Saturday, April 4, 2009

DARI LAMAN BLOG...


Termengkelan Selepas Perhimpunan:
Lembaga Disiplin Bukan Sekadar Pening...

Assalamualaikum,

Masih banyak yang 'termengkelan' selepas berakhirnya Perhimpunan Agung UMNO 28 Mac 2009, sekalipun diungkapkan berulang kali 'biduk lalu kiambang bertaut', tetapi ia sekadar dilihat pada permukaan sahaja. Kaimbang tetap terumbang ambing setiap kali air berolak, berkocak dan berombak! Apalagi misteri bekas Naib Presiden Dato' Seri Mohd Ali Rustam dilarang bertanding jawatan Timbalan Presiden, di samping Khairy Jamaluddin sekadar diberi amaran atas kesalahan yang sama dengan Ali Rustam. Sumber dari kalangan UMNO sendiri yang rapat dengan heh heh heh mengakui, Ali Rustam berpotensi memenangi jawatan yang ditandingi berdasarkan 'network' kempennya lebih kemas daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Khairy pula dilaporkan menerima signal yang mendorong Lembaga Disiplin sekadar memberi amaran, sekalipun 'network' kempennya sama dengan Ali Rustam. Maknanya, kalau Khairy boleh memenangi Ketua Pemuda ianya memberi advantage kepada Ali Rustam menduduki Timbalan Presiden. Kalangan yang rapat dengan heh heh heh menjelaskan Lembaga Disiplin juga berhadapn dengan senario 'ditelan mati emak, diluah mati ayah'. Malah sumber daripada Lembaga Disiplin juga menyebut 'politik wang' digerakkan secara terang-terangan bagaikan tak menjadi 'dosa' apa-apa kepada mereka. Astaga!

Dalam isu memberi amaran kepada Khairy, memang Lembaga Disiplin juga tak sekata dalam membuat keputusan. Malah di kalangan Lembaga Disiplin juga membantah, sebaliknya apabila menerima signal, mereka sekadar 'pak pung pak mustape, ada dule di rumahnye; ada tepung ada kelape, masak inti aduh enaknye!' Memang misteri tak sama dengan mitos atau fantasi, justeru sukar mahu mentafsirkan 'Hikayat Seribu Satu Malam', 'Hikayat Bayan Budiman', atau 'Hikayat Panji Semerang' disebabkan ianya berangkai-rangkai, berungkai-rungkai dan berantai-rantai. Lembaga Disiplin juga bukan sekadar 'pening kepala', malah macam sorong papan tarik papan, buah keranji dalam perahu!

Pimpinan veteran UMNO menngakui berlakunya kepongahan, keperongosan dan kebobrokan dalam UMNO menyebabkan orang Melayu meluat pada PRU12. Justeru mereka juga tak menolak kemungkinan pada PRU13 UMNO sudah boleh dimuziumkan, kalau kepongahan, keperongosan dan kebobrokan itu tak dihapuskan (atau disebutnya secara spontan lupa diri dan lupa daratan). Sebaliknya apabila Lembaga Disiplin dipersalahkan berikutan keputusan yang dibuat menjelang Perhimpunan Agung, ia seolah-olah mengelak aur songsang di tengah belukar. Tak hairanlah, buat seketika isu yang termengkelan di kalangan aktivis UMNO akan terus ditelan, diteran dan ditagan. Aduhai!

-Pak Dharma

UNDI HAK ANDA...

Pilihanraya Kecil (29 Mac - 7 April 2009)


SERUAN PIMPINAN PRIMA
Undi Calon, Bukan Undi Parti




PAS




PKR



BN





PARLIMEN BUKIT GANTANG (PERAK)

DUN BUKIT SELAMBAU (KEDAH)

DUN BATANG AIR (SARAWAK)



RAKYAT BERKUASA MEMBUAT PERUBAHAN!

Analatikal P/Raya Kecil...

UMNO/BN Banyak Masalah:
Rakyat Akan Mengubah Senario

Aktivis budaya di Melaka, Dr Harun Kidam meramalkan pilihanraya kecil yang berlangsung sekarang di Bukit Gantang (Perak), Bukit Selambau (Kedah) dan Batang Air (Sarawak) lebih memberi kredit kepada pembangkang. Menurutnya senario politik yang berubah sekarang termasuk pelantikan Perdana Menteri baru semalam (3 April 2009) memberi banyak masalah kepada UMNO/BN. Menyentuh pandangan pimpinan veteran UMNO yang meninjau ke kawasan terbabit mengakui kesukaran kepada UMNO/BN, Dr Harun berkata, "Senario dah berubah. Mungkin mereka tak boleh menang."

