Tuesday, February 24, 2009

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

50% KES POLITIK WANG TUTUP::
SUKAR LAWAN KEPAKRAN UMNO

Assalamualaikum,

Pemilihan pimpinan tertinggi UMNO Mac 2009 ini dibongkar dengan kelibat unsure-unsur ‘politik wang’ atau bahasa bodohnya ‘sogokan’, ‘wang kopi’ dan secara tak cerdiknya ialah ‘rasuah’. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengaku menerima 90 kes aduan rasuah politik, tetapi 45 daripdanya atau 50% ditutup kerana ‘ketiadaan bukti kukuh’. Apalagi SPRM juga wajar disoal siasat, berikutan laporan polis yang dibuat aktivis UMNO di Damansara apabila beliau dibelasah di dalam lokap ketika disoal siasat di Temerloh. Heh heh heh!

Kalau tak ditubuhkan SPRM pun, masyarakat umum sudah tahu gejala ‘wang kopi’ yang disebut Kassim Baba dalam ‘Ali Baba Bujang Lapok’, ketika Allahyarham Tan Sri Dr P Ramlee menggarap karyanya. Malah dalam episode Siddiq Sigaraga ke majlis hari jadi orang kaya al-Ketambola juga terpaksa beri ‘wang kopi’ kepada pengawal, kerana membawa sama anak-anak perempuannya Afidah, Hamidah, Ghasidah diikuti dengan pegi dah! (Tetapi Melayu Abdul Wabah dan Melayu Abdul Wahib yang majoritinya dalam UMNO, tak pernah faham…)

Allahyarham Tun Abdul Razak sudah sentuh mengenai gejala ‘beli undi’ dalam Perhimpunan Agung UMNO 1975, Tun Dr Mahathir Mohamad juga mengakui menerusi sajaknya ‘Melayu Mudah Lupa’. Justeru pada 2003, Melayu mudah lupa itu tak memberikan undi kepada Tun Dr Mahathir untuk mewakili Kubang Pasu ke Perhimpunan Agung. Aduhai! Hulubalang-hulubalang UMNO meminta Tun Dr Mahathir memberikan bukit berlakunya ‘rasuah politik’. Kalau Tun Dr Mahathir yang pernah memimpin Negara tak mampu memberikan bukti, bagaimana SPRM mahu melangkahi sempadan heh heh heh!

Justeru tak hairanlah apabila 50% kes aduan ‘politik wang’ ditutup kerana ketiadaan bukti. Disebabkan sukar menemui bukti, kes lembu di Selangor menjadi lebih mudah. Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim lebih mudah disoal siasat daripada aktivis UMNO; begitu juga Speaker DUN Perak Sivakumar tak sesukar menyoal siasat aktivis UMNO, yang memang pakar dalam kes-kes ‘politik wang’. Kalau pegawai-pegawai SPRM menonton filem
‘Tiga Abdul’ cubalah kritis adegan Rafi menemui Pak Ali: ‘Encik Rafi, cukup bulan ni gaji awak naiklah.’ Jawab Rafi, ‘Kita ni sama aje Pak Ali, mudahkan kerja saya, Pak Ali pun tak perlu susah-susah lagi.” Faham-fahamlah!

- Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA:

RAKYAT NS MENENTANG PPSMI:
TERAS-PAS BERGANDING ANJUR FORUM.

Forum ‘Isu Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Pengantar Subjek Matematik dan Sains’ atau polisi PPSMI kementerian pelajaran, akan diadakan pada 28 Februari 2009, jam 9.00 malam di Sekolah Agama Rakyat (SARA), Gedung Lalang, 162 Ampangan. Ahli panel Tuan Haji Azmi Hamid, Presiden TERAS, Dato’ Ustaz Haji Abu Bakar Cik, Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS dan Pak Dharma (sasterawan Dharmala N.S.), Ketua Pimpinan Warga Prihatin Malaysia (PRIMA). Moederator Ustaz Haji Wan Azhar Wan Ahmad, dari Muslim Care. Forum dianjurkan oleh TERAS Negeri Sembilan dengan kerjasama Dewan Ulama PAS Negeri Sembilan.

