Monday, March 9, 2009

DARI LAMAN BLOG

DARI LAMAN BLOG:

PEJUANG BAHASA SEKADAR BERSENJATA:
PENA, KOMPUTER DAN BLOG UNTUK BERSUARA.

Assalamualaikum,

Penggunaan kekuatan polis yang keterlaluan bagi menghalang kebangkitan rakyat, tak seharusnya menjadi kebanggaan pihak pemerintah seperti ditunjukkan dalam insiden 7 Mac 2009. Pejuang-pejuang bahasa sekadar bersenjatakan pena, bukan bom peledak atau istinggar yang dihalakan ke dada sesiapa. Mereka sekadar mahu menyampaikan suara hati nurani kepada raja yang memerintah; mudah-mudahan baginda akan menolak bakal ketua parti UMNO naik ke singgahsana Perdana Menteri. Alahai! Pada period penjajah kolonial British menggunakan kekuatan polis menangkap pemimpin-pemimpin rakyat, tetapi kekuatan polis tak bermakna apabila rakyat melancarkan hartal pada 1948.

Pada dekad 1960-an, kekuatan polis juga tak mampu menghalang 'hartal' yang dilancarkan rakyat pada 1967. 'Hartal' ialah dikategorikan kepada protes yang lebih berhemah daripada demonstrasi yang dianggap oleh Tan Sri Rafidah Aziz tak sesuai digerakkan. Mungkin sahaja yang sesuai bagi Tan Sri Rafidah ialah menghantar SMS kepada pimpinan Wanita yang tak berhasrat menyokongnya, di samping melepaskan keberangan yang tiada tara. Memang saya pernah membaca SMS Tan Sri Rafidah yang dihantar kepada beberapa pemimpin Wanita, tetapi bolehlah diklasifikasikan sebagai heh heh heh! Apalagi majoriti pimpinan Wanita mahu Tan Sri Rafidah berundur, berundur dan berundur.

Sebelum 'hartal' digerakkan pada 1948, kepongahan polis Jepun yang dikenali 'kempetei' juga tak mahu menghalang kebangkitan rakyat dengan gerakan Force 136, MPAJA dan Wataniah secara gerila. Pada 1967 digerakkan 'hartal', diikuti 1970-an kekurangan bekalan beras, sukar memperoleh bekalan minyak tanah (krosine), melilau mencari bekalan cili kering, malah tak keruan apabila syiling lima sen disorok. Segala perilaku berkenaan tak mampu ditangani dengan kekuatan polis. Lainlah tindakan fizikal yang digerakkan oleh Tok Janggut Haji Mat Hassan atau Tuan Guru Abdul Rahman Limbong mudah dipatahkan oleh kolonial British. Apalagi kekejaman kolonial British disembunyikan oleh media yang dikuasai oleh kolonial British ketika itu.

Kekejaman di Jenderam, Kajang pada 1951 misalnya dilindungkan oleh media-media yang berfungsi sebagai penitir canang yang bobrok. Perkampungan di Jenderam dibakar hangus, di samping orang tua, wanita dan kanak-kanak disumbat ke balai polis Kajang sebelum dibuang ke Johor dengan tak melalui 'mahkamah'; kerana "Itu Undang-Undang Dato' (Musang Berjanggut) yang bikin!". Segala keperongosan, kepongahan dan kebobrokan kolonial British mahu dilestari oleh UMNO menerusi pendekatan Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak apabila menangani pejuang-pejuang bahasa yang sekadar bersenjatakan pena. Secara fizikal Dato' Dr Hassan Ahmad mahu pun Dato' Dr A Samad Said bukanlah segagah Hang Jebat atau Megat Seri Rama; apalagi usia mereka juga sudah melewati (bukan liwat) 70-an.

Memang saya bersama rakan-rakan seperti Yahaya Ismail, Profesor Dato' Dr Mohamad Mansur Abdullah, Yassinsalleh, Dato' Kamal Amir Kamal Hijaz, Mohd Affandi Hassan, Zakaria Bidin, Haji Bakar Ningal, L Mankadir Shamsi, Haji Suhaimi Said, dan lain-lain secara fizikal memang tak larat. Kalau pimpinan muda bersedia perjuangkan isu Bahasa Melayu seperti Dato' Seri Dr Khir Toyo, Dato' Suhaimi Ibrahim, Ezam Mohd Noor, Rozmal Malakan, Nizam Hamid atau kalangan penulis-penulis muda mahu ke hadapan, kami golongan warga emas bersedia berundur. Penampilan Dato' Dr Hassan Ahmad, Dato' Dr A Samad Said, Dato' Dr Muhammad Haji Salleh di saat-saat kami memerlukan memang rahmat yang sungguh menakjubkan. Alhamdulillah.

