Wednesday, February 25, 2009

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

PERSOAL KUASA RAJA-RAJA MELAYU:
JANGAN MELATAH, MELALUT DAN MENGARUT!


Assalamualaikum,

Pelantikan bagi jawatan Perdana Menteri tak perlu kuasa DYMM Yang Dipertuan Agong, disuarakan di Dewan Rakyat hari ini (25 Februari 2009), memperlihat usaha Ahli Parlimen berkenaan mahu memberi ruang kepada UMNO yang sudah ditolak rakyat pada PRU12. Keghairahan Ahli Parlimen terbabit menyentuh kuasa raja-raja Melayu, banyak membantu UMNO menerima simpati orang Melayu yang menentangnya pada PRU12. Apabila meminta orang Melayu mencontohi lanskap politik di Amerika Syarikat bagi pemilihan Presiden; Ahli Parlimen terbabit sebenarnya melatah, melalut dan mengarut!

Kegarangannya mengetuk-ngetuk buku perlembagaan (seperti disiarkan di kaca TV jam 12 tengahari, 25 Februari 2009), seolah-olah memperagakan beliau sahaja yang tahu mengenai perlembagaan. Amerika Syarikat sebuah Negara berbentuk ‘persyarikatan’, jauh berbeza dengan Malaysia dengan sistem ‘persekutuan’; apalagi mengguna pakai ‘raja berpelembagaan’. DYMM Yang Dipertuan Agong adalah diperlukan membuat pelantikan jawatan Perdana Menteri seperti keperihalan raja-raja Melayu diberi kuasa melantik Menteri Besar baginda.

Perdana Menteri dan Menteri Besar sudah dipilih oleh rakyat melalui ‘peti undi’, justeru pelantikan yang dibuat oleh baginda berdasarkan pilihan rakyat. Bagi jawatan-jawatan terbabit sudah jelas disebut menerusi perlembagaan: Seorang Ahli Dewan Rakyat yang menerima sokongan majority di Dewan Rakyat. Apabila Ahli Parlimen terbabit mempersoal kuasa raja-raja Melayu, ianya turut mengheret parti-parti komponen mereka ‘ditelan mati emak, diluah mati ayah’. Ketika rakyat sudah bosan dengan gelagat UMNO, tiba-tiba Ahli Parlimen terbabit membuka ruang untuk membolehkan orang Melayu kembali menyokong UMNO. Aduhai!

Sama ada naratif ‘Bukit Seguntang’ perlu diulangkaji atau tidak adalah perkara lain, tetapi sikap Ahli Parlimen terbabit sekadar mahukan survival partinya sendiri, dengan harapan komponen lain tersungkur, terdengkur dan terkubur. Inilah yang berlaku selepas pilihanraya 1974, apabila parti-parti lain bosan, justeru kekallah parti berkenaan menjadi parti tunggal mendominasi kuasa pembangkang. Kalau tak disebabkan Tengku Razaleigh Hamzah membawanya ke meja persefahaman pada 1990, memang parti berkenaan mahu menampilkan diri merekalah ‘juara dari segala juara’.

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA

PLAK & CEK PALSU DI TV::
NEGARA MAKMUR UTK PEMIMPIN

Oleh: Mohd Affandi Hassan
(Tokoh Pengkritik Sastera Melayu)

Sukar untuk rakyat Malaysia dan sesiapa juga yang hidup di Malaysia untuk tidak percaya negara Malaysia ini sangat kaya dan makmur. Buktinya cukup banyak, tidak dapat disenarai kecuali jika seseorang sanggup menerbitkan senarai dalam sepuluh jilid buku yang setiap satunya setebal 1000 halaman. Dalam senarai itu hanya terdapat tiga kumpulan utama rakyat Malaysia: para pemimpin yang kaya raya; para peniaga yang kaya raya dan mewah melimpah; para pegawai tinggi kerajaan dalam segenap bidang yang ada (jangan lupa Pegawai Rasuah, yakni yang kerjanya membasmi rasuah).

