Monday, March 16, 2009

DARI PEMERHATIAN MOHD AFFANDI HASSAN...

Kebebasan dan Keadilan Tidak Boleh Dipisahkan

Dalam sebuah drama di TV (belum terbit) digambarkan satu pertelagahan berlaku dalam Mahkamah ketika membicarakan pembunuhan seekor beruk tua yang tiba-tiba muncul dalam masyarakat moden menjadi Hakim Bijaksana, seperti dalam cerita yang diceritakan oleh Za’ba dalam buku untuk bacaan kanak-kanak zaman penjajahan dulu. Dalam cerita itu, dua orang petani yang mendapat sebiji pisang yang sangat besar, tidak tahu bagaimana hendak membahagikan pisang itu, lalu mereka pun dinasihati oleh orang tua-tua supaya pergi ke pinggir hutan tempat beruk tua menjadi hakim kepada semua binatang di rimba itu. Jadi dua orang petani itu pun pergilah ke pinggir hutan itu sambil mengusung pisang besar tadi. Hakim Beruk sangat gembira menerima kedatangan mereka.

Maka dia pun mula membahagikan pisang itu. Satu bahagian lebih banyak daripada yang satu lagi, lalu dibantah oleh dua orang petani itu. Hakim Beruk itu pun memotong yang lebih itu menjadi lebih pendek daripada yang pendek tadi. Kedua-dua petani itu mula berkelahi; manakala Hakim Beruk sambil tersenyum menjalankan tugasnya, hingga habis sebiji pisang besar itu dimakannya. Maka pulanglah dua orang petani itu dengan perasaan puas hati kerana telah mendapat keadilan apabila kedua-dua mereka akhirnya pulang dengan tangan kosong. Sekarang Hakim Beruk itu muncul kembali dalam drama yang belum terbit itu. Kini namanya berubah menjadi Hakim Bijaksana, tetapi masih juga seekor beruk. Kematian beruk tua itu tidak diketahui siapa pembunuhnya, tetapi kesan yang ditinggalkan mengarah kepada dua ekor tupai gergasi yang dikatakan menemui beruk tua itu untuk meminta nasihat.

Mereka tidak berkenan dengan nasihat beruk tua, lalu membunuhnya. Tetapi benarkah tupai gergasi itu pembunuhnya? Soalan ini dijadikan tema utama oleh pengarah drama yang ingin menjelaskan bahawa dua ekor tupai gergasi itu tidak perlu dibicarakan semata-mata berasaskan sangkaan. Timbul soalan yang sangat penting: Kalau bukan tikus gergasi itu pembunuh beruk tua itu, siapa pembunuhnya dan mengapa dia dibunuh? Seluruh cerita drama itu menjelaskan betapa tidak perlu diketahui siapa pembunuhnya dan mengapa pembunuhan itu dilakukan, oleh sebab isu penting ialah menentukan benarkah beruk tua itu sudah mati. Pembunuh dan motifnya tidak perlu diketahui. Hakim bicara kes itu telah menetapkan soal-soal yang boleh mendatangkan syak wasangka kepada individu tertentu tidak wajar dijadikan isu dalam perbicaraan. Isu utama ialah benarkah beruk tua itu sudah mati.

Apa kaitannya kes pelik ini dengan kebebasan bersuara dan keadilan? Pertama sekali perlu diketahui bahawa dalam mana-mana masyarakat yang memakai undang-undang, seseorang tidak bebas menentukan sendiri perkara-perkara yang menurut hukum (dan pemerintah) tidak perlu diketahui olehnya, oleh itu ia tidak bebas menimbulkan apa-apa juga perkara yang bertentangan dengan kehendak kerajaan atau para penjawat awam yang dilantik kerajaan. Prinsip ini telah dikanunkan dalam pelbagai undang-undang, oleh itu hakim wajib menggunakan undang-undang ini walaupun andainya tidak adil. Prinsip ini mesti disedari oleh semua rakyat.

Mereka tidak berhak mendapat keadilan jika berurusan dengan kerajaan; tetapi mereka mungkin mendapat keadilan jika berurusan sesama sendiri (antara satu individu dengan individu lain). Semua undang-undang dibuat untuk menjaga kepentingan kerajaan, sama ada untuk menentukan sesebuah kerajaan terus berkuasa atau sesuatu kesilapan kerajaan tetap dilindungi dan tidak boleh dicabar oleh rakyat. Beberapa kekecualian dibuat untuk “menunjukkan” undang-undang dan kerajaan yang menggubalnya adalah adil. Inilah prinsip kedua, iaitu keadilan mesti ditunjukkan berlaku walaupun tidak semestinya benar-benar terjadi. Inilah cara kerajaan mengawal rakyatnya.

Dalam drama (belum terbit) yang disebut di atas, kerajaan berhak mengawal maklumat melalui Mahkamah untuk memastikan keutuhan kerajaan terkawal dan tidak boleh dicabar. Dengan meminda nama cerita dari Hakim Beruk kepada Hakim Bijaksana, maka wajah beruk yang mungkin dipakai oleh setengah-setengah hakim boleh dilindungi dengan menggunakan istilah “bijaksana”. Sejauh mana beruk itu bijaksana tidak menjadi soal; yang menjadi soal ialah seorang hakim mestilah bijaksana dan tidak boleh berkelakuan seperti beruk.

Hanya dalam konteks ini sahaja keadilan itu boleh dilaksanakan, iaitu apabila seorang hakim diberi kebebasan untuk melaksanakan keadilan tanpa sebarang tekanan atau amaran dari sesiapa pun juga. Berapa orang hakim seumpama itu terdapat di Malaysia? Di sinilah kebebasan rakyat diuji sejauh mana mereka boleh mengemukakan soalan seperti itu tanpa dituduh menghina Mahkamah. Rakyat harus sedar, seorang hakim, walaupun seekor beruk, tidak boleh dijatuhkan maruahnya atau dikritik hukumannya. (15/3/2009)

(*Mohd. Affandi Hassan ialah sasterawan dan pengkritik sastera berwibawa sekitar dekad 1970-an dan 1980-an. Beliau pernah berkhidmat dalam PTD sebagai pegawai tinggi di beberapa kementerian. Sekarang beliau pesara kerajaan di samping berpengalaman dalam pentadbiran negara)

1 comment:

  1. Ingin menjemput semua Pribumi untuk ke hadhir Perhimpunan dan Sidang Kemuncak Pribumi Perkasa Negara seperti berikut:

    Tarikh: 22 hb Mac,2009
    Hari: Ahad
    Masa: Perhimpunan: 9 pagi
    Sidang Kemuncak: 2 petang
    Tempat: Kelab Sukan TNB, Ibu Pejabat TNB, Jalan Bangsar Kuala Lumpur
    Ucaptama: Tun Dr Mahathir Mohamad
    Pembahas: 10 pembicara berkenaan isu-isu Pribumi, termasuk isu-isu Sabah dan Sarawak.

    Buktikan KITA tetap BERSATU

    Blog Tidak Rasmi: pribumiperkasa.blogspot.com
    Laman Rasmi: www.pribumiperkasa.com

    ReplyDelete