Wednesday, May 13, 2009

DARI LAMAN BLOG:


Virus 'selsema babi' di Brazil:
Di mana 'sawan babi' dan 'gila babi'?

Kebimbangan dunia terhadap virus 'selsema babi' turut menggelabahkan kerajaan Malaysia yang kononnya mengambil langkah-langkah keselamatan, termasuk memantau pelancong-plancong dari Brazil, selatan Amerika Syarikat atau yang berkaitan. Pemilihan nama virus itu 'selsema babi', selaras dengan spesies haiwan berkenaan 'haram' kepada umat Islam lebih daripada bangkai dan darah. Bagaimanapun di Malaysia virus haiwan haram ini dikenali juga 'gila babi' dan 'sawan babi'.

'Sawan babi' menyebabkan mangsanya mengalami sakit kepala, pitam dan tak sedar diri hingga menyondol-nyondol kepala menyusup ke bawah meja, katil atau apa saja dengan mulut berbuih-buih. Mangsa sukar diselamatkan kalau 'sawan babi' menyerangnya sewaktu mandi di sungai atau memerun di kebun yang mendedahkan kepada bahaya. Sebaliknya 'gila babi' ialah perlakuan yang perongos, pongah dan bobrok seolah-olah dunia ini milik mereka hingga boleh berbuat apa sahaja.

Virus 'gila babi' ini barangkali yang merebak di DUN Perak sekarang, malah dikira lebih berbahaya daripada virus 'selsema babi'. Setakat ini virus 'selsema babi' tak banyak sangat mangsanya, belum pun sampai 100 orang lagi berbanding dengan populasi dunia. Maknanya virus 'selsema babi' tak berapa berbahaya dibandingkan virus 'gila babi' di DUN Perak sekarang. Sekalipun semua pihak menyedar formula menghapuskan virus 'gila babi' dengan pembubaran DUN, di samping pilihanraya khas diadakan, entah kenapa UMNO menolaknya?

Mudah-mudahan virus 'gila babi' yang mengganggu sistem demokrasi di Perak tak menular ke DUN lain. Apalagi isu 'politik wang' juga memang lumrah sama ada dalam pilihanraya mahupun pemilihan UMNO. Pada 1971 pun Allahyarham Tun Abdul Razak sudah bangkitkan 'politik wang' dalam pemilihan UMNO, malah Tun Musa Hitam juga turut membangkitkan pada pemilihan 1982. Maknanya isu politik wang sudah 'alah bisa tegal biasa' kepada UMNO, justeru pilihanraya bila-bila masa pun memang strategi 'politik wang' amalan biasa UMNO. Ayuh, bubarkan DUN Perak.

-Pak Dharma

No comments:

Post a Comment