Sebelum ini pimpinan veteran UMNO yang membuat tinjauan ke Bukit Gantang dan Bukit Selambau menerima laporan, beberapa pimpinan cawangan UMNO di Bukit Gantang menolak Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin berkempen ke kawasan mereka. Begitu juga di Bukit Selambau, pimpinan cawangan MIC di sini tak mehu Presiden MIC Dato' Seri Samy Vellu turun berkempen. Sementara itu di Batang Air, pimpinan tempatan tak mahu Tan Sri Taib Mahmud @ Tok Uban tampil menunjukkan muka. "Pimpinan tempatan sudah menyampaikan mesej yang jelas kepada UMNO/BN," beritahu Dr Harun menambah.

Anwar Ibrahim Sarankan:

ISA PERLU DIMANSUH!

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta rakyat supaya tidak tertipu dengan pengumuman pembebasan 13 tahanan ISA oleh Perdana Menteri baru, Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini.Ketika ditemui pemberita di Bukit Selambau, Anwar berkata pembebasan tahanan ISA itu tidak sama dengan reformasi. Sepatutnya, tegas beliau, Akta Keselamatan Dalam Negeri itu dimansuhkan terus.

Beliau yang juga ketua umum PKR berkata, memang sudah menjadi kebiasaan bagi perdana menteri yang baru dilantik, untuk membebaskan tahanan ISA bagi menunjukkan sikap keterbukaannya.Tetapi, katanya, selepas itu, mereka kembali semula bersikap kuku besi dan terus menggunakan ISA bila kuasa mereka terancam.

Yassinsalleh Berpuisi:

Akhirnya Impian

Angin menderu
dahan jatuh
menimpa batu
kuburan
sayang
disayang.

Kilat bersabung
dentum guruh
hujan tak jadi
dendang
didendang.

Murai berkicau
bersahut-sahutan
langit mendung
disaputi awan
malang oh
malang.

Angin menderu
hilai tawa gegak
gempita
orang yang menang
tinggi dijulang
junjung naik
menggapai
awan
awangan-awangan.

Angin menderu
jangan jatuh
menimpa batu
kuburan
malang oh
malang
rebah mentari
terendam bulan
bumi merekah
langit
tersembam
akhirnya impian.

-Yassinsalleh

Kuala Lumpur
jam 2123
April 4, 09.


Lang Jelali Lang Jelalah

Lang jelali lang jelalah
gulai labu toksahlah
banyak cakap banyak telah
bila tak jadi susahlah.

Saudagar mimpi sudah mengigau
tak jadilah landing kapal terbang
niat hati nak moleh kobau
dah hilang pulak tolopeh kandang.

Lang jelali lang jelalah
burung merbah hinggap di pasir
hukum manusia terjadi sudah
hukum Allah takkan mungkir.

Bila sampai waktunya nanti
hujan pun turun di tengah hari
dan kelamlah bulan dilanda gerhana
badan merasai hidup merana.

Lang jelali lang jelalah
orang jahat toksahlah!

-Yassinsalleh
Kuala Lumpur
jam 0024
April 5, 09
dalam harum cempaka.

PADA HEMAT MOHD AFFANDI...


Coklat Berulat Untuk Rakyat:
Malaysia Dengan Harapan Baru!

PAS dan PKR yang matang dengan permainan politik yang penuh dengan manipulasi tentulah berasa pelik mengapa Harakah dan Suara Keadilan yang diharamkan tiga bulan, tiba-tiba ditarik balik serta merta oleh PM baru. Dia seorang yang baik hati atau memang telah dirancang awal-awal lagi untuk memberi gambaran baik kepada rakyat sambil menarik simpati mereka? Semuanya menjadi begitu murahan dan persendaan yang menyerlahkan kelakuan politik yang tidak boleh dipercayai. Yang paling gembira tentulah DAP, yang sejak zaman Tunku hingga ke zaman Hussein Onn menentang keras slogan DAP “Malaysian Malaysia” yang pada mulanya dilaungkan dengan lantang oleh PAP ketika berada dalam Malaysia.

