tak dibenarkan mengambil peperiksaan SPM Selasa ini (11 November 2008) sekiranya tak mencukupi RM30 kutipan derma ‘Bacathon’. Beliau menemui guru terbabit, tetapi sekadar diberitahu sekadar gurauan (sekalipun sebelum pelajar-pelajar di sekolah berkenaan diwajibkan membuat kutipan). Disebabkan terma kutipan derma seperti ini tak digalakkan sejak menimbulkan masalah kepada jabatan pendidikan, saya menghubungi Pengerusi PIBG sekolah terbabit Ir Haji Isa Hamzah. Beliau memberi penjelasan kutipan derma ‘Bacaton’ itu sepatutnya digerakkan oleh ibu bapa, bukannya murid-murid seperti kerenah guru-guru seolah-olah mengugut pelajar pula. Astaga!

Dalam masa berbincang dengan Ir Adnan inilah, Haji Abu Bakar Ninggal menelefon tetapi terputus pula tak semena-mena. Bagaimanapun sempat juga Haji Abu Bakar beritahu mengenai editor laman web Malaysiakini Raja Petra Kamaruddin berjaya dalam herbeas corpus di mahkamah. Justeru kem tahanan di Kemunting perlu membebaskan beliau hari ini juga setelah dihantar ke sel sebagai tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA); iaitu membolehkan seseorang warganegara ditahan tanpa dibicarakan. Aduhai! Berikutnya Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz mengirim SMS: “Long life Raja Petra and mt syukur, alhamdullillah suara rakyat kuasa keramat. Seribu syukur ke hadrat Illahi - (7 November 2008; 11:45:49).”

Diikuti pula SMS dari Yassinsalleh: “RPK harbeas corpus successful. Pet was released – (7 November 2008; 12:01:35). Bagaimanapun sebelumnya Sallehudddin Hashim mengirim SMS: “5/11: Barrack Obama wins presidential election, He becomes the US first black president. If Khairy wins in March 2009, UMNO will have its first black Youth Chief – (7 November 2008; 11:26:17).” Memang isu Raja Petra menjadi agenda perbincangan dalam perbincangan penulis-penulis blog di Hotel Concorde pada 21 Oktober 2008 yang lalu. Justeru langkah susulan hanya menunggu keputusan harbeas corpus hari ini, sama ada akan menghantar memorandum atau lain-lain tindakan yang difikirkan bersama. Dengan pembebasan Raja Petra hari ini, justeru langkah susulan penulis-penulis blog dianggap sudah selesai. Barangkali!


Bagaimanapun jawapan Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri Syed Abdul Hamid Albar kepada media, tak melambangkan wibawa seorang menteri apabila menyebut: Itu mahkamah punya keputusan! Ironinya, Dato’ Seri Syed Hamid tak beritahu sama ada beliau bersetuju atau tidak dengan keputusan mahkamah. Justeru jawapan yang diberi Dato’ Seri Syed Hamid Albar tak lebih daripada berstatus seorang Ketua Bahagian UMNO sahaja. Keputusan mahkamah adalah keputusan badan kehakiman kerajaan yang Dato’ Seri Abdul Hamid salah seorang anggota kabinet, di samping Raja Petra pula sudah menggunakan haknya sebagai seorang seorang warganegara dan pembayar cukai. Setidak-tidaknya sebagai menteri, beliau seharusnya menghormati keputusan mahkamah. Begitulah!

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA

DESAKAN MINTA NAJIB DIBERSIHKAN:
SUKAR PERTAHANKAN DI LANGIT TERBUKA

Desakan pimpinan pembangkang termasuk Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar dan rakan-rakannya meminta bakal Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak membersihkan dirinya daripada dakwaan yang membabitkan dirinya, adalah untuk kepentingan negara. Justeru Dato’ Seri Mohd Najib tak boleh menyembunyikan segala fakta di sebalik benteng kekebalan UMNO; apalagi dalam masa prestasi UMNO semakin goyah, goyang dan goncang! Bahkan di luar negara juga Dato’ Seri Mohd Najib turut dipersenda, hingga menyukarkan warganegara kita mahu mempertahankan. Misalnya, SMS dari India diterima oleh sekretariat PRIMA dengan menyebut Najib sebagai ‘Najis’ yang dikatakan ‘to be the sick’ (sepatutnya 6th) ‘Poor Man’ (dimaksudkan PM). Siri penghinaan ke atas Dato’ Seri Najib di luar negara turut memberikan imej yang kurang selesa kepada Malaysia.


