Sunday, June 21, 2009

YANG TERSURAT & TERSIRAT...


Pelantikan pengerusi Petronas:
Dr M sindir pentadbiran sekarang

IPOH: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui ada mendengar cerita bahawa jawatan Pengerusi Petronas yang kini disandang Tan Sri Hassan Merican akan diganti oleh individu lain namun menegaskan beliau tidak tahu sejauh mana kebenaran cerita berkenaan. Katanya beliau hanyalah seorang penasihat tanpa kuasa eksekutif dan oleh kerana Petronas terletak terus di bawah bidang kuasa Perdana Menteri, sebarang pelantikan jawatan di syarikat itu bergantung kepada keputusan Datuk Seri Najib Razak. "Barangkali orang lain ini lebih cekap daripada Hassan Merican... boleh dapat untung lebih besar kot, mana kita tahu," katanya ketika ditanya sama ada menggantikan Hassan yang telah terbukti keupayaannya di Petronas sebagai satu tindakan yang betul.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat agung penubuhan Gagsan Melayu Perak di sini hari ini. Desas-desus sejak beberapa bulan lalu menyatakan bahawa bekas Pegawai Khas Najib ketika beliau Timbalan Perdana Menteri, Omar Mustapha Ong akan dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah manakala bekas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Syed Hamid Albar dilantik sebagai Pengerusi Petronas bagi menggantikan Hassan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Petronas. Dr Mahathir juga menolak dakwaan pihak tertentu kononnya beliau semakin hampir hilang sabar terhadap Perdana Menteri yang dikatakan mempunyai gaya kepimpinan lemah dan menegaskan beliau tidak pernah beranggapan sedemikian terhadap Najib.

"Saya tak kata saya puas hati, saya tak kata saya tak puas hati tapi saya buat teguran tentang pemilihan orang yang terlibat dalam rasuah masih ada dalam kepimpinan parti. Yang itu saya rasa tak setuju," katanya ketika ditanya sama ada ini bermakna beliau berpuas hati dengan kepimpinan Najib setakat ini. Sementara itu ketika mengulas tulisan dalam blognya www.chedet.cc yang menyamakan Menteri Mentor Singapura Lee Kuan Yew sebagai 'Maharaja Kecil', Dr Mahathir berkata Lee adalah seorang pemimpin sombong yang cuba mengajar pemimpin di negara-negara jirannya.
"Orang ini dia cukup sombong. Dia pergi ke negara jiran untuk nak bagi tahu kepada negara jiran apa yang patut mereka buat dan dia mengutamakan negeri dia dan memberitahu kepada kita, kita hanya pedalaman. Saya dari dulupun saya tak berapa serasi dengan dia," katanya. Mengenai lawatan lapan hari Lee ke beberapa negeri baru-baru ini, Dr Mahathir berkata bekas pemimpin Malaysia belum tentu akan mendapat layanan serupa di republik itu seperti mana sambutan yang telah diberikan oleh para pemimpin negara ini terhadap Menteri Mentor Singapura itu.

Terdahulu dalam ucapannya pada majlis itu, Dr Mahathir berkata masa depan orang Melayu akan menjadi gelap sekiranya pemimpin Umno terus dengan sikap lebih mengutamakan kepentingan diri daripada agama, bangsa dan negara. "Umno tidak lagi memperjuangkan kepentingan orang Melayu tapi menjadi landasan untuk orang mendapat tempat dan gelaran. Sebab itu pada pilihan raya umum ke-12, orang Melayu tidak lagi mengundi Umno sebab mereka kecewa dengan keadaan sedemikian," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment