Tuesday, August 7, 2007

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


DARI LAMAN BLOG:

PENDEKATAN PRIMA
BERKUNJUNG DAN BERZIARAH

Assalammualaikum,


Permintaan paling sederhana daripada Jawatankuasa Ad-Hoc Warga Prihatin Malaysia (PRIMA) ialah mengajak sesiapa sahaja menolak sebarang ‘perhambaan minda’ goblok menyebabkan rakyat terdidik menjadi ‘robot bernyawa’. Generasi akan datang sekadar menjadi klon tak bermakna, seolah-olah ‘semperung’ kosong akibat pimpinan yang bersikap sebagai ‘pemerintah’ bukan ‘pentadbir’ kepada negara tercinta ini. Kita menolak sebarang sikap bobrok yang menjadikan bangsa Melayu generasi ‘robot bernyawa’ yang tak mampu mengkritik diri sendiri.


Justeru malam ini (7 Ogos 2007), pimpinan PRIMA termasuk saya sendiri, Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz, Dato’ Dr. Mohd Mansor Abdullah, Haji Abu Bakar Ninggal berkunjung ke rumah bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sdr Abdul Rahman Osman di Subang Jaya. Abdul Rahman yang sekarang terbabit sebagai aktivis PAS, berhasrat menyertai perjuangan PRIMA sebagai gerakan NGO yang menolak sebarang sikap ‘perhambaan minda’ bagi melahirkan masyarakat yang sentiasa peka dengan keadaaan persekitaran mereka.

-Muluk-

INFO HAK ASASI MANUSIA:


PM MASIH SIBUK DI LANGKAWI
PROWARIS TERUS MENUNGGU JAWAPAN



Hari ketiga (7 Ogos 2007) selepas perjumpaan di pejabat Generasi Profesional & Pewaris Bangsa (ProWaris) di Kampung Baru, Kuala Lumpur 4 Ogos 2007 lalu, PM Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi masih sibuk dengan Dialog Antarabangsa Langkawi (LID). Presiden ProWaris, Sdr Feriz Omar mengakui akan terus menunggu hingga tempoh 10 hari (14 Ogos 2007) bagi menerima penjelasan Pak Lah berhubung dengan isu tuntutan 20 Perkara ke atas Wilayah Pembangunan Iskandar (WIP) di Johor. “Kita akan terus sabar menunggu hingga tamat tempoh 10 hari yang diberikan,” beritahu Feriz.


Dalam kenyataan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) hari ini (7 Ogos 2007) Sdr Feriz mengakui, wakil dari ‘The Asia Wall Street Journal’ dan wartawan-wartawan luar negeri sudah menghubungi ProWaris bagi mendapat butir-butir yang terkandung dalam tuntutan 20 Perkara itu. Justeru ProWaris bersetuju menerima kunjungan wartawan-wartawan terbabit pada 8 Ogos 2007, jam 11.00 pagi di pejabat ProWaris di Bangunan Public Bank, Kampung Baru. “Kami akan memberi penjelasan secara berhemah kepada mereka mengenai fakta sebenar sahaja,” Feriz menjelaskan.

PAKEJ TELEKOM PERDAYA PENGGUNA
(sambungan surat Haji Abu Bakar Ninggal)


Melihat bil cara pakej ini merugikan saya dan apa yang telah diterangkan oleh kaki tangan Telekom melalui telefon itu adalah bertentangan sekali, maka saya terus telefon ke pejabat Telekom dan saya bercakap dengan Cik Naemah binti Razak pada jam 10.15 pagi, pada tanggal 3 Julai 2007. Tujuan saya membuat panggilan itu adalah semata-mata ingin membantah kerana Telekom telah menipu pengguna dan saya mahu sistem pakej ‘Percubaan Tiga Bulan’ itu dibatalkan berkuatkuasa serta merta. Saya tidak mahu lagi sistem pakej yang bobrok ini.


