Tuesday, April 7, 2009

PADA HEMAT MOHD AFFANDI...

Muka baru dalam pimpinan:
Bukan jaminan bawa era baru

Utusan Melayu melalui sebuah rencana oleh seorang wartawan kanannya dalam Utusan Malaysia mengisytiharkan kemunculan Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri membawa era baru dalam pemerintahan Malaysia. Era baru? Apakah yang baru itu? Pembebasan 13 orang “ashabul ISA” (penghuni tahanan ISA) yang lama dikurung dalam tahanan tanpa sebarang tuduhan pasti kesalahan mereka, oleh itu mereka dikurung tanpa melakukan apa-apa kesalahan.

Sekali dengar mungkin pelik, tetapi itulah hakikat ISA yang boleh digunakan bila-bila masa terhadap sesiapa saja tanpa sebarang tuduhan, cukup hanya dengan syak wasangka semata-mata. Satu lagi yang baru ialah kebenaran menerbitkan Harakah dan Suara Keadilan diberikan balik walaupun belum sampai masa setelah diharamkan selama tiga bulan. Apa sebab diharamkan? Sebabnya supaya pengundi tiga pilihan raya kecil pada 7 April 2009 tidak membaca dua buah akhbar kecil parti PAS dan PKR (Parti Keadilan Rakyat) yang dijangka akan memenangi ketiga-tiga pilihan raya kecil itu.

Apa lagi yang baru? Memang terdapat pemisahan besar dari agenda UMNO apabila PM baru anak Tun Razak ini menerima bulat-bulat agenda politik Parti DAP yang dengan lantang mahu mewujudkan “Malaysian Malaysia”, satu projek Parti Tindakan Rakyat Singapura ketika berada dalam Malaysia dulu. Inilah juga asas Malayan Union yang dikatakan ditentang hebat oleh UMNO. Adalah ironik dan mengagumkan apabila UMNO tunduk meluku kepada kehendak Malayan Union melalui “konsep” satu Malaysia yang dilaungkan oleh anak Tun Razak ini.

Barangkali inilah maksud era baru itu, yakni penyelewengan UMNO daripada perjuangan asal menentang Malayan Union kepada menyokong seluruhnya konsep Malayan Union dan “Malaysian Malaysia” Parti DAP. Orang Melayu, seperti biasa, tidak ada masalah untuk menyokong, malah menyokong dengan bangga, gerakan baru yang dibawa oleh anak Tun Razak ini. UMNO dan suku sakatnya akan berkata slogan “satu Malaysia” tidak sama dengan Malayan Union, apa lagi dengan “Malaysian Malaysia” tajaan DAP. Ciri utama “satu Malaysia” ialah tertegaknya institusi beraja yang diperkukuhkan dari semasa ke semasa.
Yang menjadi masalah ialah hingga sekarang UMNO tidak terkenal sebagai parti Melayu yang bermati-matian mempertahankan “kuasa” raja Melayu. UMNO telah banyak kali melalui Parlimen menghakis dan mengikis saki baki kuasa raja-raja Melayu, malah jika anda ingin bercerita tentang penderhakaan Melayu terhadap rajanya, yang jauh lebih hebat dan seru daripada penderhakaan Hang Jebat, anda akan dapat cerita itu dalam tindak tanduk (perhatikan: tindak dan tanduk, seperti kerbau liar yang marah) UMNO selama menguasai Malaysia yang dulunya dipanggil Tanah Melayu (tetapi Tanah Melayu itu hilang di bawah kekuasaan UMNO).

Sungguh malang bagi orang Melayu yang diajar oleh pemerintahnya menjadi leka dalam mimpi siang hari tentang kemakmuran yang akan mereka kecapi di bawah pemerintahan UMNO, masih terus lalai dan leka dengan mimpi baru yang dinamakan Satu Malaysia. Orang Melayu tidak sedar, ketika mereka memerlukan pertolongan, mereka tidak mendapatnya daripada raja-raja mereka; ketika mereka terdesak memerlukan bantuan, mereka harus menunggu bertahun-tahun untuk diacah-acah dengan bantuan; ketika mereka kehilangan maruah dan identiti, mereka disogok dengan naratif keagungan mereka zaman dulu (yang memang sangat kejam di bawah tangan raja-raja Melaka) yang diberi wajah baru, kononnya, dengan nama baru Satu Malaysia.

Dengan mimpi baru itu, orang Melayu akan terus berada dalam perhambaan ketara yang tidak diketarakan melalui sistem pendidikan yang memuja zaman penjajahan dalam projek PPSMI dan projek Islam Hadhari. Dengan itu orang Melayu telah menyerahkan lehernya untuk disembelih oleh sejarah dengan terus menyokong UMNO. Padahal mereka ada pilihan ...
(7/4/2009)

(*Mohd. Affandi Hassan ialah pesara PTD dan pernah berkhidmat di beberapa buah kementerian, justeru beliau berpengalaman dalam pentadbiran dan pengurusan negara. Sebagai sasterawan Melayu, beliau beberapa kali memenangi hadiah karya sastera nasional tetapi menolaknya)

1 comment:

  1. Maknanya kalau masih su
    etuju dengan agenda UMNO yang karut itu, Melayu seperti menyerahkan leher untuk dipenggal. Seyogia peringatan ini idberi perhatian.

    ReplyDelete