Erti Sebenar Kebebasan Bersuara
Kesan peristiwa Perak agak memeranjatkan, dengan ramainya rakyat biasa didakwa kerana menghina sultan Perak. Mengapa orang-orang ini begitu bodoh sampai menyusahkan diri mereka sendiri menghina sultan? Adakah mereka terlalu geram melihat perkembangan aneh dalam politik Perak? Paling aneh, mengapa mereka persalahkan sultan Perak? Jika soalan akhir ini memang menjadi dorongan untuk rakyat bertindak bodoh, mengapa soalan begitu tiba-tiba muncul dalam arena politik Malaysia? Soalan ini sebenarnya tidak perlu ditanya. Sesiapa juga yang pernah membaca Sejarah Melayu, akan bertemu dengan soalan yang serupa.
Umpamanya apabila peristiwa sepak raga berlaku, dan seorang anak raja membunuh seorang anak bendahara yang tidak pun menghala sepak raganya ke kepala anak raja tadi, maka dia dibunuh. Bendahara melarang anak buahnya menuntut bela, tetapi dengan tegas memberi perintah kepada anak buahnya supaya tidak “mempertuankan anak raja” itu. Tetapi hanya seorang bendahara yang boleh membuat keputusan begitu. Jelas sekali keputusan itu keputusan menderhaka; tetapi lebih jelas lagi itulah keputusan yang paling penting ketika kita ingin bercakap tentang kebebasan bersuara.
Peristiwa sepak raga ini menjelaskan kepada kita bahawa orang besar yang berpengaruh dibolehkan menderhaka dalam konteks tertentu; dengan itu dia diberi hak untuk bersuara walaupun di kalangan para pengikutnya saja. Tentu ada yang masih ingat bagaimana krisis perlembagaan Malaysia 1993 ditangani, yang dengan jelas menunjukkan seorang Perdana Menteri tidak dihukum menderhaka, dengan itu kebebasannya untuk bersuara tidak disekat. Jika peristiwa sepak raga ini dibaca bersama sebuah hadis tentang hukum mencuri, apabila Rasulullah SAW menegaskan bahawa jika anak baginda Fatimah mencuri, nescaya dipotong tangannya, maka kita dapati hak bersuara dan menentang kezaliman dibuka seluas-luasnya dalam Islam.
Hukum Islam tidak memilih kedudukan seseorang, untuk dikecualikan. Kebebasan bersuara bermaksud kebebasan untuk berbuat kebaikan, bukan melakukan kezaliman, penipuan, bersikap berat sebelah dan sebagainya yang akhirnya menjurus kepada kebebasan untuk melakukan sesuatu yang boleh menguntungkan kumpulan yang berkuasa dalam sesebuah negara. Sejauh mana orang-orang yang “salah bersuara” itu sedar akan hakikat ini sehingga mereka dituduh di mahkamah kerana menghina? Dalam sistem demokrasi, dan dalam sistem apa juga yang dicipta oleh manusia (termasuk sistem perundangan), hak seseorang ditentukan oleh pihak yang berkuasa, dengan itu apa yang disebut sebagai hak individu hanya wujud dalam konteks itu.
Kalau begitu, apakah pilihan yang terbuka kepada seseorang yang tidak sukakan penipuan, yang menentang kezaliman dan sebagainya? Dia harus menyerahkannya kepada orang yang berkuasa untuk bertindak bagi pihaknya. Maka itulah kita lihat banyak sekali laporan polis dibuat akhir-akhir ini oleh segala jenis manusia yang tidak puas hati tentang sesuatu perkara yang tidak sepatutnya berlaku tetapi dilakukan. Selagi manusia membenci penipuan dan kezaliman, maka selagi itulah mereka akan membantah dan memberontak dalam cara mereka sendiri. Perkara begini hanya dapat dikurangkan (tidak mungkin dihapuskan) jika pemerintah dan orang-orang berkuasa bertindak adil berasaskan perhitungan hati nurani yang dididik dalam ajaran agama.
Apa yang berlaku di Malaysia sekarang adalah ukuran yang sangat baik, dan tepat, bagaimana ajaran agama itu (termasuk agama Islam) diabaikan sehingga orang-orang yang berkuasa tidak lagi berasa terganggu hati nuraninya untuk bertindak zalim, dengan menipu, mencuri, rasuah, memfitnah, membunuh, dan segala jenis kejahatan yang pernah dikenali manusia sepanjang sejarahnya. Salah satu kejahatan yang dibenarkan dan dilakukan dengan berleluasa dalam apa juga masyarakat manusia, ialah kejahatan memberi kuasa dan kedudukan kepada orang yang tidak layak diberi kuasa dan kedudukan. Rasulullah SAW memberi amaran, jika sesuatu amanah itu diberikan kepada seseorang yang tidak layak menerimanya, maka tunggulah kemusnahannya.
Semua ajaran ini ada dalam Islam, dan mungkin juga diketahui oleh kebanyakan orang. Tetapi mengapa orang yang tidak amanah, dan tidak layak diberi kedudukan itu diberi kuasa atau mendapat kuasa? Itulah politik, the art of the possible. Perhatikan bagaimana istilah “art” itu dilacurkan awal-awal lagi dalam definisi politik yang popular ini. Jadi jika anda dibawa ke mahkamah, atau dicari polis kerana menentang PPSMI “dalam perhimpunan haram”, anda akan mengerti maksud mendalam hadis Nabi SAW tentang amanah tadi.
Itu sudah cukup untuk memberi anda kekuatan yang disebut dalam sebuah hadis lain: Jika kamu lihat kemungkaran, ubah dengan tangan (kuasa), jika tidak mampu, ubah dengan lidah (bersuara menentangnya), atau sekurang-kurangnya berasa benci dalam hati (itulah selemah-lemah iman). Masalah kita ialah orang-orang seumpama ini tidak terdapat di kalangan golongan yang berkuasa. Adakah mereka ini tidak amanah? Janganlah menunggu sehingga kehancuran berlaku untuk kita mendapat jawapannya ... (13/3/2009)
No comments:
Post a Comment