-Pak Dharma

PROFESOR DATO' DR MOHAMAD MANSUR ABDULLAH MENULIS...

PEMIMPIN MELAYU RAGU-RAGU:
PENGABAIAN YANG DISENGAJAKAN!


Malangnya, sampai ke hari ini sudah masuk ke tahun 2009, namun kewujudan Kebudayaan Nasional itu masih belum nampak untuk terlaksana walaupun dasarnya sudah ditetapkan lebih suku abad yang lepas. Ini disebabkan, para pemimpin Melayu yang diamanahkan, seolah-olah takut, ragu-ragu dan berhati-hati sangat dalam melaksanakan pembinaan Kebudayaan Nasional itu. Mungkin juga benar, jika dikatakan sifat semulajadi bangsa Melayu yang lebih banyak ke arah bertoleransi dan mudah beralah serta terlampau memikirkan dan menjaga hati kaum-kaum lain itu lebih diutamakan, maka ini menampakkan tidak tegasnya kerajaan dalam merealisasikan kewujudan Kebudayaan Nasional tersebut.


Sikap lembab dan tidak tegas ini pula telah dipolitikkan oleh kaun-kaum lain walaupun awal-awal lagi sudah ditegaskan bahawa penubuhan kebudayaan tidak boleh ditiup dengan api semangat politik yang sensitif dan merbahaya. Ucapan perasmian mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir di dalam Pertemuan Dunia Merlayu 1982 di Melaka menjadi tanda tanya kepada semua -orang Melayu sendiri, apabila beliau berkata, “…persoalan konsep kebudayaan kebangsaan tidak timbul lagi. Sama seperti persoalan bahasa kebangsaan juga tidak timbul lagi. Yang menjadi persoalannya hanyalah usaha dan tanggungjawab untuk mengisi konsep ini, bagi kepentingan hidup bersama.


“Jika kita semua benar-benar inginkan sebuah negara yang aman makmur, dengan kehidupan rakyatnya yang damai serta bahagia, bahasa dan kebudayaan tidaklah seharusnya lagi dijadikan isu politik yang hanya akan menguntungkan golongan yang anti perpaduan, dan yang taat setianya boleh diragukan.” Kenyataan begini telah memberi ruang yang seluas-luasnya kepada kaum-kaum lain bagi mempertikaikan penubuhan Kebudayaan Nasional itu sendiri. Mereka mendakwa jika soal Kebudayaan Kebangsaan dan Bahasa Kebangsaan terus dibangkitkan juga, ini bererti sengaja mahu mempolitikkannya, dan perbuatan begini dianggap sensitif dan amat merbahaya untuk perpaduan.
Dengan itu menyebabkan pemimpin-pemimpin Melayu berasa terugut oleh pernyataan tersebut, lalu tunduk akur berdiam diri demi menjaga perpaduan kaum di negara ini. Kaum-kaum lain, khususnya daripada parti pembangkang, bebas membincangkan tentang kebudayaan dengan segala prasangka politik mereka, tetapi pemimpin-pemimpin Melayu tidak berani tegak mempertahankan hujah dan dakwaan mereka itu pula. Ini disebabkan ramai pemimpin-pemimpin Melayu muda-muda dan kebanyakannya jahil tentang budaya bangsa dan Perlembagaan Persekutuan itu sendiri.


Oleh kerana melihatkan pemimpin-pemimpin muda Melayu hanya berpeluk tubuh berdiam diri sahaja, maka kaum-kaum lain dari pihak parti lawan pun semakin berani mencabar soal-soal budaya dan bahasa Melayu sejak kebelakangan ini. Konsep bangsa Malaysia yang sepatutnya berpaksikan konsep negara bangsa, di mana rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa, tetapi mestilah tetap berindukkan dan berpaksikan kepada bangsa Melayu sebagai bangsa asal negara ini nampaknya sengaja diabaikan mereka. Malahan mereka semakin lantang dan berani mengungkit-ungkit soal ketuanan, bahasa, malah agama juga disentuh.

