Friday, March 27, 2009

DARI LAMAN BLOG...

UMNO Kena Bayar Harga Perubahan:
Bukan Sekadar Macam Gendang Kosong!

Assalamualaikum,

Secara rasmi Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak diproklamir Presiden UMNO semalam 26 Mac 2009, dengan barisan pimpinan mengulangi period awal dekad 1970-an. Ketika Tun Razak mengambil alih pimpinan UMNO, Tun Dr Ismail dari Johor timbalannya. Keadaan ini diulangi oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dari Johor juga. Sekalipun bagi jawatan Naib Presiden dimenangi Dato' Ahmad Zaid Hamidi di Perak (ketika itu Tun Sardon Jubir dari Johor juga), tetapi ianya diikuti oleh Dato' Seri Hishamuddin Hussein (ketika itu Tun Hussein Onn) dan seorang lagi Dato' Shafie Apdal dari Sabah (sebelumnya Tun Ghafar Baba dari Melaka). Justeru di atas kertas sekarang, memang Dato' Seri Mohd Najib bakal Perdana Menteri apabila Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi melepaskan jawatannya. Begitulah!

Tetapi Tun Ghafar pernah memberikan pandangannya, politik sentiasa berubah dalam masa 24 jam. Tak tahulah dengan Dato' Seri Najib yang mengakui UMNO masih belum berubah dan Dato' Seri Abdullah pula menegaskan kalau UMNO tak berubah, justeru kerajaan yang wujud sekarang ialah kerajaan terakhir bagi UMNO. Mungkin sahaja UMNO juga mengikuti kaedah kerajaan Pasir Dua Butir yang diimaginasikan oleh Allahyarham Tan Sri Dr P. Ramlee dalam menggarap filem terakhirnya 'Laksamana Do Re Mi'. Bagi Ketua Wanita UMNO Dato' Seri Shahrizat Abdul Jalil pula yang perlu berubah ialah pimpinan UMNO, barulah berlaku perubahan dalam UMNO. Entahlah!

Maknanya, kalangan pimpinan UMNO sendiri tak sekata apabila mempersoal isu perubahan, kerana 'melakukannya' tak semudah 'bercakap'. Malah Nabi Allah Yunus bin Matta a.h. dalam tempoh 40 tahun mahu membuat perubahan, sekadar enam orang sahaja yang mengikutnya. Baginda terpaksa melalui dibuang ke laut, ditelan ikan nun dan terdampar ke gurun tandus. Nabi Muhammad SAW juga dari usia baginda 25 tahun hingga berusia 40 tahun pun masih sukar membawa perubahan kepada kaumnya. Baginda dilontar batu ketika di Taif hingga terpaksa bersembunyi di kebun anggur. Kalau sekadar berucap mahukan perubahan, tetapi diri sendiri tak berubah ianya sekadar menipu diri sendiri, kerana harga bagi perubahan itu terlalu mahal.

Rasullullah terpaksa berhijrah ke Madinah dengan jarak lebih 400 kilometer dari Mekah merentasi gurun pasir, bersembunyi di gua di samping sahabatnya Saidina Abu Bakar al-Siddiq dipatuk ular bagi membawa perubahan. Dato' Seri Anwar Ibrahim juga lebam mata untuk membawa perubahan tetapi dilabel oleh Dato' Seri Hishamuddin Hussein sebagai 'petualang' (tetapi tak dinyatakan petualang kepada siapa). Pimpinan gerakan militan India satu ketika dulu Subhas Chandra Bose turut mengakui: "Mahukah anda memetik bunga ros yang indah, tapi perlulah mersakan kesakitan tusukan durinya; mahukah anda kebebasan dan keadilan, harga untuk kebebasan dan keadilan ialah kesengsaraan dan pengorbanan."
Perubahan yang disarankan oleh Dato' Seri Najib tak sama macam bulat datang bergolek pepeh datang melayang, tetapi perlu dihadapi seperti natijah yang dilalui Dato' Seri Anwar Ibrahim bermata lebam pada 1998. Bersediakah? Kalau sekadar duduk di kerusi empuk, tersandar di kereta mewah atau sering bertanya: 'hari ini apa kita mahu makan, pak; hari ini kita makan di mana pak, hari ini siapa kita nak makan, pak', tak payah bercakap mengenai 'perubahan'. UMNO kena bayar harga 'perubahan', bukan sekadar memukul gendang kosong. Biarlah menjadi ayam hutan disogokkan makan di pinggan emas pun, ia akan balik mengekas bersama kerabatnay di tengah belukar. Begitulah!
-Pak Dharma.

1 comment:

Seladang said...

Pak Dharma ....

Perkataan perubahan itu sudah menjadi perkataan legenda umno, tak berubah-ubah pun tapi perubahan rasuah memang ada, dari kecil bertambah besar!