Merekalah yang paling berjasa dan tiada siapa pun di Malaysia yang boleh menewaskan mereka dalam menabur jasa ini. Cubalah hitung berapa banyak plak dan cek palsu yang besar-besar ditayangkan dalam TV dan akhbar yang diserahkan kepada orang yang terplilih untuk menerimanya, sebagai tanda berjasa para pemimpin. Termasuk jasa besar para pegawai tinggi kerajaan yang bergelar tinggi-tinggi ialah mereka yang dengan gembira tersengih-sengih membantu sekretariat UMNO mengundi calon-calon yang akan bertanding pada bulan Mac 2009 nanti.

Sungguh cantik dan menyeronokkan melihat mereka yang bergelar Tun dan Tan Sri mengopak cembul kecil yang mengandungi nombor-nombor undi. Sungguh menyegarkan perasaan meluat kita melihat para calon yang kaya raya tersengih-sengih atau tertawa sambil menepuk belakang teman-teman kaya mereka setelah mendapat nombor itu. RTM yang pemurah dengan propaganda murahan yang kaya dengan pembohongan wajar sekali menerbitkan CD lengkap peristiwa penting ini, penting kerana inilah peristiwa paling bersejarah kerana tidak lama lagi kita semua akan mendapat para pemimpin baru yang hebat dan sangat kaya dengan kemewahan dan cerita-cerita indah tentang keistimewaan kehidupan mereka, dibayangi oleh legenda Altantuya dari Monggolia yang sampai ke Malaysia memohon diberi upah setelah melaksanakan kerjanya dengan jujur.

Pengarah drama atau filem Melayu yang sukakan cerita-cerita hantu, cerita pontianak yang muncul kerana ingin membalas dendam di atas kezaliman, kejahatan dan penipuan manusia kaya-kaya ini, wajib menulis cerita baru yang lebih mengasyikkan tentang undi memilih pemimpin, yang mungkin akan diikuti dengan undi tidak percaya nanti. Biarlah rakyat berasa seronok melihat telatah orang berkuasa yang kaya-kaya dan sangat berjasa ini.

Rakyat juga sudah lama menunggu munculnya sebuah buku setebal 2000 halaman dalam empat jilid, yang memuat kemajuan seni bina di negara ini yang terhasil daripada pembinaan rumah-rumah mahligai tiga kumpulan orang berjasa yang telah membuktikan kemakmuran Malaysia. Berapa ribu pakar seni bina yang telah kita lahirkan untuk mencipta rumah mahligai orang-orang berjasa ini? Mereka harus diberi anugerah negara sebagai tokoh senibina yang telah berjaya mengubah lanskap pembinaan rumah di Malaysia hasil kemakmuran tiga golongan orang berjasa tadi.

Rakyat berhak tahu dan kenal mereka semua dan berhak berasa kagum melihat rumah-rumah mahligai mereka. Rakyat ingin melihat wajah ceria mereka ketika memperagakan kemewahan mereka. Rakyat ingin membaca biografi mereka, senarai bintang-bintang dan anugerah yang mereka terima, jenis-jenis jasa yang mereka taburkan di syarikat-syarikat besar, gambar-gambar mereka berwisata di luar negeri dan lain-lain. Rakyat ingin menunjukkan kekaguman dan kebanggaan mereka melihat kejayaan para pemimpin dan orang berjasa mereka memperagakan kemewahan hidup mereka.

Jangan nafikan mereka untuk sama-sama gembira dan bangga melihat kemewahan para pemimpin mereka. Para pemimpin ini adalah warisan agung negara yang perlu dijadikan mercu tanda kejayaan pembangunan negara kita. Biarlah para pemimpin dan orang berjasa di negara kita tahu bahawa kita sudah jemu mendengar kisah pembasmian kemiskinan atau projek besar-besar untuk membantu orang miskin yang terus papa kedana. Orang miskin ini tidak perlu dibantu, kerana tidak pernah terjadi di kalangan mereka ada yang bangkrap kerana terlalu banyak berhutang.