Ketua Penerangan TERAS Negeri Sembilan, Sdr Suhaire meminta mereka yang prihatin dengan pendidikan anak-anak hadir dalam forum ini. Di samping itu menurut Sdr Suhaire, Pak Dharma adalah antara mangsa dasar pelajaran UMNO yang dieksprimen bagi penubuhan Sekolah Menengah Melayu yang pertama di Negeri Sembilan. Antara mereka yang dieksprimen apabila Sekolah Menengah Melayu yang ditubuhkan pada 1958, sebelum disediakan UKM (yang hanya ditubuhkan pada 1971) ialah bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM Profesor Dato’ Dr Mohamad Mansor Abdullah di Perak dan aktivis perfileman Yassinsalleh di Pahang. “Setelah mereka dieksprimen, pengorbanan mereka dikhianati oleh UMNO dengan polisi PPSMI,” kata Sdr Suhaire

MEMANG PEMUDA BERNASIB MALANG:
BERKETUAKAN PIMPINAN ‘TAK MELAWAN’

Bekas Exco Pemuda UMNO, Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz yakin Menteri Pelajaran Dato’ Seri Hishamuddin Hussein, tak akan berani menyambut cabaran Ketua Pemuda PAS, Sallehuddin Ayub untuk berdebat mengenai PPSMI. Katanya, Pemuda UMNO bernasib malang berketuakan seorang yang tak berkemampuan berhadapan dengan lawan, kecuali menerusi media atau di Dewan Rakyat yang dilindungi oleh kuasa Speaker.. “Pemimpin Pemuda seharusnya tak gentar berdepan dengan siapa sahaja seperti Dato’ Harun Idris atau Tan Sri Jaafar Albar,” beritahu Dato’ Kamal Amir.

Ketua Pemuda PAS Sallehuddin Ayub menyampaikan memorandum kepada Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin di Parlimen semalam (23 Februari 2009), bagi mencabar Dato’ Seri Hishamuddin berdebat mengenai PPSMI. Keengganan Dato’ Seri Hisahmuddin menemui pihak lawan membuktikan beliau tak mampu berhadapan bagi membincangkan isu-isu membabitkan kepentingan Melayu. Dato’ Seri Hishamuddin bukan sahaja tak mampu berdebat, tetapi tak memahami langsung kelemahan PPSMI yang dianggapnya baik untuk orang Melayu, katanya. “Adsakah meletakkan Bahasa Melayu di tali gantung dianggap baik kepada Melayu?” jelas Dato’ Kamal Amir.

PERLU DERHAKA UNTUK BERJAYA:
PERSETAN NILAI-NILAI KEBENARAN

Oleh: Mohd Affandi Hassan
(Pengkritik Sastera Melayu Moden)

Kini istilah derhaka digunakan sewenang-wenangnya untuk mengelirukan kebenaran. Malah terdapat raja Melayu sendiri mengutuk rakyatnya sebagai perderhaka hanya kerana mereka dengan tegas menyatakan perbezaan pendapat dan perasaan meluat mereka terhadap penipuan yang berlaku di sekeliling mereka. Semua ini terjadi bukan kerana kejahilan tentang perlembagaan dan undang-undang, tetapi kerana mempersetankan nilai-nilai kebenaran yang diajarkan oleh Islam. Ulama sendiri tidak mahu menegaskan bahawa hanya terdapat tiga jenis penderhakaan sebenar: menderhaka undang-undang Allah SWT; menderhaka kepada ajaran Nabi SAW; dan menderhaka kepada ibu bapa.

Dua jenis penderhakaan pertama itu boleh dihapuskan sekiranya penderhaka tadi memohon ampun daripada Allah Ta’ala; tetapi perderhakaan ketiga hanya akan hapus jika ibu bapa yang didurhakai itu mengampunkan anaknya yang terlanjur itu. Dalam Islam, apabila seseorang membunuh, yang berhak mengampunkannya hanya ahli waris yang terbunuh, bukan orang lain yang tidak kena mengena. Itulah ketentuan hukum, yang cuba ditutup oleh ulama yang mendapat naungan daripada naungan selain naungan Allah Ta’ala. Apabila hakikat ini ditutup, maka berlakulah keriuhan gila-gilaan tentang “penderhakaan” yang dipermainkan untuk mencapai maksud politik yang sangat jahat.

Jangan kita biarkan anak-anak muda, para pemimpin mereka, dan sesiapa juga yang bermaksud jahat menjeritkan sewenang-wenangnya istilah “derhaka” tadi, padahal perbuatan itu jelas sejenis perderhakaan yang sangat jelek kerana hukum Allah diselewengkan begitu berani untuk mendapat faedah peribadi yang tidak jujur. Jangan biarkan anak-anak muda kita hanyut dalam kekeliruan besar dengan menerima ajaran Hindu sebagai panduan mereka. Islam tidak menerima ajaran Hindu yang menganggap ketua negara tidak berdosa dan tidak boleh dikritik.