Pada zaman Mahathir Mohamed, sebahagian daripada slogan itu dipakai oleh beliau, misalnya ketika membenarkan semua jenis tarian dijadikan budaya Malaysia dalam upacara rasmi. Pada zaman Tun Razak, tarian naga dibenarkan untuk perayaan orang Cina saja, tetapi tidak boleh ditunjukkan dalam upacara rasmi. Kini anak beliau yang baru saja mengangkat sumpah menjadi PM terbaru, membuat deklarasi lantang bahawa slogan pemerintahannya ialah “one Malaysia”: satu negara Malaysia dalam konteks “Malaysian Malaysia” yang diperjuangkan oleh DAP sekian lama. Seharusnyalah DAP berasa bangga kerana cita-cita mereka tercapai ketika Najib Tun Razak dilantik menjadi PM.

Makna satu Malaysia itu ialah “one Malaysia” yang mendaulatkan bahasa Inggeris melalui projek PPSMI yang kini sudah sah diteruskan dengan gigih dalam apa yang disebut sebagai kepemimpinan baru. Secara khusus untuk orang Melayu tidak ada apa-apa yang dijanjikan, mungkin segala janji untuk orang Melayu telah disempurnakan sejak sekian lama, sehingga tidak perlu diulang-ulang atau dijadikan agenda utama. Lagi pula, tidak jelas apa yang diminta oleh orang Melayu. Sebenarnya apakah yang diminta oleh orang Melayu? Mereka bukan golongan miskin, kerana kini kemiskinan tidak ada lagi, kecuali di Kelantan kerana dikuasai dan diperintah oleh PAS.

Menurut logik para pemimpin UMNO, kehadiran PAS dalam politik Malaysia bertujuan untuk mengekalkan kemiskinan di kalangan orang Melayu supaya mereka mudah diperdaya, oleh sebab itulah UMNO masih belum berjaya menghapuskan sama sekali kemiskinan di kalangan orang Melayu kerana wujudnya kerajaan PAS di Kelantan. Langkah yang “kelihatan” memihak kepada rakyat pada hakikatnya adalah sejenis umpan yang disalut coklat, tetapi di dalamnya berulat. Dalam era merebaknya kencing manis dalam politik Malaysia, umpan itu tidak boleh memperdaya orang Melayu dan rakyat Malaysia yang sudah lama menderita “kencing manis dalam janji-janji manis” para pemimpin UMNO/BN.

Apabila pemimpin mendakwa dia tawaduk dan rendah diri, apa maknanya? Hanya lakonan? Tidak lebih daripada gula-gula kepura-puraan yang manis didengar, tetapi tidak terbit dari hati yang insaf; malah sebaliknya, hanya sejenis peragaan kosong yang mungkin memukau rakyat yang kurang arif, tetapi tidak sekali-kali boleh menipu orang berakal yang sudah muak dengan lakonan melodrama yang dibuat-buat. Semuanya adalah permainan politik yang tidak bertunjang kepada keinsafan dan perasaan takut kepada Allah Ta’ala. Yang nampak hanya undi di tiga pilihan raya kecil dan kemegahan yang akan mengiringinya jika menang. Ini bukan tawaduk atau rendah diri.

Ini bukti jelas akan keangkuhan seorang pemimpin yang baru diberi kuasa oleh teman-teman dalam partinya. Ini hanya sejenis permainan politik murahan yang telah ditolak rakyat. Makna tawaduk dan rendah diri yang sebenarnya telah ditunjukkan oleh Khalifah Umar Abdul Aziz. Sebelum dilantik menjadi khalifah, kehidupan Umar Abdul Aziz penuh dengan kemegahan dunia, kemewahan dan sanjungan teman-teman serta para pegawai dan orang sekelilingnya. Air basuhan pakaiannya, menurut cerita yang masyhur, dibotolkan oleh rakyat untuk dijadikan air wangi, kerana keharumannya.

Demikian hebatnya Umar Abdul Aziz sebelum menjadi khalifah. Tetapi sebaik saja baginda dilantik menjadi khalifah, seluruh kehidupannya bertukar 360 darjah. Tiba-tiba dia menjadi seorang yang miskin, yang menolak segala kemewahan dunia dan segala jenis kepura-puraan hidup yang menjadi amalannya sebelum itu. Dia melantik sekumpulan ulama untuk mengkritiknya, bukan untuk memujinya. Dia begitu berhemat menggunakan harta kerajaan, sehingga diceritakan baginda mempunyai dua bekas lilin: satu yang digunakan untuk urusan rasmi, satu lagi untuk kegunaan peribadi dan keluarganya. Itulah erti tawaduk yang sebenarnya. Mana ada ahli UMNO, terutama pemimpin UMNO, yang bercerita tentang Umar Abdul Aziz. Tidak ada.

