Saturday, November 15, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG


PERIHAL WANITA BERSUAMI DUA:
KECUAIAN JABATAN AGAMA ISLAM

Assalamualaikum,

Insiden Shanum Shaari seorang isteri di Kampung Sedim, Baling, Kedah dibatalkan perkahwinan dengan suaminya Shariff Jasin, setelah memperoleh dua orang anak berusia satu dan dua tahun memperlihatkan kelemahan Pejabat Agama Daerah Baling, khususnya pentadbiran agama sendiri. Laporan media hari ini (15 November 2008) memang kompleks, apabila Shanun yang menjanda selama 8 tahun tak diberi pembelaan oleh pentadbiran jabatan agama, tiba-tiba isu perkahwinannya berbangkit setelah diijab kabulkan di Yala, Selatan Thailand pada 12 Disember 2005. Apalagi Shanun sudah berulang alik ke pejabat agama di Baling beberapa kali meminta surat rujuk bekas suaminya Amir Affandy Zakaria, tetapi diberitahu surat berkenaan tak ada. Ironinya, bagaimana surat berkenaan wujud, selepas beliau berkahwin dengan Shariff.

Isu kelemahan pejabat agama di Baling ini bukan sahaja merumitkan Shanun dan suaminya Shariff (malah dilabel sebagai wanita bersuami dua), tetapi mengelirukan umat Islam di negara ini. Berikutan kelemahan yang berlaku di pejabat agama inilah yang mendorong penulis laman web Malaysiakini, Raja Petra Kamaruddin mengkritik pentadbiran agama Islam, hingga beliau ditahan di bawah ISA baru-baru ini. Justeru pihak pentadbiran jabatan agama wajar memperbetulkan pendekatannya sebelum buat tafsiran mengenai kesalahan orang lain. Misalnya, Majlis Agama Islam Selangor pada 2003 pernah mengakui kecuaian membelasah pasangan berkhalwat di khalayak ramai disebabkan ‘kelemahan manusia’ di samping kakitangan kebanyakan berkelulusan SPM, adalah jawapan yang tak munasabah. Justeru kecuaian jabatan agama tetap dikategori ‘kelemahan’ tak perlu dikaitkan dengan alasan untuk ‘melepaskan batuk di tangga’.

MENINGKAT PENGUASAAN BAHASA INGGERIS:
PELAJAR MUFLIS DENGAN PENGETAHUAN JAWI

Langkah melaksanakan Program Langkah Pertama (Edisi Kedua) oleh Kementerian Pelajaran bagi menggunakan modul pendidikan Australia bagi meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan murid-murid sekolah rendah memang dialu-alukan. Kalau modul pendidikan Australia mampu membawa kebaikan, adalah tak salah bagi Malaysia menirunya. Tetapi penguasaan Bahasa Inggeris sudah dibuktikan oleh pelajar-pelajar kelas peralihan (remove class) sekitar dekad 1950-an, sebaliknya beransur-ansur luntur selepas ‘kelas peralihan’ tak dipedulikan. Barangkali! Mungkin sahaja sistem pendidikan seterusnya turut merisaukan ibu bapa, apabila anak-anak muflis dengan pengetahuan ilmu membaca dan mengeja tulisan jawi.

Apabila langkah meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris diberi perhatian, jangan pula pengetahuan ilmu membaca dan mengeja tulisan jawi diabaikan terus, menerus dan berterusan. Program meningkatkan penguasaan membaca dan menulis jawi juga perlu dipertingkatkan sama, selaras dengan dasar pendidikan nasional seperti disebut oleh bekas Menteri Pelajaran Tun Abdul Rahman Ya’kob. Malah Tun Abdul Rahman sudah membuktikan beliau membawa pensyarah-pensyarah berwibawa dari Indonesia dalam mempertingkatkan pengajian sains dan matematik menggunakan Bahasa Melayu. Pada 1970-an misalnya, pelajar-pelajar Melayu dihantar ke Institut Teknologi Bandung bagi meneruskan pengajian dalam bidang kimia dan biologi. Begitulah!