Berilah bantuan itu kepada para pemimpin dan orang kaya-kaya yang susah kerana terlalu banyak wang. Negara Malaysia ini akan terus makmur jika rakyat terus miskin. Tetapi jangan biarkan tiga kumpulan berjasa ini mendapat susah, oleh itu jangan biarkan mereka rugi dalam bentuk apa pun juga. Mari kita sokong semua tindakan mereka untuk mendapat kekayaan, kerana kekayaan itu tidak menyusahkan orang miskin yang masih boleh hidup bahagia sebagai penjual pisang goreng, atau penternak ikan, atau penanam sayur, pemelihara ayam, pembuat dodol dan ketupat, atau hanya menjadi tukang kebun dan pengawal rumah-rumah besar serba mewah orang kaya tadi.

Jangan biarkan kemiskinan tegar dihapuskan, kerana usaha itu menyusahkan orang miskin untuk hidup tanpa diganggu dengan janji-janji yang tidak pernah ditunaikan. Jangan ganggu orang miskin kerana mereka juga berhak mendapat hak asasi sebagai orang miskin. Jangan hanya orang kaya dan berkuasa saja diberi dan mendapat hak asasi untuk berkuasa dan menjadi kaya. Tetapi alangkah baiknya jika orang miskin yang berjasa kepada keluarganya memberi makan dan tempat tinggal dianugerah bintang atau apa juga anugerah yang munasabah untuk menghargai kemiskinannya dan kesabarannya menghadapi kemiskinan dalam kekayaan para pemimpin, peniaga dan pegawai tinggi kerajaan.

Alangkah manisnya si miskin itu tiba di istana dalam paluan rebana kercing untuk menerima anugerah yang penuh bermakna. Itulah jasa paling besar bagi orang miskin, apabila kemiskinannya dihargai dan dimuliakan. Tidakkah para nabi berdoa supaya miskin harta benda tetapi kaya dengan iman sebagai hamba Allah? Sesungguhnya orang miskin jauh lebih mulia daripada orang kaya atau para pemimpin yang mewah. (25/2/2009)

INFO SASTERA & BUDAYA

PERJUMPAAN PENULIS WARGA EMAS:
PRIMA AKAN LAKSANA TANGGUNGJAWAB


Kealpaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan ormas-ormas yang lain mengenang sumbangan sasterawan-sasterawan silam, akan mnjadi tanggungjawab PRIMA untuk menggerakkan perjumpaan penulis-penulis warga emas, beritahu Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Katanya, saranan pengkritik sastera Melayu tersohor dekad 1960-an dan 1970-an Mohd Affandi Hassan mahukan inisiatif diambil dalam mengenang sumbangan mereka mendaulatkan Bahasa Melayu. “Mungkin sahaja PRIMA tak mampu memberi anugerah dengan ringgit dan sen, tetapi perjumpaan dengan dialog bersama penulis-penulis warga emas akan memartabatkan sumbangan mereka,” jelas Dato’ Kamal Amir.

Menurutnya lagi, PRIMA sentiasa prihatin dengan perjuangan sasterawan silam; apalagi mereka dilupakan oleh generasinya selepas kematian mereka. Justeru kata Dato’ Kamal Amir, buat permulaan PRIMA akan cuba menggerakkan perjumpaan di Sudut Penulis DBP dengan menjemput beberapa orang panel memperkatakan karya-karya sasterawan silam seperti Abdul Rasid Talu, Syed Sheikh al-Hadi, Ahmad Bakhtiar, Ahmad Kotot, Mohamad Sallehuddin, Ahmad Murad Nasaruddin, Abdul Samad Ahmad, Abdullah Sidek, Shamsuddin Salleh dan beberapa lagi. “PRIMA tak melihat kepentingan ringgit dan sen, tetapi menjurus kepada mendaulatkan Bahasa Melayu,” katanya.

