Tuesday, November 18, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

SERANGAN KE ATAS ORANG AWAM
INSIDEN PILU DI SELATAN THAILAND

Assalamualaikum,

Serangan berdarah ke atas orang awam di Selatan Thailand, tak seharusnya dibiarkan oleh negara jiran seperti Malaysia kerana ianya membabitkan persempadanan kedua-dua negara. Apalagi kedudukan Pengkalan Kubur di Tumpat sekadar dipisahkan oleh Sungai Golok sahaja, malah penduduk seberang menyeberang sungai boleh melihat aktiviti jiran masing-masing. Begitulah! Insiden yang dilaporkan hari ini (18 November 2008) yang mengorbankan tujuh orang awam, ternyata terus berlaku sekalipun sudah berakhir rejim Thaksin Shinawatra yang terbabit dalam pembunuhan beramai-ramai di Narathiwat tak lama dulu. Penindasan ke atas penduduk di selatan Thailand bukan fenomena baru yang menggerakkan penubuhan kumpulan pemisah POLO, tetapi membabitkan gangguan pihak militan beruniform terhadap institusi pengajian pondok.

Menyentuh paksi keganasan mungkin sahaja kita terarah kepada rejim George W Bush di Amerika Syarikat yang memberi tekanan kepada gerakan pertubuhan pro-Islam dengan mengaitkan kepada tragedi 9/11. Sebaliknya pada period hari-hari terakhir hegemoni kuasa Bush akan berakhir Januari 2009 ini, keganasan berterusan menindas pertubuhan pro-Islam sama ada di Iraq, Afghanistan, Palestin mahupun di Asia termasuk Filipina, Indonesia dan Thailand. Ketika Barrack Hussein Obama berikrar akan menghapsukan dasar luar pentadbiran Bush apabila menduduki Rumah Putih, penindasan ke atas penduduk Islam di Selatan Thailand masih menjadi trauma. Ketika saya bersama Tan Sri Abdul Samad Idris (Allahyarham) aktif dalam gerakan Persaudaraan Nasrul Haq sekitar dekad 1970-an dan 1980-an dulu memang banyak maklumat yang diterima.

Apalagi menyentuh institusi pengajian pondok di Pulau Nyiur, Pattani di samping insiden Tuan Guru Haji Kop yang kononnya dicolek oleh kumpulan militan beruniform pada dekad 1950-an. Justeru serangan ke atas orang awam di Selatan Thailand yang mengorbankan penduduk tak berdosa hari ini (18 November 2008) bukan sekadar isu tempatan, tetapi membabitkan permasalahan global. Sebagai bekas pimpinan Nasrul Haq bersama Tan Sri Abdul Samad Idris, saya merasakan insiden serangan ke atas penduduk awam harus dijadikan agenda masyarakat antarabangsa. Malaysia yang wajar mempertahankan kedaulatan sempadannya, tak bersalahan sekiranya menggerakkan usaha mencari penyelesaian antarabangsa. Barangkali!

DOKUMEN SULIT 10 TAHUN DULU
TAK LAGI DIKLASIFIKASIKAN RAHSIA

Kandungan perjanjian konsesi lebuhraya yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai dokumen sulit yang dilindungi di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA), boleh diperolehi sekarang seperti diumumkan Menteri Kerjaraya, Dato’ Mohd Zin Mohamed dalam laporan berita radio jam 5.00 petang hari ini (18 November 2008). Sebelum ini media berbahasa Inggeris sudah melaporkan kerajaan tak lagi mengklafikiasikan perjanjian konsesi lebuhraya itu sebagai dokumen sulit. Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak mengakui pada mesyuarat kabinet Jumaat lalu (14 November 2008) tak membincangkan isu perjanjian konsesi berkenaan, sekalipun sebelum ini memang pernah dibincangkan. Justeru rakyat juga seharusnya diberitahu bagaimana dokumen sulit yang ditakrifkan 10 tahun lalu, tiba-tiba sekarang tak lagi dianggap sulit. Aduhai!

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA


BANYAK NEGERI MINTA BERUNDUR:
RAFIDAH TAK PERLU TEGAK BENANG BASAH
Keputusan 10 daripada 13 Bahagian Pergerakan Wanita UMNO Pulau Pinang hari ini (18 November 2008) menolak pelan peralihan kuasa yang dicadangkan sebelum ini seharusnya menjadi ‘signal’ kepada Tan Sri Rafidah Aziz berundur secara terhormat, kata penganalisis politik Dr Seri Intan Mokhtar. Mengulas laporan media elektronik mengenai keputusan Pergerakan Wanita UMNO Pulau Pinang petang ini, Dr Seri Intan melahirkan rasa kesal dengan sikap Tan Sri Rafidah tak menghormati kehendak majoriti ahli UMNO di peringkat akar umbi yang menolak pimpinannya. Tan Sri Rafidah sudah diberi ‘signal’ jelas untuk berundur, justeru beliau tak perlu bersikap menegakkan benang basah, kata Dr Seri Intan. “Jumlah pencalonan yang diterima oleh Tan Sri Rafidah bukanlah keputusan sebenar, kerana banyak unsur-unsur lain yang boleh dipertikai,” beliau menambah.

Sebelum ini Pegerakan Wanita Negeri Sembilan dan Sabah secara terbuka menolak pimpinan Tan Sri Rafidah, sekalipun Wanita Pahang bercanggah pendapat, menurut Dr Seri Intan seterusnya. Merujuk kepada kenyataan Wanita Perlis yang menyifatkan Tan Sri Rafidah menaruh harapan untuk dipilih menduduki kerusi kabinet selepas Mac 2009, Dr Seri Intan memberitahu, insiden 1996 mungkin sukar berulang apabila Tun Dr Mahathir mengekalkan Tan Sri Rafidah menduduki kerusi kabinet sekalipun tewas kepada Dato’ Siti Zaharah Sulaiman bagi jawatan Ketua Wanita. “Justeru Tan Sri Rafidah perlu belajar dari sejarah, jangan menjadikan sejarah belajar daripada beliau,” beritahu Dr Seri Intan selanjutnya.

INFO SASTERA & BUDAYA

NOVEL ‘SAINS FIKSYEN’
JAUH DI PULAU RAHSIA
Oleh: Ikram Hafiz
(Sebelum memasuki Unisel pada Mei 2008, Allahyarham Ikram Hafiz bukan sahaja berbakat dalam kraftangan dan elektrikal ketika belajar di Sekolah Menengah Teknik Gombak, malah terbabit dalam karya kreatif. Ikram Hafiz pernah menghasilkan novel sains fiksyen pada 2007, ketika membuat kerja sambilan menjual burger. Hanya sebuah sahaja novel yang dihasilkannya, dan diterbitkan oleh Mulya Utama Enterprises, Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor. Mulai sekarang, novel karya Ikram Hafiz dimuatkan dalam laman blog ini).

(sambungan kelmarin…)

(35)

11
LANGKAH TERUS DIATUR

KAWAN SENDIRI BERLAKU BELOT
MELAUNG-LAUNG PANGGIL SI TONGKOL

MEMANG mereka tak mendengar laungan saya. Bunyi bising enjin bot menggegar bersama deburan ombak, menyebabkan laungan saya tenggelam entah ke mana. Apabila saya mahu terjun ke dalam bot Abang Din, beberapa orang anggota polis marin segera memegang saya. Lantas saya meronta-ronta sambil melaung Si Tongkol berulang kali.

Dalam masa saya galak melaung-laung itulah bot yang dipandu Bung Hirman merempuh klon wira pulau di permukaan laut. Serentak dengan itu klon wira pulau yang saya ubahsuai meledak kuat. Bot laju Si Tongkol berkecai hingga serpihan puing-puing melayang ke udara. Di belakang saya kedengaran Abang Din bersama Usin Sodok, Mail Kengkang dan Sahak Salai terkekeh-kekeh ketawa.

“Kamu gembira Pakcik Si Tongkol mati?” bentak saya meronta-ronta dipegang oleh beberapa orang anggota polis marin.

Memang saya tak berpuas hati. Keceriaan bercuti balik ke kampung tak dapat hendak dimanfaatkan. Sekalipun dapat ikut Abang Din memancing ke laut, tetapi berlaku pula insiden bot kehabisan petrol. Emak dan abah juga tak dapat manfaatkan keceriaan balik bercuti ke kampung apabila mendapati saya hilang di laut.

Dalam masa yang sama tragedi ombak tsunami di Pulau Pinang dan Kedah semakin merunsingkan emak. Justeru percutian yang dirancang bertukar menjadi hambar. Adang dan Kak Wa menyalahkan saya apabila emak dirundung kerunsingan.

Disebabkan semua pihak sengaja menyalahkan saya, semakin tertekan perasaan saya melihat bot laju Si Tongkol terus dijadikan sasaran. Polis marin beberapa kali lepaskan tembakan, sekalipun sukar menepati sasaran ketika ombak bergelombang kuat. Dalam tragedi kejar mengejar yang mendebarkan itu, kawan-kawan pula terus ketawa terkekeh-kekeh. Sebab itu marah benar hati saya kepada mereka.