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA


PERKASA ANJURKAN PERTEMUAN:
WACANA PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

Perbincangan mencari muafakat bagi menghadapi dan menangani isu undang-undang ke atas masyarakat teras di samping mengemukakan cadangan dasar akan diadakan Ahad ini (16 November 2008) di audotorium galeria perdana, Memorial Tun Hussein di Bukit Perdana, Jalan Dato’ Onn beritahu jurucakap penganjur Sallehuddin Hashim. Majlis yang dinamakan ‘Wacana Perlembagaan Persekutuan’ itu dianjurkan oleh Koperasi Bekas Perajurit (PERKASA) akan dihadiri golongan profesional termasuk peguam, pensyarah institusi pengajian tinggi, pimpinan masyarakat dan pejuang bahasa Melayu, menurut Sallehuddin selanjutnya. “Perbincangan ini memerlukan pendekatan yang serius terhadap nilai kemanusiaan sejagat, apabila isu kepentingan Melayu berhadapan dengan pancaroba pada alaf baru sekarang,” kata Sallehuddin menambah.

Berikutan jemputan menghadiri wacana berkenaan terhad, Sallehuddin menjelaskan untuk mendapat keterangan lanjut bolehlah melayari http://www.peribumiperkasa.org/. Wacana yang dianjurkan PERKASA ini turut membincangkan pendekatan dari segi perlembagaan kedudukan Melayu, di samping jaminan hak-hak ke atas bukan Melayu yang selama ini dijadikan gimmik politik. Seterusnya kata Sallehuddin, disebabkan pejuang-pejuang Melayu mengambil sikap bertolak ansur dalam banyak isu, justeru pihak lain mengambil kesempatan mengeksploit secara tak berhemah di samping memutar belitkan fakta semata-mata mencari kepentingan peribadi. “Wacana ini mencari penyelesaian konkrit dengan cadangan-cadangan berasaskan intergriti ke arah melahirkan sebuah masyarakat Malaysia yang harmoni,” beritahu Sallehuddin.

INFO SASTERA & BUDAYA

NOVEL ‘SAINS FIKSYEN’
JAUH DI PULAU RAHSIA
Oleh: Ikram Hafiz

(Sebelum memasuki Unisel pada Mei 2008, Allahyarham Ikram Hafiz bukan sahaja berbakat dalam kraftangan dan elektrikal ketika belajar di Sekolah Menengah Teknik Gombak, malah terbabit dalam karya kreatif. Ikram Hafiz pernah menghasilkan novel sains fiksyen pada 2007, ketika membuat kerja sambilan menjual burger. Hanya sebuah sahaja novel yang dihasilkannya, dan diterbitkan oleh Mulya Utama Enterprises, Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor. Mulai sekarang, novel karya Ikram Hafiz dimuatkan dalam laman blog ini).

(sambungan kelmarin…)

(34)

11
LANGKAH TERUS DIATUR

JAHAT TAK BERMAKNA GANAS:
DENDAM MASIH BERSARANG DI HATI

TAK disangka pula tentera boneka yang sudah diubahsuai itu terapung di permukaan laut selepas jatuh terjunam ke dasar. Dari jauh kelihatan seperti pelampung yang tak berbahaya apa-apa. Si Tongkol juga melaung dari bot lajunya meminta polis marin supaya tak menghampiri klon wira pulau yang terapung.

“Awas, klon wira pulau itu boleh meledak!” laung saya sekuat hati, tetapi tak siapa yang terbabit dalam drama kejar mengejar itu mendengarnya.

“Mereka tak tahu mengenai klon wira pulau tu, Hang Jebat,” sahut Abang Din sambil menepuk bahu saya.

“Jangan panggil Hang Jebat, saya Hafiz,” ujar saya memarahi Abang Din. Dalam saat mencemaskan itu memang saya tak mahu siapapun bergurau.

“Bukankah kita lima bersahabat turun ke laut sebagai Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu,” segera Usin Sodok mendekati saya. “Bukankah kita semua bersetuju Abang Din jadi Hang Tuah, dan kau Hafiz ialah Hang Jebat,” dia tersengih-sengih mengejek saya.

