Siapa Lebih Berjasa, Antara:
Petualang dan Pengkhianat Bangsa?
Petualang dan Pengkhianat Bangsa?
Cucu Dato Onn, anak Tun Hussein yang disingkirkan Dr. Mahathir Mohamed, Timbalannya, bekas (bukan mantan) Ketua Pemuda UMNO, menyelar kehadiran petualang dalam politik Malaysia yang menurutnya menentang semua yang dipropagandakan oleh UMNO. Ketua Pemuda ini menyenaraikan perkara-perkara yang kita dengar dan baca setiap hari yang ditujukan kepada parti bukan UMNO. Antara yang sering disebut ialah mereka (para petualang) menentang dan melanggar Perlembagaan Negara, mempersetankan undang-undang negara, menderhaka kepada raja-raja Melayu, menentang ketuanan Melayu.
Dengan lagak seorang raja besar, Ketua Pemuda ini dibawakan sebilah keris panjang, lalu ditarik dari sampirnya, dicium seperti Agong mencium keris kerajaan pada upacara rasmi. Sungguh hebat Ketua Pemuda UMNO ini. Lepas mencium keris itulah beliau membelasah para petualang yang tidak disebut namanya, tetapi dikomen oleh juru hebah TV beliau maksudkan Anwar Ibrahim dan rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat. Orang ini nampaknya sudah lupa daratan tidak ingat lagi datuk dan bapanya keluar UMNO kerana tidak bersetuju dengan prinsip-prinsip UMNO. Sampai hati orang ini mengutuk datuk dan ayahnya sebagai petualang, pengkhianat bangsa Melayu kerana meninggalkan UMNO waktu kedua-duanya diperlukan oleh UMNO.
Hussein Onn ketika itu jadi Ketua Pemuda. Sekarang kedua-dua tokoh UMNO yang pernah lari dari UMNO ini menjadi ikon di Bangunan UMNO dalam lukisan potret a la Hang Tuah yang cukup menarik. Lagak lupa diri, lupa daratan, lupa taraf peribadi, lupa pendeknya lompat katak, lupa ceteknya semburan seranah, adalah gambaran jelas nyata kualiti tanpa kualiti para “pemimpin” (jangan tinggal koma pengikat kata pada perkataan “pemimpin”) UMNO yang hebat, tetapi tidak menggerunkan. Bandingkan dengan lembutnya Dr. Burhanuddin, yang menggerunkan sesiapa juga yang tahu erti karamah, ketika beliau memberi ucapan memperingatkan bangsanya supaya jangan mengkhianati perjuangan mereka.
Dr. Burhanuddin tidak mencabut keris panjang-panjang ketika berucap, tetapi tiap patah kata yang lahir dari mulutnya adalah keris pendek yang tajam bagi orang yang tahu bahasa bersopan. Itulah watak negarawan bertamadun. Sungguh ajaib bagaimana bekas Ketua Pemuda UMNO begitu bangga dengan watak tidak bertamadunnya. Adakah itulah watak para “pemimpin” UMNO? Barisan baru kepemimpinan UMNO yang diketuai Najib Tun Razak yang menolak Abdullah Badawi dengan cara memalukan (kata orang UMNO itulah tradisi UMNO kerana Tun Razak buat begitu kepada Tunku Abdul Rahman, Dr. Mahthir sendiri pun berbuat begitu terhadap Hussein Onn), dengan arahan Dr. Mahathir Mohamed, adalah barisan Malayan Union.
Bagi orang yang tidak faham tentang rahsia Malayan Union dalam politik UMNO, tentulah terasa agak pelik bagaimana tiba-tiba muncul balik Malayan Union dalam barisan kepemimpinan baru UMNO? Inilah kemenangan Dr. Mahathir Mohamed yang membawa bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu untuk orang Malaysia, khususnya orang Melayu, melalui PPSMI yang dikutuk oleh para pejuang bahasa itu. Kemenangan besar cucu Dato’ Onn sebagai Naib Presiden UMNO dengan undi besar membuktikan UMNO, melalui perwakilannya, menerima bahasa Inggeris dan Malayan Union sebagai warisan UMNO yang mesti dipertahankan “hingga ke titisan darah terakhir”.
Begitu hebat komitmen mereka terhadap bahasa Inggeris dan semangat kolonial (penjajah) ini, sehingga semangat dan komitmen itu dijadikan asas “kemajuan Malaysia” dalam abad 21 yang mesti dipertahankan walaupun UMNO ditolak oleh orang Melayu dan akan dihumban ke Laut China Selatan dalam PRU 13 nanti. Memang benar gesaan Prof. Emeritus Nik Safiah Karim, bahawa PPSMI hanya dapat dihapuskan dengan menolak UMNO dalam pilihan raya nanti, dengan menghumbannya ke dalam laut. Adakah perwakilan UMNO tidak berjiwa Melayu atau pura-pura berjiwa Melayu dengan menerima PPSMI?
Mereka tentu tidak bodoh untuk mengkhianati perjuangan mereka membela bahasa Melayu, seperti yang mereka sering laungkan sambil mencium keris, dengan memilih PPSMI sebagai asas kekuatan UMNO di bawah Najib Tun Razak. Sekiranya orang Melayu belum sedar dan belum lihat erti barisan baru ini, maka mereka, orang Melayu yang sudah hilang Tanah Melayunya, akan hilang bahasa Melayunya dan budaya Melayu yang telah dijadikan prinsip utama dalam Kongres Kebudayaan Melayu 1971. Tentu saja para pemimpin UMNO sudah lupa semua ini kerana mereka sudah kaya dan mereka tahu bahasa Inggeris akan lebih mengayakan mereka lagi, oleh itu mesti diperjuangkan sebagai bahasa baru untuk orang Melayu.
Kini timbul persoalan: Siapa petualang, siapa pula pengkhianat bangsa Melayu? Adakah dua kumpulan ini sama taraf? Menurut cucu Dato’ Onn, mereka bukan petualang, bukan juga pengkhianat walaupun mereka memperjuangkan bahasa Inggeris dengan jujur untuk memajukan orang Melayu. Mereka adalah pewaris Malayan Union yang diberi wajah baru dalam PPSMI yang disokong penuh oleh Najib Tun Razak, ahli-ahli MT UMNO yang baru, dan seluruh perwakilan UMNO.
Orang Melayu harus bersyukur dan gembira kerana kini mereka tahu dengan jelas siapa UMNO sebenarnya. Adakah mereka mahu kekalkan UMNO dalam politik Malaysia setelah mengetahui hakikat sebenar parti warisan Malayan Union itu? Bodohlah orang Melayu jika mereka masih mahu menerima kumpulan PPSMI yang mengkhianati seluruh cita-cita politik dan aspirasi mereka selama ini untuk mendaulatkan bahasa dan budaya Melayu di Tanah Melayu yang sudah hilang itu. (27/3/2009)
No comments:
Post a Comment