Friday, June 26, 2009

DR M PERJELAS ISU TAMBAK JOHOR


Bukan milik bersama:
2/3 adalah hak Johor

Oleh: Tun Dr Mahathir Mohamad

1. Saya siarkan dokumen berkenaan pembiayaan pembinaan Tambak Johor kerana ada Menteri di dalam pentadbiran Tun Abdullah yang mendakwa Tambak Johor milik bersama antara kita dan Singapura. Sebab itu Singapura harus bersetuju sebelum apa-apa tindakan (meroboh) dapat dilakukan terhadap tambak tersebut.

2. Tidak terdapat apa-apa persetujuan mahupun perjanjian yang mengatakan Tambak Johor milik bersama. Jika ada pun 2/3 daripada tambak tersebut adalah milik Johor. Dan bahagian 2/3 tersebut sudah semestinya yang berakhir di Johor Bahru kerana sempadan di Selat Tebrau merupakan laluan air yang paling dalam, kira-kira separuh dari selat tersebut antara Singapura dan Johor. Ini mestilah juga sempadan tambak. Dengan itu separuh tambak di bahagian utara adalah hak Malaysia, satu negara yang berdaulat dan merdeka.

3. Cadangan yang mengatakan kita tidak boleh sentuh tambak tanpa kebenaran Singapura bukan merupakan sebahagian daripada apa-apa perjanjian dengan Singapura. Apa yang kita buat pada bahagian tambak di sebelah kita adalah hak kita sebagai satu negara yang berdaulat. Tidak melaksanakan hak kedaulatan kita samalah dengan menganggap diri kita dijajah.

4. Kenapa kita perlu bina jambatan untuk gantikan tambak? Jalanraya di Johor Baru di mana lalu lintas dari dan ke arah tambak bertemu dengan lalu lintas menghala ke arah timur dan barat seringkali sesak. Di masa hadapan apabila lebih banyak kenderaan menggunakan jalan tersebut, kesesakan tentu akan bertambah buruk.

5. Jambatan akan disambung ke jalan jejambat dari dan ke kompleks kastam, imigresen dan kuarantin (CIQ), dan ini akan benarkan lalulintas dari timur ke barat untuk bergerak lancar.

6. Selain masalah trafik, laluan air di selat juga tidak mengalir. Jika tambak dibuka, air akan bebas mengalir di kedua-dua arah, dan akan membersihkan perairan di selat.

7. Ketiadaan tambak juga akan benarkan bot dan kapal layar belayar pergi balik di kedua-dua arah. Pengangkutan barangan dan penumpang di antara pelabuhan Pasir Gudang dan pelabuhan Tanjung Pelepas juga akan dipermudahkan. Ini akan bantu pertumbuhan kedua-dua pelabuhan - sesuatu yang mungkin Singapura tidak suka lihat.

8. Laluan tanpa halangan bot-bot sepanjang selat juga akan mewujudkan peluang perniagaan. Jambatan akan lebih lebar daripada tambak dan akan mempercepatkan aliran lalulintas. Bangunan CIQ juga direkabentuk untuk menampung jumlah trafik yang lebih tinggi.

9. Saya ditanya kenapa ianya tidak dibina semasa 22 tahun pentadbiran saya, jawapannya ialah keperluan untuk jambatan hanya jadi lebih jelas di akhir jangka waktu pentadbiran saya. Walaubagaimanapun saya telah luluskan projek tersebut sebelum saya berundur. Kerja-kerja pembinaan juga bermula semasa saya masih lagi mentadbir. Jika Abdullah tidak berhentikan, jambatan sudah tentu akan hampir siap sekarang.

10. Oleh kerana Singapura hanya akan setuju untuk membina jambatan lurus jika satu bilion metre padu pasir dijual kepadanya; oleh kerana rakyat Johor membantah penjualan pasir dan kebenaran bagi pesawat pejuang Singapura berlatih di ruang udara Johor, pilihan yang ada bagi Kerajaan Malaysia hanyalah untuk kembali pada pembinaan jambatan bengkok (indah) di perairan wilayah kita. Ini adalah hak sebuah negara berdaulat yang merdeka.

11. Sebaliknya Abdullah putuskan untuk bukan sahaja tidak bina jambatan di perairan kita tetapi juga untuk berhenti berunding berkenaan semua perkara lain termasuk keengganan Singapura meluluskan dana CPF (Central Provident Fund) yang dicarum pekerja dari semenanjung Malaysia, tanah keretapi, harga air mentah 3 sen untuk 1,000 gelen yang dibayar Singapura (Melaka bayar 30 sen untuk 1,000 gelen).

12. Kesemua isu ini memberi keuntungan pada Singapura dan dengan menghentikan rundingan untuk mendapatkan hak yang lebih baik dalam masalah tersebut kononnya kerana orang Johor menolak penjualan pasir yang rugi ialah kita. Yang kalah adalah kita. Saya rasa ini satu cara bodoh untuk hukum Singapura. Ataupun adakah ianya satu hukuman bagi orang Johor kerana tidak setuju jual pasir (ada orang yang akan buat banyak duit) dan menolak cadangan supaya ruang udara Johor Baru dijadikan tempat pesawat pejuang Singapura berlatih berperang dan mengebom.

No comments:

Post a Comment