Yang kita dengar, Ketua Menteri Pulau Pinang dari DAP yang berkata dia akan menjadikan Umar Abdul Aziz sebagai model pemimpin sejati untuk rakyat. Mungkin terlalu berat untuk para pemimpin UMNO mencontohi Umar Abdul Aziz, yang berjaya menghapuskan kemiskinan dalam empayar Islam selama dua setengah tahun pemerintahannya. Kita maafkan jika mereka tidak dapat mencontohi baginda, tetapi sekurang-kurangnya sebutlah namanya dengan penuh tawaduk, jika enggan menyebut nama Rasulullah SAW dan mencontohi baginda. Tak mengapa. Tetapi kita mahu lihat para penguasa baru ini mengisytiharkan harta mereka sebaik saja mereka diberi kuasa.

Harta peribadi dan anak-anak, isteri dan adik beradik. Mengapa malu hendak melakukannya? Tidak ada orang yang kisah jika semua harta itu didapatkan dengan halal dan susah payah usaha sendiri. Jika sebaliknya, kembalikan kepada Baitulmal, kerana harta itu milik negara, milik rakyat. Itulah makna tawaduk dan rendah diri. Jika anda tidak sanggup melakukannya, anda baik diam. James Calaghan telah melakukannya di England tahun 1976 sebaik saja beliau dilantik menjadi Perdana Menteri Parti Buruh. Jadi contoh dari pemimpin Islam dan bukan Islam telah ada.

Tidak ada alasan dan tidak ada sebab untuk tidak dapat dilakukan oleh para pemimpin Malaysia, terutama dari kumpulan UMNO yang kaya raya itu. Lagi pula, anggota Kerajaan Selangor dari Pakatan Rakyat telah melakukannya. Anda yang dalam UMNO bila lagi? Rakyat yang anda kasihi dan menjadi tumpuan kegiatan politik anda sedang menunggu dengan sabar kejujuran dan keberanian anda melakukan yang terbaik untuk negara. Contohilah Khalifah Umar Abdul Aziz atau Perdana Menteri James Calaghan.

Seorang pemimpin mesti berani dan jujur, mesti bertanggungjawab terhadap setiap perkataan dan janjinya, apatah lagi apabila telah bersumpah dengan nama Allah. Berani isytihar harta waktu mula-mula pegang jawatan. Jujur dalam semua tindakan, bukan hanya pandai bersumpah dengan nama Allah, tapi buat yang bertentangan. Sumpah begitu mungkin dituduh orang hanya untuk lari dari tanggungjawab atau hanya untuk menepis segala tuduhan. Menurut kalangan UMNO, kerajaan terbaik dan paling efisien pada waktu ini ialah kerajaan baru Negeri Perak yang ditadbir oleh UMNO/BN selepas Pakatan Rakyat gagal membubarkan DUN Perak dalam rampasan kuasa itu.

Kerajaan baru ini telah berjaya memberi semua kemudahan untuk rakyat yang selama 50 tahun ini diabaikan, terutama sekali di bawah Pakatan Rakyat yang belum sampai setahun memerintah. Jika dakwaan ini benar (sewajarnya benar kerana UMNO tidak pernah berbohong), maka alangkah cantiknya jika kerajaan Perak yang baru dirampas UMNO itu bertindak berani dengan melakukan perisytiharan harta Menteri Besar dan semua anggota kerajaannya.

Tambahan pula pada waktu ini UMNO/BN berhempas pulas berusaha keras untuk merampas Parlimen Bukit Gantang dalam pilihan raya kecil 7 April 2009 yang jatuh ke tangan PAS dalam PRU 12. Rakyat akan bersorak gembira meneliti kemiskinan ketua-ketua UMNO yang sanggup bersusah payah menjadi ahli politik hanya semata-mata kerana cintakan rakyat dan ingin berkhidmat kepada mereka, tanpa sebarang usaha untuk memperkaya diri sendiri dan keluarga serta kumpulan sendiri.

Apakah berita baik yang dianginkan oleh PM baru kita? Banyak. Semuanya membuktikan kelihaian UMNO menggunakan undang-undang untuk memperkuat kedudukan mereka. Penarikan balik ke atas pengharaman Harakah dan Suara Keadilan adalah bukti jelas bagaimana undang-undang digunakan untuk maksud politik. Demikian juga pelepasan (sama seperti hendak terbang dengan penerbangan tiket murah) 13 orang tahanan ISA, yang tidak wajar dilepaskan kerana mereka dikurung atas kepentingan keselamatan negara. Mengapa pula ISA hendak dikaji?

