Thursday, March 19, 2009

DARI LAMAN BLOG...


Nasib Yang Menimpa UMNO:
Mengadu Kepada Ketua Penyamun

Makan tengahari di gerai gulai masak kawah di Taman Seri Gombak hari ini (18 Mac 2009) bersama Dato' Kamal Amir dan Haji Abu Bakar Ninggal, memang berselera dengan ulam-ulam kampung yang disediakan. Gerai yang sentiasa penuh dengan pelanggan, bukan sekadar dari persekitaran sahaja, malah datang dari luar juga. Dato' Kamal Amir yang memang peramah tiba-tiba sahaja menegur beberapa orang pelanggan di kalangan anak muda berusia 20-an ke 30-an di meja sebelah. Anak-anak muda terbabit memang tak mengenai kami; apalagi mereka beritahu datang dari Kuantan. Justeru Dato' Kamal Amir terus bertanya kalau sekarang diadakan pilihanraya, siapakah yang mereka undi.

Anak-anak muda berkenaan tak bertangguh memberitahu mereka akan mengundi parti pembangkang. Mereka berterus terang mengakuinya, sekalipun tak mengenali kami bertiga di sebelah mereka. Maknanya, trend pemikiran anak-anak muda sekarang tak akan memberi sokongan kepada UMNO, walau apapun mahu dilakukan sekarang. Bagi mereka tiada lagi pemulihan kepada UMNO yang terlalu banyak meletakkan bangsa Melayu terguris hati terutama dalam isu PPMSI dan kekebalan raja-raja. Apalagi membawa kelibat pimpinan yang mengkucar-kacirkan negara, sekalipun di mulut mengakui demi kepentingan bangsa, agama dan tanahair. Aduhai!

Perpecahan UMNO amat ketara sekalipun disembunyikan dengan pelbagai cara. Misalnya, malam ini (18 Mac 2009) di TV1 calon Naib Presiden UMNO Dato' Seri Rais Yatim secara terbuka menyerang lawannya yang juga pesaing dalam merebut jawatan berkenaan. Sekalipun Dato' Seri Rais Yatim tak menyebut nama lawannya, tetapi memberitahu beliau tak mahu pemimpin yang mencium keris kemudian meminta maaf. Apabila pengacara menyentuh bukunya sebagai 'gula-gula', beliau bingkas bersuara menafikan dengan menjelaskan ianya sebagai 'selimut bangsa'. (Selimut untuk menahan kesejukan atau selimut untuk dikebumikan?).

Lebih 150 penyokong Dato' Seri Mohd Ali Rustam pula menemui Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, sebelah petangnya berikutan keputusan Jawatankuasa Disiplin UMNO yang diketuai Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddin. Ketegasan dalam pimpinan UMNO juga dipersoal, dengan kesalahan yang sama tetapi hukuman berbeza-besza. Maknanya, UMNO menunggu kehancuran sekalipun pimpinannya mahu membersihkan dari segala gejala yang tak sihat. Sukar mahu mempercayai apabila senario dalam 'Ali Baba Bujang Lapok' Allahyarham Tan Sri Dr P Ramlee mahu dilestarikan oleh UMNO.

Tan Sri P. Ramlee secara sinis menerusi 'Ali Baba Bujang Lapok' apabila ketua penyamun (P Ramlee) dijadikan tempat mengadu oleh orang kaya (Kemat Hassan) dan (Shariff Dol). Akhirnya orang kaya Shariff Dol papa kedana di pasar pesara, dengan meminta sedekah. UMNO sedang menuju ke era yang difilemkan oleh Tan Sri P Ramlee menerusi watak orang kaya yang meminta bantuan 'ketua penyamun'. Dalam masa sekarang UMNO memerlukan Marjina bagi menyelamatkan Ali Baba daripada ketua penyamun. Bagaimanapun dalam pimpinan UMNO sekarang Ali Baba sudah dikorbankan terlebih dahulu di Melaka, justeru Melayu akan terus hidup, sekalipun UMNO mati. Begitulah!

-Pak Dharma


No comments:

Post a Comment