Ibu tembak anaknya penjenayah:
Demi menegakkan undang-undang!
Assalamualaikum,
Secara tak sengaja menonton channel 133 TV Astro semalam (20 Jun 2009) filem Hindustan yang diterbitkan sekitar dekad 1960-an 'Mother of India' menampilkan aktres Nargis (gambar). Sekalipun saya bukan peminat filem Hindustan (atau sekarang dikenali Bollywood), tetapi saya difahamkan filem tersebut antara filem terbaik dari India satu ketika dulu. Apabila menontonnya semalam pula, tak ditonton sejak awal tayangan, sebaliknya sudah di penghujung filem. Saya sekadar menonton adegan si ibu menembak mati anaknya sendiri, di sebabkan menjadi penjenayah dengan melarikan anak orang kaya yang akan berkahwin dengan adiknya, di samping merampas semula gelang milik ibunya daripada orang kaya terbabit.
Filem Hindustan ini seolah-olah mengangkat legasi 'biar mati anak, jangan mati adat' yang menjadi legenda dalam amalan 'Adat Perpatih'. Allahyarham Dato' Onn Jaafar ketika memimpin UMNO pernah menukar persepsi berkenaan kepada 'biar mati adat, jangan mati anak', malah menganggap warisan adat itu menyebabkan bangsa Melayu mundur. Justeru ketika Dato' Onn berkunjung ke darah Jelebu pada 1946, beliau disambut oleh kumpulan pemuda dengan pementasan sandiwara berjudul 'Anak Derhaka'. Abang sepupu saya Allahyarham Dato' Sura Haji Abdul Rashid Mokhtar (ketika itu beliau berusia 18 tahun sahaja) terbabit dalam pementasan sandiwara itu.
Sinikal daripada sandiwara tersebut sebagai tindak balas kepada pandangan Dato' Onn mengenai persepsi salahnya terhadap 'biar mati anak, jangan mati adat'. Maknanya, adat pada pengertian Dato' Onn ialah 'adat resam', 'adat istiadat' atau upacara seperti mandi safar, berjamu ancak, bersemah dan lain-lain seumpamanya yang menjadi amalan masyarakat Melayu ketika itu. Sebaliknya filem 'Mother of India' seolah-olah membetulkan semula persepsi berkenaan, iaitu si ibu bersedia membunuh anaknya bagi mempertahankan maruah keluarga dengan menegakkan keadilan menerusi keluhuran undang-undang.
Apalagi Islam juga menganjurkan menegakkan 'kebenaran', sekalipun pahit untuk diterima oleh golongan majoriti. Sebaliknya teori mengenai 'keadilan' dan 'kebenaran' sekadar indah pada halwa telinga, kerana sukar bagi peribadi insaniah mahu mempraktikkan kesungguhan seperti dipaparkan menerusi filem 'Mother of India'. Kalau tak disebabkan filem berkenaan dipenuhi lagu-lagu dan tarian, barangkali saya berminat untuk menelusuri temanya yang mengangkat kehebatan legasi ketuanan Adat Perpatih: 'Biar mati anak, jangan mati adat' itu. Atau secara formal ialah menegakkan keadilan dan kebenaran berdasarkan keluhuran undang-undang.
-Pak Dharma.
No comments:
Post a Comment