Saidina Abu Bakar menegaskan ketika menerima perlantikan sebagai Khalifah, bahawa baginda wajib ditaati jika melaksanakan undang-undang Allah Ta’ala, bukan kerana sebab-sebab lain. Kerana terdapat ulama yang menyembunyikan hakikat ini, maka terjadilah keriuhan gila-gilaan berasaskan kejahilan tentang hukum Islam dan penderhakaan terang-terangan terhadap ajaran Islam. Imam Ghazali telah mengingatkan umat Islam, terdapat dua jenis ulama: ulama jahat yang menggunakan Islam untuk dunia; ulama baik yang takutkan Allah Ta’ala dan cintakan Nabi SAW dan umat Islam. Sukar mendapat jenis ulama kedua ini, kerana begitu ramai “ulama” yang mengutamakan dunia dan kemewahan hidup. Ulama jenis ini wajib diderhakai seperti pemimpin yang jahat juga wajib diderhakai. Itulah prinsip Islam yang mesti dipegang dan dilaksanakan oleh umat Islam. Tepat dan jelas, tiada apa-apa kekeliruan lagi. (22/2/2009)

INFO SASTERA & BUDAYA:

ANUGERAH PRESTIJ SASTERAWAN NEGARA:
SUMBANGAN PENGKRITIK JUGA WAJAR DINILAI

Pengkritik sastera juga wajar dicalonkan untuk menerima anugerah berprestij ‘Sasterawan Negara’, beritahu bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM Profesor Dato’ Dr Mohamad Mansor Abdullah. Sama ada mereka menolak atau menerima adalah perkara lain, tetapi sumbangan mereka kepda sastera dan budaya Melayu amat bernilai, beliau menambah. Serentak dengan itu Profesor Dato’ Dr Mohamad Mansor menyarankan Jabatan Perdana Menteri lebih peka dengan sumbangan sasterawan seperti ditunjukkan Kementerian Perpaduan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan yang memperuntukkan ganjaran RM60 ribu kepada penerima anugerah ‘Seniman Negara’.

“Secara lojik sasterawan atau seniman yang perlu diangkat sebagai pejuang mendaulatkan bahasa dan memartabatkan budaya,” kata Profesor Dato’ Dr Mohamad Mansor. Seterusnya beliau memberikan beberapa nama pengkritik sastera yang berwibawa perlu dipertimbangkan oleh kerajaan bagi menerima anugerah Sasterawan Negara termasuk Yahaya Ismail, Mohd Affandi Hassan, Drs Ramli Isin, Profesor Abdu Bakar Hamid, Profesor Rahman Shaari, Dr Rosnah Baharuddin dan beberapa lagi. Bagaimanapun menurut Profesor Dato’ Dr Mohamad Mansor, setakat ini di Malaysia pengkritik sastera yang wajar diberi prioriti ialah Yahaya Ismail dan Mohd Affandi Hassan.

PUISI

Hujung

Daripada sejarah
runtuh dan tertimbus
sesudah zamannya Adam
dibangun kembali
zaman Ibrahim dan Ismail
dipulangnya fungsi asal
zaman Muhammad Khatim an-Nabiyin.

Di sinilah hujung diriku
hujung segala perjalanan
fikiran, kehidupan dan alam

Indahnya Kaabah yang mulia
indah suasana merangkul umatnya.

- Nahmar Jamil
Kangar, Perlis.


(Dari antologi ‘Duka Mukmin’)

INFO SUARA PROLITAR:

MESTI BERBOHONG UNTUK BERJASA:
SENJATA POLITIK PALING BERKSESAN

Menurut YB Ibrahim Ali yang digelar Raja Lompat oleh orang ramai, Ahli Parlimen yang bebas bernaung di bawah PAS dan menang atas tiket PAS, masalah politik Malaysia menjadi begitu gawat kerana ahli-ahli politik pembangkang (tidak termasuk bebas) semuanya munafik. Mereka pembohong dan sangat pandai menggunakan pembohongan untuk mendapat kuasa hingga hilang kuasa di Perak. Rakyat Malaysia patut bangga kerana adanya orang seperti YB Ibrahim Ali ini yang seumur hidupnya tidak pernah berbohong.

Sebenarnya inilah masalah politik Malaysia yang merumitkan iaitu apabila semua pemimpin UMNO atau bekas pemimpin UMNO yang ditendang keluar seperti Ibrahim Ali tidak saja tidak pernah telanjang seperti Elizabeth Wong, tetapi juga tidak pernah berbohong. Pembohongan sangat penting dalam politik. Tanpa pembohongan tidak akan wujud muslihat politik. Hal ini disedari oleh para pemimpin UMNO, yang menggunakan strategi “tidak bercakap benar” sebagai senjata politik yang amat berkesan.

