Friday, April 17, 2009

INFO SASTERA & BUDAYA


Islam dihimpit kemiskinan
Persoalan tasawuf puisi Nahmar
Antologi puisi terbaru penyair Nahmar Jamil 'Tembok Tidak Berpintu' (DBP, KL; 2009) termuat 114 sajak berunsur agama yang menjadi kegemarannya sejak memulakan berpuisi ketika usia beliau menjangkau 16 tahun pada 1954. Diperjelaskan oleh pihak penerbit Nahmar membawa persoalan tasawuf yang disingkap melalui bait-bait puisi yang menyentuh hati, sekalipun yang disebut tasawuf itu tak dilengkapkan maknawi. Bagaimanapun seperti kebiasaan Nahmar tetap prihatin dengan nasib umat dan negara Islam yang dihimpit kemiskinan, penjajahan dan kuasa kuffar yang diungkapnya secara keras.

Nahmar dalam 'Tasawuf' misalnya mengungkapkan: Dunia tasawuf adalah dunia asing/perlukah dijauhi kerana keterasinan?/kemasyhuran, keajaiban dan keberkatan/menjadikan jiwa rindukan jawapan?/kita mengenal mereka seperti al-Junaid/Hassan al-Basri, Zul Nun al-Masri. Memang Nahmar terlalu tersebati dengan isu Islam yang menjadi tema puisinya, hingga secara sinikal disentuh menerusi 'Dua Pilihan': Kenapa kita berpec ah kepada dua golongan/golongan pertama menafikan golongan kedua/golongan kedua menafikan golongan pertama/asalnya satu ummah besar dan unggul.

Antologi setebal 115 halaman ini diusahakan oleh DBP Wilayah Utara, Bukit Mertajam, di samping ianya merupakan antologi puisi Nahmar ke 11. Sebelum ini beliau sudah menghasilkan 10 antologi puisi, tujuh antologi cepen dan empat novel di samping lima buku umum dan lima buku kanak-kanak. Beliau juga menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah 1419 oleh Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Negeri Perlis.

No comments:

Post a Comment