“Kamu diam!” bentak saya tak dapat menahan kemarahan. “Lihat di tengah ombak Pakcik Si Tongkol dalam bahaya, bila-bila masa akan dapat ditangkap polis marin,” tutur saya terlalu kesal.

“Janganlah marah, Hang Jebat,” Mail Kengkang memujuk. “Kalau Usin Sodok jadi Hang Kasturi, akulah Hang Lekir dan Sahak Salai ialah Hang Lekiu, bukankah semua sudah lengkap?” terkekeh-kekeh dia ketawa mendongak ke udara.

Memang marah sangat saya apabila kawan-kawan tak hiraukan rasa kesal di hati. Mereka seolah-olah tak peduli lagi fasal keramahan Si Tongkol dan kunco-kunconya. Masing-masing menyimpan dendam biarlah Si Tongkol ditawan polis marin. Setidak-tidaknya Si Tongkol dibunuh dalam drama kejar mengejar itu.

Cepat-cepat mereka berubah pendirian. Baik Abang Din mahupun Usin Sodok, Mail Kengkang dan Sahak Salai mereka masih berdendam pada Si Tongkol. Apalagi kunco-kunconya. Abang Din tetap tak lupakan fasal kulit belakangnya berbirat akibat dibelasah tali pinggang. Dia tak peduli ketika Si Tongkol cedera parah kerana mahu selamatkan diri dari tahanan Bapak Profesor.

Kalau lambat Si Tongkol bersama kunco-kunconya bertindak, kami berlima akan menjadi mangsa eksprimen Bapak Profesor. Kami juga akan dijadikan boneka setelah pemindahan kotak memori di bahagian otak dilakukan. Kalau hipoccampus di kiri dan di kanan otak dipindahkan, kami sekadar boneka yang diklon oleh Bapak Profesor.

Ketika itu saya menyedari sejahat-jahat Si Tongkol, dia tidaklah ganas seperti Bapak Profesor. Sekalipun fizikal Profesor Adri kelihatan lemah, tetapi jiwanya tetap keras. Dia tak mahu kepakaran teknologinya diperlekehkan. Sebab itu dia mahu menguasai semua zon selepas kuasa mutlaknya di planet boneka tak dapat dicabar.

“Lari ke perairan antarabangsa Pakcik Si Tongkol!” segera saya berlari ke hujung pelantar di bagan. Laungan saya semakin nyaring menyuruhnya terus mengelak daripada kepungan polis marin.

Tetapi kawan-kawan di belakang tetap mentertawakan saya. Mereka mengejek-ngejek saya kerana pertahankan Si Tongkol setelah berjaya dikepung oleh polis marin. Jauh di lipatan hati saya memang dendam terhadap Si Tongkol dan kunco-kunconya masih tak luput. Biarlah Si Tongkol menerima balasan setimpal akibat perbuatannya selama ini!

“Cepat lari Pakcik Si Tongkol, Bung Hirman, Bung Superman dab Bung Jojo,” ujar saya berdiri di hujung pelantar di bagan berkenaan.

(* Kreativiti Ikram Hafiz menggambarkan keadaan di lokap polis Selayang, ketika dia bersama kawan-kawannya ditahan berikutan kes pergaduhan apabila bertindak balas selepas wang jualan burgernya disamun, tetapi dituduh merusuh. Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Teng Chang Khim – sekarang Speaker DUN Selangor, dan Wee Choo Keong – sekarang Ahli Parlimen Wangsa Maju, turut campur tangan bagi membebaskan Ikram Hafiz dan rakan-rakannya yang ditahan selama lima hari).

(bersambung)