ISA tidak sama dengan AUKU yang telah dikaji-kaji dan dirasakan tidak perlu dipinda betul-betul pinda. Usaha itu bertentangan dengan kemajuan di Amerika Syarikat, England dan lain-lain negara yang meniru Malaysia (dengan ucapan tahniah) menggunakan undang-undang dengan bijak untuk menyekat lawan politik. Tidakkah ISA telah disanjung oleh negara-negara maju yang baru sedar betapa pentingnya keselamatan dalam negeri? Yang agak pelik, tiga orang yang dikurung selama tiga hari (atau lebih gamaknya) di bawah ISA, terdiri daripada dua orang wartawan dan seorang Ahli Parlemen DAP yang secara tiba-tiba menjadi ancaman kepada keselamatan negara, dilepaskan begitu saja.

Tidak mungkin kesilapan telah berlaku di mana-mana oleh mana-mana pihak, mengingat pentadbiran Malaysia adalah yang terulung di dunia, yang tidak pernah melakukan apa juga kesilapan walaupun kadang-kadang terbit juga berita ada tahanan yang mati dalam jail atau yang ditumbuk matanya ketika dalam tahanan. Sebenarnya semua ini tidak perlu berubah. Yang kita harap berubah ialah orang yang membuat undang-undang, orang yang melaksanakan undang-undang, dan semangat pelaksanaan undang-undang itu dilaksanakan betul-betul untuk menyerlahkan keadilan, bukan kezaliman atau kesilapan perhitungan.

Untuk itu, kita perlu mendapat seorang pemimpin besar yang sehebat Khalifah Umar Abdul Aziz, atau Khalifah Umar Al-Khattab. Mengapa kita tidak boleh mendapat pemimpin sehebat itu padahal kita pengamal Islam Hadhari? Tidak mungkin ada sesuatu yang tidak betul dalam perkataan, amalan dan perbuatan kita yang membuat kita selalu berjanji manis tetapi sering kali keputusan kita membuat orang tidak berdosa menangis. Biarlah kita tidak usah lagi beri coklat berulat kepada rakyat. (3/4/2009)

(*Mohd. Affandi Hassan, adalah seorang pesara Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik - PTD, yang berpengalaman dalam pentradbiran dan pengurusan negara. Novelnya 'Aligupit' [1993] sebuah karya satira politik yang antara lain mengemukakan idea dua kerajaan dalam politik Malaysia. Beliau juga sasterawan dan pengkritik sastera Melayu berketerampilan)

Pandangan Pak Dharma...


Pakej Rangsangan Ekonomi:
Harapan Kepada PM Keenam

Banyak pihak beranggapan Perdana Menteri ke 6 Dato' Sri Mohd Najib Tun Razak akan memberi suntikan baru dalam menggerakkan pakej rangsangan ekonomi. Peniaga-peniaga yang mengeluh dengan pertumbuhan ekonomi yang lembab, sembab dan gedebap sekadar berharap perubahan dapat dilaksanakan. Sebaliknya penganalisis politik pula melihat ekonomi negara dipacu dengan mengerling ke gapura beberapa agensi terpenting sama ada KWSP, PNB atau Petronas. Malah pada period Tun Dr Mahathir Mohamad dana agensi terbabit menjadi pertaruhan dalam menggerakkan projek-projek mega; yang bertunjang kepada tanggapan - wang yang disimpan di bawah bantal menjadi sia-sia kalau tak dilaburkan.
Isu dana KWSP, PNB dan Petronas sekitar dekad 1990-an menimbulkan kerenggangan antara Tun Dr M-Dato' Seri Anwar Ibrahim hingga mengheret kepada naratif '50 Dalil Mengapa Anwar Tak Boleh Menjadi PM'. Selepas heboh dengan '50 Dalil' muncul pula '100 Dalil Mengapa Najib Tak Boleh Menjadi PM', ironinya '100 Dalil' tak memberi kesan negatif kepada Najib. Maknanya, Najib tak memberi saingan kepada Tun Dr M ketika itu, malah apabila Anwar menggerakkan isu 'membanteras rasuah' pada dekad 1990-an, Najib, Zahid Hamidi, Nazri Aziz, Zambry Kadir ialah antara hulubalang kanan Anwar. Lanskap politik yang menakutkan pada 1999, menyebabkan segalanya serba tak kena. Alahai!