Selaras dengan keputusan pencalonan Bahagian-Bahagian UMNO kepada Dato’ Seri Najib menjelang pemilihan Mac 2009, beliau sudah memastikan posisinya selaku bakal menduduki kerusi Perdana Menteri. Mungkin sahaja di Malaysia kerajaan boleh jadikan ISA sebagari jaringan berkesan ‘membungkus’ anasir-anasir yang menghina Dato’ Seri Mohd Najib, tetapi masyarakat antarabangsa bebas menyalurkan maklumat sama ada menerusi SMS mahupun emel. Apabila Dato’ Seri Mohd Najib dilabel sebagai ‘Najis is sad (set) to be the sick (6th) Poor Man (PM) for May Day-Sia (Malaysia)’, di samping dibandingkan dengan ‘While…Osama (Obama) will become the 1st black Uni Sex (US) President…’; ianya menggambarkan satu fenomena mencemuh, mencerca dan mencela menerusi kecanggihan ‘langit terbuka’.

Justeru Dato’ Seri Mohd Najib perlu menampilkan imej yang mampu dipertahankan oleh warga Malaysia, dengan menjawab segala kritikan berkaitan isu sensasi yang ianya menjadi bahan ejekan masyarakat antarabangsa. Misalnya, kes Altantuya Shaariibuu mungkin sahaja boleh dinafikan secara lisan kepada rakyat Malaysia, tetapi terlalu sukar dipertahankan apabila dibangkitkan oleh masyarakat antarabangsa. Begitu juga imej kebangsatan George W. Bush sekadar mampu disembunyikan menerusi media yang didominan pengaruh Zionis, tetapi keberangan rakyat AS terhadap Parti Republikan diterjemahkan secara simbolik pada 4 November 2008. Bukan sahaja kekalahan paling teruk, malah penampilan pimpinan kulit hitam mengetuai AS yang menghadapi frasa kebobrokan di bawah pentadbiran Bush.

INFO SASTERA & BUDAYA

NOVEL ‘SAINS FIKSYEN’
JAUH DI PULAU RAHSIA
Oleh: Ikram Hafiz


(Sebelum memasuki Unisel pada Mei 2008, Allahyarham Ikram Hafiz bukan sahaja berbakat dalam kraftangan dan elektrikal ketika belajar di Sekolah Menengah Teknik Gombak, malah terbabit dalam karya kreatif. Ikram Hafiz pernah menghasilkan novel sains fiksyen pada 2007, ketika membuat kerja sambilan menjual burger. Hanya sebuah sahaja novel yang dihasilkannya, dan diterbitkan oleh Mulya Utama Enterprises, Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor. Mulai sekarang, novel karya Ikram Hafiz dimuatkan dalam laman blog ini).

(sambungan kelmarin…)

(30)

10
PANTANG BERPUTUS ASA

PIJAT-PIJAT TURUT BERI ILHAM
SIBARKAN VIRUS TENTERA BONEKA

SELEPAS dibersihkan cecair cat yang saya semburkan pada bahagian mata boneka sebelum itu, objek berkenaan saya telungkupkan. Bimbang juga pantulan cahaya pada bahagian mata akan bertindak balas. Ketika itu saya ternampak seekor pijat-pijat di celah wayar yang belum dimasukkan habis ke dalam rongga boneka berkenaan. Apabila pijat-pijat itu bergerak kedengaran bunyi bergetar pada gear pemacu dan gear terpacu.

Cepat-cepat saya mahu menguis serangga berkenaan. Tetapi apabila getaran pada wayar itu menjadikan sebahagian komponen bergerak tak normal, lantas saya mendapat idea. Lebih baik dimasukkan seberapa banyak pijat-pijat yang boleh menyibarkan virus pada sistem komputer di dalam badan tentera boneka. Asal sahaja mereka berdekatan nescaya virus berkenaan mudah tersibar.

