Saturday, April 18, 2009

KOMENTAR:

bersama Pak Parjo...

Dipanggil Orangkaya ke balairong:
Macam mahkota dibuang di Teluk Belanga

Alkisah maka dipanggillah sekalian Orangkaya di Perak ke balairong pada 7 Mei 2009 (seperti kata anak cucu fakir di kemudian hari) atas titah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah (gambar kiri) . Terlalu gembiralah Orangkaya Pangkor Dato' Zambry Kadir kerana ianya dimenangkan oleh balai panjang nan tinggi, sekalipun tak dengan kemahuan sekalian rakyat jelata yang hina dina. Arakian tak berasa malu Orangkaya Pangkor itu setelah dimalukan oleh sekalian anak buah di Bukit Gantang, adanya. Adapun titah memanggil pada 7 Mei nanti seperti diberitahu anak cucu fakir di kemudian hari, ialah supaya balairong itu boleh digunakan lagi.

Syahdan tahulah akan segala anak Melayu itu perbuatan yang hina lagi menghinakan di Perak perlulah dibubarkan balairong berkenaan. Adapun nama baik raja Melayu itu janganlah dipermainkan kerana mahu berkuasa di balairong, seperti disebut oleh Indera Bupala ketika mengiringi Sang Nila Utama ke Temasik. Setelah datang ke tengah laut, ribut pun turun; maka kenaikan itu pun keairan. Maka disuruh penghulu kenaikan membuang; maka bebeapa harta yang dibuangkan, tiada berapa lagi yang tinggal. Arakian maka kenaikan itu hampir ke Teluk Belanga.

Maka sembah penghulu kenaikan pada Sang Nila Utama, "Tuanku, pada bicara patik, sebab mahkota ini juga gerangan maka kenaikan itu tiada timbul, keana segala harta di dalam perahu ini telah habislah sudah. Jikalau mahkota ini tiada dibuangkan, tiadalah kenaikan ini timbul, dan tiadalah terbela oleh patik sekalian." Syahdan diperingatkan orang banyak kepada Orangkaya Pangkor itu, janganlah diperturut akan kejadian ribut di laut Teluk Belanga apabila berlaku ribut di Perak, hingga menyebabkan mahu membuang mahkota seperti disurat dalam 'Kitab Melayu' oleh:







HIDUP BAHASA MELAYU!

No comments:

Post a Comment