INFO SUARA PROLITAR

SURAT TERBUKA KEPADA PAK PARJO:
TREND BARU KPD MEREKA PERTAHAN PPSMI


Oleh: Wak Semar

Angin timur kencang bertiup membawa khabar berita dari jauh bahawa Dato' Johan Jaafar, Pengerusi Lembaga DBP akan dilantik menjadi pengerusi Berita PRIMA. Tahniah dan syabas kerana mendapat durian runtuh. Tokoh seperti Dato' Johan ini bukan senang mahu dicari. Dia memang layak dan sewajarnya dilantik ke jawatan lebih tinggi daripada sekarang ini. Keberaniannya mempertahankan kedaulatan bahasa Inggeris, masih belum mudeah dilupakan apabila beliau ,menulis dalam salah sebuah majalah terbitan DBP tentang itu.

Apa lagi dalam zaman sekarang apabila pemimpin muda dalam barisan UMNO tegak mempertahankan PPSMI sejak kebelakangan ini. Oleh kerana suara hati dan sanubari antara keduanya selari dan serasa, maka tak ada sebab kenapa orang seperti beliau ini diketepikan. KeAgaknya Pak Parjo sendiri dapat melihat trend baru hari ini. Keberanian beliau semakin menyerlah apabila mengangkat Ketua Pengarah DBP yang baru, yang sama seiring dengan perjuangannya, bilamana beliau juga menyokong dan menyatakan bahawa PPSMI tak menggugat prestasi pembelajaran anak Melayu.

Bermakna dia juga menyokong PPSMI sama. Rupa-rupanya dunia hari ini begitu pula coraknya. kalau mahukan penghargaan maka eloklah menyokong apa jua tindakan pemimpin, walaupun diketahui banyak mendatangkan kemudaratan. Kata seorang teman sambil bergurau, padanlah mantan TNC, HEP, UTM, Dato Dr. Mohd Mansor Abdullah tak terpilih menjawat jawatan Ketua Pengarah DBP dulu.

Lagi pun beliau kalau tak salah adalah insan yang melalui sistem pembelajarannya dalam bahasa ibunda, dan tambahan lagi dia pun kuat menentang PPSMI pula. Justreru itu tak hairanlah mengapa dia tak terpilih. Nasibnya tak jauh berbeza dengan Prof Emeratus Dr. Abdullah Hassan, Dato Dr. Hassan Ahmad dan Mohd Affandi Hassan yang begitu lancang dan tegas menentang keras PPSMI diteruskan. Berbalik kepada pelantikan Dato Johan Jaafar ke jawatan Pengerusi Berita PRIMA adalah suatu yang mengkagumkan Wak Semar.

KOMENTAR
Bersama Pak Parjo

PEMBORONG TAK PERLU BERSAING:
ANUGERAH KERJA-KERJA BAWAH RM500,000


Sebermula tersebutlah alkisah sebuah ceritera dinegeri Melayu itu, Orangkaya Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Abdul Razak mengisytiharkan kerja-kerja untuk kerajaan bernilai RM500,000, cukuplah dengan sebut harga sahaja. Maka terlalu sukacita segala pemborong-pemborong yang kebanyakan suku sakat harakah Melayu (UMNO), kerana tak perlu lagi bersaing. Pemberian kerja itu bahawasanya ialah ‘anugerah’ jua maknanya, wallahua’lam. Syahdan Orangkaya Timbalan Perdana Menteri memberitahu pemborong-pemborong kelas E sahaja diberi, justeru ianya tak jejaskan pemborong-pemborong kelas F. Begitulah!

Syahdan, tersebutlah perkataan Merah Silu diam di Rimba Jerun itu. Maka segala orang yang diam di rimba Jerun itu pun diemasinya, sekaliannya menurut katanya. Pada suatu hari Mera Silu pergi berburu; maka anjing Merah Silu yang bernama Si Pasai itu pun menyalak. Maka dilihat oleh Merah Silu Si Pasai menyalak itu di atas tanah tinggi, seperti ditimbun orang rupanya. Maka Merah Silu naik di atas tanah tinggi itu, maka dilihatnya seekor semut besarnya seperti kucing. Maka oleh Merah Silu semut itu diambilnya, lalu dimakannya. Arakian dinamai tempat itu Merah Silu Samudera, ertinya semua besar. Maka dialah menjadi raja kerana semua orang sudah diemasinya seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:


HIDUP BAHASA MELAYU!

No comments:

Post a Comment