Belum sempat saya berpaling ke arah kawan-kawan yang bersikap belot, terasa percikan air akibat ombak bergulung dari bawah pelantar di bagan berkenaan. Terpinga-pinga saya sewaktu membuka mata setelah terkena percikan air. Mereka di keliling saya masih juga tertawa.

Ternyata bukan Abang Din mahupun Usin Sodok, Mail Kengkang dan Sahak Salai yang terkekeh-kekeh ketawa di sisi saya. Tetapi Abang Khairil, Adang dan Kak Wa yang percikkan air ke muka saya. Abah bersama emak pula sekadar tersengih-sengih sahaja memerhati saya terpinga-pinga akibat mengalami mimpi sewaktu nyenyak tidur.

“Kamu mimpi apa sampai megigau ni, Hafiz?” tanya opah berdiri di belakang emak.

“Tidur tak basuh kaki, sebab itu kamu mengigau!” sahut atuk terus balik semula ke bilik tidurnya.

“Dah tiga pagi ni, tidurlah,” ujar abah masih tercegat di sisi saya. “Jangan asyik sangat main game di komputer, sebab tu terbawa-bawa masa tidur,” kata abah ingatkan saya.

“Dia bukan mengigau fasal komputer,” Adang pula mencelah tersengih-sengih. “Kalau abah nak tau, dia dah lama tengok gusti, sebab tu termimpi-mimpi Stone Cold,” lantas dia mencuit bahu saya.

“Stone Cold tu siapa?” hairan juga emak disebabkan Adang mentertawakan saya. “Emak dengar dia panggil Si Tongkol masa mengigau,” beritahu emak selanjutnya.

“Si Tongkol tu, Stone Cold le!” gerutu Abang Khairil terus baring semula. Memang dia tak peduli sangat sama ada saya mengigau atau meracau-racau. Dia terjaga apabila emak dan abah bingkas bangun mendapatkan saya setelah Adang dan Kak Wa berasa panik. Memang gelabah mereka berdua apabila saya menjerit-jerit memanggil Si Tongkol.

“Tidurlah, banyakkan istighfar dan baca Ayatul Kursi,” ujar abah ingatkan saya. Kemudian abah mengajak emak balik semula ke tempat tidur.

(* Kreativiti Ikram Hafiz menggambarkan keadaan di lokap polis Selayang, ketika dia bersama kawan-kawannya ditahan berikutan kes pergaduhan apabila bertindak balas selepas wang jualan burgernya disamun, tetapi dituduh merusuh. Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Teng Chang Khim – sekarang Speaker DUN Selangor, dan Wee Choo Keong – sekarang Ahli Parlimen Wangsa Maju, turut campur tangan bagi membebaskan Ikram Hafiz dan rakan-rakannya yang ditahan selama lima hari).

(bersambung)

PUISI

Kurniakan Hidayah-Mu

Lonjakkan glori kepahlawanan
Khalid al-Walid di sebalik bukit
memangkas bayang syuhada –
semaraknya dendam kesumat
Hendon binti Utbah di merata debu gurun
menggenggam butir-butir pasir kering
- sirakkan di lilit kepala
Wahsy bin Harb menimang-nimang tombak
menunggu kepingan dinar jatuh
melambak di lubuk amarah insaniah
menggadai nilai maruah!

Ku perhatikan, Saidina Hamzah
kombinasi kebobrokan kalbu insaniah
menampan pejal batu-batu Uhud
pecah bak ketul-ketul ais terpokah
di bawah kilau iman & taqwa
bisikkan kalimat syahadat
ke sanubari Khalid, Hendon & Wahsy
di hujung pusara penghulu syuhada
& biarkan matahari memutar bayang.

(Rawikan al-Waaqidi
daripada Khalid r.a.
berikan ke Islamanku ya Muhammad
segala puji bagi Allah
yang mengurniakan hidayah
kepada siapa yang dikehendaki-Nya)


-Dharmala N.S.
Kuala Lumpur
Zulhijjah 1429/2008

INFO SUARA PROLITAR

KAJIAN RAWATAN PERUBATAN:
PERLU DITERBITKAN TESIS ILMIAH

Tahniah! Kejayaan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dan Pakar Perunding Bedah Mulut dan Maksilofasial PPUKM Prof Madya Dr Roszalina Ramli menggunakan gigi untuk merawat pesakit mata, bekas anggota polis Lans Koperal Dunya Enchana. Penemuan perubatan apabila objek gigi boleh digunakan sebagai kanta pada mata memang menakjubkan. Kajian PPUKM termasuk juga inisiatif berterusan Pakar Perunding Oftalmologi Dr Then Kong Yong perlu disusun bagi dijadikan buku rawatan perubatan atau tesis dengan diterbitkan sebagai bahan ilmiah – (SMS; 18 November 2008; 14: 34: 28 – Man Cincai, Selayang, Selangor).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

