Thursday, March 19, 2009

PEMERHATIAN MOHD AFFANDI HASSAN...

Masih Adakah Ahli Politik:
Yang Layak Bicara Fasal Rasuah?

Kini Era Rasuah dalam politik Melayu UMNO sudah diakui dan diterima oleh ahli-ahli UMNO sendiri, satu era yang dibanggakan oleh ahli UMNO kerana ketelusannya. Sesiapa pun tidak dapat berselindung daripada perbuatan rasuah yang sudah dibudayakan dalam politik UMNO, malah mereka berebut-rebut ingin mendedahkan sesama mereka sendiri apabila menghadapi sesuatu pertandingan dalam pemilihan UMNO. Berdasarkan pengalaman yang lama sebagai pemerintah, UMNO memperkenalkan peraturan yang cantik dan adil kepada semua yang disabitkan rasuah dan dihukum dengan memberi peluang kepada mereka untuk merayu supaya sabitan dan hukuman itu dibatalkan dan dimansuhkan.

Peraturan ini cantik dan adil kerana ia memberi peluang kepada para perasuah untuk dibebaskan daripada perbuatan rasuah, dengan itu perbuatan rasuah tadi bertukar menjadi satu kesilapan pihak yang menjatuhkan hukuman. Dengan itu semuanya menjadi masalah teknikal yang boleh dipinda-pinda apabila keadaan memerlukan. Pada hakikatnya apa yang dikatakan perbuatan rasuah itu tidak wujud; yang wujud ialah tuduhan yang disalah tafsir oleh badan yang menjatuhkan hukuman. Jadi tidak ada rasuah dalam UMNO, kerana tidak seorang pun ahli UMNO bertindak memberi dan menerima rasuah. Apa yang terjadi hanyalah perpindahan wang, kemudahan, jamuan, hadiah, dan sebagainya.

Semua itu mencirikan tingginya sifat persaudaraan dalam UMNO, yang begitu aktif membahagikan kekayaan yang mereka perolehi hasil tindakan politik mereka yang cekap, yang kesemuanya mengarah kepada pembelaan kepada rakyat. Maka itulah sangat aneh apabila para pemimpin yang pemurah itu dihukum, padahal sifat pemurah itu adalah salah satu sifat mulia dalam persaudaraan UMNO. Membantu sesama sendiri dalam konteks yang disebutkan itu adalah perbuatan mulia dan terpuji di kalangan ahli-ahli UMNO dalam persaudaraan politik yang matlamatnya membela rakyat dan memajukan negara.

Apa yang disebut sebagai rasuah politik tadi adalah salah satu nilai murni yang menjadi kebanggaan ahli-ahli UMNO. Oleh itu, tidak ada alasan sama sekali untuk menghukum sesiapa juga yang terlibat dalam persaudaraan UMNO tadi. Mereka hanya bertindak pemurah dengan membahagikan kekayaan mereka kepada sesiapa juga yang mereka fikir layak menerimanya. Rasuah hanya bisa terjadi jika sifat pemurah itu mempunyai tujuan lain yang bersifat peribadi, yang tidak mungkin terjadi dalam persaudaraan UMNO yang begitu kukuh dan mulia.

Sebenarnya inilah juga pandangan ahli-ahli politik bukan UMNO. Mereka juga menyokong apa yang disebut perbuatan rasuah itu sebagai sebahagian daripada sifat pemurah ahli-ahli politik yang bertarung sengit untuk memikat hati pengundi dan untuk memastikan mereka menang pilihan raya. Kemenangan itu perlu direbut daripada tangan pihak lawan dengan menggalakkan perbuatan rasuah di kalangan rakyat sendiri. Rasuah ini dijelmakan dalam berbagai-bagai bentuk, misalnya melalui bantuan segera, menurap jalan rosak yang selama ini tidak dipedulikan, membetulkan rumah senget yang selama ini hanya terbiar tanpa sebarang minat daripada sesiapa pun untuk membaikinya, atau memberi hadiah dalam pelbagai bentuk: anak ayam, kain pelikat atau kain sarung, beras, gula, biskut, dan lain-lain.

Yang pemurah itu ialah pihak yang memegang kuasa, yang banyak wang, yang mempunyai pegawai dan kakitangan kerajaan yang boleh dikerah untuk mendengar ceramah (satu jenis rasuah juga) atau menyediakan wang untuk projek khas dalam pilihan raya. Pihak yang tidak dapat membalas sifat murah hati UMNO ini menggunakan kemurahan hati UMNO itu sebagai senjata untuk menikam balik pihak pemurah dengan memberi sokongan kepada rasuah politik tadi. Satu masa dulu terkenal kata-kata hikmah yang berbunyi begini: “Beri wang ambil, beri beras tanak (masak), beri gula kacau, beri kain pakai, beri kambing pelihara, beri ayam sembelih; tapi bila tiba hari mengundi, tetap undi yang itu juga.” Pada ketika itu strategi ini dianggap sangat bijak, apatah lagi bila kata-kata hikmah itu keluar dari orang agama yang dihormati.

Apakah maknanya dalam konteks rasuah? Terang-terang orang yang memberi nasihat itu menggalakkan rasuah, menerima rasuah sebagai satu budaya politik yang mesti digunakan untuk faedah parti, menerima hakikat bahawa pihak lawan banyak wang dan para penyokong parti mesti digalakkan mendapat faedah semaksimum mungkin daripada sifat murah hati UMNO itu. Apakah bezanya puak yang memberi rasuah dengan puak yang menggalakkan penerimaannya di kalangan para penyokong sendiri? Tidak ada bezanya; malah orang agama selalu mengingatkan hadis terkenal, pemberi dan penerima rasuah sama-sama masuk neraka. Mengapa orang agama yang alim dan jujur itu menggalakkan pengikutnya menerima rasuah? Itulah politik, semangat politik itu lebih kuat daripada semangat agama bila tiba waktu untuk menentukan siapa yang akan berkuasa.

Jadi sama ada UMNO atau bukan UMNO, kedua-duanya menerima rasuah sebagai senjata penting dan menentukan dalam pilihan raya, oleh itu mesti digalakkan di kalangan pengundi. Akhirnya tidak ada seorang pun daripada ahli politik ini yang tidak rasuah atau yang tidak menyokong rasuah. Hanya bentuknya saja yang berbeza, matlamatnya sama: untuk mendapat kemenangan dalam pilihan raya. Oleh itu, orang politik tidak berhak bercakap tentang penghapusan rasuah, kerana dalam hidup mereka sebagai ahli politik memberi dan menerima rasuah itu adalah “nasi makan air minum” mereka. Apakah hujah anda untuk menolak kesimpulan ini? (19/3/2009)

(*Mohd. Affandi Hassan pesara PTD dan bekas pegawai tinggi kementerian yang menentang rasuah menerusi karya-karya sasteranya. Berpengalaman luas dalam pentadbiran negara, tetapi kemahiran dan kepakaran beliau tak diminta untuk membantu pembangunan negara, seperti lantikan yang dibuat kepada pegawai-pegawai tinggi kementerian yang sudah bersara. Beliau juga dikenali sebagai 'trouble shooter' seperti Dato' Hassan Ibrahim dan Tan Sri Ishak Tadin)


No comments:

Post a Comment