65 undi yang membuat UMNO sangat marah dan kecewa. Masih kalah, hanya 65 undi? Ini sudah gila, kata mereka dengan kecewa. Semua pembangunan sudah dijanjikan, malah jambatan baru berharga RM7 juta akan mula dibina keesokan hari jika UMNO menang, masih ditolak kebaikan UMNO? Padahal sudah diberi wang tunai seribu seorang untuk tanam semula getah dan kelapa sawit. Masih tidak berterima kasih? Tetapi walaupun masih ramai orang jahat di Manek Urai yang tolak UMNO, kini sudah ramai pula yang cerdik dan berperangai baik memilih UMNO.
Jadi rakyat (semua rakyat, bukan di Manek Urai saja) sudah menerima semula UMNO sebagai pembela bangsa, dan tahu betapa murah hatinya UMNO kepada rakyat. Dalam pilihan raya 14 Julai 2009 itu, UMNO yang pemurah itu tidak cukup wang, kerana ramai sangat rakyat yang perlu diberi wang RM300 sebagai upah mengundi mereka, yang datang dari jauh untuk pulang memangkah UMNO. Kalau wang cukup ketika diperlukan, sudah pasti UMNO menang. Bagus juga UMNO tidak menang, satu rahmat bagi UMNO, kerana jika mereka menang dengan membayar RM300 kepada setiap pengundi, maka sudah sah mereka menggunakan rasuah untuk menang pilihan raya.
Sekarang mereka belum sah lagi rasuah, hanya sah menggunakan wang saja. Tetapi itu pun salah faham, bukan betul-betul pakai wang. Kata Ketua Wanita UMNO Kuala Krai, Rohani Abdul Majid (nama ini mesti diingati), wang RM300 itu untuk petugas UMNO yang berkempen untuk calon UMNO, untuk penampal poster, untuk perayu undi dan sebagainya. Wang RM300 (angka ini mesti disebut) untuk kerja sepuluh hari. Kata wanita itu, tuduhan UMNO bayar RM300 itu salah maklumat. Kerana pekerja UMNO ramai, kita lihat ramai orang berhimpun di sebuah rumah untuk mengambil wang RM300 itu. Tuan rumah, yang tidak bernama, memberitahu “wang politik itu” (dia sebut begitu) daripada Datuk Aziz (gelarannya kepada calon UMNO Tuan Aziz Tuan Mat) untuk pengundi yang pulang dari luar Manek Urai.
Calon dan Ketua Wanita UMNO tidak bercanggah maklumat, hanya memberitahu dengan ikhlas wang memang keluar RM300 seorang. Untuk siapa dan untuk apa fikir sendirilah. Tapi memang ada orang yang dapat wang, yakni yang tahu di mana boleh dapat wang itu. Inilah perubahan besar dalam UMNO, dari tidak mengaku menggunakan wang, di Manek Urai mereka terang-terang mengaku memang menggunakan wang untuk menang pilihan raya. Inilah kejujuran UMNO satu-satunya yang hanya berlaku di Manek Urai, tidak di tempat lain. Walaupun hanya di Manek Urai UMNO mengaku menggunakan wang, pada hakikatnya wang memang menjadi umpan yang ampuh kepada UMNO, dan digunakan dengan bijaksana sekali.
Itulah perubahan besar dalam UMNO, iaitu pengakuan mereka menggunakan wang, kerana didesak oleh rakyat Manek Urai yang tahu mereka tertipu selama ini. Mereka masih menunggu cerita sebenar tentang penipuan royalti minyak kepada Kelantan, tidak dibangkitkan sepatah pun di Manek Urai, hatta oleh PETRONAS yang membisu hingga sekarang. Tidak seorang pun penganalisis politik yang pandai-pandai memandai-mandai itu menyebut perubahan dan pengakuan UMNO ini, kerana mereka tahu jika mereka bercakap benar mereka akan menerima nasib seperti wartawan TV7 bernama Florence Looi, pengacara “Point of View” di TV7 yang meminta salah seorang tamunya memberi markah kepada PM One Malaysia, dan tamu yang jujur betul bendul itu memberi markah C atau D saja untuk pentadbiran PM One Malaysia dalam masa 100 hari pertamanya.
Hampir-hampir wartawan itu dibuang kerja, tapi yang pasti dia dengan serta-merta diberi tugas kecil saja, sebagai hukuman kerana berani bertanya dan meminta pendapat benar tamunya. Dia memang dilarang mengajukan pertanyaan itu, jadi dia telah melanggar disiplin organisasinya yang tidak membenarkan kebenaran dinyatakan oleh sesiapa sekali pun, kecuali jika kebenaran itu untuk berbohong. Yang penting dalam pilihan raya Manek Urai baru-baru ini bukan kemenangan PAS, walaupun kemenangan itu penting bagi PAS.