Dalam hubungan ini, Cik Naemah telah menerangkan kepada saya bahawa beliau tidak ada kuatkuasa berbuat begitu dan beliau menganjurkan agar saya pergi ke Kedai Telekom yang terdekat dengan kawasan kami untuk membatalkan penggunaan cara pakej itu. Saya serta merta pergi ke Kedai Telekom Titiwangsa pada hari tersebut juga dan telah bertemu dengan pengurus di situ iaitu Encik Mazlan dan menerangkan kebobrokan yang berlaku dan telah dilakukan oleh Telekom Malaysia. Saya memang tida reda cara-cara penipuan cara begini dan saya tidak membayar caj pakej RM68.00 yang tak ada sebab itu. Tidak ada seorang pun manusia di dunia ini begitu tolol nak membayar lebih dengan tidak tentu fasal. Wang ringgit zaman Pak Lah ini bukan senang didapati!

Encik Mazlan bersetuju dengan bantahan dan arahan saya agar sistem pakej ini tidak lagi ujud dalam ‘bil bulanan’ saya di masa-masa akan datang. Kira punya kira, Encik Mazlan meminta saya membayar bil tersebut hanya RM165.55 dari jumlah bil awal yang berjumlah RM199.78. Itupun sudah termasuk kegunaan beberapa hari kemudian sesudah bil tersebut. Saya telah membayarnya kerana Encik Mazlan faham, belia begitu ‘cool’, mesra dan hormat pada pelanggannya dan dia faham kedudukan pengguna. Tanpa pengguna masakan Telekom boleh membuat keuntungan hampir satu bilion ringgit setahun. Harus diingat, Allah SWT memang membenarkan kita mencari keuntungan sebanyak-banyaknya, tetapi hendaklah cara halal dan barulah ada barakahnya.

Pada hari tersebut jelas kelihatan bukan saja saya yang membuat bantahan, malahan didapati lebih sepuluh orang sedang berbaris di luar kerana nak membantah sistem pakej yang telah diimplimentasikan oleh Telekom tanpa kelulusan Parlimen. Yang jadi mangsa ialah pengguna miskin yang dulunya membayar bil telefon sekadar enam atau tujuh puluh ringgit saja, kini terpaksa membayar seratus lebih. Alahai Malaysia boleh! Janganlah semuanya boleh. Jahanam rakyat!


Pengguna yang tidak membayar hingga dua bulan, maka telefon mereka dipotong dan bila nak sambung semua kena caj RM10.00 lagi. Selaku penulis, saya sengaja menemui mereka yang membuat bantahan itu dan didapati rata-rata mereka cukup marah dan panas hati ditipu dengan cara ‘Yahudi’ itu. Ini adalah tindakan yang zalim demi mendapatkan keuntungan yang lebih. Tuhan mengutuk kerja-kerja begini. Ingatlah wahai bangsaku. Dunia ini kamu boleh buat apa-apa saja, tetapi bersedialah engkau menerima padah dan hukumnya di akhirat nanti.


Perlu dinyatakan di sini, bahawa sebelum saya pergi ke Kedai Telekom di Titiwangsa, saya sudah menelefon Setiausaha Politik Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi di Putrajaya ke 8883 6000 dan dapat bercakap dengan Mr Tan Chuan Koon. Kepada Mr. Tan Chuan Koon, saya telah memajukan pertanyaan adalah Parlimen Malaysia telah meluluskan bahawa Telekom Malaysia boleh berbuat sesuka hati mereka tentang perkhidmatan telefon untuk orang ramai? Dengan spontan beliau telah menjawab, “Tidak ada”. Dia meminta saya menghantar bil tersebut untu tindakan beliau untuk membawa hal tersebut ke pengetahuan menteri, Dato’Seri Dr. Lim Keng Yaik.

