Monday, May 11, 2009
APA KATA TUAN GURU...
KEPUTUSAN MAHKAMAH TINGGI...
Alhamdulillah saya menyambut baik keputusan mahkamah tinggi hari ini yang mengistiharkan YAB Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin selaku Menteri Besar Perak yang sah. Keputusan tersebut merupakan satu kemenangan buat rakyat dan juga sistem demokrasi di negara ini. Kami menyeru agar YAB Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dengan segera dikembalikan jawatan beliau sebagai Menteri Besar Perak.
Keputusan hari ini membuktikan bahawa Perlembagaan merupakan undang-undang tertinggi di negara ini. Makanya adalah mustahak bagi semua institusi kerajaan untuk menghormati semangat yang termaktub dalam perlembagaan. Ini termasuklah sistem pengasingan kuasa yang secara jelas menggariskan pengasingan di antara kuasa eksekutif, kehakiman dan juga perundangan. Sejajar dengan itu adalah penting untuk kita mengiktiraf sidang bawah pokok yang berlangsung pada 3hb Mac 2009 serta segala resolusi yang diluluskan pada hari tersebut.
KOMENTAR:
Anak harimau jangan diajar:
Makan daging ketika ia lapar
Arakian penitir-penitir canang yang suka menyurat berasa hampa akan Orangkaya Tuan Guru Dato' Seri Hadi Awang itu tak dilawan menjadi penghulu segala anak-anak buah harakah Islam (PAS) di negeri Melayu itu. Adapun penitir-penitir canang itu sudah menjadi kebiasaan melaga-lagakan siapa sahaja yang tak bersetuju dengan harakah Melayu (UMNO). Maka tak henti-hentilah penitir-penitir canang itu berharap akan Orangkaya Nasharuddin Mat Isa akan ditentang ia untuk jawatan Timbalan Penghulu.
Syahdan akan Haji Muhammad Sabu juga disebut-but orang akan melawan Orangkaya Nasharuddin itu, adanya. Sebermula penitir-penitir canang itu juga berharap Orangkaya Menteri Besar Kedah Dato' Seri Azizan Abdul Razak dan Orangkaya Dato' Husam Musa akan ikut sama berlawan. Adapun penitir-penitir canang itu bukanlah menyurat untuk kepentingan bangsanya, kerana mereka itu mahu menyara hidup anak isteri. Maka fakir pun berfikir di dalam hati, penitir-penitir canang merasakan sudah khatamlah belajarnya. Maka diperbuat orang banyak pantun:
Ketitir kunang-kunang
Gagak bulunya hitam
Penitir-penitir canang
Banyak kaji tak khatam
Kata sahibul hikayat, ada seorang orang salah berdosa pada baginda, salahnya itu tida berapa bina. Maka oleh Seri Maharaja disuruhnya bunuh orang itu. Maka kata Bendahara Paduka Raja, "Hai, hai, lihatlah Seri Maharaja; anak harimau diajarnya makan daging, dia kelak akan ditangkapnya." Maka pada ketika itu Seri Bija Diraja datang dari Singapura. Sebermula fakir diberitahu akan Seri Maharaja itu apabila menjadi bendahara, dialah yang dibunuh oleh Sultan Mahmud bersama semua keluarganya sekali, seperti dirawi dalam 'Kitab Melayu' daripada:
HIDUP BAHASA MELAYU!
DARI LAMAN BLOG
Kerjasama politik bukanlah macam mencampakkan mata kail ke tengah air berpusar seperti dalam novel 'Juragan' (1987), tetapi tak menjejaskan mana-mana pihak. Pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad sekitar dekad 198o-an juga menerima kerjasama Parti Komunis Malaya (PKM), apabila Chen Ping (Ong Boon Hua) bersedia menghentikan gerakan militan, di samping diberi tanah di selatan Thailand untuk mereka memulakan penghidupan baru. Mereka sekarang menetap di Kampung Perdamaian, di selatan Thailand bersama waris keturunan masing-masing.
Pada 1993 apabila isu meminda perlembagaan bagi menghadkan kekebalan raja-raja, Ahli Parlimen Pembangkang sebahagiannya dijemput ke pejabat Tun Dr Mahathir. Selepas mereka bersedia menyokong usul berkenaan (kecuali wakil S46 dan PAS), barulah usul pindaan itu dibawa ke Parlimen. Itulah sejarah kerjasama politik! Maknanya kerjasama politik ini sudah berlaku sebelum Dato' Seri Najib menduduki kerusi PM, justeru pihak-pihak tertentu tak payahlah nak buat gimmik. Aduhai!
-Pak Dharma.
KENYATAAN MEDIA ANWAR
Syabas saya ucapkan kepada saudara P. Uthayakumar dan rakan-rakan lainnya. Maka seharusnya rakyat Malaysia berhak untuk mengetahui apakah status sebenar tahanan yang dibebaskan walau sebelum ini mereka ditahan kerana disyaki terlibat dengan keganasan. Mereka semua perlu mendapat pembelaan yang sewajarnya dan kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri seharusnya memohon maaf kepada mereka. Sepanjang ditahan, kerajaan seringkali memutarkan fitnah kononnya mereka semua terlibat dengan aktiviti keganasan, namun tidak pula dihadapkan ke mahkamah untuk dibicarakan.