MANUSIA SEKADAR MERENCANA:
ALLAH LEBIH MENGETAHUI SEGALANYA

Sebermula tersebutlah alkisah Orangkaya Menteri Luar Dato’ Seri Dr Rais Yatim akan memperkenalkan bahasa dan sastera Melayu ke negeri-negeri lain, adanya. Maka sekalian orang banyak pun menunggulah akan jaminan Orangkaya Dato’ Seri Rais, kerana tak lama lagi Orangkaya Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi tak lagi memegang jawatan. Arakian akan Orangkaya Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak belumlah memberikan janji sama ada akan mengekalkan semua Orangkaya Menteri yang ada atau sebaliknya, apabila ia menggantikan Orangkaya Dato’ Seri Abdullah itu. Adapun bahasa dan sastera Melayu itu pada masa dahulukala ianya menjadi kebanggaanlah di istana, kerana sekalian nenek moyang fakir membaca dan menulis mereka itu menggunakan Bahasa Melayu jua.

Kata sahibul hikayat, maka tersebutlah perkataan Raden Kelang, anak baginda Sultan Mansor Shah dengan Raden Galoh Chendera Kirana, anak Betara Majapahit itu. Setelah baginda besar maka kasad Sultan Mansor Shah sungguh ada Raja Ahmad, saudara Raja Muhammad yang dirajakan di Pahang itu, Raden Kelang hendak dirajakan baginda, kerana Raden Galoh itu menjadi Raja Perempuan Besar di Melaka. Maka pada suatu hari Raden Kelang bermain ke Kampung Keling. Syahdan maka orang mengamuk, sekalian orang pun pecah habis lari. Maka Raden Kelang meghunus keris menanti orang mengamuk. Mereka sama menikam, seorang rebah ke kiri, seorang rebah ke kanan. Maka diberitahu orang kepada Sultan Mansor Shah akan anakanda itu sudah matilah. Arakian tak dapatlah Raden Kelang itu dirajakan kerana manusia hanya merencana, Allah juga yang lebih tahu merencanakan seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:


HIDUP BAHASA MELAYU!

1 comment:

  1. Majlis Malam Juara Puisi 2008 anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Kedah berlangsung di Taman Budaya Negeri, Pumpong, Alor Setar pada 19.11.2008 mulai jam 8.30 malam.
    Antara yang menjayakannya ialah Puzi Hadi, Johan Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan Pringkat Negeri Kedah dan Kebangsaan 1987 (Juara Pertama Kali), Ahmad Shukri Abdullah dan Rejab F I yang masing-masing mendeklamasikan sajak dengan isu Bahasa Melayu.
    Memang Bahasa Jiwa Bangsa adalah slogan/tema yang dipakai sempena Bulan Bahasa dan Sastera 2008 dan telah berterusan sejak dulu lagi. Khabarnya ia asalnya adalah slogan Lembaga Persuratan dan Sastera Perak (LEPAS).
    Setelah selesai seperti biasa kalangan penggiat esastera; Brirasa, Zaidin Abadi, Anjanglie dan Ahkarim mengajak saya bersantai di Restoran Ahmediah (Restoran Pokok Ceri – RPC).
    Turut serta ialah Puzi Hadi dan Ahmad Shukri serta dua orang pegawai Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) serta juga Dato Abdul Halim R yang pulang awal.
    Antara topik yang turut terheret dalam perbualan kami sehingga lewat malam itu ialah berkaitan dengan Bahasa Melayu yang kian terabai berikutan dengan pendirian Kementerian Pelajaran untuk meneruskan pengajaran subjek Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.
    Saya memberikan pendapat bahawa bukan sahaja kerajaan yang patut dipersalahkan dalam hal ini bila Puzi bertanyakan antara Perkeso (singkatan dari Bahasa Melayu) dengan Socso (singkatan dari Bahasa Inggeris) mana yang lebih popular.
    “Masyarakat juga harus dipertanggungjawabkan bila mereka melazimkan diri antaranya menyebut EPF daripada KWSP, RIMV daripada JPJ dan Incometax daripada Jabatan Hasil Dalam Negeri. Cuma PWD saja yang disebut sebagai JKR,” kata saya.

    ReplyDelete