Penggunaan bahasa Melayu yang telah ditetapkan dalam perlembagaan sebagai bahasa
pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran juga dipertikaikan dengan beraninya oleh parti-parti pembangkang khususnya daripada kaum bukan Melayu sendiri. Peliknya, apabila sekumpulan orang-orang Melayu khususnya pendukung bahasa yang cuba untuk mempertahankan soal budaya, bangsa dan dan bahasa ini, terus dicap sebagai pencetus perbalahan dan dituduh di bawah Akta Hasutan, sedangkan mereka yang mempertikaikannya tidak pula diambil sebarang tindakan sehingga pemimpin-pemimpin muda Melayu yang punya sedikit semangat Melayu terkedu dan menikus untuk mempertahankan isu-isu bangsa, bahasa dan agamanya, kerana takut dikenakan tindakan.

Pengalaman di negara kita, bahasa Melayu masih tidak dapat menembusi benteng undang-undang kerana bahasa Inggeris masih menguasai dan terus dipakai dalam urusan perjanjian jual beli seperti serwa beli kenderaan dan hartanah. Mengapa sudah 50 tahun kemerdekaan, kemantapan bahasa Melayu berkaitan bahasa ilmu diperlekeh lagi. Malah di setengah-setengah pusat pendidikan tinggi mewajibkan pengajaran dijalankan dalam bahasa Inggeris bagi semua bidang. Persoalannya apakah bahasa Melayu yang menjadi bahasa rasmi Negara masih tidak mampu dipakai walaupun Dewan Bahasa dan Pusataka sudah menyediakan korpus bahasa dan peristilahan dalam semua bidang?

Kalau suatu waktu dulu, pembaca berita di TV baik berbangsa Melayu, mahupun kaum lain, mereka menggunakan bahasa Melayu baku yang tepat sebutan bunyinya, tetapi sekarang sudah tidak kedengaran lagi, sebaliknya sudah banyak perkataan dalam bahasa asing itu pula yang digunakan. Penyakit ini semakin menular sekarang ini, sehinggakan drama-drama Melayu juga banyak sekali menyelitkan perbualan-perbualan dalam bahasa Inggeris yang kadang-kadang janggal dan salah nahunya, tapi masih dibiarkan. Akhirnya para menteri yang ditemubual oleh pemberita dalam majlis-majlis budaya Melayu pun tidak segan silu berbahasa Inggeris, walaupun kita secara hakikatnya mengenali dan tahu benar bahawa yang dia itu tidaklah faseh dengan bahasa tersebut.

Tetapi sekadar mahu menunjukkan atau memperlihatkan kebolehannya, dia sanggup berbuat begitu walaupun tanpa diketahuinya para pendengar mentertawakan kebahlolannya itu. Inilah perangai orang Melayu kita kata arwah Pak Sako, bionye pape tak mengape, asalkan kite begaye! Wahai para pemimpin bangsaku, kembalikan semula keagungan bahasa ibunda kami sebagaimana tersohornya bahasa Melayu ini pada waktu zaman kebesaran Kerajaan Melayu Melaka, sehingga ia dapat diterima sebagai Lingua Franka di benua Asia dan Eropah. Dan jangan sekali-kali anda semua mengabai dan menghampakan hasrat murni dan niat suci para pejuang dan pemimpin kemerdekaan kita, terutama sekali terhadap Allahyarham Tun Abdul Razak, yang bermati-matian cuba mendaulatkan bahasa Melayu semula, lewat Dasar Pelajaran Negaranya.

Apakah warisan kepimpinannya kini, yang juga adalah darah dagingnya sendiri, sanggup dan tergamak hendak merosak dan memusnahkan segala-galanya yang sudah disusun atur dengan rapi dan terperinci sehingga layak menjadi bahasa ilmu tinggi yang setaraf dengan bahasa-bahasa dunia antarabangsa. Kita sepatutnya bermegah sebagaimana orang-orang Jepun, Korea, German dan Peranchis yang banggakan bahasa ibunda mereka. Justeru itu melalui kertas kerja ini bukanlah penulis mahu melahirkan rasa tidak puas hati sebenarnya, tapi sekadar ingin menyatakan rasa terkilan atas tindakan demi tindakan yang cuba memusnah dan membunuh pertumbuhan segar bahasa ibunda.