Selepas mendapat idea tersebut, segera saya meminta kawan-kawan menangkap pijat-pijat di celah meja kayu dan bangku usang di situ. Terkejut Si Tongkol apabila kawan-kawan saya mula menyelongkar.

“Kamu buat apa sekarang ni, Hang Jebat?” ujar Si Tongkol masih memanggil saya Hang Jebat.

“Macam kita main game dalam komputer, Pakcik Si Tongkol,” sahut saya setelah memasukkan seberapa banyak pijat-pijat ke dalam rongga tentera boneka itu.

Setelah lengkap dipasang semula, objek boneka berkenaan diterlentangkan. Tiba-tiba sahaja ia bingkas bangun apabila disilau cahaya matahari di luar pintu gua. Tentera boneka yang dapat saya tawan itu bergerak laju seolah-olah tak dapat dikawal langsung. Ketika mendekati pintu gua tak bertangguh pula ia memukul rakan-rakannya asal sahaja tergesel hingga memercikkan haba.

Percikan haba itu menjadikan tentera boneka yang disentuhkan meletup hingga sekitar bukit terumbu batu karang ikut bergegar. Perubahan pergerakan boneka yang dipanggil oleh Bapak Profesor wira pulau itu menyebabkan tentera boneka yang lain diundurkan jauh. Memang Bapak Profesor tak mahu berlaku geselan logam padu tungsten itu untuk mengelakkan letupan denamit berterusan.

Justeru Bapak Profesor memberi tempoh 24 jam supaya Si Tongkol menyerah diri. Di peringkat itu dia tak mahu lagi berkompromi. Dia menyangka Si Tongkol sudah dapat mencari formula untuk memusnahkan tentera-tentera bonekanya. Tetapi masih banyak rahsia di sebalik jana teknologinya yang sukar dibongkar sesiapa. Bapak Profesor yakin dia akan terus bertahan di bawah terowong bukit terumbu batu karang itu.

“Tak semudah kamu fikirkan untuk tewaskan aku, Kolonel Si Tongkol!” suara Bapak Profesor berulang kali memberi amaran.

Ketika itu Abang Din sudah menerpa ke pintu gua. Dia melihat tentera-tentera boneka berundur, sebaik sahaja boneka yang ditawan bertukar menjadi pembelot. Asal sahaja diterjah dengan pantulan cahaya, tiba-tiba sahaja ianya memukul balik ke belakang. Tak brtangguh pula objek boneka terpelanting, sekalipun dapat bangun semula bertahan.

Disebabkan boneka yang sudah diubahsuai itu tak dapat lagi dikawal, Bapak Profesor terpaksa undurkan semua wira pulaunya. Dia tak mahu setiap wira pulau bergesel dengan objek boneka yang sudah diubahsuai. Bapak Profesor tahu risikonya kalau logam padu tungsten itu bergesel menyebakan berlaku ledakan kuat.

“Kita perlu selamatkan Bung Hirman, Bung Superman dan Bung Jojo,” ujar Si Tongkol lemah. Tenaganya ternyata tak segagah mana. Kalau harapkan Abang Din untuk memapah sekadar beberapa meter sahaja. Susuk tubuh Si Tongkol yang besar memang sukar mahu dipapah.

(* Kreativiti Ikram Hafiz menggambarkan keadaan di lokap polis Selayang, ketika dia bersama kawan-kawannya ditahan berikutan kes pergaduhan apabila bertindak balas selepas wang jualan burgernya disamun, tetapi dituduh merusuh. Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Teng Chang Khim – sekarang Speaker DUN Selangor, dan Wee Choo Keong – sekarang Ahli Parlimen Wangsa Maju, turut campur tangan bagi membebaskan Ikram Hafiz dan rakan-rakannya yang ditahan selama lima hari).

(bersambung)


PUISI LAMA

Senandung Bersumpah

Legenda Mahsuri membuat sumpahan
Pulau Langkawi legenda termasyhur
Tujuh keturunan ditimpa ketulahan
Menjadi padang jarak padang tekukur.

Tragedi Sultan Mahmud Mangkat Dijulang
Keturunan Laksamana Bentan menanggung badi
Sumpahan daulat kemurkaan raja terbilang
Muntahkan darah jejak kaki ke bumi Kota Tinggi.