Tidak bercakap benar tidak sama dengan berbohong. Seseorang itu berbohong jika dia tidak bercakap benar; tetapi orang yang tidak bercakap benar bukan berbohong, hanya menggunakan strategi untuk mengelirukan musuh politik yang jahat dan bodoh. Peristiwa rampasan kuasa di Perak adalah contoh paling baik untuk dijadikan kajian kes (case study) tentang makna bohong yang tidak sama dengan tidak bercakap benar. Orang yang tidak bercakap benar adalah orang yang sempurna akalnya, bersih hatinya daripada segala penyakit hati, jujur dalam kata-kata dan mulia semua kelakuannya serta tindakannya.

Semua ini telah dibuktikan dalam kes rampas kuasa di Perak. Rampasan kuasa itu dilakukan untuk membela kebenaran dan menjaga kepentingan rakyat kerana rakyat telah malakukan kesilapan besar dengan memberi kuasa kepada puak yang tidak boleh dipercayai. Menurut ulama yang tidak pernah berbohong, dan tahu betapa jahatnya berbohong, rampasan kuasa itu menjadi wajib dan berdosa jika tidak dilakukan kerana rakyat menderita di bawah pentadbiran para pembohong yang tidak tahu mentadbir negara. Oleh itu ulama berkata ada bohong sunat, ada bohong wajib, ada bohong harus. Bohong sunat, kata ulama, ialah bohong kecil yang terpaksa dilakukan untuk memelihara maruah; manakala bohong wajib pula ialah jenis bohong yang tidak dapat tidak mesti dilakukan untuk memastikan kuasa yang ada terus kekal.

Kerana jika kuasa itu terlucut celakalah rakyat dan pemimpin yang sudah biasa dengan pembohongan itu; Sementara bohong harus pula ialah jenis bohong main-main untuk memujuk rakyat mengundi seseorang calon pilihan yang dijamin kebaikannya dan tidak pernah berbohong serta tidak pernah telanjang seumur hidupnya. Barangsiapa yang tidak percayakan pembohong akan jadi susah, akan dituduh menderhaka, biadab, kurang ajar, pembelit, tak tahu undang-undang, jahil dan lain-lain kutukan yang dilemparkan dengan rakus dan angkuh oleh para pembohong yang jujur.

Para pembohong yang jujur ini akan menggunakan apa juga ruang yang ada atau diadakan untuk menunjukkan kejujuran pembohongan mereka kepada rakyat. Merekalah orang paling berjasa dan paling jujur serta paling prihatin kepada rakyat. Mereka tidak main-main dengan pembohongan mereka, kerana berasaskan pembohongan itulah mereka melaksanakan pembangunan negara dan mendapat faedah besar daripadanya.

YB Ibrahim Ali mempunyai pengalaman luas dalam aspek pembangunan ini dan beliau boleh menghuraikan dengan mendalam mengapa pembohongan menguntungkan para pemimpin yang berkuasa. Krisis politik di Perak tidak akan berlaku andainya para pemimpin bercakap benar memberitahu rakyat bahawa mereka berbohong kerana itulah jalan terbaik dan jujur untuk membela rakyat yang sudah lama tertipu.- (Mohd Affandi Hassan, Petaling Jaya - 21/2/2009)

KOMENTAR:
bersama Pak Parjo

CEH, PANTANG ANAK MELAYU DERHAKA,
TAPI, TAK MAHU BERTUAN DIBOLEHKAN PULA!

Syahdan terlalu sukacita Orangkaya Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, kerana Orangkaya Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Razak akan meneruskan usahanya apabila mengambil alih kuasa. kelak. Adapun Orangkaya Perdana Menteri hadir pada majlis santapan ‘Sembang Makan Malam’ yang turut berangkat sama Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah. Sebermula akan Orangkaya Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib sedang menunggu-nunggu ia sepurnama lagi untuk berkuasa penuh di seluruh negara. Arakian berkatalah segala orang banyak, Orangkaya Dato’ Seri Mohd Najib itu sudah bermimpi-mimpilah ia menunggang gajah putih.

Sebermula segala perihal ihwal itu semuanya dikatakan orang kepada Bendahara Paduka Raja. Maka kata bendahara, ‘Jika demikian mengapakah maka kamu sekalian berlengkap ini?’. Maka sahut segala anak buah bendahara, ‘Sahaya semua hendak berbalaskan kematian saudara saya semua.’ Arakian kata bendahara, ‘Hai, hai, hendak derhakakah kamu sekalian? Hendak derhakakah? Ceh, kamu sekalian, ceh, kerana tiada adapt, hamba Melayu tiada pernah derhaka. Tetapi janganlah kita bertuankan anak raja seorang ini.’ Maka sekali anak buah bendahara bertanya, ‘Tak mahu bertuankan anak raja ini dengan membalas kematian saudara kami, bukankah sama juga derhakanya?’ Syahdan terdiamlah bendahara, seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:







HIDUP BAHASA MELAYU!

No comments:

Post a Comment