Sekali lagi, penulis dengan penuh harapan, terimalah kertas kerja ini sebagai rayuan tulus ikhlas penulis yang terdiri daripada anak-anak yang sebernar-benarnya cintakan bahasa ibundanya. Dan kamilah anak-anak yang dibendung oleh Allahyarham Tun Abdul Razak melalui Dasar Pelajarannya dahulu, kerana kami yang taat atas perjuangannya selama ini, tunduk patuh untuk menerima dan terus belajar dalam aliran Melayu yang julung-julung kalinya diadakan di negara ini. Sekian, wassalam.

(Sedutan teks kertas kerja Profesor Dato' Dr Mohamad Mansor Abdullah, wakil Dewan Persuratan Melayu Pahang - DPMP dan bekas Timbalan Naib Canselor HEP UTM, yang akan dibentangkan dalam pertemuan GAPENA di DBP, 15 Mac 2009 ini)

KOMENTAR: Pak Parjo..


KOMENTAR
bersama Pak Parjo


MEREKA MAHU LUMPUHKAN SULTAN:
ORANGKAYA RAIS KENAL ORANGKAYA HADI



Syahdan akan Orangkaya Menteri Luar Dato' Seri Dr Rais Yatim berkatalah ia semasa berkunjung ke negeri Kelantan semalam 11 Rabiulawal 1430 (8 Mac 2009), pembangkang mahu melumpuhkan kuasa Sultan. Arakian terlupalah Orangkaya Dato' Seri Rais Yatim, negeri Kelantan itu tiadalah ia meminda undang-undang tubuh kerajaan negeri itu pada tahun 1993 untuk menghapuskan kekebalan raja-raja Melayu. Kata sahibul hikayat, adapun Orangkaya Dato' Seri Rais Yatim itu pada masa dahulu bersahabatlah ia dengan anak-anak buah Orangkaya Dato' Seri Hadi Awang dan Orangkaya Dato' Nik Aziz Nik Mat. Bahawasanya tahulah ia harakah Melayu (UMNO) itulah yang menghapuskan kekebalan raja-raja Melayu dahulu. Arakian Dato' Seri Rais bersama-samalah ia dengan anak-anak buah Orangkaya Dato' Seri Hadi Awang dan Orangkaya Dato' Nik Aziz melawan UMNO yang mahu menghapuskan kekebalan raja-raja Melayu itu dahulu, adanya.



Sebermula pada zamana dahulukala sirih daripada puan raja itu terlalu mulia; tiada barang-barang orang dianugerahkan raja; barangsiapa dianugerah raja sirih daripada puan itu, tanda kurnia akan orang itu. Syahdan telah demikian fikir Tun Isap, maka ia pun berbalik ke rumah Tun Dewi, lalu dinaikinya, ditikamnya Tun Ali tengah duduk, kena dadanya lalu mati. Telah Tun Ali sudah mati, maka Tun Isap pun turun menngadap Sultan Mahmud Shah. Maka orang pun gemparlah mengatakan Tun Ali itu dibunuh oleh Tun Isap. Maka Seri Dewa Raja, anak Bendahara Paduka Raja yang bungsu, diberi orang tahu; kerana Tun Ali itu itu keluarga Seri Dewa Raja. Maka Seri Dewa Raja terlalu marah, disuruhnya adang Tun Isap, hendak dibunuhnya, sekalipun Seri Dewan Raja tahu Tun Isap sekadar menjalan titah sultan sahaja seperti disebut dalam 'Kitab Melayu' daripada:




HIDUP BAHASA MELAU!
MOHD AFFANDI HASSAN MENULIS:

BOMOH MELAYU PANDAI MENJAMPI:
ALTANTUYA, PONTIANAK & POLITIK PERAK

Orang Melayu yang masih percayakan hantu, meskipun sudah menjadi ketua parti yang kaya raya dan memegang jawatan politik yang menguntungkan, tidak teragak-agak untuk membuat kesimpulan bahawa apa yang berlaku di Perak sekarang adalah angkara Altantuya, yang kini sudah menjadi pontianak. Menurut kepercayaan orang Melayu, pontianak dapat dihidupkan kembali untuk menjadi perempuan cantik dengan mencabut paku di tengkuknya. Masalahnya sekarang, orang yang akan mencabut paku itu belum tentu menjadi pilihan Altantuya, kerana sudah serek ditipu semasa hidupnya.