BUKU SEMPENA 10 TAHUN PEMERINTAHAN:
DATO’ LELA MAHARAJA HAJI MUHAMAD SHARIP

Sempena 10 tahun Dato’ Lela Maharaja Haji Muhamad Sharip Haji Othman, Undang Luak Rembau menyandang pesaka pada 21 November 2008 ini, buku autobiografi beliau akan dilancarkan. Jurucakap Balai Undang Luak Rembau memberitahu buku berjudul ‘Dato’ Lela Maharaja Haji Muhamad Sharip Haji Othman: LEGAS KETUANAN REMBAU’ turut memuatkan fakta pentadbiran adat Rembau daripada perspektif sejarah sejak diasaskan oleh Dato’ Seri Rama, Undang Luak Rembau pertama pada 1540. Dato’ Lela Maharaja Haji Muhamad Sharip mula menyandang pesaka pada 21 November 1998 menggantikan Dato’ Sedia Raja Haji Adnan Maah yang berpulang ke rahmatullah. Justeru beliau menyandang pesaka Undang Luak Rembau berdasarkan pergiliran dua carak iaitu Waris Biduanda Lela Maharaja dan Waris Biduanda Sedia Raja. Sempena 10 tahun Dato’ Lela Maharaja Haji Muhamad Sharip memerintah adat di Rembau, satu jamuan keraian juga diadakan pada 22 November 2008 ini.

INFO SUARA PROLITAR

MAT TAIB DI MINTA JANGAN SEMBUNYI:
BANGKAI GAJAH DI BALIK LALANG SEHELAI

Kalau Tan Sri Muhammad Mohd Taib minta Tun Dr Mahathir Mohamad berikan bukti berlakunya ‘politik wang’ dalam UMNO, maknanya Tan Sri Muhammad tak percaya ‘politik wang’ sedang melanda UMNO. Kalau begitu kenapa gantung keahlian Tan Sri Mohd Isa Samad selepas pemilihan 2003? Harap Tan Sri Muhammad jangan cuba untuk sembunyikan bangkai gajah di sebalik daun lalang sehelai. Kalau beliau pemimpin yang bertanggungjawab, silalah sama-sama mencari bukti. Bukan meminta Tun Dr Mahathir berikan bukti. (SMS; 15 November 2008; 10: 36: 41 – Man Cincai, Selayang, Selangor).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

AYAH PIN TAK BOLEH DITANGKAP
HAIRANLAH SEKALIAN ORANG BANYAK

Sebermula Orangkaya Menteri Besar Terengganu Dato’Ahmad Said berasa masyghol kerana jabatan agama di negeri itu tak membenarkan anak-anak buah Temenggung (PDRM) menahan Ayah Pin. Adapun Ayah Pin itu nama sebenarnya Ariffin Mohamad adalah guru ajaran sesat yang mengaku menjadi guru segala agama. Syahdan akan orang banyak yang terpengaruh dengan ajaran Ayah Pin, sangguplah mereka meminum air basuh kakinya di dalam dulang. Hatta pada suatu ketika dulu gemparlah orang banyak kerana Ayah Pin mengakulah ia mempunyai kerajaan di langit. Arakian berasa hairanlah sekalian orang banyak apabila Ayah Pin tak dapat ditangkap, kerana di suatu masa dulu Ustaz Ashaari Muhammad, mursyidul pertubuhan al-Arqam mudah sahaja dibawa balik ke tanahair. Arakian barulah diketahui orang banyak akan jabatan agama tak benarkan anak-anak buah Temenggung menangkapnya.

Syahdan maka dilihatnya oleh Makhdum Sadar Jahan akan Seri Rama itu mabuk dan mulutnya berbau arak, maka kata Makhdum Sadar Jahan, ‘Al-khamar ummul ‘l-fawa-hisy wa akbaru ‘l-khaba’ith (ertinya yang arak itu ibu segala najis).’ Maka sahut Seri Rama, ‘Al-hamku ummu ‘l-khba’ith (ertinya yang ahmak itu ibu segala najis). Tuan turun dari atas angin ke mari bukankah hendak mencari harta? Daripada ahmaklah itu.’ Arakian, maka Makhdum pun terlalu marah mendengar kata Seri Rama itu, lalu ia pulang; berapa ditahani oleh bendahara, tiada mahu Makhdum bertahan; pulang juga ia ke rumahnya. Maka kata Makhdum, ‘Hamba orang ahmak, apa buat.’ Sebermula kata bendahara pada Seri Rama, ‘Mabuk Orangkaya ini barang katanya dikatakan,’ kerana Seri Rama orang besar iaitu panglima gajah tak siapa berani menegurnya seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:


HIDUP BAHASA MELAYU!

No comments:

Post a Comment