Saturday, April 18, 2009

DARI LAMAN BLOG...

Bekas Dua Menteri Besar:
Gandingan mantap atau berentap!

Assalamualaikum,
Secara rasional sukar mempercayai gandingan Dato' Seri Mohd Najib Razak-Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai mantap dalam pimpinan UMNO. Apalagi kelantangan Muhyiddin mendesak Tun Abdullah Ahmad Badawi mempercepatkan pelan peralihan kuasa dari Jun 2010 kepada Mac 2009, menampilkan keberaniannya melebihi Najib. Malah di peringkat awal Tun Dr Mahathir Mohamad selaku mentor mereka berdua mengakui, Najib lemah dalam menangani isu pelan peralihan kuasa. Apalagi Muhyiddin dilihat sentiasa bersama Tun Dr M dalam beberapa insiden.

Misalnya, ketika menteri-menteri kabinet tak berani menghadiri rumah terbuka Hari Raya Tun Dr M, Muhyiddin tak bimbang untuk jejakkan kaki. Di samping Muhyiddin (ketika itu Naib Presiden UMNO), Dato' Seri Dr Rais Yatim juga turut sama di rumah terbuka Tun Dr M ketika Najib tak nampak kelibat. Justeru Muhyiddin lebih dipercayai oleh Tun Dr M berbanding Najib yang tak berapa nak berani. Apalagi rintangan dari Johor seperti Dato' Seri Syed Hamid Albar juga sudah diketepikan bagi memudahkan perjalanan Muhyiddin.

Muhyiddin pernah menjadi Menteri Besar Johor; Najib juga pernah menduduki kerusi Menteri Besar Pahang. Dua bekas Menteri Besar dalam pimpinan tertinggi UMNO, memang mempunyai agenda masing-masing. Najib bimbang akan berlaku pelan peralihan kuasa kali kedua dalam masa yang singkat; Muhyiddin pula takkan membiarkan Najib mendominasi pimpinan setelah beliau merintis jalan dengan sokongan Tun Dr M. Ketika Najib membisu, Muhyiddin yang tak berdiam diri mendesak Tun Dr M dibawa menyertai UMNO semula selepas mengumumkan meninggalkan parti berkenaan.

Pimpinan Pak Lah tak tergugat dengan penampilan Najib, tetapi berhadapan kesukaran apabila Muhyiddin menjadi 'duri dalam daging'. Justeru pada sidang terakhir Perhimpunan Agung UMNO pada 28 Mac 2009, ketika menyampaikan ucapan bagi mengakhiri sidang, Pak Lah mengingatkan Muhyidin, beliau tak berkecil hati terhadapnya. Maknanya fokus Pak Lah ialah tindak tanduk licik Muhyiddin, bukan persaingan dengan Najib. Dua bekas Menteri Besar itu tak akan selesa, selagi salah seorang terus kekal dalam pimpinan. Kemantapan yang diharap sudah mula berentapan. Muhyiddin sudah mempertikai isu kementerian koperasi, sudah menyentuh isu jambatan bengkok dan, dan, dan...

-Pak Dharma

No comments:

Post a Comment