Kota Gelanggi empunya mitos berkurun
Misteri di sebalik kehijauan rimbunan pokok
Batu disumpah sang kelembai di bukit bercerun
Telunjukmu lurus kelengkeng pula nan bengkok.

Legenda kesetiaan sumpah Rama dan Sita
Melingkari legasi kepahlawanan Sang Hanuman
Terjebak di tengah kepongahan Rawana pendusta
Menguji kesabaran Laxamana kehilangan pedoman.

Bersumpahlah dengan senandung bersumpah
Retorik ikrar UMNO melaknati politik wang
Biarkan puing-puing janji menjadi sampah
Tengku Ahmad Rithauddin kian terawang-awang!

Naratif sumpah Saiful dan Najib di depan saksi
Misteri yang sukar ditafsir ‘perakuan bersumpah’
Di mana-mana setiap individu menjadi proksi
Spesies sesumpah akhirnya disumpah berstatus sampah!

-Zainal Rasidin
Kelana Jaya, Selangor
6 November 2008

INFO SUARA PROLITAR

RUNGUTAN PATUT JADI IKTIBAR
JANGAN SIBUK ‘POLITIK ANGKA’ BERBILION.

Rungutan peneroka-peneroka Felda di Segamat, Johor seperti dilihat TV semalam (6 November 2008), wajar menjadi iktibar apabila Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak gemar sangat bermain dengan ‘politik angka’ berbilion-bilion. Sekalipun pengurus di Felda terbabit menyarankan peneroka-peneroka mempelbagai tanaman, itu sekadar nak pertahankan diri sahaja. Memang begitulah kebiasaan bagi pegawai-pegawai kerajaan. Eloklah turun padang dan berdialog dengan peneroka – (SMS; 7 November 2008; 15:28:46 – Mat Karim, Rawang, Selangor).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

PERIHAL PEREMPUAN REBUT JAWATAN
BELUM DIKETAHUI KEPUTUSAN ORANGKAYA

Sebermula tersebutlah ceritera ketua segala perempuan harakah Melayu (UMNO) itu Orangkaya Tan Sri Rafidah Aziz akan bertemu dengan bekas Orangkaya Dato’ Seri Shahrizat Abdul Jalil. Syahdan sekalian anak-anak buah segala perempuan harakah Melayu itu mahukan Dato’ Seri Shahrizat menggantikan Orangkaya Tan Sri Rafidah, bukanlah menunggu peralihan kuasa, adanya. Maka diberitahu kepada orang banyak akan bekas Orangkaya Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddin yang dijadikan pengawas segala anak tuan-tuan yang akan merebut jawatan dalam harakah Melayu bertambah peninglah kepala. Kononnya terlalu banyak berlaku hulur menghulur seperti keperihalan Tun Hassan Temenggung dengan segala anak-anak buahnya merentang tali di lebuh negeri Melaka dahulukala. Arakian Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddin pun memintalah bantuan daripada Badan Pencegah Rasuah (BPR), adanya.

Kata sahibul hikayat, maka tersebutlah perkataan peri baik paras anak Bendahara Seri Maharaja yang bernama Tun Fatimah, terlalu sekali eloknya, tiada bercela lagi, sedap manis pantas bagus, seperti laut madu, bercahaya-cahaya, berkilat seperti bulan purnama ketika cuaca. Tambahan anak bendahara pula barang lakunya dan barang pakaian larangan semuanya dapat dipakai, makin bertambah-tambah baik parasnya. Telah Tun Fatimah besar, maka hendak didudukkan oleh Bendahara Seri Maharaja dengan Tun Ali, anak Seri Nara Diraja Tun Tahir (abang bendahara itu). Maka tatkala menghantar sirih, Raja diBaruh dipersilakan bendahara. Kata Raja diBaruh, ‘Kenapa tak dipersembahkan ke bawah dulu?’, kerana dahulukala perempuan tak berebut-rebut akan jawatan, tetapi berebut-rebut segala orang besar mahu memperisterinya sperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:












HIDUP BAHASA MELAYU!

No comments:

Post a Comment