Orang-Orang Besar Bertemu:
Berapa Emas Yang Tuan Hamba Ada?
Sebermula dengan takdir Allah SWT maka terpilihlah Dato' Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Orangkaya Rembau Khairy Jamaluddin menjadi penghulu segala wanita dan anak-anak muda harakah Melayu (UMNO) dalam perjumpaan semalam, 28 Rabiulawal 1430 (25 Mac 2009). Syahdan berpeluk-pelukanlah Khairy bersama pesaingnya Orangkaya Jerlun Dato' Mukhriz Mahathir kerana memberitahu sekalian orang banyak mereka tak bersengkita. Adapun Orangkaya Sungai Panjang Dato' Seri (Tabib) Mohd Khir Toyo dan Orangkaya Kuala Kangsar Tan Sri Rafidah Aziz tak mahulah mereka berpeluk-pelukan. Maka orang ramai pun terpinga-pinga juga kerana sekalian anak-anak buah harakah Melayu itu memilih calon yang sedikit menerima pencalonan, tetapi mampu mengalahkan calon yang menerima banyak pencalonan. Alahai!
Arakian tersebutlah ceritera Orangkaya Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi tampillah ia memberikan ucapan dasar di tengah permesyuaratan harakah Melayu itu hari ini 29 Rabiulawal 1430 (26 Mac 2009). Dalam keadaan terbatuk-batuk, bukan disebabkan akan berusia 70 tahun tak lama lagi, tetapi kerana beban kerja yang berat mengakulah ia terlalu dukacita ketika tak berjawatan satu ketika masa dahulu. Syahdan sudah menjadi amalan biasa harakah Melayu itu, apabila seseorang itu tiada lagi berjawatan jadilah seperti pokok rebah, hingga kura-kura pun boleh meniti. Maka tiadalah lagi orang banyak terbongkok-bongkok berjabat salam dengan mencium tangan. Syahdan tak tahulah akan Orangkaya Dato' Seri Abdullah itu jika diikutinya cara Tunku Abdul Rahman dahulu meletak jawatan ia di Kuala Kedah, maka berlakulah pula pilihanraya kecil di Kepala Batas kelak.
Sekali peristiwa, Raja Mendeliar duduk di balai bendahara menghadap. Maka kata bendahara, "Raja Mendeliar, hendaklah tuan hamba berkata benar, berapa emas tuan hamba?" Maka kata Raja Mendeliar, "Tuanku, emas saya tiada banyak, ada lima bahara." Arakian kata bendahara, "Jika demikian hanya sebahara emas kita lebih daripada emas Raja Mendeliar." Adapun akan Bendahara Seri Maharaja, sediakala ia menyuruh mencari, tiada pernah rosak; jika bendahara asyik-asyik, dikampungkannya segala anak buahnya. Maka kata bendahara, "Hai budak-budak mahukah memandang emas?". Hatta pembesar-pembesar itu tak berbincang mengenai nasib masa depan rakyat dan negara, tetapi bendahara dan Raja Mendeliar hanya bercakap ia fasal emas jua seperti disebut dalam 'Kitab Melayu' daripada:
HIDUP BAHASA MELAYU!
No comments:
Post a Comment