Maka kata bomoh-bomoh Melayu yang memang pandai menjampi walaupun dia tahu jampi itu tidak menghasilkan apa-apa, negeri Perak yang kini sudah menjadi pontianak dalam politik Malaysia boleh diselamatkan jika paku yang ditanam di tengkuknya dicabut oleh orang yang berbuat angkara. Kata ahli politik pula, tak perlu cabut apa-apa paku pun, cukup dengan membubarkan DUN Perak dan biarkan hantu-hantu yang berkeliaran di Perak membuat pilihan sendiri siapa yang mereka mahu jadikan ketua mereka. Kata ahli politik lagi, masalah ini terjadi kerana para pengundi hantu di Perak diikat kaki tangannya dalam PRU 12, Mac 2008, oleh itu tidak boleh mengundi untuk tuan-tuan mereka yang memang memelihara mereka dengan baik selama ini.

Dalam peristiwa pelik yang menimpa Altantuya, rakyat Malaysia diminta dengan rayuan yang amat sedih oleh pontianak Altantuya supaya beliau diberitahu apakah sebabnya dia dibunuh dan diletupkan. Mengapa berahsia sangat tentang dirinya yang malang itu, padahal dia orang luar yang datang ke Malaysia mencari tuah, tidak patut dibunuh dan diletupkan. Dia hanya menjadi kekasih orang yang disayanginya. Sekarang baru dia tahu orang yang disayanginya itu sebenarnya tidak sayangkan dia, maka dibunuh tapi ceritanya terus jadi semakin panjang.

Maka kata Altantuya, aku sumpah negeri Perak menjadi pontianak seperti aku kerana orang yang merampasnya tidak pun mencintai negeri itu, tapi dibuat kerja jahat itu kerana tamakkan kuasa semata-mata. Maka berkawan baiklah dua jenis pontianak ini dan kedua-duanya membingungkan orang Melayu, sudah tak tahu apa nak buat lagi apabila jampi bomoh tidak berkesan langsung. Hanya satu cara saja boleh diselesaikan, cabut paku di tengkuk pontianak Perak supaya Siti Perak yang cantik, secantik Altantuya itu, dibenarkan memilih sendiri kekasihnya, bukan lagi ditentukan oleh peraturan perlembagaan hantu-hantu politik.

Tetapi khalifah kepada segala hantu tidak setuju, kerana menurutnya dia punya kuasa mutlak untuk menjadikan seseorang itu pontianak atau tidak. Akibatnya Siti Perak yang tersiksa terus mengilai dengan suara nyaring, siang malam, tak kira waktu lagi, boleh didengar dari barat ke timur, dari utara ke selatan di seluruh dunia. Bukan saja mengilai-ngilai seperti perempuan gila, tetapi kini sudah mendedahkan dirinya tidur di bawah pokok rendang untuk ditonton kecantikannya di seluruh dunia. Telanjang bulat, tak mahu pakai apa-apa lagi. Sudah marah betul nampaknya. Makin gila bomoh-bomoh politik menjampi, sampai dibawa ke teratak Hakim Bistari di pinggir Sungai Perak untuk disiumankan kembali. Tidak berjaya juga. Tidak ada undang-undang atau apa-apa peraturan sekalipun yang boleh mententeramkan pontianak Siti Perak yang sedang menangis terisak-isak di riba pontianak Altantuya.

Celaru betul dibuatnya bila hantu-hantu buat pasal. Kata penganalisis politik yang bijak bistari, kini hantu-hantu pun mempunyai daulat, tidak boleh diderhakai, mesti diberi salut cara hantu berdaulat, “Minta lalu Datuk Hantu, cucu datuk nak lalu pergi cari emas dalam hutan Perak. Bolehkah Datuk?” Walaupun hantu tidak pernah menjawab apa juga permintaan, orang Melayu yang cerdik terus saja meredah hutan mencuri emas dan lain-lain galian berharga. Pontianak Altantuya dan pontianak Siti Perak yang melihat kerakusan anak cucu hantu itu, berasa serabut perut nak muntah melihat kelakuan rakus mereka berkelahi sesama sendiri berebut tanah hutan yang belum tentu ada bijih emas.

Maka merayulah pontianak Altantuya sambil menangis tersedu-sedu, “Ampunkan hamba Puteri Siti Perak. Sembah hamba sembah derhaka. Hamba tak mahu lagi duduk di Malaysia. Tolonglah cabutkan paku di tengkuk hamba kerana hamba nak jadi manusia yang sempurna balik. Sekurang-kurangnya hamba boleh mencari kekasih baru di tempat lain pula …” Pontianak Siti Perak pun menangis terisak-isak sambil bertitah dengan suara lemak merdu penuh daulat yang syahdu, “Aku tak boleh buat apa-apa. Mana aku tahu kamu cakap benar nak tinggalkan Malaysia?

