Wednesday, June 24, 2009

SEKILAS PANDANG...


Cemar budaya dan adab Melayu:
Tampilkan pemikiran burung tiung

Terasa pilu membaca blog http://www.biaqpila.blogspot.com/ yang menyebut Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dato Idris Harun dalam satu kenyataannya berkata Dato Seri Anwar Ibrahim menjadi punca kepada perpecahan orang Melayu. Menurut beliau Anwar telah mencemar budaya dan adab orang Melayu yang penuh kesusilaan hingga kelembutan orang Melayu dalam berpolitik bertukar menjadi kekerasan iaitu musyawarah bertukar kepada demontrasi jalanan dan berpantun kepada hina menghina. Memang pilu apabila intelektual Melayu menampilkan pemikiran burung tiung yang bobrok, korok dan buruk!

Pada 1987 UMNO mendakwa Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Musa Hitam memecah belahkan Melayu, sebelumnya sekitar dekad 1970-an Dato' Harun Idris dilabel begitu. Malah Tun Dr Mahathir Mohamad turut ditohmah UMNO sebagai punca perpecahan Melayu apabila menulis surat terbuka kepada Tunku Abdul Rahman. Justeru, sesiapa sahaja tak bersetuju dengan pimpinan UMNO yang berkuasa, mereka akan didakwa sebagai punca Melayu berpecah belah. Justeru kepiluan saya berterusan apabila semakin ramai intelektual Melayu menjadi bacul apabila berhadapan isu perpaduan Melayu.

Tetapi ketika UMNO berbangga dengan perpaduan Melayu barangkali Dato' Idris Harun tak pernah membuat analitikal golongan Melayu mana yang terbabit dalam isu BMF, atau ciri-ciri Melayu bagaimana yang terbabit dalam kes pembunuhan Mustakhizah, tragedi Mamali dan Lubuk Merbau, malah banyak lagi insiden yang masih misteri atau sengaja dimisterikan. Tengku Razaleigh, Tun Musa Hitam atau Dato' Harun Idris barangkali tak tahu menahu mengenai insiden 'mata lebam' pada 1998, sekalipun beliau pernah dilabelk memecah belahkan perpaduan Melayu pada 1987.

Barangkali juga Dato Idris tak pernah bertanya kepada Dato' Azhar Ibrahim di Pulau Pinang, sama ada Dato' Seri Anwar Ibrahim terbabit atau tidak dalam demnostrasi jalanan yang digerak UMNO menentang papan tanda jalan menggunakan pelbagai bahasa di Pulau Pinang. Atau tak pernah menelusuri sejarah UMNO menggerakkan demonstrasi jalanan di hadapan Hotel Stesen di Kuala Lumpur pada 1 April 1946, bag menghalang raja-raja Melayu menghadiri upacara proklamir 'Malayan Union' oleh kolonial British di Rumah Persekutuan. Apakah Dato' Onn Jaafar, Dato' Hamzah Abdullah, Dato' Panglima Bukit Gantang dan Tan Sri Nik Ahmad Kamil memecah belahkan perpaduan Melayu. Barangkali juga kalau tak disebabkan demonstrasi jalanan 1946 itu, Dato' Idris Harun pun tak dilihat bersama UMNO sekarang!


-Pak Dharma

No comments:

Post a Comment