Friday, July 24, 2009

INFO SASTERA & BUDAYA

PUISI

Tangkap Tikus
Buat Lauk Lagi Baik

Macam-macam cerita
berbagai-bagai peristiwa
satu lepas satu
kisah orang mati
jatuh pokoklah
perihal orang kumpul
ramai-ramai bakar lilinlah
hikayat orang mesyuarat
bawah pokoklah drama swasta
duyun berduyun orang berarak
memorandum ke keratonlah
atap runtuhlah.

Orang buruk siku kena saman
hal balaklah, orang kena sebat
minum araklah
orang nak lawan jadi ketua
dapat pencalonan tunggal sajalah.
Macam-macam hal
beragai-bagai kisahnya.
Bising sebising-bisingnya
macam halilintar dan guruh
sebelum hujan.

Akhirnya
semuanya berlalu begitu saja
macam tak pernah berlaku
bagaikan air sungai
yang mengalir di bawah
jambatan Manek Urai
yang tak jadi.

Demikianlah
hangatnya tahi ayam
dalam mulut kita
jadi, janganlah nak bising-bising
tak usahlah nak konon berkonon
jadi orang sedar
jadi orang berani
jadi orang perjuangan
tangkap tikus
buat lauk lagi baik
setidak-tidaknya kita pasti
anak-anak kita tak makan
lauk hasil rasuah.

-Yassinsalleh
jam 1926
Julai 24, 09
Tengah pasang perangkap tikus
di kaki titiwangsa.


Sebatang Lilin

Sebatang lilin
terpasang -
ku lilitkan sehelai kain
yang nipis
dan lembut

Ku biarkan api
menari -
lilin terbakar
di hujung jari

Ah, kalau kau mengerti
sebatang lilin
di sudut meja
sehelai kain
terlilit di kepala
kau tiba-tiba berpaling
ke dasar laut.

-Dharmala N.S.
USM, P. Pinang.
(Sajak ini tersiar di akhbar mingguan 'Berita Minggu' pada 25 Julai 1976 atau 33 tahun yang lalu)

No comments:

Post a Comment