Friday, April 10, 2009

ANALISIS MOHD AFFANDI...

Janji pembaharuan Najib:
Kabinet mala petaka yang berpuaka

Sama ada secara kebetulan atau memang dirancang, pada hari ini 9/4/2009 dua orang mata-mata yang dituduh membunuh wanita Monggolia Altantuya didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. Belum tentu akan digantung, tapi hukuman telah dibuat. Maka pada hari ini juga rakyat Malaysia bersorak gembira kerana sebuah kabinet baru untuk mereka telah diisytiharkan oleh Perdana Menteri baru. Tidak tahu mengapa anak Tun Razak yang baru saja dilantik jadi PM membentuk Kabinet yang oh ...oh, eh ... eh biasa saja.

Agaknya ramai yang masih rindukan ketua-ketua parti muka lama yang kalah pilihan raya, yang telah ditolak rakyat hidup-hidup. Tentulah mereka sangat istimewa kepada PM baru, walaupun rakyat sudah meluat melihat mereka, terutama ketika berucap berdegar-degar sampai berputar-putar halkum (kalau jantan) atau terhenjut-henjut buah dada lisut (kalau betina). Kata T. S. Eliot, sasterawan besar Inggeris itu: (maaf hendak kutip panjang sedikit kerana tepat sekali dengan apa yang terjadi sekarang):

“We are the hollow men/ We are the stuffed men/ Leaning together / Headpiece filled with straw. Alas! / Our dried voices, when / We whisper together / Are quiet and meaningless / As wind in dry grass / Or rats’ feet over broken glass / In our dry cellar." Jelas dan tepat sekali menggambarkan tokoh-tokoh Kabinet baru ini. Seterusnya kata Eliot: “Shape withour form, shade without colour, / Paralysed force, gesture withour motion;/” Telah berkata Tun Razak pula, sasterawan adalah propagandis zamannya.
Tapi bukan T. S. Eliot, yang menggambarkan kehebatan perasaan hampa manusia Eropah selepas Perang Dunia I. Soalan bodoh: Adakah tidak “the hollow men” dalam politik Malaysia, terutama dalam UMNO/BN? Mereka ini pun propagandis zamannya juga kah? Kabinet ini diberi nama kabinet rakyat. Soalan bodoh lagi: Mengapa diberi nama kabinet rakyat? Tidakkah semua kabinet, sejak mula merdeka hingga sekarang, semuanya untuk rakyat? Itulah cara propagandis menonjolkan diri, mesti istimewa dan lain dari yang lain, padahal tidak lebih daripada “ the hollow men stuffed with straw.”

Cara mendekati rakyat begini kelihatan sangat janggal, terlalu menghina kemampuan berfikir rakyat, terlalu memperkecil keupayaan rakyat membaca kepalsuan kata-kata hebat yang tidak lebih daripada ucapan yang “stuffed together with straw.” Sekarang soalan mencabar: Mengapa kabinet ini wajib dinilai dengan kritis? Jawapannya mudah saja: Mereka didakwa dianggotai tokoh-tokoh yang akan membina Negara Satu Malaysia yang memihak kepada rakyat, yang menjadikan kebajikan rakyat paling atas. Betulkah begitu? Katalah betul.

Oleh itu langkah pertama yang wajib dilakukan ialah mengisytiharkan harta benda anda untuk dilihat rakyat banyak mana hak anda dan banyak mana pula hak rakyat. Jika anda tidak berani melakukannya, minta ampun banyak-banyak kami mahu sembah derhaka: Biarlah tidak usah bekerja untuk kami rakyat yang tidak mahu terhutang budi supaya tidak diungkit-ungkit bila kalah pilihan raya kononnya kami tidak mengenang budi. Kalau tidak mahu, atau malu hendak isytiharkan harta anda pun tidak mengapa, kerana kami tahu berapa banyak harta anda sejak anda menjadi pembela rakyat dan berjuang untuk rakyat.

Simpanlah harta itu di luar atau di dalam negeri, itu hak anda dan kami pun tidak mahu kacau, hanya anda saja yang kacau kami. Jangan buat apa-apa pun atas nama kami jika faedahnya andalah yang menerimanya. Jadi sebenarnya tidak ada kabinet untuk rakyat. Yang ada ialah kabinet yang disusun oleh PM untuk mencerminkan pilihan peribadinya, sama ada dipengaruhi (oleh Dr. Mahathir Mohamed misalnya) atau tidak. Setiap kabinet adalah gambaran matlamat politik seorang PM dan kawan-kawannya, seperti yang diakui bahawa kabinet ini pun bertujuan untuk memenangi pilihan raya ke tiga belas nanti.

Tidak salah untuk memenangi pilihan raya, tetapi matlamat politik yang ingin dicapai itu tidak wajar dijadikan matlamat rakyat, kerana anda awal-awal lagi telah memberi amaran kepada rakyat bahawa mereka mesti memilih anda. Itulah rasuah politik paling besar dan tidak boleh dimaafkan oleh rakyat. Jadi rakyat tidak harus tertipu dengan slogan, kerana slogan adalah permainan politik yang tidak semestinya menguntungkan rakyat.

Ahli politik yang duduk dalam kabinet pula harus jujur dan berani mengaku bahawa mereka bukanlah pemimpin yang terbaik untuk negara Malaysia, tetapi mereka berada di situ kerana sistem politik Malaysia tidak dapat menentukan ciri-ciri pemimpin yang baik, bijaksana, amanah, dan takutkan Allah Ta’ala. Jadi anda akan faham mengapa anak Mahathir Mohamed dilantik menjadi Timbalan Menteri penting. Berbeza dengan ciri politik Islam, yang meletakkan yang akhir itu di tempat pertama, oleh itu semua ciri kepemimpinan yang baik dengan sendirinya mengikutinya. [9/4/2009]

(*Mohd. Affandi Hassan, pesara PTD yang berpengalamn dalam pentadbiran dan pengurusan kerajaan. Beliau adalah sasterawan dan pengkritik sastera Melayu tersohor, malah dianggap setanding dengan H.B. Jassin di Indonesia.)

No comments:

Post a Comment