Tuesday, April 21, 2009

PADA HEMAT MOHD AFFANDI...

Melayu tak selamat dinaungi raja:
Penindasan Tak Ketara Yang Disengajakan

Kini rakyat Malaysia, terutama yang bergelar Melayu, tidak lagi selamat bernaung di bawah raja mereka. Kini berkeliaran ahli politik yang dekat dengan istana atau mesra dengan raja-raja Melayu menghasut supaya sultan berkata (baca: bertitah) mengutuk orang Melayu yang menderhaka dan cuba membongkar istana untuk dibuang ke laut. Dulu rumah rakyat hina dina yang dibongkar ke laut, kini kata ahli politik istana raja pula hendak dibongkar dibuang ke laut. Ini satu perkara yang sangat pelik dan sukar dipercayai.

Dalam sejarah orang Melayu, “penderhaka” ulung ialah Hang Jebat, itu pun bukan untuk membunuh raja atau membakar istana (gambar hiasan di sebelah, replika istana Melaka). Hang Jebat “menderhaka” kerana menurut perhitungannya raja Melaka sangat dan amat zalim membunuh Hang Tuah yang banyak berjasa itu. Ketika itu Hang Jebat tidak terfikir bahawa yang menentukan seseorang itu berjasa dan boleh dibunuh bukan dia, tetapi raja Melaka. Raja Melaka juga yang menentukan siapa pula yang berdosa dan wajib dibunuh, bukan undang-undang.

Walaupun ketika itu, kata ahli sejarah, telah ada Undang-undang Melaka berasaskan Islam, tetapi raja Melaka tidak terikat kepada sebarang undang-undang kerana dialah yang menjadi sumber undang-undang. Sekarang ahli-ahli politik yang baik-baik dan rapat dengan istana cuba membawa kembali apa yang terjadi di Melaka itu ke dalam politik moden untuk tujuan tertentu. Apakah tujuan tertentu itu?

Bila ahli-ahli politik yang baik-baik itu sedar mereka tidak mendapat sokongan rakyat kerana perangai jahat mereka, menghasut di sana sini memburukkan musuh politik mereka, maka orang kaya baik-baik ini menggunakan istana untuk mencapai niat jahat mereka. Antara niat jahat itu ialah merampas kuasa kerajaan setelah ditolak oleh rakyat dalam pilihan raya. Perbuatan jahat mereka tidak boleh ditentang kerana menurut mereka, kuasa hasil rampasan kuasa itu telah diperkenankan oleh sultan. Setelah itu timbullah murka raja terhadap rakyat yang menderhaka tidak menerima perampas kuasa sebagai kerajaan yang sah.

Ini banyak susah kerana itu rakyat jadi banyak keliru siapa benar siapa penipu antara ahli politik yang mendakwa merekalah yang terbaik untuk disokong rakyat kerana sudah direstu oleh raja sendiri. Macam zaman Melaka dulu juga, (gambar hiasan dari filem 'Hang Tuah', pertikaman bagi menjahnamkan musuh politik) macam-macam aduan diterima oleh raja Melaka, semuanya untuk menjahanamkan musuh “politik” mereka. Pada waktu itu raja-raja Melaka tidak bijaksana kerana tidak dikirim belajar di England walaupun ketika itu sudah terdiri universiti terkenal di England dan di tempat-tempat lain di Eropah.

Maulana dan ulama Istana

Di Mesir sudah lama terdiri Universiti al-Azhar, tapi ketika itu tidak seorang pun raja Melaka berminat hendak belajar di Universiti al-Azhar, sama seperti sekarang juga. Oleh itu raja-raja Melaka tidak diberitahu oleh para maulana dan ulama di istana akan kemuliaan Nabi Muhammad SAW yang mendoakan kebaikan kepada umat baginda yang melontar baginda dengan batu hingga berdarah kaki baginda. Baginda tetap mendoakan kebaikan untuk orang-orang jahat yang jahil itu.

Andainya raja-raja Melaka tahu cerita ini, misalnya dengan belajar di Universiti Al-Azhar, maka tentulah raja-raja Melaka tidak zalim dan jahat perangainya membunuh para pegawai istana hanya kerana mendengar hasutan semata-mata. Rupanya hasut-menghasut ini sudah menjadi budaya Melayu yang sangat dihormati sampai boleh mempengaruhi raja-raja Melayu yang cerdik di antara mereka. Maka tidaklah pelik lagi sekiranya kedengaran dengan lantang amaran murka dari istana terhadap para penderhaka yang disebut dengan nama “golongan tertentu yang rakus kuasa” itu.

Orang-orang UMNO sangat senang hati kerana mereka tidak termasuk dalam golongan penderhaka yang rakus kuasa itu (gambar hiasan kanan, pimpinan UMNO dilindungi daripada tuduhan derhaka, sekalipun mereka hapuskan kekebalan raja-raja), malah mereka sangat bangga kerana dituduh oleh musuh-musuh mereka bahawa mereka adalah dari kumpulan penghasut seperti yang terdapat zaman Melaka dahulu. Akibat hasutan golongan penghasut ini dan diterima pula oleh pihak yang mendengar hasutan itu, maka orang Melayu sekarang menjadi dua golongan: satu golongan yang baik-baik dan berjasa yang jadi penghasut; satu golongan lagi yang jadi penderhaka dan diterima rakyat sebagai ketua yang boleh dipercayai.

Mereka inilah yang menjadi api di dalam sekam yang berbahaya itu, yang nampaknya tak boleh dipadamkan lagi kerana terlalu banyak sekam, bertimbun-timbun tidak dibakar sejak diadakan undang-undang tidak boleh membakar sekam di tempat-tempat lapang. Kata para penanam padi, pesawah dan petani, tidak adil sangatlah jika mereka dituduh sebagai api di dalam sekam, pada hal merekalah yang memberi makan rakyat Malaysia dan yang membawa kemakmuran serta keamanan sudah beratus-ratus tahun.

Oleh itu, kata mereka, raja-raja hendaklah sabar seperti Nabi Salallahu Alaihi Wasallam yang tidak pernah marahkan ummatnya walaupun menyeleweng; sesuai dengan kedudukan raja-raja itu sebagai penjaga kesucian agama Islam dan pengikut Nabi Sallahu Alaihi Wasallam. Syukurlah sekarang sudah ramai rakyat yang sudah cerdik melebihi ketua-ketua mereka atau pelindung mereka, setelah ditarbiahkan oleh ulama yang menjadi pewaris para nabi, bukan ulama pengemis murahan di istana seperti zaman Melaka dulu. [21/4/2009].

(*Mohd. Affandi Hassan ialah pesara PTD dan bekas pegawai tinggi kementerian yang berpengalaman dalam pentadbiran dan pengurusan negara. Sebagai sasterawan dan pengkritik sastera Melayu, beliau dianggap setanding dengan kewibawaan H.B. Jassin di Indonesia. Beberapa kali memenangi hadiah karya sastera nasional tetapi menolaknya)

No comments:

Post a Comment