Friday, April 17, 2009

KOMENTAR:

bersama Pak Parjo...

Maka dibuat orang pantun
Lagi lemak telur berlinang

Kata sahibul hikayat sekali persetua akan Orangkaya Pangkor Dato' Zambry Kadir (gambar kanan) bermegahlah ia menjadi Menteri Besar di Perak kerana Dato' Nikah Kahwin yang bergelar Musang Berjanggut itu berulang kalimenyebut: "Salah tu memang salah, tapi itu undang-undang Dato' yang bikin!" Syahdan semalam 20 Rabiulakhir 1430 (atau 16 April 2009) disahkan di balai panjang nan tinggi, maka dibenarkan ia hadir sidang di balairong seri. Tak pedulilah Orangkaya Pangkor itu akan kebencian orang banyak terhadap dirinya, asal sahaja dapatlah dipenuhi kemahuannya seperti Pateh Karma Wijaya di Melaka dahulukala, adanya.

Adapun terlupalah Orangkaya Pangkor itu perihal di negeri Terengganu sekalian 10 Orangkaya mahu menyingkirkan Orangkaya Menteri Besar Dato' Seri Ahmad Said. Sebermula kabullah seperti ketentuan Allah itu, yang di Perak itu berlaku di Terengganu pula. Arakian segala anak-anak buah harakah Melayu di Negeri Sembilan khabarnya berura-ura juga tak mahu lagi mereka bertuankan Orangkaya Dato' Seri Muhammad Hassan. Di Perlis juga disebut orang banyak, anak-anak buah harakah Melayu tak mahu mereka bertuankan Dato' Dr Mohd Isa Sabu itu, adanya.

Arakian maka Dang Raya Rani dengan keempat perempuan sertanya itu pun lenyaplah. Ada kadar sesaat, maka kelihatan seorang perempuan tua, bongkok belakangnya, berlipat tiga (tetapi lebih tua lagi daripada bekas Orangkaya Perdana Menteri di kemudian hari, adanya). Maka ia berkata pada Tun Mamat, "Adapun segala kata tuan-tuan hamba itu sudahlah dipersembahkan oleh Dang Raya Rani pada Puteri Gunung Ledang. Akan titah tuan puteri, jikalau raja Melaka hendakan aku perbuatkan aku jambatan emas satu, jambatan perak satu.' Tetapi diakhir zaman tak lagi disebut jambatan perak, tetapi ialah negeri Perak dengan 'rampas kuasa' lalu dibuat orang pantun:

Sana sini gigi menimang
hendak makan ikan di telaga
lagi lemak telur berlinang
sisiknya lekat kepada dada.

Syahdan tak diketahui oleh Orangkaya Pangkor akan maksud pantun orang dahulukala itu kerana sudah dimenangkan ia oleh balai panjang nan tinggi seperti disebut dalam 'Kitab Melayu' daripada:






HIDUP BAHASA MELAYU!

1 comment:

  1. Mahkamah mana? Oooo Mahkamah Malaysia!

    Hendak makan ikan di telaga,
    Orang Noghori tanyo telago sapo;
    Sisiknya lekat kepada dada,
    Nak ditanggal gunakan C4.

    ReplyDelete