Sunday, June 21, 2009

KALAU MELAYU TAK BERSATU...


Mukhriz tak yakin
1Malaysia boleh berjaya
21/06/2009 4:49pm

JITRA 21 Jun — Konsep 1Malaysia tidak akan dapat direalisasikan, sekiranya orang Melayu tidak bersatu kerana kestabilan serta kemakmuran negara bergantung kepada kekuatan bangsa itu. Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Mahathir berkata, orang Melayu memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan kemajuan negara kerana ia merupakan bangsa majoriti di negara ini. “Kalau orang Melayu tak bersatu, macam mana nak jayakan 1Malaysia dan ia akan merugikan bangsa lain,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung perwakilan Pertubuhan Peladang Kawasan A-II di Kodiang, dekat sini hari ini.

Beliau berkata, perpaduan perlu dimulai oleh orang Melayu sebagai tonggak serta peneraju dalam menjayakan 1Malaysia dan menjadi contoh kepada bangsa lain. “Apabila bercakap pasal perpaduan orang Melayu, ia bukanlah bersifat perkauman, tak mungkin wujud kerajaan yang terdiri 100 peratus pemimpin Melayu kerana kita dah lama amalkan sistem kongsi kuasa, dan beri ruang kepada kaum bukan Melayu,” katanya. Mukhriz juga turut melahirkan rasa gusar terhadap sesetengah pihak yang sering membangkitkan isu perkauman serta tidak senang apabila kerajaan didominasi oleh pemimpin Melayu.

“Saya tidak faham kenapa ada sesetengah pihak tidak bersetuju dengan perpaduan dan tidak suka melihat orang Melayu bersatu sedangkan kita sanggup berkongsi kuasa dengan semua orang,” katanya. Sementara itu, beliau turut mengingatkan pemimpin-pemimpin Umno supaya sentiasa bermuhasabah kerana mungkin ada perkara yang tidak disenangi rakyat berlaku dan perlu diselesaikan segera. Mukhriz yang juga Anggota Parlimen Jerlun berkata Umno perlu menonjol dalam usaha membela rakyat kerana dengan cara itu keyakinan serta kepercayaan rakyat terhadap Umno tidak akan terjejas. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment