Wednesday, July 15, 2009

PAK KADUK DI MANEK URAI

Pulihkah keyakinan kpd UMNO
Sekadar kurangkan majoriti PAS

oleh: Dato' Kamal Amir Kamal Hijaz
bekas Exco Pemuda UMNO

Keputusan pilihan raya kecil Manek Urai, 14 Julai 2009 disambut baik oleh UMNO, di samping Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak menganggap, keyakinan rakyat terhadap UMNO sudah pulih. Sekalipun UMNO gagal merampas DUN Manek Urai, di samping meneruskan tradisi kalah berturut-turut sebagai mesej orang Melayu menolak UMNO, tetapi Najib mahupun Tan Sri Muhyiddin menganggap petanda baik. Najib dan Muhyiddin seolah-olah terlupa kerajaan sekarang dipimpin oleh UMNO, justeru tak wajar berbangga tewas 65 undi, sebaliknya wajar bertanya kepada diri sendiri, mengapa berterusan tewas seolah-olah parti pembangkang. UMNO sebenarnya menjadi Pak Kaduk di Manek Urai, ayam menang kampung tergadai.

Kalau tewas 65 undi dianggap memadai, berbanding dengan curahan wang yang terlalu besar jumlahnya, di samping janji pembinaan jambatan baru bernilai RM7 juta, diikuti dengan kos helikopter berulang alikke Manek Urai seharusnya keputusan tak seperti berlaku pada malam 14 Julai 2009. Apabila berjaya mengurangkan majoriti hingga ke paras 65 undi dikategorikan menang, seolah-olah UMNO yang menjadi pembangkang di Malaysia. Bukan sahaja menerima nasib 'Pak Kaduk', malah boleh juga dianggap seperti 'Lebai Malang' kerana 'yang dikendong berciciran, yang dikejar tak dapat'. Amalan 'politik wang' dalam UMNO menghancurkan parti itu, justeru apabila dilestari dalam PRK ianya boleh menghancurkan negara pula.

No comments:

Post a Comment