Yang penting ialah UMNO tidak berbohong untuk menabur wang, misalnya dengan membina jambatan, memberi wang subsidi kepada penanam getah atau kelapa sawit, memberi derma kepada orang miskin (kata penganalisis yang bodoh di TV ketika mengulas perkara ini, pemberian wang ini membuktikan UMNO jujur dan sangat murah hati untuk membantu rakyat miskin), membaiki jalan raya, memberi derma kepada masjid dan banyak lagi yang dihadiahkan oleh UMNO, tidak hanya 11 Hadiah Rakyat yang diproklamirkan oleh PM One Malaysia sehari sebelum hari mengundi.
Selama ini UMNO menolak dengan keras sebarang tuduhan ke atas mereka bahawa mereka menggunakan wang, dalam bentuk semu (bentuk mimpi, seperti membina jambatan di Manek Urai) atau betul-betul. Kini mereka mengaku dengan ikhlas mereka memang menggunakan wang yang banyak. Hanya mereka masih segan hendak memberitahu berapa banyak wang yang dipakai. Ada anggaran melebihi RM300 juta, ada pula yang baik hati berkata tidaklah sebanyak itu membazir wang untuk kawasan yang diakui akan kalah, jadi angkanya tak sampai pun satu juta. Adalah barangkali RM100 ribu saja. Hanya musuh UMNO, kata mereka, menukar ribu menjadi juta, kerana angkanya tidak berubah.
Mana boleh menipu sampai begitu besar dengan wang rakyat, cacing pun akan marah kerana tempat orang mendapat wang itu dipijak lumat sampai cacing pun lari. PAS pula bagaimana? Memanglah PAS papa kedana, tidak ada wang, jadi mereka lempar batu kepada Puteri UMNO, sampai ada yang patah gigi. Kata ketua UMNO, kami tidak tahu ada dua orang pekerja PAS dari Perak yang dibelasah teruk oleh pekerja UMNO, sampai masuk hospital. Itu hanya khabar angin saja, tidak benar kerana tidak ada bukti. Kami ada bukti orang yang baling batu itu sudah ditangkap polis. Ke mana pun hendak mengelak, kata orang UMNO, yang jahat tetap PAS juga, bukan kami yang tabur wang. Lagi pula kami mengaku, hanya salah maklumat saja.
Tapi itu sudah dibetulkan, jadi kami sebenarnya tidak menabur wang sedikit pun, hanya menabur janji saja (sambil tersengih), macam orang PAS juga. Jadi sudah jelas kami hanya ikut apa yang PAS buat, bukan kami buat betul-betul ... Ada satu cerita yang lebih menarik, yang tidak pernah disebut di mana-mana sekali pun. Ini cerita bohong, tetapi benar-benar berlaku. Ceritanya perihal Tok Guru Nik Aziz beri cuti sehari di Kelantan, yang benar-benar terjadi. Tujuannya supaya semua pengundi Manek Urai yang bekerja di seluruh daerah Kelantan boleh kembali mengundi. Dan mereka pergunakan cuti itu dengan betul, sehingga yang keluar mengundi melebihi 87 peratus.
Lebih ramai ialah pengundi di luar Kelantan, terutama yang bekerja di Kuala Lumpur dan lain-lain bandar. Bilangan mereka yang boleh pulang kecil saja, untuk mendapat wang RM300 sebagai wang tambang. Jumlah lebih besar tidak boleh pulang kerana mereka bekerja. Inilah cerita menarik yang sangat penting diketahui. Mereka ini tidak dibenarkan pulang. Tidak perlu mengundi. Dulu pun mereka bertindak khianat tidak mengundi UMNO bila dibenarkan pulang dengan mengadakan hari mengundi para hari cuti. Dengan kerjasama SPR, UMNO dengan sengaja (agaknya tidak berniat jahat kerana kejahatan itu sudah dikhaskan kepada Pakatan Rakyat) menjadikan hari bekerja sebagai hari mengundi untuk memastikan PAS kalah.
Tetapi ternyata Tok Guru Nik Aziz lebih cerdik dan lebih berani, lalu menjadikan “peristiwa mengundi di Manek Urai” sebagai hari cuti umum. Walaupun pengundi PAS tidak diberi imbuhan wang, mereka tetap pulang untuk mengundi. Jadi UMNO sudah membuat silap besar. Tidak saja mereka berbohong, mereka dengan sengaja menggunakan kuasa untuk menetapkan hari mengundi pada hari yang menguntungkan mereka. Itu pun mereka kalah. Memang benarlah kata ulama dan orang tua-tua, yang terkutuk dan berniat jahat akan tetap terkutuk selama-lamanya. Tidak ada kata-kata yang lebih manis dari itu, walaupun PAS sudah hilang hampir 2000 majoriti. - [15/7/2009] Mohd. Affandi Hassan
No comments:
Post a Comment