Sekiranya kamu terus gilakan kendak kamu, aku hendak diletak di mana? Walaupun aku pontianak, aku ada maruah macam kamu juga. Tapi kendak kita tak ada maruah. Bukan saja kamu diletupkan, rekod kamu datang ke mari pun dihapuskan. Sebenarnya kamu tidak ada di sini. Kamu tak wujud pun. Tak ada rekod langsung. Pontianak pun ada rekod, tapi tidak kamu sebagai Altantuya. Baiklah kamu tak usah jadi manusia lagi. Sia-sia dan menyusahkan. Tapi kalau kamu berkeras juga masih ingin jadi manusia yang akan terus dirogol, duduklah di Pahang, negerinya besar tebal pula hutannya.

Orang-orang kaya dan bangsawannya sukakan perempuan cantik seperti kamu, jadi kamu tak perlu takut tak dapat pelanggan. Tapi aku mau kasi ingat, ada di antara orang kaya-kaya mereka yang badannya berbau busuk, memang busuk sungguh-sungguh. Tanyalah pontianak Noritta dari Perlis siapa di antara orang kaya yang berbau busuk itu. … Sekarang mari kita usik kendak kita yang jahat perangai itu …” Kata nenek tua yang sukakan cerita-cerita hantu, cerita dua orang pontianak itu benar-benar memberi keinsafan dan peringatan kepada manusia. Orang baik-baik tidak semestinya tidak boleh jadi pembunuh atau perogol.

Kalau boleh hantu yang cantik-cantik pun hendak mereka rogol juga supaya puas nafsu jahat mereka. Hatta kata nenek tersebutlah asal usul kerajaan hantu di Palembang zaman dulu kala. Maka datanglah perlente Keling ke Palembang, mencari negeri untuk dibuat negara. Maka bertemu dengan penghulu Melayu yang bernama Demang Lebar Daun yang sangat lebar daun telinganya, menandakan kecerdikannya. Maka disembah oleh Melayu akan perlente Keling itu, seperti kisahnya dalam Hikayat Sejarah Melayu. Maka dia sudah naik berahi melihat anak-anak dara Melayu yang berkemban, tak tahan lagi nafsu Kelingnya, seperti Tun Ali gilakan Tun Kudu adik Tun Perak walaupun ketika itu jadi bini raja, hingga diceraikan sultan supaya puak Keling berdamai dengan puak Melayu zaman Melaka.

Lalu dirogolnya semua sekali 39 orang anak-anak dara pertuanan Melayu melalui perkahwinan segera (instant marriage). Esok hari dia cerai, membuat Melayu jadi takut kepada daulat perlente Keling itu. Maka setelah habis 39 anak dara, dia pun tak sabar lagi hendakkan yang satu itu, anak dara Demang Lebar Daun sendiri. Maka dapatlah perlente Keling itu gadis Melayu yang cantik. Bukan itu saja, kini perlente Keling itu dinobatkan menjadi Yang di Pertuan bagi semua orang Melayu, disembah diminta ampun walaupun tidak berdosa. Kata nenek, itulah asal mula sejarah pontianak di negeri Melayu.

Maka dibangunkan sebuah kota besar bernama Pontianak di negeri hutan belantara. Siapa-siapa yang tidak percaya adalah derhaka. Maka nenek pun menyembah dengan tertibnya kepada hantu-hantu itu. Kami anak-anak muda cucu-cicit nenek bertepuk, lucu melihat lakonan nenek itu. “Sembah!,” herdik nenek. Kami yang muda-muda itu lari bertempiaran sambil tertawa sampai tersembur air liur. Ketika itulah kami dengar hilai tertawa pontianak Altantuya dan Siti Perak lucu melihat kelakuan biadab kami tidak mahu menyembah mereka. Gila betul dunia politik ini. He he he, tertawa Pak Dharma. Tak pasti siapa yang kata “Gila betul dunia politik ini”. Pak Dharma atau pontianak? He he he. (6/3/2009)

(* Mohd Affandi Hassan sasterawan dan pengkritik sastera Melayu tersohor. Beliau juga pesara PTD yang pernah berkhidmat sebagai pegawai tinggi dalam beberapa kementerian)