Saya tidak menghantarnya kerana Encik Mazlan, Pengurus Kedai Telekom Titiwangsa telah memberi pengakuan akan ‘berhenti’ menghantar bil cara pakej kepada saya. Saya percaya cakap beliau kerana beliau adalah ketua di sana dan saya menemui dia di dalam bilik khas di dalam pejabat di Titiwangsa. Malag seribu kali malang. Walaupun saya telah diberi pengakuan oleh pengurus Kedai telekom Tititwangsa (Encik Mazlan) pada 3 Julai 2007, akan tetapi di dalam bil ‘bulanan’ 25 Jun 2007 dan bil pada 25 Julai 2007 saya dapati bahawa bil yang telah dihantar, adalah serupa dengan bil yang dihantar pada 25 Mei 2007 yang telah saya buat bantahan. Apa dah nak jadi dengan Malaysia ini?

Saya akan membawa hal ini ke pengetahuan Perdana Menteri dan juga kepada Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi agar penipuan ini tidak terus berlaku. Haram mengambil wang orang ramai tanpa reda. Kalau hal ini tidak selesai saya akan bawa Telekom Malaysia ke Mahkamah untuk keadilan. Kini di tangan saya banyak bil telefon dari jiran-jiran saya yang semuanya kena caj macam kisah saya ceritakan.

Haji Abu Bakar Ninggal; Taman Seri Gombak; 5 Ogos 2007.

INFO SASTERA & BUDAYA:


PRIMA AKAN BAWA KE KLCC
BACA PUISI ‘MELAYU MUDAH LUPA’



Acara baca puisi ‘Melayu Mudah Lupa’ sempena 50 tahun merdeka, akan dibawa ke KLCC, selepas ianya dimulakan di Universiti Malaya, beritahu jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz yang mengatur program berkenaan. Menurut Kamal, program sudah diatur di Dewan Semarak, Akademi Pengajian Melayu apabila semuanya berjalan lancar mengikut jadual. Antologi sajak ‘Melayu Mudah Lupa’ sudah di peringkat akhir untuk masuk ke percetakan. Sdr Dharmala N.S. juga sudah diberikan naskhah contoh bagi semakan terakhir, sebelum kerja-kerja seterusnya dihantar ke percetakan.

Bagaimanapun kata Kamal, tarikh pelancaran antologi ‘Melayu Mudah Lupa’ akan diketahui selepas pertemuan dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 15 Ogos 2007 ini. PRIMA akan menganjurkan pertemuan dengan Tun Dr. M di Yayasan Perdana, Putrajaya bersama pengendali laman web dan laman blog, termasuk individu dan NGO yang dianggar 200 tetamu akan hadir. “Setakat ini kita sudah menerima banyak permohonan dari kalangan individu untuk menyertai siri dialog dengan Tun Dr. M setelah ianya disiarkan menerusi laman web Malaysia Today,” beliau menjelaskan.

KOMENTAR
bersama Pak Parjo


GUGUR PADA PILIHANRAYA
TAK SAMA DENGAN DI MEDAN PERANG


Perjumpaan PM dengan wakil-wakil rakyat di Perak, mungkin sahaja program terakhir sebelum ‘ilham tiba’ bagi megisytihar pilihanraya. Apalagi mereka yang demam, yang darah tinggi, saya tak ketahuan, sekiranya tarikh pilihanraya diumumkan. Mereka yang digugurkan daripada menjadi calon, tentu tak sama dengan mereka yang gugur di medan perang seperti keperihalan Leftenan Adnan bin Saidi dan 8 orang leftenan yang ditembak Jepun pada Februari 1942 kerana enggan membuka uniform ‘Askar Melayu’. Memang hebat pahlwan-pahlawan kita apabila memakai uniform ‘Askar Melayu’ hingga rela ditembak mati daripada menyerah kalah.



Tetapi, semangat ‘Melayu’ yang hebat tak pernah pula mahu dihebatkan oleh bangsa Melayu sendiri. Mereka bermati-matian melawan kerana tak mahu gugur daripada jadi calon pilihanraya, tetapi biarlah jatidiri Melayu berguguran laksana daun-daun pokok getah di musim kering, dengan harga getah yang semakin menurun. Kadangkala yang sentiasa mahu turun padang untuk mencari buah durian yang berlonggok di tepi jalan, kerana tak larat mencari durian gugur di perdu pokok ialah:

HIDUP BAHASA MELAYU!